SN171 – SURUHANJAYA PELANTIKAN HAKIM – Apakah Kita Memerlukannya?

PDF

SN Keluaran 25 April 2008

                          Logo SN

[SN171] Isu penubuhan suruhanjaya untuk melantik hakim mula dicetuskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim baru-baru ini yang berharap pelantikan pengganti Ketua Hakim Negara, Datuk Abdul Hamid Mohamad yang akan tamat tempohnya Oktober ini dilakukan melalui sebuah suruhanjaya. Beliau berkata, langkah tersebut amat mustahak untuk memulihkan keyakinan rakyat kepada sistem kehakiman negara apabila pelantikan hakim dapat dilakukan melalui satu proses yang lebih telus, ketat dan meyakinkan. Katanya, ini kerana apabila adanya suruhanjaya, seseorang calon itu akan dikaji dan disiasat kebolehan, rekod serta moralnya oleh suruhanjaya yang dianggotai wakil daripada pelbagai bidang yang terlibat dalam undang-undang. “Dalam tempoh masa agak singkat ini, saya akan berusaha keras supaya suruhanjaya dapat ditubuhkan bermula dengan pelantikan Ketua Hakim Negara sebelum diikuti dengan yang lain-lain” , katanya [UM 30/03/08]. Semasa berucap pada makan malam Majlis Peguam Malaysia beberapa hari lepas, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan cadangan penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman untuk mengenal pasti dan mencadangkan calon-calon hakim kepada Perdana Menteri. Beliau berkata, suruhanjaya tersebut akan membantu menilai dan menapis calon-calon secara sistematik dan berwibawa berasaskan kepada kriteria yang ditakrifkan dengan jelas. Semakan itu juga perlu memandangkan wujudnya permintaan dan keperluan mendesak untuk meletakkan jawatan kehakiman pada tangga yang sepatutnya bagi memastikan ia mampu menarik serta mengekalkan bakat yang terbaik, tegas Abdullah [UM18/04/08].

Dalam majlis tersebut, Abdullah juga bersetuju membuat bayaran ex-gratia sebagai penghargaan kepada enam hakim yang terbabit dalam krisis badan kehakiman pada 1988. Beliau menjelaskan bahawa bayaran ex-gratia itu akan diberikan kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd. Salleh Abas dan bekas Hakim Mahkamah Agung, Datuk George Seah dan Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh yang dipecat daripada jawatan, 20 tahun lalu. Bayaran ex-gratia itu juga katanya, akan dibayar kepada Tan Sri Eusoffe Abdoolcader, Tan Sri Azmi Kamaruddin dan Tan Sri Wan Hamzah Mohamed Salleh. “Kerajaan mahu mengiktiraf sumbangan enam hakim ini kepada negara, komitmen mereka menegakkan keadilan dan mengakui penderitaan serta kesengsaraan yang mereka lalui. Walaupun pengiktirafan ini terlewat 20 tahun, ia dibuat dengan penuh harapan bahawa kesengsaraan dan kehilangan itu masih boleh sembuh”. Abdullah berkata, beliau tidak mengandaikan bayaran yang diberikan kerajaan itu setimpal dengan sumbangan para hakim tersebut tetapi berharap ia diterima sebagai tanda membetulkan kesilapan yang berlaku. “Proses untuk membawa perubahan ini akan bermula sekarang dan saya memberi jaminan kepada anda semua di sini hari ini, bahawa rundingan mengenai fungsi dan struktur suruhanjaya itu akan membabitkan pihak berkepentingan yang utama. Semua pihak akan mempunyai peluang untuk menyediakan input mereka kepada kerajaan” , jelasnya [UM18/04/08].

Dalam responsnya, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail memberi jaminan rangka tindakan Suruhanjaya Pelantikan kehakiman akan dikaji daripada segenap aspek supaya pelaksanaannya kelak benar-benar menepati fungsinya untuk mengenal pasti calon hakim yang berwibawa dan berintegriti tinggi. Beliau yang gembira dengan pengumuman Perdana Menteri itu berkata, sudah tiba masanya cadangan tersebut dilaksanakan [UM 19/04/08]. Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut menyambut baik langkah kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman untuk mengenal pasti dan mencadangkan calon-calon hakim kepada Perdana Menteri. Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu wajar berikutan badan kehakiman negara sejak kebelakangan ini berhadapan dengan pelbagai masalah. Menurut beliau, masalah itu menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap institusi perundangan negara. ”Jika kerajaan melakukan sesuatu yang baik, kami sebagai pembangkang sentiasa menyokong langkah-langkah itu” , ujar Anwar [UM 19/04/08].

Sekilas Fakta Krisis Kehakiman 1988

Antara isu utama yang menjadi ‘penghubung’ kepada cadangan penubuhan suruhanjaya pelantikan hakim ini adalah isu yang pernah menggemparkan tanah air yang berlaku pada tahun 1987 dan 1988. 1987 menjadi sejarah hitam bagi UMNO apabila terjadi pertandingan jawatan presiden UMNO antara Dr. Mahathir (penyandang) dan Tengku Razaleigh (pencabar). Dr. Mahathir mencapai kemenangan tipis dengan 761 undi berbanding 718 undi untuk Razaleigh (majoriti 43 undi). Penyokong-penyokong Razaleigh (yang dikenali sebagai ‘UMNO 11’) mengemukakan tuntutan di Mahkamah Tinggi untuk memperoleh perintah mahkamah bagi mengisytiharkan bahawa keputusan pemilihan tidak sah, seterusnya dapat diadakan pemilihan yang baru. Mereka mendakwa bahawa 78 orang wakil telah dipilih daripada cawangan-cawangan yang tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan dan oleh itu, tidak layak mengundi. Selepas beberapa siri perbicaraan, Hakim Harun Hashim telah memutuskan bahawa di bawah undang-undang, beliau tiada pilihan melainkan mengisytiharkan UMNO sebagai pertubuhan yang tidak sah kerana wujudnya beberapa cawangan yang tidak didaftarkan dan dianggap tidak sah di bawah Akta Pertubuhan 1966. Perpecahan besar UMNO ‘secara rasminya’ bermula selepas keputusan ini di mana Dr. Mahathir telah mengumumkan penubuhan ‘UMNO Baru’, menggantikan ‘UMNO lama’ yang telah diharamkan, manakala Tengku Razaleigh pula telah menubuhkan parti baru yang diberi nama ‘Semangat 46’.

Menurut salah seorang ahli ‘UMNO 11’, Abdul Rahim Abdul Rahman, keputusan hakim pada masa itu memeranjatkan mereka. Ini kerana UMNO 11 bukan bertujuan hendak mengharamkan UMNO tetapi hanya mahukan supaya keputusan pemilihan dianggap tidak sah dan pemilihan diadakan semula. Abdul Rahim berkata mereka mengambil keputusan untuk membawa kes tersebut ke Mahkamah Agung kerana rayuan mereka supaya pemilihan diadakan semula tidak dilayan. Mereka sebaliknya dituduh oleh Dr. Mahathir dan Setiausaha Agung UMNO pada masa itu Tan Sri Sanusi Junid sebagai pengkhianat yang bertanggungjawab mengharamkan parti. Menurut Datuk George Seah, Tun Salleh Abas ketika itu sudah pun membuat keputusan untuk melantik sembilan orang panel hakim untuk mendengar rayuan UMNO 11. Arahan ini diberi pada 24 Mei 1988 tetapi pada 27 Mei 1988, Tun Salleh Abas berkata beliau telah digantung dari tugasnya bermula pada 26 Mei 1988. Antara arahan Tun Salleh Abas yang diberikan kepada Pembantu Kanan Pendaftar dan disaksikan bersama Datuk George Seah dan Tan Sri Hashim Yeop Sani adalah untuk mendengar kembali kes UMNO 11 pada 13 Jun 1988. Dengan penggantungan tugas beliau sebagai Ketua Hakim Negara, kes rayuan UMNO 11 tidak dibicarakan oleh mahkamah yang dijadualkan pada 13 Jun 1988. [http://ms.wikipedia.org/wiki/UMNO_11]

Tun Salleh Abas kemudian dihadapkan ke tribunal yang ditubuhkan oleh Dr. Mahathir, atas tuduhan salah laku kerana sepucuk surat aduannya kepada Yang di-Pertuan Agong. Tun Salleh Abas telah mengambil tindakan guaman dalam Mahkamah Tinggi untuk mencabar Tribunal tetapi telah ditolak. Bagaimanapun, lima orang hakim Mahkamah Agung iaitu Tan Sri Azmi Kamaruddin, Tan Sri Eusoffe Abdoolcader, Tan Sri Wan Hamzah Mohamed Salleh, Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh dan Datuk George Seah kemudiannya bersidang dan mengumumkan bahawa Tribunal itu tidak sah dari segi perlembagaan. Sebagai tindak-balas, kerajaan telah menggantung perkhidmatan kelima-lima hakim tersebut dan tribunal kemudiannya memutuskan Tun Salleh Abas dan dua daripada lima hakim tersebut bersalah iaitu Tan Sri George Seah dan Tan Sri Wan Sulaiman Pawanteh. Ketiga-tiga mereka kemudiannya dipecat.

Autoriti Melantik Hakim

Dalam sistem sekarang yang merupakan hasil rekaan Lord Reid, Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim-Hakim Besar Mahkamah Tinggi dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja [Perkara 122B (1) Perlembagaan]. Dan sebelum memberikan nasihatnya di bawah Fasal (1) tentang pelantikan seseorang hakim, selain Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Perdana Menteri hendaklah berunding dengan Ketua Hakim Negara [Perkara 122B (2)]. Inilah kedudukan sekarang berhubung pelantikan hakim-hakim. Sebelum kalah teruk dalam pilihan raya baru-baru ini, terdapat satu kes yang menggugat badan kehakiman yang didedahkan oleh pembangkang iaitu kes VK Lingam. Bermula dari sini, institusi kehakiman yang sudah sedia retak menjadi bertambah parah. Semua pihak tampil dan mula mempertikaikan kewibawaan hakim dan sistem kehakiman yang ada. Sebelum itu pun, badan kehakiman telah lama dicemari dengan skandal rasuah, penyelewengan kuasa, tiada kredibiliti, jawatan tertinggi yang sering dirujuk sebagai ‘jawatan politik’ dan pelbagai kerosakan lainnya. Namun, oleh sebab pembesar politik dari kalangan eksekutif senantiasa masuk campur dalam urusan ini, maka tidak ramai yang berani bersuara dan kebanyakan skandal (jika berlaku) selalunya dapat ‘ditutup’ dengan baik. Namun, pendirian kerajaan berhubung pelantikan hakim-hakim ini terpaksa ‘direformasi’ setelah mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya lepas, dengan mencadangkan proses pelantikan hakim diubah, untuk memulih imej badan tersebut.

Hakim atau peguam yang menjadi pengamal undang-undang sekarang adalah terdiri mereka yang mendapat pendidikan sekular. Jika ada yang mendapat pendidikan Islam sekalipun, mereka tetap belajar ‘undang-undang Islam Malaysia’, bukannya undang-undang Islam yang sebenar. Contoh yang mudah adalah jika mereka belajar bab hukuman bagi pencuri, mereka akan belajar bahawa hukumannya adalah penjara (undang-undang Malaysia) dan bukannya potong tangan. Begitu juga jika mereka belajar bab hukuman bagi penzina, mereka akan diajar bahawa hukuman maksimum adalah 3 tahun penjara, RM5000 denda atau 6 kali sebatan (undang-undang ‘Islam’ Malaysia), bukannya 100 kali sebatan (undang-undang Islam sebenar). Pendek kata, mereka belajar untuk mengamalkan hukum (undang-undang) yang dibuat oleh manusia, bukannya untuk mengamalkan undang-undang yang diturunkan oleh Allah. Hakim atau peguam yang ada sekarang sudah sebati dengan undang-undang kufur-sekular yang ada dan mereka biasanya tidak dapat berfikir luar dari tempurung pemikiran yang telah dibentuk oleh penjajah. Pemikiran mereka hanya sebatas mengamalkan undang-undang kufur yang telah ditinggalkan oleh kuffar penjajah. Begitu jugalah halnya berkenaan undang-undang pelantikan hakim. Baik hakim, peguam, ahli politik mahupun ulama yang ada, mereka langsung tidak dapat dan tidak mahu berfikir di luar kotak (out of the box) bahawa di luar sana terdapat satu undang-undang ciptaan Allah yang wajib kita amalkan dan kita wajib menggantikan undang-undang kufur tinggalan penjajah ini dengan undang-undang yang datangnya dari Allah.

Sebagai seorang Muslim, kita wajib sedar bahawa sesungguhnya sistem kehakiman yang ada sekarang adalah sistem kufur. Ia adalah sistem yang diwarisi dari British dan ia bertentangan seratus lapan puluh darjah dengan Islam. Sistem kehakiman kufur yang diamalkan di Malaysia sejak ratusan tahun lamanya ini sewajarnyalah mempunyai 1001 jenis keburukan dan kejahatan di dalamnya. Sebagai seorang Muslim juga, kita wajib sedar bahawa dalam sistem pemerintahan Islam, seorang hakim itu dilantik oleh ketua negara, yakni Khalifah. Semasa pemerintahannya, Rasulullah merupakan seorang Ketua Negara yang memikul secara langsung urusan kehakiman dan baginda juga melantik orang lain sebagai hakim. Selain dirinya sendiri yang merupakan seorang hakim/qadhi, Rasulullah juga pernah melantik Ali bin Abi Thalib sebagai qadhi di Yaman. Rasulullah juga melantik Muaz bin Jabal sebagai qadhi di daerah Janad dan juga Yaman. Rasulullah juga pernah melantik Amr bin al-Ash untuk mengurusi urusan kehakiman. Terdapat banyak sekali dalil yang menunjukkan bahawa semua pelantikan hakim ini dijalankan oleh Rasulullah sebagai Ketua Negara. Perbuatan baginda ini menunjukkan bahawa ‘hak dan kuasa’ untuk melantik hakim berada di tangan Ketua Negara, tidak pada yang lain. Tidak ada apa yang dinamakan sebagai ‘badan bebas’ (seperti suruhanjaya atau seumpamanya) yang berkuasa atau yang diberi kuasa untuk melantik hakim/qadhi.

Begitu jugalah apa yang diteruskan oleh Khulafa’ Rasyidin di mana mereka (Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali) yang memikul secara langsung urusan kehakiman dan dalam masa yang sama melantik hakim-hakim di beberapa wilayah Islam yang lain. Di dalam Islam terdapat 3 jenis hakim/qadhi yang kesemuanya wajib dilantik oleh Ketua Negara iaitu Qadhi al-Muhtasib, Qadhi al-Khusumat dan Qadhi Mazhalim. Tidak ditemukan langsung khilaf di kalangan mazhab bahawa kuasa pelantikan qadhi berada di tangan orang lain. Mereka sepakat bahawa hanya di tangan Khalifahlah terletaknya ‘kuasa’ untuk melantik semua qadhi. Justeru, apakah kita sebagai Muslim boleh bersetuju dengan adanya sebuah ‘badan bebas’ untuk melantik hakim-hakim, walhal perkara ini jelas-jelas bercanggah dengan apa yang diajar oleh Rasulullah kepada kita dan berbeza sama sekali dari apa yang ditunjukkan oleh Khulafa’ Rasyidun dan pendapat para ulama?

Selain pelantikan, Islam juga pastinya turut merangkumi hukum berkenaan pemecatan hakim. Di dalam Islam, Qadhi Mazalim adalah orang yang bertanggungjawab menyelesaikan sebarang bentuk persengketaan antara rakyat dan pemerintah. Qadhi Mazhalim adalah orang yang bertanggungjawab menghilangkan segala bentuk kezaliman pemerintah ke atas rakyatnya. Dengan kata lain, Qadhi Mazhalim berkuasa untuk memecat Khalifah dan mana-mana pegawai negara yang melakukan kezaliman. Dalam pada itu, sebagaimana yang telah dijelaskan, kuasa melantik qadhi/hakim, termasuklah Qadhi Mazhalim adalah terletak pada Khalifah dan seiring dengan kuasa melantik ini, Khalifah juga adalah orang yang berkuasa untuk memecat mana-mana hakim yang telah dilantiknya. Walaupun Khalifah berkuasa memecat Qadhi Mazhalim, akan tetapi terdapat satu keadaan di mana haram bagi Khalifah melakukan pemecatan tersebut. Keadaan ini berlaku di dalam situasi di mana apabila terdapat kes yang diajukan berhubung kezaliman yang dilakukan oleh Khalifah atau para wazir (pembantu Khalifah) atau oleh Qadhi Qudhat (Ketua Qadhi – yang diberi kuasa oleh Khalifah melantik dan memecat Qadhi Mazhalim), maksudnya di dalam keadaan di mana Khalifah (atau wazir atau Qadhi Qudhat) sedang dibicarakan kerana suatu kezaliman, maka Khalifah (atau Qadhi Qudhat) tidak boleh memecat Qadhi Mazhalim yang sedang membicarakan kes tersebut.

Dalam keadaan ini, kaedah syara’ al-wasilah ilal haram haram (sarana yang menghantarkan kepada yang haram adalah haram) adalah terpakai. Ini adalah kerana, Qadhi Mazhalim tersebut sedang menjalankan suatu yang wajib dilakukannya, di mana adalah haram bagi Khalifah ‘menghalangnya’ dari menyempurnakan kewajipan tersebut. Jadi, jika Khalifah memecatnya di kala ini, maka hukumnya adalah haram berdasarkan kaedah tersebut. Inilah keindahan dan kesempurnaan Islam di dalam menyelesaikan masalah di mana jika hukum Allah ini diterapkan dalam pemerintahan, maka pasti krisis kehakiman sebagaimana yang wujud pada tahun 1988 dahulu dapat diselesaikan dengan baik.

Cara Lantik Berubah, Undang-Undang Tetap Kufur

Suruhanjaya untuk melantik hakim ini dikatakan telah lama dicadangkan, lebih dari 10 tahun yang lalu. Mengikut bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Shaik Daud Mohd. Ismail, antara tokoh yang tidak pernah berhenti memperjuangkan penubuhan suruhanjaya, biarpun pelbagai alasan diajukan kepada beliau oleh mereka yang menyanggah cadangan tersebut, bagi beliau, institusi kehakiman tidak boleh menunggu lebih lama untuk memulihkan imejnya serta meningkatkan integriti para hakimnya dan kesemuanya itu boleh dilaksanakan menerusi penubuhan sebuah suruhanjaya. Katanya lagi, “..selepas merdeka, prosedur kita mencontohi amalan di Britain..” . Pendapat yang hampir sama dikemukakan oleh Peguam Amer Hamzah Arshad yang berkata, Majlis Peguam sentiasa melobi penubuhan suruhanjaya seumpama itu kerana pelantikan hakim adalah satu perkara yang penting untuk hanya diputuskan oleh individu tertentu sahaja. “Suruhanjaya ini menjadikan proses pelantikan hakim lebih telus dan membabitkan calon yang lebih layak serta kurang kontroversi” , katanya [UM 31/03/08].

Dalam pada ramai pihak, termasuklah pembangkang yang menyambut baik cadangan PM ini, satu perkara yang seolah-olah langsung tidak dipedulikan oleh ramai pihak adalah ‘kedudukan hukum (undang-undang)’ yang ada di Malaysia yang sebenarnya langsung tidak berubah. Mereka seolah-olah tidak sedar bahawa walaupun undang-undang ‘pelantikan hakim’ ingin diubah, tetapi hukum (undang-undang) yang sedia ada yang diguna pakai sekarang sebenarnya tetap sama (yakni) tetap undang-undang kufur. Apa guna adanya seorang atau berpuluh-puluh orang hakim yang hebat yang bakal dilantik oleh suruhanjaya nanti, namun mereka tetap menghukum orang yang mencuri dengan dipenjarakan, bukan dipotong tangannya. Apakah kebaikannya jika beratus-ratus orang hakim yang kononnya dilantik dengan telus dan adil di bawah suruhanjaya, namun apabila mereka memutuskan hukum nanti, mereka tetap berpegang teguh dengan Perlembagaan Persekutuan ciptaan si kafir Lord Reid, mereka tetap memutuskan hukum berdasarkan akta-akta atau enakmen-enakmen yang digubal oleh tangan-tangan manusia? Apakah gunanya semua ini? Apakah gunanya melantik hakim di bawah sebuah suruhanjaya apabila Al-Quran dan Sunnah tetap diketepikan oleh mereka, malah langsung tidak dipandang sedikit pun oleh mereka di dalam memberikan penghakiman masing-masing di Mahkamah!? Lantiklah siapa yang paling hebat dan paling berwibawa sekalipun di kalangan hakim-hakim yang ada, namun apa gunanya apabila undang-undang yang dilaksanakan adalah tetap undang-undang kufur ciptaan manusia, bukannya undang-undang Islam ciptaan Allah.

Wahai kaum Muslimin! Cuba renungkan sebuah hadis riwayat at-Tirmizi, di mana semasa melantik dan mengutus Muaz bin Jabal ke Yaman sebagai qadhi, Rasulullah bersabda,

“ ‘Dengan apakah engkau akan memutuskan hukum?’ Muaz menjawab, ‘Aku akan memutuskan hukum dengan apa yang ada dalam kitabullah’. Rasul bertanya lagi, ‘Jika engkau tidak dapatinya dalam kitabullah?’. Muaz menjawab, ‘(Aku akan memutuskan hukum) dengan sunnah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam’. Rasul bertanya lagi, ‘Jika engkau tidak dapatinya dalam sunnah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam?’. Muaz menjawab, ‘Aku akan berijtihad sesuai pendapatku’. Rasul bersabda, ‘Segala puji bagi Allah yang telah memberi taufik kepada utusan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan apa yang diredhai oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam.”

Inilah tindakan (dalam berhukum) yang dipuji oleh Rasulullah, yakni menghukum segala sesuatu dengan Kitabullah, Sunnah dan juga ijtihad. Amat kejilah mereka yang berhukum dengan hukum kufur.

Justeru, apakah kita kagum dan terpesona dengan perubahan cara ‘melantik hakim’ ini walhal hakim tersebut tetap akan memutuskan hukum berdasarkan hukum kufur? Inilah hasilnya apabila umat Islam menilai sesuatu berdasarkan sentimen dan emosi semata-mata, bukannya menilai apa yang dilakukan menurut pandangan Allah. Umat Islam naik angin apabila badan kehakiman ditunggang oleh badan eksekutif, umat Islam melenting apabila badan kehakiman diperalatkan oleh parti pemerintah dan umat Islam benar-benar marah apabila melihat badan kehakiman diperkosa oleh badan eksekutif sedemikian rupa. Sudahnya, apabila badan eksekutif mengumumkan ‘sedikit perubahan’ terhadap cara pelantikan hakim-hakim, umat Islam terus menarik nafas lega dan terus bersetuju dengan apa yang dicadangkan, seolah-olah satu ‘sinar harapan’ yang baru yang selama ini dinanti-nantikan telah muncul untuk menyelamatkan keadaan. Di manakah pertimbangan umat Islam? Di manakah penyeru-penyeru keadilan? Di manakah pejuang-pejuang di jalan kebenaran? Apakah yang kalian fikirkan? Apakah dengan hanya satu lagi undang-undang sekular yang di cadang untuk menggantikan undang-undang sekular yang sedia ada menyebabkan kalian telah melihat bahawa ini sebagai cahaya Islam? Tidakkah kalian faham bahawa yang dikatakan keadilan itu adalah apabila kita berhukum dengan hukum Allah? Tidakkah kalian sedar bahawa yang dikatakan kebenaran itu adalah apabila kita berpandu dengan panduan Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam? Apakah yang dicadangkan oleh pemerintah sekular ini merupakan hukum yang turun dari langit hingga kalian boleh bersetuju dengannya? Sedarlah dan kembalilah kepada cara berfikir Islam!

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Jika hadis yang tersebut di atas masih belum membuka hati kalian, renungkanlah kata-kata yang lebih tegas, terang dan nyata dari lisan Nabi kalian bahawa

“Qadhi/Hakim itu terbahagi kepada tiga golongan, dua golongan berada dalam neraka dan segolongan lagi berada dalam syurga. Adapun (golongan) yang masuk syurga adalah (qadhi) yang mengetahui akan haq/kebenaran dan memutuskan dengannya (haq). Adapun (qadhi) yang mengetahui akan haq tetapi tidak menghukum dengannya, malah bertindak zalim dalam memutuskan hukum, maka dia ke neraka. Dan (qadhi) yang tidak mengetahui akan haq dan memutuskan hukum di antara manusia berdasarkan kejahilan, maka dia (juga) ke neraka” [HR Abu Daud].

Saudaraku, jawablah dengan hati yang penuh keimanan dan keikhlasan – apakah Suruhanjaya Pelantikan Hakim dengan undang-undang dan sistem kufur-sekular warisan British ini yang kita perlukan atau sebuah sistem dan undang-undang Islam warisan dari Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam dan Khulafa’ Rasyidun yang kita mahukan? Semoga jawapan kalian sama dengan jawapan kami dan kita sama-sama bergerak untuk merealisasikannya. ALLAHU AKBAR!