SN153 – Kenapa Berbeza Eidul Adha?

PDF

SN Keluaran 21 Disember 2007

[SN153] Di dalam kegembiraan umat Islam menyambut Hari Raya Haji, tahun ini menyaksikan sekali lagi kesedihan yang menimpa umat Islam di dalam mengharungi peristiwa yang penuh bermakna ini. Bagi mereka yang benar-benar beriman kepada Allah dan cintakan penyatuan umat Islam, Hari Raya Haji yang baru sahaja berlalu ini disambut dengan hati yang penuh terguris dan meninggalkan luka yang amat pedih. Hal ini tidak lain tidak bukan adalah kerana perbezaan yang berlaku di kalangan umat Islam di dalam penetapan hari Eidul Adha 1428 Hijriah. Sebagaimana yang telah dimaklumi, kerajaan Malaysia dan juga beberapa kerajaan negara umat Islam yang lain, termasuk negara jiran Indonesia, telah menetapkan Eidul Adha pada tahun ini jatuh pada hari Khamis 20 Disember 2007. Terdapat juga beberapa negara kaum Muslimin lainnya yang menetapkan Hari Raya Haji 1428H pada hari Jumaat 21 Disember 2007. Ini bermakna, umat Islam di seluruh dunia telah menyambut hari kebesaran Islam ini dalam tiga hari yang berbeza. Ketetapan ini tidak sama dengan apa yang telah ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi yang telah mengumumkan bahawa wukuf atau Hari Arafah (9 Zulhijah) adalah pada hari Selasa, 18 Disember 2007 yang secara automatik, ketetapan ini membawa maksud bahawa Hari Raya Eidul Adha (10 Zulhijah) adalah pada hari Rabu 19 Disember 2007.

Keadaan ini sebenarnya telah mengundang banyak tanda tanya kerana ia melibatkan beberapa persoalan hukum yang lain. Contohnya, kita disunatkan berpuasa pada Hari Arafah, jadi bilakah sepatutnya kita berpuasa, adakah pada hari Selasa (18 Disember) yakni sesuai dengan hari ketika jemaah haji wukuf di Arafah, atau pada hari Rabu (19 Disember) sesuai dengan ketetapan pemerintah setempat? Jika berpuasa pada hari Rabu (19 Disember), persoalannya, betulkah hari itu adalah hari Arafah, sedangkan jamaah haji di Mekah pada hari itu justeru sedang merayakan Eidul Adha dan sudah pun wukuf di Arafah hari sebelumnya? Jadi, bukankah berpuasa pada hari Rabu bererti berpuasa pada hari yang kita diharamkan untuk berpuasa kerana bermaksud kita telah berpuasa pada Hari Raya? Bila pemerintah mengisytiharkan bahawa hari Arafah jatuh pada Rabu 18 Disember, lantas ‘Arafah’ manakah yang dimaksudkan oleh mereka, mengingat bahawa Arafah hanya ada satu sahaja, yakni satu-satunya tempat suci di mana para jemaah haji melakukan wukuf? Jika umat Islam memilih untuk puasa sunat pada hari Selasa 18 Disember, bila pula harus solat Eidul Adhanya? Rabu (19 Disember) atau Khamis (20 Disember) atau Jumaat (21 Disember)?

Sebenarnya pertanyaan-pertanyaan di atas langsung tidak perlu timbul. Namun, ia timbul tatkala pemerintah di negeri-negeri kaum Muslimin dengan kekuasaan yang dimiliki masing-masing telah menetapkan hari kebesaran kaum Muslimin ini di atas landasan yang salah. Apa yang berlaku ini sesungguhnya sesuatu yang amat memalukan dunia Islam. Kenyataan ini juga menunjukkan betapa umat Islam dewasa ini telah kehilangan penyatuan dan jatidiri, sehingga untuk hal-hal ubudiyah sekalipun mereka tetap berpecah dengan mengikut sempadan assabiyyah dan wathaniyyah masing-masing. Umum mengetahui bahawa perpecahan umat ini terjadi setelah runtuhnya Khilafah Uthmaniyyah pada 28 Rejab 1342H (3 Mac 1924M) yang mana umat Islam telah kehilangan seorang pemimpin (Khalifah) yang selama ini telah menyatupadukan mereka di peringkat antarabangsa. Pemimpin tunggal umat Islam sedunia sudah tidak ada lagi dan umat Islam telah terpecah belah kepada lebih dari 50 buah negara yang bergerak atas dasar dan mengikut kepentingan negara masing-masing. Sehingga untuk menetapkan hari yang begini mulia untuk keseluruhan umat Islam pun, hawa nafsu dan sempadan palsu inilah yang dijadikan ukuran, bukannya hukum wahyu.

Penentuan Hari Eidul Adha Wajib Berdasarkan Penduduk Mekah

Bagi pengkaji fikih, mereka akan dapati bahawa terdapat sedikit khilaf dalam hal mengamalkan satu ru’yah untuk Eidul Fitri, namun khilaf semacam ini tidak pernah ada dalam penentuan Eidul Adha. Sesungguhnya ulama seluruh madzhab (Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hanbali) telah sepakat mengamalkan ru’yah yang sama untuk Eidul Adha. Ru’yah yang dimaksudkan adalah ru’yatul hilal untuk menetapkan awal bulan Zulhijjah, yang dilakukan oleh penduduk Mekah dan ru’yah ini akan dirujuk di seluruh dunia. Oleh sebab itu, kaum Muslimin dalam sejarahnya senantiasa ber-eidul Adha pada hari yang sama. Fakta ini dapat dilihat sejak masa Rasulullah lagi dan dilanjutkan pada masa Khulafa’ Rasyidin, Umawiyyin, Abbasiyyin dan Uthmaniyyin. Namun meskipun penetapan Eidul Adha ini sudah menjadi perkara yang ma’lum min al-din bi al-dharurah di dalam Islam, anehnya pemerintah Malaysia dan beberapa negara umat Islam lainnya, telah begitu berani menetapkan Eidul Adha pada tarikh yang berlainan. Sedangkan kewajiban kaum Muslimin untuk menyambut Hari Raya Korban ini secara bersama-sama (serentak) telah ditunjukkan oleh banyak nas syara’. Di antaranya adalah:-

(1) Hadis A’isyah ra, dia berkata “Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bersabda,

‘Eidul Fitri adalah hari orang-orang (kaum Muslimin) berbuka (selesai Ramadhan). Dan Eidul Adha adalah hari orang-orang menyembelih korban” [HR At-Tirmidzi – lihat Imam Syaukani, Nailul Authar, Beirut : Dar Ibn Hazm, 2000, hlm 697, hadis No. 1305].

Imam At-Tirmidzi juga meriwayatkan hadis yang serupa dari Abu Hurairah ra dengan lafaz, “Bulan puasa adalah bulan mereka (kaum Muslimin) berpuasa. Eidul Fitri adalah hari mereka berbuka. Eidul Adha adalah hari mereka menyembelih korban” [Nailul Authar, hlm 697 hadis No. 1306]. Imam At-Tirmidzi berkata, “Sebahagian ahlul ‘ilmi (ulama) menafsirkan hadis ini dengan menyatakan, ‘Sesungguhnya makna puasa dan Eidul Fitri ini adalah yang dilakukan bersama jemaah (keseluruhan masyarakat Islam) dan sebahagian besar manusia” .

Hadis di atas secara jelas menunjukkan kewajiban berpuasa Ramadhan, ber-eidul Fitri, dan ber-eidul Adha bersama-sama orang ramai, iaitu maksudnya bersama kaum Muslimin keseluruhannya, dan langsung tidak timbul soal sempadan negara. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak pernah membataskan perintah (hadis) baginda agar kaum Muslimin menyambut hari raya (berbeza) mengikut sempadan negara masing-masing. Hal ini kerana kaum Muslimin itu tidak pernah dibezakan oleh Rasulullah melalui sempadan negara, malah kaum Muslimin itu hidup di bawah naungan Daulah Islam yang sama. Justeru, atas dasar apakah pemerintah sekarang mengisytiharkan hari raya yang berbeza? Adakah mereka mengikut nas atau melawan nas, mengikut Rasulullah atau berlawanan dengan Rasulullah? Sesungguhnya berdasarkan hadis ini, mana-mana Muslim pun tidak dibenarkan berpuasa sendirian, atau berbuka (ber-eidul Fitri) bersendirian ataupun ber-eidul Adha sendirian (mengikut sempadan negara masing-masing). Yang benar adalah mereka wajib berpuasa dan berhari raya bersama-sama kaum Muslimin yang lain di seluruh dunia pada hari yang sama.

(2) Dari Husain Ibn Al-Harits Al-Jadali, dia berkata,

“Sesungguhnya Amir (Wali) Mekah pernah berkhutbah dan berkata, “Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam mengamanatkan kepada kami untuk melaksanakan manasik haji berdasarkan ru’yah. Jika kami tidak dapat meru’yah tetapi ada dua saksi adil yang berjaya meru’yah, maka kami melaksanakan manasik haji berdasarkan kesaksian keduanya” [HR Abu Dawud dan Ad-Daruquthni].

Imam Ad-Daruquthni berkata, “Isnadnya bersambung (muttashil) dan sahih” [Lihat Imam Syaukani, Nailul Authar hlm 841 hadis No. 1629]. Hadis ini dengan jelas menunjukkan bahawa penentuan hari Arafah dan hari-hari pelaksanaan manasik haji, telah dilaksanakan pada saat adanya Daulah Islamiyyah oleh pihak Wali Mekah. Hal ini berlandaskan perintah Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada Amir (Wali) Mekah untuk menetapkan hari dimulainya manasik haji berdasarkan ru’yah. Di samping itu, Rasulullah juga telah menetapkan bahawa pelaksanaan manasik haji (seperti wukuf di Arafah, tawaf ifadhah, bermalam di Muzdalifah, melempar jamrah) harus ditetapkan berdasarkan ru’yah penduduk Mekah sendiri, bukan berdasarkan ru’yah penduduk Madinah, penduduk Najd atau penduduk negeri-negeri Islam lainnya. Dalam keadaan sekarang di mana tidak adanya Daulah Islamiyyah (Khilafah), penentuan waktu manasik haji ini pun masih tetap sama di mana ia tetap menjadi autoriti pihak yang memerintah Hijaz dari kalangan kaum Muslimin, meskipun kekuasaannya diperolehi dengan jalan paksa. Dalam keadaan ini, kaum Muslimin di seluruh dunia wajib merayakan Eidul Adha pada yaumun nahr (hari penyembelihan korban) iaitu tatkala para jemaah haji di Mekah sedang menyembelih korban pada tanggal 10 Zulhijjah (sehari selepas wukuf di Arafah), dan bukan keesokan harinya (hari pertama dari Hari Tasyriq). Ini bermakna (pada tahun ini) kaum Muslimin di seluruh dunia wajib berhari raya pada tanggal 19 Disember, bukannya 20 atau 21 Disember. Menyambut Hari Raya Haji pada selain 19 Disember adalah menyalahi nas syara’ dengan sejelas-jelasnya.

(3) Dari Abu Hurairah ra, dia berkata,

Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melarang puasa pada Hari Arafah, di Arafah”
[HR Abu Dawud, An Nasa’i – lihat Imam Syaukani, Nailul Authar hlm 875, hadis No. 1709].

Berdasarkan hadis itu, Imam Asy-Syafi’i berkata, “Di sunatkan berpuasa pada Hari Arafah (tanggal 9 Zulhijjah) bagi mereka yang bukan jemaah haji”. Hadis di atas merupakan dalil yang jelas dan terang mengenai kewajiban merayakan Eidul Adha pada hari yang sama di atas seluruh kaum Muslimin. Sebab, jika disyari’atkan puasa bagi selain jemaah haji pada Hari Arafah (hari tatkala jemaah haji wukuf di Padang Arafah), maka artinya, Hari Arafah itu satu adanya, tidak lebih dari satu, tidak boleh lebih dari satu dan tidak akan lebih dari satu. Ini justeru bermakna, puasa sunat bagi kaum Muslimin (selain jemaah haji) juga akan berlaku pada hari yang satu. Ini kerana perbezaan titik paling jauh di antara belahan dunia ini sekalipun hanyalah 12 jam sahaja (tidak sampai pun 24 jam) dan Malaysia pula, hanya berbeza 5 jam sahaja dengan Arab Saudi. Bagaimanakah perbezaan 5 jam ini ‘tiba-tiba’ menyebabkan Hari Arafah menjadi berbeza lebih dari sehari (24 jam) sebagaimana yang ditetapkan oleh pemerintah? Sungguh tidak masuk akal dan alangkah dangkalnya pendapat dan ketetapan ini! Justeru, sungguh-sungguh menyalahi nas apabila kaum Muslimin di Malaysia, Indonesia dan lain-lainnya (yang beraya pada 20 Disember) berpuasa sunat pada hari penyembelihan korban di Mekah (10 Dzulhijjah), yang sebenar dan sesungguhnya adalah hari raya Eidul Adha. Dan bukankah berpuasa pada hari raya itu adalah perbuatan yang jelas-jelas diharamkan oleh Rasulullah? Lalu atas dasar apa pula kaum Muslimin solat Eidul Adha di luar waktunya yang mana mereka sebenarnya bersolat Eidul Adha pada tanggal 11 Zulhijjah (hari pertama dari Hari Tasyriq)? Sungguh, perbuatan ini amat-amat menyalahi nas dan tidak boleh dilakukan oleh seorang Muslim pun yang masih ada keimanan dan rasa takut kepada Allah dan Hari Akhirat!

Mengikut Nas Atau Mengikut Pemerintah?

Sebahagian dari kaum Muslimin yang membolehkan perbezaan Eidul Adha beristidlal (menggunakan dalil) dengan hadis, “Berpuasalah kalian apabila melihat (ru’yah) hilal, dan berbukalah kalian (ber-eidul Fitri) apabila melihat hilal. Dan jika mendung/awan menghalang (pandangan) kalian, maka perkirakanlah”. Beristidlal dengan hadis ini untuk membolehkan perbezaan hari raya (termasuk Eidul Adha) di antara negeri-negeri umat Islam dan untuk membolehkan penggunaan kaedah hisab adalah istidlal yang keliru. Kekeliruannya dapat ditinjau dari beberapa aspek:

Pertama, Hadis tersebut tidak menyentuh Hari Raya Eidul Adha baik secara langsung mahupun tidak langsung. Hadis itu hanya menjelaskan tentang Eidul Fitri, bukannya Eidul Adha. Maka dari itu, tidaklah tepat beristidlal dengan hadis tersebut untuk membolehkan perbezaan Eidul Adha berdasarkan perbezaan mathla’ (tempat terbit hilal), di antara negeri-negeri umat Islam. Selain itu, mathla’ hilal itu sendiri faktanya tidaklah berbeza-beza, sebab anak bulan itu terbit di langit pada satu titik waktu yang sama. Dan waktu kelahiran anak bulan ini berlaku untuk bumi seluruhnya. Yang berbeza sebenarnya hanyalah tempat dan waktu pencerapan/pengamatan (di bumi) kerana berlakunya pusingan bumi. Itu pun (pusingan bumi) masih terjadi dalam jangka waktu yang selisihnya masih terhitung pada hari yang sama, yang lamanya tidak lebih dari 12 jam. Jadi, langsung tidak timbul soal perbezaan hari (24 jam) kerana titik yang paling jauh sekalipun hanya mengalami selang masa selama 12 jam sahaja.

Kedua, hadis tersebut telah menetapkan awal puasa Ramadhan dan Eidul Fitri berdasarkan ru’yatul hilal, bukan berdasarkan kaedah hisab. Pada hadis tersebut tak terdapat sedikit pun dalalah (pemahaman) yang membolehkan kaedah hisab untuk menetapkan awal bulan Ramadhan dan hari raya Eidul Fitri. Manakala perkataan Nabi yang berbunyi, “…jika mendung/awan menghalang (pandangan) kalian, maka perkirakanlah” maksudnya bukanlah perkiraan berdasarkan kaedah hisab, tetapi bermaksud menyempurnakan bilangan (bulan) Sya’ban atau Ramadhan kepada 30 hari, (bila hilal tidak kelihatan) [sila rujuk ‘SN92 Rukyah Dan Hisab – Matla’ Syariyyah Atau Matla’ Assabiyyah’ untuk kefahaman lanjut]. Jadi, adalah teramat keliru jika menggunakan hadis ini dan menetapkan tarikh Eidul Adha berdasarkan kaedah hisab.

Ketiga, Andaikata kita terima bahawa hadis tersebut juga berlaku untuk Eidul Adha dengan jalan Qiyas (padahal Qiyas tidak berlaku dalam hal ibadah yang bersifat tauqifiyah) maka hadis tersebut justeru akan bertentangan dengan hadis dari Husain Ibn Al-Harits Al-Jadali di atas, yang bersifat khusus untuk Eidul Adha dan manasik haji. Dalam hadis penetapan Ramadhan dan Eidul Fitri, Rasulullah memberi autoriti kepada mana-mana orang Islam di seluruh dunia untuk melihat hilal. Manakala dalam hadis penetapan Eidul Adha, Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam hanya memberikan autoriti kepada kaum Muslimin/Amir/wali Mekah untuk menetapkan ru’yah bagi bulan Zulhijjah dan untuk menetapkan waktu manasik haji khusus berdasarkan ru’yah penduduk Mekah (bukan ru’yah kaum Muslimin di negeri-negeri yang lain). Apabila terdapat nas khusus di dalam satu-satu perkara, maka nas yang bersifat khusus ini akan terpakai dan mesti diguna terlebih dahulu berbanding dengan nas yang bersifat am. Nas yang bersifat am pula tidak boleh digunakan bukan pada tempatnya sehingga menyalahi nas khusus yang telah sedia ada. Sesungguhnya hadis-hadis tidak akan bertentangan antara satu sama lain (kecuali dalam kes nasikh-mansuh), melainkan umat Islamlah yang (kerana kesalahfahaman mereka) menjadikannya bertentangan.

Berdasarkan penjelasan ini, atas dasar apakah lagi umat Islam ini berbeza pendapat di dalam menetapkan tarikh Hari Raya Haji? Bukankah yang sepatutnya dijadikan rujukan oleh umat Islam adalah nas, dan nas semata-mata? Ternyata, apabila nas diketepikan, maka berpecahlah umat Islam. Walaupun Rasulullah telah membuat ketetapan tentang hari Eidul Adha bagi seluruh kaum Muslimin, malangnya sebahagian besar kaum Muslimin hari ini telah mengikut ‘ketetapan’ yang dibuat oleh pemerintah negara masing-masing yang justeru bertentangan dengan apa yang Rasulullah telah tetapkan. Atas dasar wahyu, Rasulullah telah membuat ketetapan Eidul Adha dan telah menyatukan kaum Muslimin di seluruh dunia dengan ketetapan tersebut. Justeru atas dasar apakah ketetapan Eidul Adha yang dibuat oleh pemerintah sekarang? Atas dasar apakah pemerintah kaum Muslimin memecah-belah dan mencerai-beraikan kesatuan kita? Atas dasar apakah kaum Muslimin di seluruh dunia menyambut Eidul Adha pada hari yang berbeza-beza? Atas dasar apa lagi, jika bukan atas dasar assabiyyah dan wathaniyyah!!!? Atas dasar apa pula para ulama dan imam-imam yang ada hanya mengikut sahaja apa yang ditetapkan oleh pemerintah? Tidakkah mereka ini mengkaji nas dan mendengar apa yang Rasulullah tetapkan? Alasan apakah yang mereka akan berikan kepada Allah Azza wa Jalla di akhirat nanti atas perbuatan mereka yang menyalahi ketetapan RasulNya? Apakah kerana (alasan) menjaga ‘periuk nasi’ (di dunia) maka hal ini lebih penting bagi mereka, dari menjaga agama Allah atau dari menjaga diri mereka sendiri dari azab Allah (di akhirat)? Sesungguhnya mereka tidak akan ada alasan lagi di hadapan Allah kelak.

Sebahagian dari kaum Muslimin (sama ada yang jahil mahupun yang mengetahui akan nas-nas yang jelas tentang Eidul Adha), ada yang beranggapan bahawa kita wajib mengikut sahaja apa yang telah ditetapkan oleh pemerintah. Alasan mereka adalah kerana ini akan menjaga kesatuan umat Islam dan jika ia salah sekalipun, maka pemerintahlah yang akan menanggung dosa. Mereka melihat bahawa jika mana-mana individu Muslim atau gerakan Islam yang menyambut hari raya berlainan dari hari yang telah ditetapkan oleh pemerintah, maka golongan ini dikatakan memecahbelahkan kesatuan umat! Subhanallah! Betapa dangkalnya hujah ini! Tidakkah mereka sedar bahawa pemerintah yang telah menetapkan hari raya tanpa mengikut nas inilah yang merupakan pemecah kesatuan umat Islam? Tidakkah mereka sedar bahawa pemerintah inilah yang telah menyebabkan umat Islam menyambut hari raya yang tidak sama? Tidakkah mereka sedar bahawa kerana pemerintah inilah, umat Islam di seluruh dunia tidak bersatu, bukan sekadar tidak bersatu di dalam menyambut hari raya, malah tidak bersatu di dalam segala hal? Tidakkah mereka ini sedar bahawa mereka sendiri telah menyumbang kepada perpecahan umat Islam apabila mereka mentaati pemerintah yang tidak mentaati hukum Allah ini? Dan tidakkah mereka membaca ayat-ayat Allah bahawa setiap diri itu akan menanggung dosa di atas perbuatannya sendiri?

Mereka menuduh bahawa orang yang tidak berhari raya menurut ketetapan pemerintah sebagai pemecah kesatuan, tidakkah mereka ini sedar bahawa ‘kesatuan’ yang mereka maksudkan itu adalah ‘kesatuan jahiliyyah’? Ini kerana pemerintah hari ini hanya menyatukan umat Islam berdasarkan sempadan negara-bangsa (nation-state) semata-mata. Jadi, apakah mereka ingin menyahut seruan jahiliyyah (assabiyyah dan wathaniyyah) oleh pemerintah dan menyambut hari raya berdasarkan sempadan bangsa dan negara? Lalu seruan ini mereka namakan sebagai ‘penyatuan umat’? Maha Suci Allah! Apakah kesatuan jahiliyyah yang mereka serukan, bukannya kesatuan atas dasar La ilaha illallah, Muhammad Rasulullah yang tidak mengenal batas sempadan, warna kulit, keturunan dan sebagainya? Alangkah jauhnya mereka dari kebenaran! Ya benar, kita wajib taat kepada pemimpin, tetapi tidakkah mereka ini mendengar sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa,

“Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam (perkara) memaksiati Allah” [HR Ahmad dan Hakim].

Apakah ketetapan hari raya yang bertentangan dengan ketetapan wahyu ini bukan (perkara) memaksiati Allah? Jadi, siapakah pemecah belah umat yang sebenarnya? Apakah orang yang ingin mentaati Allah dan Rasul dikatakan pemecah belah umat, manakala pemerintah yang melanggar perintah Allah dan Rasul dianggap penjaga kesatuan umat?

Justeru, Hizbut Tahrir menyeru kepada umat Islam di Malaysia khususnya dan di dunia amnya untuk menarik pengajaran dari peristiwa ini, bahawa segala perpecahan yang berlaku ini adalah kerana tidak diterapkan hukum Islam di dalam kehidupan sama ada oleh individu, masyarakat mahupun negara. Demikianlah keadaan umat bila tidak kembali kepada hukum Allah. Demikianlah keadaan umat apabila tidak adanya seorang Khalifah yang memimpin mereka. Umat akan terus berpecah belah dalam berbagai hal, termasuklah dalam perkara menetapkan hari kebesaran bagi mereka sendiri. Hal ini tidak lain adalah kerana adanya batas sempadan negara-bangsa yang dicipta oleh penjajah kuffar yang dipertahankan oleh pemerintah hari ini. Jika keadaan ini terus berlangsung, bagaimana mungkin umat Islam akan mampu mewujudkan kerahmatan Islam yang telah dijanjikan Allah? Kerana itu, perpecahan ini wajib dihentikan. Caranya, umat Islam wajib bersungguh-sungguh, dengan segala daya dan upaya masing-masing, untuk berjuang ke arah penyatuan umat Islam sedunia dengan melantik seorang Khalifah yang akan menggabungkan semula keseluruhan negeri-negeri mereka dan menyatukan semula hari raya mereka. Hanya dengan cara ini sahajalah umat Islam akan kembali bersatu di dalam satu kesatuan yang utuh.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Marilah bersama-sama di dalam perjuangan menyatukan semula umat ini di bawah Daulah Khilafah. Ketahuilah oleh kalian bahawasanya perjuangan untuk menegakkan Khilafah ini sedang menghampiri kejayaannya. Penuhilah oleh kalian seruan kepada mendirikan semula Khilafah dengan bersama-sama barisan pemuda-pemuda kaum Muslimin di seluruh dunia yang pada ketika ini sedang bergerak aktif menyahut seruan Allah dan Rasul untuk menegakkan agamaNya. Pemuda-pemuda ini Insya Allah tidak akan berhenti dari seruan ini sehinggalah Allah menunaikan janjiNya kepada mereka. Seruan inilah yang akan mengakhiri segala perpecahan dan kehinaan yang membelenggu umat Islam pada ketika ini. Belenggu-belenggu jahiliyyah ini, Insya Allah, akan tertanggal satu demi satu dengan bergabungnya kalian ke dalam barisan pemuda yang berjuang menegakkan Khilafah ini. Sesungguhnya perjuangan ini memerlukan pengorbanan yang besar sebagaimana pengorbanan yang telah dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat di dalam perjuangan dakwah mereka sehingga tertegaknya Daulah Islam di Madinah. Namun, pengorbanan ini telah dijanjikan oleh Allah dengan syurgaNya yang seluas langit dan bumi dan demi Allah, sesungguhnya tidak ada balasan yang lebih baik dari balasan ini. Justeru, bersegeralah kepada kebaikan ini wahai kaum Muslimin.

Ya Allah, saksikanlah bahawa kami telah menyampaikan!