SN159 – ANTARA NEGARA KEBAJIKAN DAN KEWAJIBAN NEGARA
SN Keluaran 1 Februari 2008
[SN159] Sejak kebelakangan ini, isu negara kebajikan nampaknya menjadi topik hangat yang terus diperdebatkan. Ia bermula dengan kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai konsep ‘Negara Kebajikan’ tidak berapa lama dulu di mana menurut beliau, ia akan dimasukkan ke dalam manifesto PAS menjelang pilihan raya umum ke-12 nanti. Tuan Guru Abdul Hadi berjanji akan mengurangkan harga petrol dan rakyat miskin, terutama warga emas, akan diberi elaun sara hidup. Negara kebajikan dan negara keadilan untuk semua merupakan prinsip utama manifesto bersama PAS dan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) dalam pilihan raya akan datang. Antara yang akan diperjuangkan termasuklah gaji minimum, rawatan serta pendidikan percuma. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mesyuarat bulanan Jawatankuasa PAS Pusat, di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut [harakahdaily bertarikh 08/07/07]. Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa pula berkata, kos hidup rakyat meningkat kerana kenaikan harga minyak hasil falsafah BN iaitu ‘tak naik harga minyak kerajaan BN bankrap’. Berdasarkan program-program kebajikan yang dijalankan di Kelantan sekarang, konsep negara kebajikan dapat dilaksanakan di peringkat persekutuan sekiranya rakyat memberi peluang PAS mentadbir negara ini. Sebaliknya, pemerintahan ala profit sharing di bawah Barisan Nasional (BN) mengenakan caj kepada rakyat termasuk caj ubatan dan rawatan bersalin, manakala tol dan tarif elektrik dinaikkan [harakahdaily bertarikh 22/01/08].
Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengulas konsep negara kebajikan PAS berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemerintah dan ini dapat dilihat di mana Malaysia telah mempunyai ciri-ciri negara kebajikan [UM 25/01/08]. Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin pula menegaskan bahawa BN sememangnya telah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara kebajikan. “Hanya Malaysia satu-satunya negara di Asia mendahului negara-negara lain dalam menjadi sebuah negara kebajikan tanpa diisytiharkan” , katanya [UM 24/01/08]. Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menyifatkan manifesto PAS untuk mewujudkan sebuah ‘negara kebajikan’ hanyalah satu penipuan dan gimik politik menjelang pilihan raya. Manifesto seperti itu katanya, datang daripada pihak yang tidak memahami pentadbiran dan kerajaan. “Sekiranya PAS sanggup mewujudkan sebuah negara kebajikan dengan menanggung 100 peratus kebajikan rakyat di negara ini, saya yakin (jika PAS menang) sepenggal sahaja mereka menjadi kerajaan, nauzubillah negara ini akan menjadi bankrap” [UM 23/01/08].
Dari apa yang dilaporkan, nampaknya kedua-dua pihak berhajat untuk dikenali sebagai pemerintah sebuah kerajaan negara berkebajikan. Apakah kelebihan negara kebajikan ini sehingga masing-masing pihak berebut untuk mewujud dan mempertahankannya? Semoga penulisan Sautun Nahdhah kali ini dapat menjernihkan pemikiran dua golongan umat Islam yang sedang memperjuangkan ‘negara kebajikan’ ini dan seterusnya mempertautkan semula perasaan dan pemikiran mereka dan seluruh umat Islam yang lain agar kita sama-sama berjuang ke arah mewujudkan Negara Islam yang sebenar, bukannya Negara Islam yang di kahwin-campurkan dengan Negara Kapitalis mahupun Negara Sosialis.
Asal-usul Negara Kebajikan
Negara Kebajikan atau ‘welfare state’ bukanlah suatu yang baru. Konsep ini telah pun muncul di Barat sejak dua abad yang lepas dan sebenarnya di negara kufur Baratlah konsep welfare state ini lahir. Welfare state merupakan sistem negara yang membelanjakan pendapatan cukainya untuk mengambil peranan utama dalam memberikan jaminan sosial dan ekonomi kepada rakyat dengan pencen, perkhidmatan kesihatan percuma, gaji minimum dan sebagainya [Federal-Chambers Dictionary]. Konsep welfare state ini diasaskan kepada prinsip kesamarataan peluang, pengagihan kekayaan secara sama rata dan tanggungjawab ke atas mereka yang tercicir dalam mendapatkan jaminan kehidupan yang setara. Ciri asasnya adalah berteraskan jaminan sosial di mana bantuan diberikan kepada rakyat di waktu ia diperlukan seperti ketika usia tua, sakit dan ketika menganggur. Welfare state juga dikaitkan dengan penyediaan pendidikan, rawatan kesihatan dan perumahan secara percuma [Britannica Concise Encylopedia].
Istilah ‘welfare state’ (dalam bahasa Inggeris) dipercayai dicipta oleh Asa Briggs, seorang sejarawan terkenal Barat dan mula digunakan oleh Archbishop William Temple ketika Perang Dunia Kedua untuk membezakan Britain (yang sedang berperang) dengan Nazi Jerman, yang dikenali sebagai ‘warfare state’ (negara perang). Friedrich Hayek menegaskan bahawa istilah (welfare state) ini diambil dari perkataan Jerman lama wohlfahrtsstaat, yang digunakan oleh sejarawan abad ke-19 untuk menggambarkan kelainan/perbezaan yang baik dengan poliseistaat (‘police state’). Ia (konsep welfare state) ini telah dikembangkan oleh Otto Von Bismark, Canselor Jerman, pada tahun 1881. Bismark telah meletakkan asas negara kebajikan untuk menangkis perkembangan pesat Parti Sosialis Demokratik yang berjaya meraih kekuatan apabila Jerman menjadi sebuah negara industri. Gerakan Sosialis pada ketika itu memainkan isu jurang ketaksamaan antara yang kaya dan yang miskin, dan mula bertapak di Jerman walaupun kerap ditindas. Kebijakan politik Bismark berjaya mencantas pengaruh tersebut dan beliau mula memperkenalkan polisi kebajikan sosial [http://en.wikipedia.org/wiki/Welfare_state].
Sebagai pelaksanaan konsep welfare state ini, dari segi perundangan, Undang-undang 1881 telah mewujudkan insurans kemalangan waktu kerja yang diwajibkan terhadap majikan, diikuti dengan tiga lagi undang-undang risiko utama iaitu insurans wajib untuk sakit pada 1883, undang-undang kecenderungan kemalangan kerja pada 1884 dan skim pencen pada 1889. Setelah itu seluruh Eropah mencontohinya termasuklah Britain yang memperkenalkan undang-undang yang sama sejak 1906. Konsep ini berlanjutan apabila ancaman Sosialis meningkat dan pemikiran Karl Marx menjadi simbol negara Soviet Union pada tahun 1917. Ideologi Sosialis Marxisme telah memberi cabaran kepada idea Kapitalisme dengan mendedahkan isu penompokan harta dan jurang yang sangat ketara (akibat amalan Kapitalisme) antara golongan kelas atasan (bourgeoisie) berbanding kelas pekerja (proletariat). Meskipun terdapat banyak kecacatan dalam teori ekonomi Karl Marx, namun ideanya amat berpengaruh. Soviet Union, dengan berpegang kepada idea Marx, telah melancarkan kempen ideologi menentang Kapitalisme melalui Parti Komunisnya. Rentetan dari pengaruh kempen ini, maka tumbuhlah Parti Sosialis dan gerakan-gerakan buruh di seluruh Eropah termasuk Britain. Bagi menangkis serangan Sosialis dan dalam masa yang sama untuk menampal lompang Kapitalis, Undang-undang Kebajikan Sosial telah diperkenalkan di Britain, diikuti dengan Laporan Beveridge pada tahun 1942. Setelah itu, banyak lagi pembaharuan telah berlaku seperti munculnya Akta Butler 1944 yang memperbaharui polisi pendidikan dan komitmen jaminan ketenagakerjaan, Akta Elaun Keluarga 1945, Insurans Kebangsaan 1946 dan Akta Kesihatan Kebangsaan pada tahun 1948.
Pada pandangan Kapitalisme tulen, menurut pendekatan pasaran bebas (laissez faire) Adam Smith, kerajaan tidak sepatutnya campur tangan dalam urusan ekonomi rakyat, sesuai dengan istilah ‘pasaran bebas’. Kerajaan mesti membiarkan aktiviti penawaran dan permintaan beroperasi secara bebas. Di masa kebangkitannya, Sosialisme telah mengkritik Kapitalisme dan menyerang bahawa tidak mungkin sistem Kapitalis boleh dijalankan secara tulen lagi kerana wujudnya pelbagai kepincangan ekonomi dan sosial yang menyelimutinya. Serangan-serangan terhadap Kapitalisme ini boleh dilihat di dalam buku Lenin, Imperialism (1917) yang banyak menghentam amalan penjajahan sehingga akhirnya mereka berjaya menubuhkan Negara Sosialis melalui Revolusi Bolshevik. Pada 1948, Yugoslavia pula berjaya dikuasai puak Sosialis. Pada 1949, Komunis menang di China diikuti Fidel Castro pada 1959 di Cuba.
Setelah segala kepincangan Kapitalisme terbongkar dan pengaruh Sosialis semakin berkembang, kaum Kapitalis menjadi tidak senang duduk dan tidak ada pilihan lain melainkan terpaksa membuat solekan demi solekan bagi menyembunyikan wajah buruk mereka yang telah disedari di merata dunia. Sebagai pemerintahan zalim yang cukup rakus merampas kekayaan dunia, negara-negara Kapitalis perlu melakukan sesuatu untuk menjaga hegemoninya. Di sinilah mereka telah melakukan ‘tambal-sulam’ kepada sistem Kapitalis dengan konsep ‘keadilan sosial’ dan welfare state. Kerajaan telah masuk campur dalam urusan ekonomi rakyat. Mereka terpaksa membalut Kapitalisme dengan idea Sosialisme yang sedang berkembang untuk menguasai dunia ketika itu. Dasar campur tangan kerajaan Eropah ke dalam urusan ekonomi dipandang penting untuk mengurangi daya penarik Sosialisme. Jadi, lahirlah konsep welfare state yang secara amnya adalah gabungan dari Kapitalisme dan Sosialisme di mana undang-undang kebajikan dan konsep negara kebajikan amat diperlukan oleh golongan Kapitalis untuk menambat hati rakyat sekali gus menghalang gelombang kuat Sosialisme. Oleh itu, konsep negara kebajikan telah digunakan oleh negara-negara Kapitalis untuk mempertahankan sistem mereka dan menyelamatkannya daripada serangan Sosialisme. Inilah salah satu cara (dengan memperkenalkan konsep negara kebajikan) bagaimana kuffar Barat dengan ideologi Kapitalisme mereka itu dapat bertahan sejak abad ke-19 sehinggalah sekarang. Konsep ini nampaknya berjaya menyambung hayat Sistem Kapitalis yang dibawa oleh Barat.
Hakikat bahawa sistem Kapitalis (yang lahir dari akidah kufur) memang buruk, dengan sendirinya bermakna bahawa konsep welfare state yang diperkenalkannya juga adalah buruk. Pada hakikatnya, idea negara kebajikan hanya nampak molek di luar, namun ia dipenuhi dengan penipuan, penindasan dan ketidakadilan. Oleh kerana secara amnya sumber pendapatan terbesar negara Kapitalis adalah cukai, maka dari cukai inilah mereka melaksanakan konsep negara kebajikan. Jadi, sudah semestinyalah negara-negara welfare states ini mengenakan cukai yang cukup tinggi terhadap rakyat. Sebagai contoh, Jerman mengenakan cukai pendapatan melebihi 50%, Sweden 50% dan Finland 48% [OECD Online Statistics]. Sweden, sebagai contoh, telah dinobatkan sejak sekian lama sebagai negara kebajikan moden yang mana ia telah melaksanakan polisi ‘kebajikan’nya dalam aspek fiskal mahupun non-fiskal [Freeman(1997), Lachman(1995), Lindbeck(1994)]. Bagi menjalankan polisinya ini, Sweden telah melakukan campur tangan yang besar dalam urusan pasaran/ekonomi untuk menjamin kesamarataan pendapatan dan pengagihan kekayaan. Melaluinya, Sweden memberi jaminan kehidupan, penjagaan kesihatan dan pendidikan percuma dan dinobatkan sebagai antara yang terbaik di dunia [Nordhaus, 2002].
Oleh kerana beban untuk mengelola negara kebajikan memerlukan kos yang besar, maka apa yang dilakukan negara Kapitalis ini adalah mengenakan cukai yang tinggi kepada golongan pekerja. Sweden adalah antara negara yang telah mengenakan cukai tertinggi (50%) untuk memastikannya kekal sebagai sebuah negara kebajikan. Beban ini tentunya diletakkan ke atas bahu orang yang bekerja [Subhash Thakur, Sweden’s Welfare State, IMF, 2003]. Dengan kata lain, atas nama ‘kebajikan’, golongan pekerja (yang memerah keringat) terus-menerus ditindas, manakala yang mendapat manfaatnya adalah golongan penganggur, warga tua dan para pelajar. Itu pun mereka ini hanya ‘dijaga’ agar tidak memberontak dan mengganggu kestabilan negara. Dalam masa yang sama negara tidak mengalami sedikit pun kerugian malah dianggap ‘baik’ kerana telah menyediakan ‘kebajikan’ kepada rakyat. Rakyat yang jahil melihat kerajaan sebagai penyelamat. Hakikatnya kerajaan di sini hanyalah seperti Robin Hood, yang telah merompak harta orang kaya, lalu diberikan kepada orang miskin dan dalam masa yang sama ia muncul sebagai hero. Inilah realiti negara kebajikan. Setelah kerajaan membolot segala kekayaan negara, merampas segala hak umat dan mengenakan pelbagai bentuk cukai yang tinggi kepada rakyat, mereka (kerajaan) kemudian mengembalikan sedikit ‘harta rampasan’ ini kepada rakyat dan memanggilnya dengan nama ‘kebajikan’.
Sebagai seorang Muslim, kita perlu faham bahawa konsep negara kebajikan ini hanyalah ‘mekap’ pemerintahan Kapitalis yang cuba menyembunyikan wajah hodoh mereka bagi memikat hati rakyat. Konsep ini muncul kesan dari kezaliman penerapan ideologi Kapitalis yang secara tabi’inya senantiasa menindas golongan bawahan dan telah melahirkan banyak penderitaan, kemiskinan dan kerosakan kepada masyarakat. Kapitalis hanya memperkenalkan konsep ini untuk membersihkan segala kekotoran yang telah dihasilkannya selama ini dan untuk mencuci tangan mereka dari segala kezaliman yang telah mereka kerjakan. Mata rakyat dikelabui dengan pemberian ‘kebajikan’ yang sedikit, setelah (sebenarnya) banyak kekayaan negara, wang rakyat (cukai) serta peluh dan keringat rakyat habis dikikis oleh sang pemerintah Kapitalis. Mereka lalu memberitahu rakyat, lihat! Kami telah menjaga kebajikan kamu semua dan kamu perlu berterima kasih kepada kami kerananya! Inilah hakikat yang boleh dilihat dalam pemerintahan/negara Kapitalis hari ini, termasuklah negara-negara umat Islam yang rata-ratanya adalah pengamal Ideologi Kapitalisme dengan Malaysia tidak terkecuali.
Antara Kebajikan Dan Kewajiban
Wahai kaum Muslimin! Kenapakah konsep negara kebajikan yang berasal dari kuffar Barat ini yang ingin dijadikan model dan rebutan? Bagi golongan kuffar, sudah semestinyalah mereka akan menerapkan apa jua konsep berdasarkan kerendahan dan logika akal mereka semata-mata kerana mereka hidup bukan mengikut peraturan Allah, tetapi akallah yang mereka jadikan sebagai ‘sumber hukum’. Persoalannya, apakah kita sebagai umat Islam juga ingin berhukum dengan akal walhal wahyu telah sempurna Allah turunkan? Apakah di dalam Islam ini tidak ada konsep bernegaranya sendiri sehingga kita perlu mencedok acuan dari Barat kuffar? Apakah agama Allah ini tidak mengatur dan merincikan konsep Negara Islam sehingga konsep Negara Kebajikan perlu dijadikan model? Bukankah Allah telah menyempurnakan agamaNya sehingga tidak ada satu perkara pun, apatah lagi tentang kenegaraan, yang tertinggal dari Islam? Sesungguhnya Maha Suci Allah yang telah menyempurnakan agama Islam dengan mengutus RasulNya yang telah mengajar kita segala-galanya dengan selengkapnya, termasuklah soal kenegaraan dan pemerintahan. Sebagai Muslim, kita semua tahu bahawa Rasulullah dan Khulafa’ Rasyidin telah pun memperkenal dan mengajarkan kepada kita apakah bentuk dan konsep sesebuah negara yang wajib dimiliki, diperjuang dan dipertahankan oleh umat Islam. Daulah Khilafah – inilah satu-satunya bentuk negara yang diwajibkan ke atas kita semua di mana negara (Khilafah) ini telah pun disebut oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam dan ia merupakan kewajiban bagi setiap umat Islam untuk mendirikannya. Sabda baginda,
“Dahulu Bani Israel diurus oleh para nabi. Bila wafat seorang nabi diganti dengan nabi yang lain. Sesungguhnya tidak ada lagi nabi sesudahku, akan tetapi akan ada para Khalifah (yang akan menguruskan umat Islam) dan jumlahnya banyak...” [HR Muslim].
Oleh itu, adalah amat naif dan menyedihkan sekali jika umat Islam hari ini terkeliru dengan model negara kebajikan yang dimunculkan Barat, yang seolah-olah menjadi suatu yang suci pula untuk diambil. Walhal Khulafa’ Rasyidin yang mulia, yang telah memerintah Negara Khilafah, merekalah yang sepatutnya kita jadikan model, bukannya Barat dan konsep negara kebajikannya. Tambahan pula, model Daulah Khilafah ini telah pun dipertahankan oleh umat Islam selama lebih 13 abad dan model inilah (Khilafah) yang telah menjaga bukan sahaja kebajikan rakyat, malah membawa kemuliaan dan kemenangan kepada umat Islam di seluruh dunia. Dengan itu, umat Islam tidaklah sepatutnya menjadikan konsep negara kebajikan kelahiran Barat ini sebagai agenda perjuangan mereka atas apa alasan sekalipun.
Hendaknya kaum Muslimin tidaklah menjadikan perjuangan untuk menegakkan hukum Islam atau Negara Islam dibalut dengan konsep welfare state ala Barat ini agar kita tidak terjerumus dalam mencampur adukkan antara hak dengan batil. Sedarlah wahai saudaraku semua bahawa perjuangan untuk menegakkan Negara Islam (Daulah Khilafah) merupakan perjuangan yang suci lagi mulia untuk menanamkan kefahaman kepada umat Islam bahawa mendirikan (Negara Islam) adalah wajib, sebagaimana umat Islam mesti memahami bahawa solat itu wajib didirikan, dan seterusnya kita mesti mengajak seluruh umat Islam untuk bersama-sama berjuang merealisasikannya. Thariqah (metodologi) untuk menegakkan Negara Islam ini pula wajiblah mengikut dan tidak boleh terpesong sedikit pun dari thariqah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah di dalam menegakkan Daulah Islam di Madinah. Begitu jugalah dengan (model) negara yang akan didirikan nanti; ia wajib mengikuti model yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah, bukannya sebagaimana model negara kebajikan yang didirikan oleh kuffar Barat. Apakah wajar bagi kita untuk mengikut Barat dalam cara menegakkan negara atau model negara, walhal Rasulullah dan para Khulafa’ Rasyidin telah pun menunjukkannya dengan jelas kepada kita?
Mungkin ada yang berpendapat bahawa kita boleh mengambil apa sahaja yang dibawa oleh Barat asalkan tidak bertentangan dengan Islam. Malah tidak kurang juga yang berpendapat bahawa apa yang dibawa oleh Barat itu, termasuklah konsep negara kebajikan, adalah berasal dari Islam. Di sini kami perlu membetulkan kefahaman yang sudah teramat keliru ini. Memang benar kita boleh mengambil sesuatu dari Barat, tetapi ia hanya terbatas kepada perkara madaniyyah yang bersifat mubah sahaja. Haram sama-sekali bagi umat Islam mengambil hadharah Barat atau apa jua undang-undang atau sistem yang berasal dari Barat [sila rujuk SN149 bertajuk “Tidak Ada Yang Tinggal Pada Islam Kecuali Nama” untuk kefahaman lanjut]. Perkara-perkara madaniyyah (teknologi kebendaan) seperti kereta, komputer, telefon bimbit dan sebagainya memanglah boleh diambil dari Barat atau dari mana-mana negara kafir sekalipun, namun, bagi perkara yang termasuk dalam hadharah adalah haram bagi umat Islam untuk mengambilnya. Konsep negara kebajikan dan apa jua yang dikandung konsep ini adalah berasal dari hadharah Barat. Konsep ini lahir dari akidah sekular Barat yang memisahkan agama dengan kehidupan (faslu deen ‘anil hayah) di mana setelah mereka pisahkan kedua ini, mereka telah menentukan sistem dan undang-undang berdasarkan akal mereka semata-mata, tanpa ada campur tangan dari agama. Walhal bagi kita umat Islam, agama dan kehidupan tidak boleh dipisahkan. Kehidupan mesti ditentukan oleh agama, bukannya ditentukan oleh kedaifan akal manusia. Sistem kenegaraan dan undang-undang mestilah berdasarkan wahyu, tidak boleh ditetapkan atau diterapkan berdasarkan akal. Semua hukum Allah mesti diterapkan dan kita menerapkannya kerana ia adalah wajib (berdasarkan akidah) bukannya kerana akal kita menyatakan ia baik (untuk diterapkan).
Sesungguhnya Islam telah menentukan dan mengatur konsep negara dengan selengkap-lengkapnya. Berdasarkan apa yang ditunjukkan oleh nas-nas Hadis yang jelas dan juga Ijmak sahabat, Negara Khilafah (berdasarkan model Khulafa’ Rasyidin) mempunyai 13 struktur yang tersendiri dan ia bukanlah sebuah ‘negara kebajikan’ sebagaimana yang dibawa oleh kuffar Barat. Negara kebajikan adalah model negara Kapitalis yang memerintah berdasarkan hukum akal dan langsung tidak sama dengan Negara Khilafah yang memerintah berdasarkan hukum wahyu. ‘Kebajikan’ hanyalah salah satu aspek yang wajib dijaga di bawah Negara, tetapi ia bukanlah merupakan bentuk/model negara itu sendiri. Negara Kebajikan ciptaan Kapitalis ini hanyalah konsep yang digula-gulakan kepada rakyat untuk semata-mata menutup kezaliman pemerintah Kapitalis dan agar rakyat terus menyokongnya, sedangkan di dalam Islam, kebajikan rakyat dijaga oleh pemerintah kerana ia adalah kewajiban yang Allah pikulkan ke atas bahu mereka, bukan (diterapkan) kerana ingin mendapat sokongan rakyat. Berdasarkan hadis
“Imam (pemimpin) itu pemelihara, dan ia bertanggungjawab ke atas orang yang dipeliharanya (rakyat)”
[HR Mutaffaq alaih],
adalah jelas bahawa kebajikan rakyat terletak di bahu negara/pemimpin, iaitu di bawah state’s welfare (kebajikan negara) dan kewajiban ini bukanlah timbul dari (atau perlu dilaksana berdasarkan) konsep welfare state ciptaan Kapitalis Barat.
Wahai kaum Muslimin! Memang benar dan pasti bahawa sistem pemerintahan Islam menjaga kebajikan rakyat, namun kita perlu ingat bahawa tugas Negara Islam bukanlah semata-mata untuk menjaga kebajikan, malah jauh lebih dari itu. Tugas/taklif wajib dilaksanakan bila ada perintah Allah di dalamnya, tidak kiralah sama ada rakyat menyokong atau tidak, suka atau tidak, namun selama mana ia adalah hukum Allah, maka ia wajib dilaksanakan. Inilah tugas pemerintah. Memungut jizyah dari orang kafir zimmi, atau memungut kharaj dari tanah kharajiyyah (tidak kira dimiliki Muslim atau kafir), walaupun ia dilihat sebagai tidak memberi kebajikan (kepada rakyat), namun ia tetap wajib dilakukan. Pemerintahan Islam bukan soal kebajikan semata-mata, ia adalah soal menunaikan perintah Allah dan adalah merupakan satu dosa besar jika ditinggalkan. Di antara tugas penting negara yang kelihatan tidak memberi kebajikan kepada rakyat, tetapi wajib dan tetap wajib dilakukan adalah jihad (perang melawan kafir musuh Allah). Walaupun ‘jihad’ sudah pasti tidak akan dimasukkan ke dalam manifesto pilihan raya (kerana ia boleh menyebabkan pengundi lari sejauh-jauhnya), namun ia adalah hukum Allah yang begitu tinggi dan mulia, yang walaupun manusia melihat tidak ada kebajikan di dalamnya, namun ia adalah WAJIB dan tetap wajib sehinggalah ke hari kiamat…. [bersambung – Bagaimana Daulah Khilafah menjaga kebajikan rakyatnya].