SN142 – SAMPAI BILA?

PDF

SN Keluaran 5 Oktober 2007
 

Logo SN

[SN142] Di dalam bulan yang penuh berkat ini rakyat Malaysia dikejutkan dengan peristiwa yang penuh menyayat hati – peristiwa pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin yang baru berusia 8 tahun di mana mayatnya dijumpai dalam keadaan yang amat menyedihkan. Tiada kata yang dapat diungkapkan betapa tragisnya pembunuhan ini, tidak tahu manusia jenis apakah yang sanggup melakukan perbuatan yang sungguh kejam dan di luar batas kemanusian ini. Tragedi memilukan ini bermula apabila Nurin Jazlin tidak pulang ke rumah setelah pergi berseorangan ke pasar malam berhampiran rumahnya pada 20 Ogos 2007 lepas. Keluarganya kemudian membuat laporan polis dan pada 27 Ogos 2007, ibu Nurin merayu kepada media untuk membantu menjejaki anaknya dan pada 28 Ogos 2007, polis telah mengklasifikasikan kes ini sebagai kes culik. Sejak itu bermulalah usaha menjejaki Nurin sehinggalah rakyat Malaysia dikejutkan dengan penemuan mayat kanak-kanak yang disumbat ke dalam beg dengan kakinya dilipat ke paras dada pada 17 September 2007, yang kemudiannya disahkan sebagai Nurin. Setelah dibedah siasat, mangsa didapati didera secara seksual yang melampau sebelum dibunuh.

Bayangkanlah wahai kaum Muslimin, ibu bapa manakah yang tidak menangis menjumpai anak gadisnya meninggal dalam keadaan sebegini? Bukan setakat ibu-bapa, malah sanak-saudara, sahabat-handai, bahkan seluruh manusia yang waras akan turut berduka dan berdegup jantungnya melihat apa yang berlaku. Di saat kita sepatutnya bergembira menyambut Ramadhan yang penuh keberkatan dan kerahmatan, hati manakah yang akan tenang dengan melihat peristiwa sebegini? Hati manakah sekarang ini yang akan tenang apabila melihat anak-anak keluar rumah untuk ke sekolah, ke pusat tuisyen, ke surau, ke masjid, ke rumah jiran atau ke mana sekalipun; apatah lagi jika mereka tidak pulang sebagaimana biasa? Apakah jaminan yang ada bahawa keluarnya mereka dengan selamat bermaksud kembalinya mereka pun dalam keadaan selamat? Mengharapkan masyarakat, polis, kerajaan? Harapan tinggal harapan, malah mungkin lebih buruk, harapkan pagar, pagar makan padi. Apa tidaknya, masyarakat semakin rosak, jenayah semakin menjadi-jadi, kadar rasuah di kalangan polis semakin meninggi, kerajaan pula lebih mementingkan diri dan kroni.

Di manakah keamanan dan harapan?

Kita semua maklum bahawa kes Nurin Jazlin ini bukanlah yang pertama, bukan juga yang kedua atau yang ketiga, malah kes-kes seumpama ini sebenarnya telah banyak kali berlaku. Seperti biasa, sikap hangat-hangat tahi ayam yang diamalkan oleh pihak berkuasa sering menjadikan isu seperti ini ‘dilupakan’ setelah sekian waktu. Tambahan pula, banyak lagi kes-kes berprofil tinggi yang perlu di’cover’ oleh pihak berkuasa yang sekarang ini semakin memanas. Isu rakaman video V.K. Lingam yang dikaitkan dengan rasuah badan kehakiman masih memeningkan kepala kerajaan, isu polis menembak ‘peluru hidup’ peserta ceramah di Batu Buruk masih tidak berjawab, isu rasuah yang melibatkan jutaan ringgit yang dilakukan oleh pegawai kanan polis masih dalam siasatan, isu laporan Ketua Audit Negara yang membuktikan pembaziran melampau kerajaan masih belum selesai dan pelbagai isu lagi yang semakin meresahkan kerajaan. Oleh itu, tragedi kes Nurin Jazlin ini nampaknya menambahkan lagi luka yang terpaksa ditanggung oleh polis khususnya dan kerajaan amnya. Apa pun yang mereka (polis dan kerajaan) telah dan sedang lakukan, yang pasti rakyat masih hidup dalam dilema dan kebimbangan tentang ‘malapetaka’ yang mungkin bakal menimpa mereka seterusnya.

Siapakah yang boleh melupakan kisah sedih dan pilu yang melibatkan kanak-kanak yang tidak berdosa yang dirogol dan dibunuh secara kejam? Pada Disember 2004, seorang kanak-kanak malang ditemui orang ramai dalam keadaan menyayat hati dan sedang menangis di tepi sebuah tangki air di sebuah semak di Kampung Chendering, Kuantan. Mangsa dipercayai menjadi korban nafsu seorang lelaki yang dipercayai berusia dalam lingkungan 40-an dalam semak di kampung itu. Sehari sebelum itu, mayat Siti Syazwani, 9, murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan Pinang Tunggal, Sungai Petani Kedah telah ditemui mati 100 meter dari rumahnya – dipercayai dirogol dan dibunuh ketika pulang dari mengaji al-Quran. Mayatnya ditemui dalam parit di ladang kelapa sawit Tikam Batu, Sungai Petani dengan hanya berbaju kurung, tersembam ke dalam parit sedalam 2 meter.

Kita juga tentu tidak lupa dengan kisah yang begitu menggemparkan negara, sehingga rata-rata masyarakat mencadangkan pelakunya dibunuh atau dikasi kemaluannya lantaran tindakan mereka terhadap Nurul Huda Abd Ghani, murid Tahun 4 yang dirogol dan diliwat bergilir-gilir oleh tiga lelaki di Pondok Pengawal Stesen Janakuasa TNB Kg. Pekajang, Gelang Patah, Johor Bharu pada 17 Januari 2004. Selain itu pada bulan yang sama, Haserawati Saridi, 10 – dirogol dan dibunuh ketika dalam perjalanan ke sekolah di Kampung Menggatal, Sabah. Pada 6 November 2002 pula Siti Nurliyana Shamimi Rosdi, 2 – diculik, dirogol dan dibunuh, dijumpai dalam keadaan bogel pada jam 9 pagi di tebing Sungai Kedah, 500 meter dari rumahnya di Kampung Seberang Terus dengan kesan koyak pada kemaluan mangsa, selain lebih 40 kesan luka pada badan dan pendarahan dalam otak mangsa, dipercayai akibat dipukul dengan benda keras. Dua remaja berusia 19 tahun pula telah merogol kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun sehingga terkeluar usus ketika merompak keluarga mangsa di rumahnya di Taman Maluri, Kepong 13 Ogos 2001. Dan pada 23 Oktober 2000, Nur Shuhada, 6, ditemui mati dalam tangki air di bumbung bangunan kediaman 3 tingkat jenis town house di Selayang dalam keadaan separuh bogel dan lebam pada muka dan tangan.

Demikianlah sedikit dari kes-kes yang yang dilapor dan menggemparkan negara. Umum mengetahui bahawa ini belum lagi mengambil kira kes-kes yang dilapor atau tidak dilapor yang terlepas dari perhatian media. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee telah mendedahkan jumlah jenayah rogol yang kebanyakan mangsanya membabitkan pelajar, meningkat daripada 1,931 kes pada tahun 2005 kepada 2,431 pada 2006, iaitu peningkatan sebanyak 26 peratus di mana peningkatan ini menurut beliau amat membimbangkan [UM 22/09/07]. PDRM juga melaporkan bahawa seramai 319 remaja dan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun yang hilang sejak tempoh 7 bulan pertama tahun ini masih belum ditemui. Lebih membimbangkan, seramai 6,270 kanak-kanak di bawah kategori umur yang sama dilaporkan hilang sejak Januari 2004 hingga Mei lalu. Daripada jumlah itu, 4,237 atau 67.5 peratus pulang semula ke rumah mereka manakala 2,033 masih belum dapat dikesan sehingga ke hari ini [UM 23/09/07]. Melihat kepada perkembangan yang semakin mengerikan ini, kepada siapa dan ke mana lagi ingin kita sandarkan harapan? Yang jelas, kebimbangan demi kebimbangan terus menerkam rakyat, melihat kepada peningkatan kadar jenayah yang dikeluarkan oleh pihak PDRM mahupun oleh media atau pun yang berlaku di depan mata kepala sendiri.

Siapakah yang bersalah?

Seperti lazimnya, kes yang mengancam kehidupan masyarakat akan mengundang kemarahan masyarakat. Untuk meredakan kemarahan, akhbar arus perdana sejak awal lagi telah ‘mencipta’ punca dan mencetuskan polemik dan secara tidak langsung mengarahkan pemikiran masyarakat terhadap ‘pihak yang bersalah’. Seperti biasa, pihak ibu bapa, masyarakat, atau gurulah yang seringkali dipersalahkan apabila timbul kes sebegini. Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan berkata, ibu bapa patut dipersalah sepenuhnya dalam setiap kes kehilangan kanak-kanak dan remaja yang melarikan diri dari rumah. Musa menegaskan, tugas menjaga anak-anak bukannya terletak di bahu polis tetapi merupakan tanggungjawab hakiki yang perlu dilaksanakan oleh setiap ibu bapa [UM 19/09/07]. Dalam kes Nurin, menurut Musa, jika kecuaian itu membawa kepada penculikan Nurin Jazlin, polis akan mencadangkan kepada Peguam Negara untuk mengambil tindakan terhadap ibu bapa mangsa. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang menyokong pandangan KPN mengenai isu ini menegaskan: “Undang-undang tetap undang-undang dan kita kena ambil tindakan kerana antara Rukun Negara kita adalah untuk menegakkan undang-undang.” [UM 24/09/07].

Sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib yang menimpa ibu bapa Nurin. Dalam kesedihan mereka kehilangan anak yang tersayang, terpaksa pula berhadapan dengan tindakan undang-undang akibat kecuaian. Dalam keadaan pembunuh sebenar masih belum dijumpai, mereka pula yang bakal didakwa. Subhanallah! Apakah yang sudah berlaku dengan pihak berkuasa? Mungkin selepas ini jika sesiapa yang melaporkan kepada polis yang dia dirogol, maka dia yang terlebih dahulu akan didakwa atas sebab kecuaian, cuai kerana berjalan sorang-sorang atau cuai kerana tidak mempunyai ilmu silat untuk mempertahankan diri dari dirogol. Begitu juga jika sesiapa selepas ini membuat laporan polis tentang kecurian motor, maka mereka mungkin akan didakwa terlebih dahulu kerana cuai tidak mengunci motosikal atau cuai kerana tidak mempunyai kunci keselamatan tambahan. Mungkin juga satu masa nanti jika ada kes pecah rumah, tuan rumah akan didakwa terlebih dahulu kerana cuai tidak mengunci pintu atau pun cuai kerana tidak memasang penggera atau cuai kerana penggeranya tidak berfungsi. Pendek kata, undang-undang jenayah sekarang telah tertakluk kepada hukum ‘kecuaian’ di mana yang pertama-tama bersalah adalah orang yang cuai menjaga diri atau hartanya dari diceroboh. Jadi, jika polis gagal menangkap penjenayah sekalipun, polis bagaimanapun berjaya menangkap dan mendakwa mereka yang cuai!

Selain menyalahkan ibu bapa, guru-guru juga adalah pihak yang penting untuk dipersalahkan. Guru-guru yang sudah sedia terbeban dengan mendidik para pelajar, ‘dipaksa’ pula untuk memikul tanggungjawab negara dalam membendung jenayah. Dalam hal ini, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mencadangkan diwujudkan sekolah satu sesi yang tempohnya dipanjangkan sehingga pukul empat petang bagi mengatasi masalah anak-anak bersendirian tanpa pengawasan ibu bapa. Perdana Menteri berkata, langkah itu sekiranya dilaksanakan akan memberi kelegaan kepada ibu bapa yang bekerja kerana mereka berpeluang menjemput sendiri anak-anak pulang dari sekolah. Beliau berkata, cadangan itu diharap dapat membendung kejadian jenayah seperti yang menimpa Nurin Jazlin Jazimin, 8, daripada berulang kepada kanak-kanak lain yang tidak berdosa [UM 25/09/07]. Tidak cukup dengan guru-guru, masyarakat juga tidak pernah terlepas dari sasaran kesalahan dan bebanan tanggungjawab negara. Mengikut Perdana Menteri lagi, “mesyuarat MT hari ini yang turut membincangkan kes Nurin Jazlin telah mencadangkan program Rukun Tetangga (RT) diaktifkan semula supaya kawasan perumahan sentiasa diawasi terutama jika ia dimasuki orang tidak dikenali.” [UM 25/09/07]. Di dalam ‘menyokong’ pendapat ini, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, agensi dan jabatan di bawah kementeriannya sedia menyalurkan apa juga bentuk kerjasama dan bantuan yang diperlukan oleh RT. “Ini bagi memastikan sektor RT terus menjadi mekanisme penting untuk membanteras jenayah selain memastikan keselamatan golongan wanita dan kanak-kanak terjamin.” [UM 01/10/07].

Dengan ‘pengalihan’ bebanan seumpama ini, tanggungjawab menjaga keselamatan anak-anak telah diletakkan di bahu guru-guru dan masyarakat. Negara nampaknya berjaya memesongkan perhatian rakyat dan dalam masa yang sama dapat ‘cuci tangan’ dari tanggungjawab dan tugas mereka menjaga keselamatan rakyat. Sebagaimana biasa, setiap kali kes-kes jenayah yang menggemparkan berlaku, pihak kerajaan sentiasa membuktikan bahawa mereka adalah satu ‘institusi suci’ yang ‘maksum’ dari segala kesalahan dan dosa. Yang bersalah adalah ibu bapa, guru-guru, rakan sebaya, jiran, masyarakat dan 1001 pihak lain lagi, namun yang pasti ia bukan kerajaan. Seterusnya rakyat dihidangkan pula dengan cadangan-cadangan penyelesaian dangkal yang berulang-ulang, jemu dan tak pernah menyelesaikan. Kita tidak pernah mendengar kerajaan mengaku salah dalam hal-hal seumpana ini, apatah lagi ingin mendengar kerajaan mencadangkan agar diterapkan undang-undang dari Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam menyelesaikan masalah ini. Sampai bilakah kerajaan Islam Hadhari ini akan sedar bahawa segala keburukan yang melanda hari ini adalah kerana mereka tidak mengambil Kitabullah dan Sunnah RasulNya sebagai undang-undang, sebaliknya mereka berhukum dengan hukum penjajah dan hukum hawa nafsu yang menyesatkan?

Sesungguhnya undang-undang kufur yang ada pada hari inilah yang telah menyebabkan masyarakat rosak, serosak-rosaknya. Sistem sekular yang merajalela pada hari inilah yang melahirkan ramai manusia yang berperangai seperti binatang yang berkeliaran dalam masyarakat. Negara yang tidak pernah peduli akan hukum Allah tetapi berpegang teguh dengan hukum akal inilah yang mewujudkan orang-orang sudah hilang fitrah kemanusiaannya. Individu menjadi tidak takut untuk melanggar hukum syara’ kerana tidak adanya hukuman (Allah) dari Negara ke atas mereka. Sistem buruk yang diterapkan (oleh kerajaan) sudah tentu menghasilkan akibat yang buruk juga. Jika yang diterapkan itu adalah sistem yang datangnya dari Zat Yang Maha Mencipta, maka sudah tentu, baik pulalah akibatnya. Sikap buruk individu dan masyarakat (yang sebenarnya lahir dari sistem yang buruk) ini telah ‘dipergunakan’ pula oleh kerajaan untuk meletakkan kesalahan ke atas masyarakat. Inilah sikap oportunis kerajaan di dalam tindakan mereka menuding jari kepada pihak lain.

Tanggungjawab Individu, Masyarakat & Negara

Wahai kaum Muslimin! Sedarlah bahawa punca kepada segala masalah adalah kerana tidak diterapkan Islam di dalam kehidupan. Maksudnya, umat Islam sudah tidak mengamalkan ajaran Islam di dalam kehidupan seharian mereka, samada oleh individu, masyarakat mahupun negara. Justeru, tidak ada cara lain di dalam menuntaskan setiap masalah kecuali kita wajib kembali kepada apa yang Allah dan Rasul telah tetapkan ke atas kita. Untuk memastikan penyelesaian yang sebenar, setiap pihak itu wajib berhukum dengan hukum Allah di dalam kehidupannya. Contohnya, bagi individu, dia wajib melakukan segala kewajiban dan meninggalkan segala keharaman seperti membunuh, merogol, berzina, berkhalwat, minum arak, rasuah dan sebagainya. Jika setiap orang mempunyai ketakwaan dan meninggalkan segala keharaman ini, maka sudah tentu segala masalah dalam masyarakat akan dapat diatasi.

Bagi ibu bapa, mereka wajib mengajar dan mendidik anak-anak agar mematuhi segala perintah dan larangan Allah. Jika mereka tidak berbuat demikian, mereka berdosa dan memang patut dipersalahkan. Jika ibu bapa telah melakukannya, maka lepaslah mereka dari dosa dan kesalahan. Dan apabila anak itu telah baligh, walaupun kewajiban ibu bapa masih sama, tetapi berdasakan hukum syara’, dosa itu akan dipikul sendiri oleh anak yang berkenaan. Di dalam hal ini (anak yang telah baligh), tidak wajar tuduhan diletakkan di atas bahu ibu bapa kerana anak itu sudah menjadi mukallaf dan dia bertanggungjawab di atas segala perlakuan baik dan buruknya (dosa dan pahala). Dalam konteks ini, kita juga perlu sedar bahawa ada sesetengah ibu bapa yang baik dan telahpun mendidik anak mereka dengan cara yang baik, tetapi tetaplah wujud kes di mana anak tersebut tidak menjadi baik (melanggar perintah dan larangan Allah). Jadi, sampai bilakah kita akan meletakkan kesalahan di bahu ibu bapa walhal Islam telah menerangkan bahawa setiap orang (yang akil baligh) itu akan menanggung dosanya sendiri? Nabi Nuh contohnya, adalah seorang Nabi, yang ketakwaannya kepada Allah tidak perlu dipertikaikan, tetapi, anaknya tetap melanggar perintah Allah. Adakah kesalahan perlu diletak di bahu Nabi Nuh? Begitu juga sebaliknya, walaupun Walid bin Mughirah adalah seorang kafir yang jahat, tetapi anaknya, Khalid al-Walid menjadi seorang pejuang Islam dan mendapat julukan Saifullah (pedang Allah). Hal yang sama berlaku ke atas Abu Jahal, walaupun Ikrimah (anaknya) dididik dengan cara yang salah dan pernah ingin membunuh Nabi, tetapi kemudian Ikrimah telah memeluk Islam. Justeru, apakah segala dosa dan pahala (salah dan benar) yang dilakukan oleh si anak itu perlu diletakkan di atas ibu bapa?

Begitu juga dengan masyarakat di mana Allah telah membebankan masyarakat dengan taklif untuk mencegah kemungkaran, samada dengan tangan, lisan ataupun hati. Jika masyarakat telahpun menegur kemungkaran itu, (walaupun hanya di dalam hati), maka mereka telah terlepas dari dosa. Itulah maksud hadis Nabi. Jadi, sekali lagi, kita tidak boleh menyalahkan masyarakat jika mereka telah pun membuat teguran ini, walaupun dengan hati. Tetapi, jika ada anggota masyarakat yang tidak menegur (minima di dalam hati), maka dia akan berdosa. Apakah kita akan mengatakan masyarakat itu berdosa dan bersalah jika mereka tidak menegur dengan tangan atau lisan (mulut)? Tentu sekali tidak, kerana barangsiapa yang telah menegur, walau di dalam hati sekalipun, dia telah terlepas dari dosa, cuma itu adalah selemah-lemah iman.

Bagi Negara (pemerintah), mereka adalah qiyan tanfizi (institusi pelaksana) yang wajib menerapkan hukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah. Mereka wajib menjaga dan memelihara rakyat, sesuai dengan kehendak Allah Subhanahu wa Ta’ala, bukan mengikut kehendak dan kepentingan sendiri. Jika berlaku apa jua kemaksiatan (pelanggaran hukum Allah) dalam Negara, maka Negara wajib menyelesaikannya mengikut hukum syara’. Ini adalah kerana taklif hukum yang Allah letakkan ke atas Negara adalah memerintah dengan hukum-hakam Allah, bukannya hukum British atau hukum akal sendiri! Jadi, usaha kerajaan dalam meletakkan bebanan kesalahan kepada pihak lain ternyata merupakan suatu ‘escapism’ dari taklif hukum yang Allah telah letakkan di bahu mereka. Setiap kali berlaku kekecohan, kerajaan tidak pernah mengaku salah, namun dalam masa yang sama cuba mencadangkan langkah-langkah penyelesaian. Jika adapun ‘cadangan’ (bukan pengakuan) oleh kerajaan, ia adalah pengulangan-pengulangan cadangan yang membosankan seperti, ‘perkasakan institusi keluarga, pulihkan Rukun Tetangga, pasang CCTV, tebas semak-samun, beratkan lagi hukuman’ dan pelbagai cadangan dangkal lainnya. Persoalannya, apakah ini semua merupakan penyelesaian Islam, penyelesaian yang datangnya dari Quran dan Sunnah? Adakah jika diberatkan lagi hukuman bermaksud kerajaan telah terlepas dari taklif yang telah Allah letakkan? Contohnya, jika hukuman maksima bagi penzina sekarang ialah denda RM5,000, 3 tahun penjara dan 6 kali sebatan, diberatkan kepada RM50,000, 10 tahun penjara dan 50 kali rotan? Adakah ini satu cadangan yang sesuai dan lebih baik? Yang lebih penting, adakah ini hukum Allah? Wahai para pemimpin! Ingatlah bahawa kekuasaan yang Allah letakkan atas bahu kalian adalah satu amanah. Amanah untuk apa? Amanah untuk menjalankan hukum Allah, bukan hukum sendiri!

Dari sini, kita perlu memahami bahawa setiap pihak ditaklifkan oleh Allah dengan kewajiban masing-masing. Walaupun ibu bapa, sekolah, jiran-jiran dan masyarakat berperanan untuk menghapuskan maksiat ini, tetapi kita perlu sedar setakat manakah taklif dan ‘kuasa’ yang ada pada mereka? Jadi soalnya sekarang ialah, apakah lagi daya seseorang itu jika ia telah melakukan sebaiknya, tetapi maksiat tetap berlaku dalam masyarakat? Jawabnya, kita hanya melakukan apa yang Allah taklifkan kepada kita dan kita telah lepas dari dosa jika berbuat demikian. Jadi, jika berlaku lagi maksiat, maka Negara (kerajaan)lah pula yang sewajibnya memainkan peranan untuk menghukum pelaku maksiat tersebut. Di sinilah tugas Negara. Peranan mereka adalah untuk mencegah maksiat dengan menerapkan sistem Islam (bukan sistem akal), dan jika maksiat tetap berlaku, maka mereka wajib pula menghukum mengikut hukum Islam (uqubat), bukan hukum akal. Malangnya, inilah apa yang tidak dilakukan oleh kerajaan.

Penutup

Wahai kaum Muslimin! Sampai bilakah semua kesengsaraan dan kebimbangan ini akan berakhir…sampai bila? Selagi mana sistem dan undang-undang yang membelenggu kita adalah sistem dan undang-undang ciptaan manusia, maka nampaknya selama itulah penderitaan dan ketakutan akan terus melingkari umat Islam. Kami sedar bahawa penulisan ini pun tidak akan dapat merubah secara drastik apa yang berlaku. Namun, penulisan ini diharap dapat membuka mata dan mengeluarkan umat Islam dari ‘kotak’ pemikiran kufur yang selama ini menutupi mereka. Kaum Muslimin mestilah sedar bahawa masalah jenayah rogol dan bunuh bukanlah satu-satunya masalah yang menimpa mereka; ia hanyalah salah satu dari banyak manifestasi keburukan sistem kufur yang diterapkan di dalam negeri-negeri mereka sekarang ini. Sesungguhnya punca kepada segala musibah dan penderitaan ini adalah kerana tidak diterapkan hukum-hakam Islam di dalam kehidupan, samada oleh individu, masyarakat mahupun Negara. Manakala satu-satunya institusi yang boleh memastikan Islam itu diterapkan secara kaffah di dalam kehidupan, adalah ‘Negara (kerajaan)’ itu sendiri, yang sekarang ini tidak berlaku. Justeru, sampai bilakah lagi kita mahu menunggu azab dan sengsara ini berakhir? Saudaraku, selagi Allah masih memberikan peluang untuk ruh ini bersama badan, marilah kita hentikan segera segala kekufuran dan penderitaan ini dengan berusaha mengembalikan kehidupan Islam secara kaffah dengan jalan mendirikan semula sebuah Negara Khilafah atas minhaj kenabian. Wallahu a’lam.