SN137 – NEGARA-BANGSA YANG TERJAJAH

PDF

SN Keluaran 31 Ogos 2007

 

Logo SN

[SN137] Sambutan kemerdekaan yang disambut oleh Malaysia pada 31 Ogos tahun ini mungkin merupakan sambutan terbesar yang pernah diadakan. Ini adalah kerana Malaysia akan meraikan ulangtahun ke-50 kemerdekaannya, satu angka (angka 50) yang seolah-olah seperti satu keramat dan penuh makna. Satu perayaan raksasa telah dirancang sejak berbulan lalu yang melibatkan puluhan ribu peserta dengan pelbagai acara. Entah berapa juta lagi wang rakyat yang akan dibelanjakan dengan pelbagai persiapan dan acara-acara yang telah dirancang dengan penuh meriah dan besar-besaran. Sebenarnya sambutan ulangtahun kemerdekaan bukan sahaja dirayakan oleh Malaysia, malah seluruh dunia. Pada 14 Ogos lepas, Pakistan menyambut ulangtahun kemerdekaannya yang ke-60 dan sehari selepasnya (15 Ogos) merupakan sambutan ulangtahun kemerdekaan India yang juga ke-60. Sebagaimana Malaysia, Pakistan dan India turut mendapat ‘kemerdekaan’ dari penjajahan British. Selain itu, British turut menghadiahkan kemerdekaan kepada Lebanon (22 November 1943), Jordan (25 May 1946), Kuwait (26 Januari 1961), Qatar (3 September 1971), Brunei (1 Januari 1984) dan banyak lagi. Indonesia pula mendapat kemerdekaan dari Belanda pada 17 Ogos 1945.

Begitulah juga kedudukan negeri-negeri kaum Muslimin lainnya yang saban tahun, tarikh-tarikh kemerdekaan telah menjadi tarikh keramat bagi negara masing-masing. Setiap tahun, masing-masing sanggup menghanguskan ratusan ribu malah jutaan wang demi menyambut dan meraikan kemerdekaan yang telah dianugerahkan oleh kafir penjajah. Setiap kali sambutan kemerdekaan diadakan, kita akan diperingatkan dengan pelbagai nikmat yang telah dikecapi sejak merdeka dan kita seterusnya diseru agar bersyukur dan tetap menjaga kemerdekaan ini. Dalam menari dan menyanyi gembira dengan sambutan kemerdekaan, ramai yang terleka bahawa di luar sana masih ada banyak lagi negeri kaum Muslimin yang terjajah, yang mana tanah yang terjajah ini sebenarnya adalah tanah mereka juga. Tenggelam di dalam sifat assabiyyah (nasionalisme) dan wathaniyyah (patriotisme) yang kental menyebabkan mereka tidak merasakan bahawa Palestin adalah tanah umat Islam, Iraq adalah tanah umat Islam, begitu juga dengan Kashmir dan Somalia yang kesemuanya merupakan tanah umat Islam yang masih lagi terjajah dan kesemua tanah ini wajib dibebaskan dan disatukan. Ini belum mengambil kira bumi umat Islam lain yang, walaupun telah merdeka secara fizikal, namun pemerintah mereka adalah terdiri dari agen penjajah, bersubahat dengan penjajah dan tunduk menyembah penjajah seperti Pakistan, Afghanistan, Arab Saudi, Kuwait, Mesir, Jordan, Syria, Libya, Uzbekistan dan banyak lagi. Inilah realiti yang dapat kita saksikan pada hari ini di mana walaupun telah berpuluh tahun negeri-negeri ini mencapai kemerdekaan, namun hakikatnya mereka tetap terjajah!

Kemerdekaan Palsu

Sautun Nahdhah (edisi Ogos) keluaran tahun-tahun sebelum ini telah menjelaskan betapa sebenarnya kemerdekaan Malaysia dan lain-lain negara kaum Muslimin hanyalah suatu ilusi. Umat Islam telah ‘diplot’ oleh kafir penjajah dengan sebuah kemerdekaan untuk memecah belahkan mereka dan pada masa-masa berikutnya umat Islam di ajar dengan sejarah perjuangan kemerdekaan sebagaimana yang penjajah mahukan. Penjajah telah mengajar kita apakah definisi kemerdekaan dan mereka mahu kita memahami kemerdekaan dengan definisi yang diberi oleh mereka. Penjajah telah menamakan ‘hero-hero’ kemerdekaan dan mereka mahu kita hanya mengenali hero-hero yang telah mereka watakkan ini. Hasilnya, umat Islam telah memahami bahawa kemerdekaan bermaksud bebas dari ‘kehadiran fizikal’ penjajah dan wira-wira kemerdekaan adalah pejuang-pejuang kebangsaan (assabiyyah/nasionalisme) yang ingin menubuhkan negara-bangsa (nation state). Inilah erti kemerdekaan yang penjajah mahu kita fahami sampai bila-bila. Mereka mahu kita faham bahawa erti kemerdekaan adalah dengan terwujudnya pemerintahan sendiri berdasarkan sempadan-sempadan yang mereka telah lukiskan. Mereka seterusnya mahu kita memahami hakikat kemerdekaan adalah dengan mempertahankan batas sempadan ciptaan mereka ini selama-lamanya.

Jika kita mengimbas kembali sejarah kemerdekaan Malaysia, kita tidak akan dapat menafikan fakta bahawa kemerdekaan ini adalah hadiah dari pihak British. Di penghujung proses penjajahan, tiada lagi perjuangan, tiada lagi pemberontakan dan tiada lagi penumpahan darah, yang ada hanyalah sebuah proses perundingan (baca: permohonan) untuk mendapatkan kemerdekaan. Suasana aman di bawah pemerintahan British sebenarnya telah lama dikecapi. Rakyat tidak lagi menentang penjajahan British dengan nyawa dan darah sebagaimana di zaman Tok Janggut dan Mat Kilau; yang ada hanyalah demonstrasi yang diadakan secara aman membantah polisi pentadbiran British. Suasana aman ini membolehkan Tunku Abdul Rahman terbang ke London untuk membuat permohonan. Kali pertama Tunku Abdul Rahman menemui pihak British di London pada 12 April 1954, permohonannya gagal. Bagaimanapun, British tetap ‘bermurah hati’ membenarkan satu pilihan raya umum yang di adakan sekembalinya dari London. Pilihan raya umum pertama yang diadakan pada tahun 1955 menyaksikan Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC, PAS, Parti Negara di bawah pimpinan Onn Jaafar, Parti Buruh, Parti Progresif Perak, dan sebagainya bertanding. Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC memenangi 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan dan 1 kerusi lagi dimenangi oleh PAS. Dengan kemenangan dalam pilihan raya, kabinet kerajaan telah dibentuk dan Tunku Abdul Rahman menjadi Ketua Menteri yang pertama.

Pada 18 Januari 1956, Tunku Abdul Rahman sekali lagi mengetuai rombongan ke London untuk memohon dan membincangkan hal-hal mengenai kemerdekaan. Rundingan ini telah memakan masa selama tiga minggu. Akhirnya Perjanjian London 1956 ditandatangani, tepatnya pada 8 Februari 1956 di mana British menyatakan persetujuan memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Sekiranya kita meneliti laporan sejarah, rata-rata laporan akan menyebut bahawa tujuan Tunku ke London adalah untuk ‘berunding’ dengan British perihal kemerdekaan. ‘Perundingan’ bermaksud adanya syarat-syarat yang akan ditetapkan dan yang perlu dipatuhi oleh pihak yang berunding, khususnya yang memohon.

Dalam kedudukan di mana Britishlah yang menjajah dan Tanah Melayu adalah negara yang terjajah, sudah tentu British adalah pihak yang mendominasi. Dan sudah pasti Tanah Melayu perlu tunduk kepada segala syarat yang British tetapkan, jika ingin merdeka. Kemerdekaan sudah tentu tidak akan diberikan jika pihak yang terjajah tidak ingin mematuhi syarat yang dikenakan oleh pihak yang menjajah. Di sinilah kita perlu memahami bahawa British bukanlah satu bangsa yang bodoh dan akan memberi kemerdekaan dengan begitu mudah. Kita perlu faham bahawa British adalah negara kafir harbi yang sedang memusuhi Islam dan sedang menyebarluaskan akidah sekular mereka ke negara umat Islam yang sedang mereka jajah. Sudah pasti mereka tidak akan keluar begitu sahaja. Ternyata, setelah dua kali ‘perbincangan’, akhirnya British bersetuju memberikan ‘kemerdekaan’ kepada Tanah Melayu.

Sekembalinya dari London pada 20 Februari 1956, Tunku disambut meriah dan beliau kemudian mengisytiharkan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu di padang Bandar Hilir, Melaka. Semua bergembira dengan pengisytiharan ini tanpa menyedari betapa halusnya syarat-syarat kemerdekaan yang telah ditetapkan British dan betapa liciknya British dalam membuat perancangan. Bagaimana mungkin British akan meninggalkan tanah umat Islam yang dijajahnya tanpa memastikan umat Islam tetap tunduk dengan sistem dan undang-undang mereka. Bagaimana mungkin British akan mengangkat kaki selagi mereka tidak yakin pemimpin yang bakal menggantikan mereka adalah pemimpin yang sepemikiran dengan mereka yang akan meneruskan sistem sekular mereka. Bagaimana mungkin British akan berganjak dari bumi umat Islam kecuali setelah benar-benar pasti bahawa pemerintahan berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah tidak akan diterapkan. Justeru, pada bulan Mac 1956, satu Suruhanjaya ditubuhkan untuk menggubal perlembagaan. Suruhanjaya Perlembagaan Komanwel atau lebih dikenali dengan Suruhanjaya Reid yang dipengerusi sendiri oleh Lord Reid dari Britain dan beberapa orang pakar undang-undang kufur dari negara Komanwel mula merangka perlembagaan untuk Tanah Melayu, sebagai syarat untuk merdeka. Akhirnya, pada bulan Ogos 1957 siaplah sebuah dokumen yang berisi apa sahaja yang dikehendaki oleh British untuk dipatuhi oleh umat Islam.

Setelah segalanya selesai, maka kemerdekaan Tanah Melayu diisytiharkan pada 31 Ogos 1957 dengan Perlembagaan yang digubal oleh Lord Reid tadi terus menjadi undang-undang tertinggi negara mengatasi Al-Quran dan Sunnah di mana pemakaiannya terus kekal hingga ke hari ini. Dengan ini rasmilah wujudnya sebuah lagi negara-bangsa yang memisahkan kaum Muslimin antara satu dengan yang lainnya berdasarkan sempadan palsu yang ditetapkan oleh si kafir penjajah. Bermula dari sini, walaupun secara fizikalnya umat Islam telah merdeka dari penjajah, namun seluruh pemikiran umat Islam telah ‘diikat’ dengan sebuah dokumen yang dibuat oleh penjajah. Umat Islam sudah tidak dapat berfikir kecuali di dalam ruang lingkup Perlembagaan yang telah dibuat oleh Lord Reid.

Segala sistem dan undang-undang yang akan dibuat mestilah mengikut ketetapan yang tersedia di dalam Perlembagaan, dan tidak boleh terkeluar walau seincipun. Tidak ada apa yang dapat diluluskan kecuali diizinkan oleh Perlembagaan hatta undang-undang Allah sekalipun. Hudud Allah tidak akan dapat diterapkan, Qisas tidak akan dapat dilaksanakan, Ta’zir pun langsung tidak ada tempat untuknya, semata-mata kerana Perlembagaan yang digubal oleh si kafir Lord Reid tidak mengizinkannya. Begitulah bagaimana dan betapa ‘pemikiran’ kaum Muslimin telah di‘set’kan oleh British, sehingga mereka tidak boleh berfikir, kecuali sekadar yang British mahukan. Jika British tidak mahu negara kaum Muslimin bergabung, mereka telah berjaya melakukannya, jika British tidak mahu undang-undang Allah diterapkan di Malaysia, mereka telah berjaya melakukannya dan jika British inginkan sempadan Malaysia (yang diberi kemerdekaan) ini kekal, mereka juga telah berjaya melakukannya – hanya melalui Perlembagaan yang telah mereka gubal sebagai syarat untuk Malaysia merdeka.

Setelah 50 tahun merdeka dan memerintah sendiri dan mempunyai kuasa untuk menentukan nasib sendiri, anehnya Malaysia masih mematuhi syarat yang telah ditetapkan British lebih 50 tahun dahulu. Apakah jika Malaysia melanggar syarat ini sekarang, maka Malaysia terpaksa diserahkan semula (atau otomatik jatuh) ke tangan British? Atau apakah musuh Islam ini akan datang menyerang Malaysia sekali lagi jika syarat kemerdekaan tersebut dilanggar? Atau apakah Malaysia sebenarnya ‘sengaja’ mengekalkan segala yang diwarisi dari penjajah ini kerana pemikiran para pemimpin yang ada sudah sebati dengan akidah sekular yang telah dibawa oleh penjajah? Jadi, merdekakah umat ini sebenarnya, dengan hanya menyaksikan British keluar dari bumi Malaysia, walhal sistem dan undang-undang British masih bertapak kukuh? Merdekakah umat ini apabila Perlembagaan yang digubal dan ditinggalkan oleh British masih menjadi undang-undang tertinggi negara yang lebih tinggi dari Al-Quran dan As-Sunnah? Merdekakah umat ini apabila pemikiran mereka sebenarnya masih lagi terjajah? Sungguh aneh apa yang dikatakan ‘kemerdekaan’ ini; kita mohon kemerdekaan dari John kerana benci dengan apa yang dia bawa, lalu John menganugerahkan kemerdekaan. Setelah merdeka, kita melantik Johan sebagai pemimpin, yang membawa idea sama sebagaimana John, lalu kita mengatakan kita telah merdeka!

Neo-Imperialisme (Penjajahan Bentuk Baru)

Pada abad ke-19, negara-negara Eropah, khususnya Britain dan Perancis berebut-rebut untuk menjajah Negara Islam dan juga lain-lain negara di dunia. Penjajahan (imperialisme) ketenteraan menjadi salah satu cara yang ditempuh oleh negara-negara Eropah untuk menundukkan sekaligus menerapkan ideologi kufur mereka di negara-negara jajahan. Keadaan ini berlangsung terus hingga berakhirnya Perang Dunia II, yang telah memunculkan Amerika sebagai samseng baru di pentas dunia. Dengan kekuatan, kelicikan dan agenda baru, Amerika mula mengatur strategi politiknya. Dunia sudah mula bosan dan mengutuk segala bentuk penjajahan ketenteraan/fizikal. Bagaimanapun, sebagai negara penganut Ideologi Kapitalis yang mana ‘manfaat’ adalah pegangan hidupnya, Amerika semestinya tidak boleh berdiam diri dan merelakan apa sahaja yang sedang terjadi, apalagi dengan sifat permusuhan dan kebencian mereka terhadap Islam dan umatnya yang tidak pernah padam. Amerika mula merancang untuk menakluk dunia dengan satu penjajahan bentuk baru yang boleh diterima dunia. Dengan makar yang teliti dan mendalam, terbentuklah PBB yang kononnya menggabungkan negara-negara merdeka di dunia demi mencapai dan memelihara penyatuan dan keamanan sejagat. Ternyata, makar ini membuahkan hasil yang diingininya dan Amerika berjaya ‘menguasai’ dunia melalui pertubuhan kufur ini.

Dari sini juga diwujudkan beberapa badan/lembaga lainnya juga atas nama kesejahteraan dunia seperti World Bank (WB), International Monetary Fund (IMF), World Trade Organisation (WTO), International Court of Justice (ICJ) dan banyak lagi. Seterusnya dilaungkanlah slogan-slogan untuk keharmonian bersama seperti Hak Asasi Manusia (HAM), Demokrasi, Globalisasi, Hak-hak Wanita, Kebebasan dan bermacam-macam lagi. Atas alasan memberi bantuan kepada negara-negara yang lemah (yang kebanyakannya adalah negeri-negeri umat Islam), Barat akhirnya berjaya menjerat negara-negara ini dengan hutang luar yang berbilion-bilion jumlahnya. Atas alasan pasaran bebas, Barat berjaya masuk ke setiap negeri kaum Muslimin dan menjadikan negeri-negeri Muslim bergantung kepadanya. Selain itu, mereka juga berjaya mengaut segala kekayaan alam khususnya minyak dan gas yang ada di Arab Saudi, Iraq, Mesir, Kuwait, Indonesia dan lain-lain lagi. Atas nama HAM, Demokrasi dan kebebasan, Amerika berjaya ‘memerintah’ Iraq, Afghanistan dan Pakistan. Dengan ICJ, Barat berjaya menjadikan undang-undang kufur mereka sebagai undang-undang antarabangsa yang mesti dipatuhi oleh semua.

Pendek kata, percaturan kuffar Imperialis Barat dengan adanya PBB dan badan-badan di bawahnya telah memberikan kejayaan yang cemerlang, gemilang dan terbilang kepada mereka untuk menjajah umat Islam dalam bentuk penjajahan baru ini. Kesimpulannya, negara-negara yang kononnya telah mencapai kemerdekaan sebenarnya masih tetap terjajah dengan penjajahan bentuk baru ini (neo-imperialisme) oleh Barat. Seperkara lagi yang kita perlu fahami adalah Barat tidak akan berjaya menguasai negeri umat Islam jika pemerintahnya mencampakkan semua hukum dari Barat lalu menerapkan pemerintahan berdasarkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Barat pasti tidak akan berjaya mengaut segala kekayaan dari bumi umat Islam jika para pemimpin umat Islam tidak menjadi agen mereka, tidak bersubahat dengan mereka di dalam mengambil hak umat, serta tidak tunduk patuh kepada Barat. Sungguh! Barat berjaya menguasai keseluruhan negeri umat Islam kerana pemerintah umat Islam saat ini terus berhukum dengan hukum Barat. Justeru, di manakah kemerdekaan apabila undang-undang yang diterapkan adalah undang-undang Jahiliyyah Barat, sistem ekonomi adalah sistem Kapitalis bukannya sistem Islam, perbankan riba masih merajalela, gaya hidup Barat masih berleluasa, sistem pendidikan masih sekular dan yang paling penting, sistem pemerintahan masih dibelenggu dengan sistem pemerintahan negara-bangsa berdasarkan sempadan yang telah ditetapkan oleh kafir Imperalis Barat. Di manakah kemerdekaan? Sungguh malang! Malaysia berusaha mencapai kemerdekaan kerana inginkan pemerintahan sendiri, namun hakikatnya masih tetap memerintah dengan apa yang kafir penjajah tinggalkan!

Kemerdekaan Hakiki

Wahai kaum Muslimin! Kami ingin bertanya, adakah kalian akan bergembira jika Kelantan terpisah dari Malaysia, lalu menyambut kemerdekaan. Adakah kalian akan bergembira jika Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia dan mereka menyatakan bahawa mereka telah merdeka, sebagaimana Singapura mencapai kemerdekaan dari Malaya dahulu? Adakah penduduk Johor dan penduduk Malaysia lainnya akan berpesta kegembiraan jika Johor berjaya keluar dari Malaysia dan merdeka? Apakah ini yang dikatakan kemerdekaan, dan apakah kita bergembira dengan kenyataan ini, kenyataan bahawa negeri-negeri umat Islam menjadi terpecah belah, semakin lemah dan kecil dan terpisah antara satu sama lain dan mewujudkan pemerintahan sendiri-sendiri?

Jika kalian gembira dengan sambutan kemerdekaan ini, kalian sebenarnya sedang berkongsi kegembiraan dengan kafir Barat, yang setiap tahun tersenyum menyaksikan sambutan kemerdekaan yang diadakan besar-besaran di negeri kaum Muslimin. Golongan kuffar ketawa riang menyaksikan kejayaan mereka memecah-belahkan kaum Muslimin dengan negara-bangsa yang ‘merdeka’, yang dahulunya mereka berjaya pisahkan dari satu bumbung pemerintahan yakni Daulah Khilafah. Kini, semuanya terpecah belah dan ‘merdeka’ dengan berjalan mengikut ketetapan penjajah. Wahai saudaraku, bukankah kita umat yang satu dan Rasulullah telah menyatukan kita dengan kalimah syahadah yang baginda bawa, tanpa memerhatikan lagi bangsa dan negara manakah kita berada. Begitulah juga dengan para Khalifah sesudah baginda dan para pejuang-pejuang Islam yang ikhlas berjuang menyatukan umat Islam dan memerdekakan mereka dari belenggu kekufuran. Kesemua mereka ini membawa kemerdekaan yang hakiki untuk umat Islam.

Mereka membebaskan manusia dari hidup di dalam kekufuran dan kezaliman menuju rahmat Allah, membebaskan manusia dari berada di bawah telunjuk dan naungan kufur kepada petunjuk dan cahaya Islam. Firman Allah,

“Allah Pelindung orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan menuju cahaya. Adapun orang-orang kafir, pelindung-pelindung mereka adalah syaitan, yang mengeluarkan mereka dari cahaya menuju kegelapan.” [TMQ al-Baqarah (2):256]

Rab’i bin Amir, Hudzaifah bin Mihshin, dan Mughirah bin Syu‘bah ketika ditanya oleh Jeneral Rustum (Parsi) secara bergantian pada hari yang berbeza pada Perang Qadisiyah, di mana Rustum bertanya,

“Apa yang menyebabkan kalian datang ke sini?”. Mereka menjawab, “Allah telah mengutus kami untuk membebaskan/memerdekakan siapa saja dari penghambaan kepada hamba (manusia) menuju penghambaan hanya kepada Allah semata, dari kesempitan dunia menuju keluasanNya, dan dari kezaliman agama-agama selain Islam menuju keadilan Islam…” [Tarikh at-Thabari, II/401].

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Sukacita kami ingin mengakhiri naskhah ini dengan memetik kata-kata seorang intelektual bebas dari Jepun, yang dahulunya non-Muslim, namun Allah telah menunjuk beliau ke jalan kebenaran. Beliau adalah Prof. Dr. Hassan Ko Nakata dari Center for Interdisciplinary Study of Monotheistic Religions (CISMOR), Universiti Doshisha, Jepun (juga merupakan Presiden, Persatuan Muslim Jepun). Dalam makalahnya untuk International Khilafah Conference di Jakarta 12 Ogos lepas, beliau menyatakan bahawa [teks penuh beliau boleh didapati di http://www.hizbut-tahrir.or.id/index.php/category/kki/makalah]; “(Penjajahan) Kapitalisme global hanya mungkin boleh dilawan oleh ideologi yang juga bersifat global. Dalam konteks ini, Islamlah yang akan membebaskan manusia dari penjajahan sistem Kapitalisme global. Islam dengan sistem Khilafahnya, juga berfungsi sebagai sarana pembebasan umat manusia dari penjara negara-bangsa saat ini yang eksploitatif.

Ini karena Khilafah merupakan kepemimpinan umum bagi seluruh kaum Muslim di dunia untuk menegakkan hukum-hukum syariah dan mengemban risalah Islam sebagai rahmat ke seluruh penjuru dunia melalui dakwah dan jihad…Sekarang semakin jelas, bahwa Khilafah bukanlah kelompok yang terdiri dari berbagai negara-bangsa, namun merupakan satu pemerintahan universal yang bertentangan dengan sistem negara-bangsa, dan juga sistem yang membebaskan bangsa-bangsa dari penjara buatan mereka. Kenyataannya, konsep negara-bangsa Barat tidak hanya bertentangan dengan ajaran Islam, namun juga bertentangan dengan premis dasar agama-agama Ibrahim yang menyatakan, bahwa Tuhan adalah penguasa sekelian alam…

Islam adalah satu-satunya agama terbesar di dunia yang memperjuangkan kemanusiaan dengan menolak sistem negara-bangsa dengan teritorialnya. Karena sistem ini sendiri jelas bertentangan dengan kemanusiaan. Sayangnya, kecuali Hizbut Tahrir, di tengah-tengah umat Islam sendiri tidak ada gerakan internasional sejati yang menentang secara terang-terangan sistem negara-bangsa (nation state), dan membela kewajiban untuk menegakkan kembali Khilafah sebagai satu-satunya sistem politik Islam yang sah. Jangankan kaum Muslimin biasa, para aktivis yang tergabung dalam gerakan Islam itu sendiri kerap tidak peduli dengan perjuangan menegakkan kembali Khilafah beserta peranan penting mendasarnya dalam membebaskan manusia.

Mereka umumnya melakukan kompromi dengan sistem negara-bangsa; apakah karena mereka terpengaruh dan disesatkan oleh pemikiran keliru tentang logika politik Barat, atau karena mereka takut akan tekanan penguasa zalim di dalam negeri mereka sendiri – yang sedang mempertahankan statusnya karena kepatuhannya kepada penjaga sistem dari Barat, atau negara super power Barat. Karena itu, menurut hemat saya, dalam konteks dunia Islam kontemporer, hanya Hizbut Tahrirlah yang boleh dikatakan sebagai “gerakan politik Islam” yang memperjuangkan terealisasinya Khilafah – yang merupakan panggilan universal; tidak hanya untuk umat Islam, tetapi lebih dari itu. Konsekuensinya, kejayaan Hizbut Tahrir tentu tidak hanya bermanfaat bagi umat Islam, tetapi juga untuk seluruh umat manusia.”