SN231 – HUKUM PEMBUNUHAN MENURUT ISLAM

SN Keluaran 24 September 2010
 
alt
 
HUKUM PEMBUNUHAN MENURUT ISLAM
 

 

[SN231] Kes jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain yang dipercayai dibunuh dengan cara yang kejam sememangnya menggemparkan negara. Walaupun kes ini bukanlah kes yang pertama seumpamanya, kerana sebelum ini negara telah pun digemparkan dengan kes Altantuya yang mayatnya diletupkan dengan bom khas yang tidak boleh didapati oleh orang awam. Kematian keempat-empat orang mangsa kali ini amatlah tragis, apatah lagi kerana kesemua mangsa telah dilaporkan hilang beberapa bulan sebelumnya tanpa ada siasatan dari pihak polis. Dalam masa yang hampir sama, negara juga dikejutkan dengan kematian seorang ustazah, Norliza Ishak dan anaknya, yang dipercayai dibunuh oleh jirannya sendiri. Sebelum ini, kita mendengar begitu banyak kes penderaan dan pembunuhan kejam ke atas kanak-kanak, bunuh bayi dan banyak lagi pembunuhan lainnya yang cukup mengerikan. Ini belum mengambil kira kes-kes jenayah lain lagi yang semakin hari semakin menakutkan.
Sesungguhnya tidak ada alasan yang lebih sesuai untuk dilontarkan terhadap kes pembunuhan yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini kecuali ia adalah natijah penyelewengan manusia dari hukum Allah. Manusia yang menjadi pembunuh tersebut sudah pastinya jenis orang yang tidak mempedulikan hukum Allah, manakala negara pula menerapkan sistem kufur di dalam pemerintahan dengan meninggalkan hukum Islam yang datangnya dari Allah. Inilah natijahnya apabila manusia berhukum dengan hukum sendiri yang kesudahannya akan pasti membawa kepada segala bentuk kerosakan dan kemudharatan. Sautun Nahdhah kali ini ingin menarik perhatian pembaca kepada hukum Islam berkaitan dengan pembunuhan, yang hanya dapat dilaksanakan apabila adanya seorang pemimpin yang beriman dan bertakwa kepada Allah Azza Wa Jalla.

Bentuk-bentuk Pembunuhan Di Dalam Islam

Menurut Abdul Rahman Al-Maliki di dalam kitabnya Nizamul Uqubat, pembunuhan dapat dikategorikan kepada empat jenis iaitu:-

(i) pembunuhan sengaja (qatlu al-amad)
(ii) mirip sengaja (shibhul amad)
(iii) tersalah (khata’)
(iv) tidak sengaja (ma ujri mujarral khata’).

Adalah menjadi perkara yang maklum minaddin bi dharurah (tidak ada alasan untuk tidak mengetahui) bahawa melakukan pembunuhan secara sengaja adalah haram secara qath’ie (pasti). Firman Allah SWT

“Dan barangsiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya adalah Jahannam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknatnya serta menyediakan azab yang besar baginya.”
[TMQ an-Nisa’ (4):93].

Pembunuhan sengaja (al-qatlu al-amad) bermaksud membunuh orang lain dengan sesuatu (alat) yang pada umumnya dapat membunuh orang tersebut atau memperlakukan orang lain dengan suatu perbuatan yang pada umumnya dapat membunuh orang tersebut. Ia boleh dikategorikan kepada tiga macam:-

Pertama: Menggunakan alat yang biasanya dapat membunuh seseorang, misalnya pedang, pisau, pistol, bom tangan atau apa sahaja yang biasanya dapat digunakan untuk membunuh. Ini termasuklah memukul orang dengan benda berat dan besar yang boleh mengakibatkan kematian seperti batang besi, batang kayu, tukul, batu besar dan lain-lain.

Kedua: Menggunakan alat yang biasanya tidak dapat membunuh akan tetapi ada indikasi lain yang umumnya akan menyebabkan kematian seseorang. Sebagai contoh, penggunaan tongkat yang diperbuat dari besi berat atau yang terdapat paku besar di kepalanya. Begitu juga sekiranya pukulan yang dilakukan adalah berulang-ulang kali yang lazimnya akan menyebabkan kematian meskipun alat yang digunakan adalah tongkat biasa atau batu biasa. Semua ini dianggap sebahagian dari jenis pembunuhan sengaja.

Ketiga: Memperlakukan seseorang dengan suatu perbuatan yang biasanya dapat membunuh seseorang seperti mencekik lehernya, menggantung lehernya dengan tali atau melemparkan seseorang dari tempat tinggi seperti dari puncak gunung, bangunan yang tinggi, kapal terbang atau dari kereta yang sedang bergerak laju. Begitu juga dengan menenggelamkan seseorang ke dalam air atau memasukkan seseorang ke dalam api, menghumban seseorang ke kandang singa atau harimau atau binatang berbisa. Juga, boleh jadi dengan cara memenjarakan seseorang dalam tempoh yang lama tanpa diberi makan/minum hingga batas waktu yang tidak mungkin ia dapat bertahan. Jenis perbuatan yang serupa adalah seperti memberi seseorang meminum racun atau makanan yang boleh membunuhnya atau perbuatan apa sahaja yang lazimnya akan menyebabkan kematian. Semua perbuatan yang pada umumya boleh membunuh seseorang adalah tergolong dalam al-qatlu amad. Abu Daud meriwayatkan tentang peristiwa orang Yahudi yang memberikan Rasulullah SAW daging kambing yang beracun, kemudian Abu Salamah berkata tentang peristiwa itu,

“Akhirnya terbunuhlah Basyir bin al-Bara’, kemudian Rasulullah SAW memerintahkan untuk membunuh Yahudi tersebut”.

Uqubat (Hukuman) Bagi Pembunuhan

Sebelum kami menghurai lebih lanjut akan hukuman ke atas pelaku pembunuhan, perlu kami tegaskan di sini perbezaan di antara undang-undang Islam dengan undang-undang yang diguna pakai di Malaysia pada hari ini. Ada sesetengah orang terkeliru (dan dikelirukan) bahawa undang-undang yang sedia ada adalah bertepatan dengan Islam kerana hukuman bunuh dikenakan ke atas pembunuh. Sesungguhnya hukuman yang ada pada hari ini berbeza sama sekali dengan hukuman Islam dilihat dari sudut mana sekalipun.

Pertama: Hukuman sekarang yang diperuntukkan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan adalah berasal dari undang-undang yang dibuat dan diluluskan oleh manusia di Parlimen, manakala hukuman dalam Islam adalah berasal dari Allah dan Rasul di dalam Al-Quran dan Al-Hadis.

Kedua: Mengikut undang-undang sekarang, pihak yang melakukan tuntutan (pendakwaan) adalah kerajaan (pendakwaraya), bukannya ahli waris (wali) mangsa, sedangkan di dalam Islam, hak pendakwaan terletak di tangan wali.

Ketiga: Wali kepada pihak yang terbunuh langsung tidak diberi pilihan memilih hukuman, walhal di dalam Islam, wali mempunyai beberapa pilihan yang diberikan oleh syarak (diterangkan di bawah).

Keempat:
Hukuman Allah apabila dilaksanakan ke atas manusia akan menjadi pencegah (zawajir) dan penebus dosa (jawabir) bagi pelakunya di akhirat, sedangkan hukuman sekarang tidak akan membawa apa-apa erti, malah akan menimpakan dosa ke atas pelaksananya kerana jelas sekali mereka tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan.

Berbeza dengan hukum kufur ciptaan manusia yang diterapkan pada hari ini, di dalam Islam, hukuman bagi pembunuhan yang disengaja bukanlah hukuman bunuh semata-mata. Wali (ahli waris) kepada yang terbunuh boleh memilih hukuman sama ada qisas (bunuh balas), atau diyat atau memaafkan. Hak ahli waris diterangkan oleh Allah melalui firmanNya,

“Dan barangsiapa dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan kepada ahli warisnya, tetapi janganlah ahli waris itu melampaui batas dalam membunuh” [TMQ al-Isra’ (17):33].

FirmanNya yang lain,

“Diwajibkan atas kamu qisas berkenaan orang-orang yang dibunuh”
[TMQ al-Baqarah (2):178].

Adapun mengenai pilihan yang diberikan kepada ahli waris, is diterangkan oleh Rasulullah SAW melalui hadis baginda,

“Barangsiapa yang terbunuh, maka walinya memiliki dua hak, boleh meminta diyat (tebusan) atau membunuh si pelakunya (qisas)
[HR Bukhari].

Imam Abu Daud meriwayatkan dari Abu Syuraih al-Khuza’iy, ia berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda,

“Barangsiapa tertumpah darahnya atau disakiti, maka ia boleh memilih salah satu dari tiga pilihan, boleh meng-qisas atau mengambil diyat atau memaafkan. Jika ingin yang keempat, maka kuasailah dirinya”.

Kesemua ini merupakan dalil yang sangat jelas bahawa hukuman bagi al-qatlu al-amad adalah qisas atau pihak wali meminta diyat ataupun memaafkan, yang berbeza sama sekali dengan undang-undang yang diterapkan pada hari ini.

Berkenaan diyat, terdapat dua jenis diyat iaitu pertama, diyat berat (mughallazah) yakni 100 ekor unta di mana 40 darinya mestilah bunting. Diyat ini diambil dari pembunuhan yang disengaja (qatlu al-amad) apabila walinya memilih untuk meminta diyat. Diyat ini juga diambil dari pembunuhan mirip sengaja (syibhul amad). Kedua, diyat yang tidak berat yakni 100 ekor unta sahaja. Diyat semacam ini diambil dari kes pembunuhan yang tersalah dan tidak sengaja. Dalil untuk kesemua ini diambil dari hadis Nabi SAW. Diriwayatkan oleh Imam Nasa’iy bahawa Amru bin Hazm meriwayatkan di dalam kitabnya bahawa Rasulullah SAW telah menulis surat kepada penduduk Yaman,

“Sesungguhnya di dalam jiwa seorang mukmin itu ada 100 ekor unta”.

Dikeluarkan dari Tirmizi dari Amru bin Syuaib dari bapanya dari datuknya, bahawa Rasulullah SAW bersabda,

“Barangsiapa yang membunuh dengan sengaja maka keputusannya diserahkan kepada wali-wali pihak terbunuh. Mereka berhak membunuh (qisas) atau mengambil diyat yakni 30 ekor unta dewasa (hiqqah), 30 ekor unta muda (jaza’ah) dan 40 unta yang sedang bunting, dan mereka juga berhak memaafkannya”.

Diyat di sini mestilah berupa unta, bukan yang lain. Ini kerana nas telah menetapkannya demikian. Oleh itu, diyat tidak boleh dibayar dengan lembu, kambing, biri-biri atau haiwan yang lain. Tidak ada dalil dari Rasulullah SAW yang menunjukkan atau membenarkan hal tersebut. Adapun terdapat beberapa riwayat dari Amru bin Syuaib dan juga dari Atha’ dari Jabir yang membenarkan diganti unta dengan lembu dan biri-biri, sesungguhnya hadis-hadis tersebut adalah dhaif kerana terdapat di dalamnya Muhammad bin Rasyid al-Dimasyqiy a-Makhuliy dan juga Muhammad bin Ishaq yang terkenal suka melakukan tadlis (pembohongan). Perlu difahami bahawa kedudukan unta (di dalam diyat) adalah dasar diyat. Ia tidak boleh ditukarkan dengan apa jenis haiwan pun dan atas alasan apa pun.
 
Mengenai diyat wang, maka ia diukur dengan emas sebanyak 1,000 dinar dan perak sebanyak 12,000 dirham. Dalil tentang diyat yang dibayar dengan emas adalah apa yang diriwayatkan oleh Nasa’i dari Abu Bakar bin Muhammad bin Amru bin Hazam dari bapanya dari datuknya,

“Dan bagi orang yang memiliki emas (diyatnya) sebanyak 1,000 dinar”.

Sedangkan dalil diyat dengan perak adalah berdasarkan riwayat Ikrimah dari Ibnu Abbas,

“Seorang lelaki telah membunuh, kemudian Nabi SAW menetapkan diyatnya sebanyak 12,000 dirham”.

Satu dinar syar’ie adalah setara dengan 4.25 gram emas dan satu dirham syar’ie adalah setara dengan 2.975 gram perak. Oleh itu, diyat bagi pihak yang terbunuh, bila dibayar dengan emas adalah sebanyak 4,250 gram atau jika dibayar dengan perak berjumlah sebanyak 35,700 gram perak. Diyat seorang yang merdeka adalah sama dengan diyat seorang hamba, begitu juga diyat seorang lelaki adalah sama dengan diyat seorang perempuan. Juga, tidak ada perbezaan di antara dewasa dan kanak-kanak atau Muslim dan zimmi, kesemua diyat mereka sama sahaja. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW,

“Kaum Muslimin darahnya sepadan”. Juga sabda baginda, “Di dalam jiwa seorang mukminah terdapat 100 ekor unta”. Sabda baginda yang lain, “Perhatikan orang yang terbunuh kerana pembunuhan yang mirip sengaja, baik terbunuh kerana cambuk mahupun tongkat, maka diyatnya adalah 100 ekor unta.

Dalil-dalil ini berlaku umum tanpa dibezakan di antara lelaki mahupun wanita, merdeka mahupun hamba.

Pihak Yang Wajib Membayar Diyat

Mengenai pihak yang wajib membayar diyat, hal ini perlu dirincikan dan diperhatikan dengan cermat. Untuk kes pembunuhan sengaja (al-qatlu al-amad), diyat diambil dari harta si pembunuh, bukan dari aqilahnya. ‘Aqilah’ adalah pihak asabah  yang memiliki pertalian keluarga dari sebelah bapa (paternal relations/agnates). Adapun adik-beradik lelaki ibu (mother’s brothers) dan lain-lain saudara sebelah ibu (maternal relatives), suami/isteri dan siapa sahaja yang bukan dari sebelah bapa, kesemua mereka tidak termasuk dalam kategori aqilah. Adapun bapa dan anak lelaki bukanlah aqilah kerana aqilah adalah asabah yang tidak mewarisi kecuali bahagian yang ditinggalkan (baki/remainder) sahaja.

Dalil bahawa diyat tidak diambil dari aqilah dalam kes pembunuhan sengaja adalah berdasarkan banyak hadis. Antaranya adalah yang diriwayatkan dari Amru bin al-Ahwas bahawa ia hadir pada saat haji wida’ bersama Rasulullah SAW di mana baginda bersabda,

“Tidaklah seseorang pesalah/penjenayah melakukan jenayah kecuali (tertanggung) atas dirinya sendiri. Seorang anak tidak menanggung jenayah bapanya dan seorang bapa tidak menanggung jenayah anaknya”.

Dari Ibnu Mas’ud, ia berkata, Rasulullah SAW bersabda,

“Seorang lelaki (anak) tidak dihukum atas kesalahan bapanya mahupun saudaranya”.

Ini adalah dalil-dalil yang menunjukkan bahawa pembunuhan yang disengaja, diyatnya tidak dibebankan kepada aqilah si pembunuh. Begitu juga di dalam kes pengakuan membunuh (confession) di mana diyatnya tidak dibebani kepada aqilahnya. Dari Ubadah bin Samit bahawa Rasulullah SAW bersabda,

“Jangan bebani ke atas aqilah diyat walau sedikit, dari orang yang mengaku membunuh”.

Adapun untuk pembunuhan mirip sengaja (syibhul amad), tersalah (khata’) dan juga tidak sengaja (ma ujri mujarral khata’), dalam ketiga-tiga kategori ini, diyatnya adalah terbeban (wajib) ke atas aqilah,. Ini adalah berdasarkan hadis dari Abu Hurairah yang berkata,

“Dua orang wanita dari suku Huzail berkelahi. Salah seorang di antaranya melempar seorang lagi dengan batu. Wanita (yang dilempari batu) itu mati, begitu juga (bayi) yang dikandungnya. Nabi SAW menetapkan bahawa diyat atas janin adalah (membebaskan) hamba lelaki atau perempuan sedangkan diyat bagi wanita itu adalah atas aqilahnya (aqilah si pelempar)”.

Difahami dari hadis di atas bahawa membunuh dengan batu adalah termasuk pembunuhan mirip sengaja kerana (melempar) batu lazimnya tidak menyebabkan kematian. Manakala untuk pembunuhan tersalah dan tidak sengaja, terdapat hadis sahih dari Nabi SAW bahawa

“Baginda memutuskan bahawa diyat untuk pembunuhan yang tersalah adalah (dipertanggungjawabkan) kepada aqilahnya”.

Sebagai kesimpulan, diyat bagi pembunuhan mirip sengaja, tersalah dan juga tidak sengaja  adalah diwajibkan ke atas aqilah semata-mata, tidak diwajibkan ke atas ahli waris. Jadi, hanya aqilah sahajalah yang mesti membayarnya. Secara terperinci, aqilah seseorang adalah asyeerah (ahli keluarga)nya iaitu adik-beradik lelakinya, bapa saudara sebelah bapa (paternal uncles) dan anak-anak lelaki dari bapa saudara sebelah bapa (sepupu lelaki) sehinggalah kepada datuk yang ketiga (datuk kepada datuk).  Ia bermula dari fakhz (kaum keluarga) yang terdekat. Jika mereka tidak mampu, maka diyat dikumpulkan dari kerabat terdekat yang berikutnya dan seterusnya, yang mukallaf, lelaki dan merdeka dari kalangan asabah nasab (agnates by relation) kemudian asabah sabab (agnates by cause). Jika mereka ini tidak mampu atau tidak ada, maka diyatnya diambil dari Baitul Mal. Disebutkan di dalam hadis Sahal bin Abi Hasyamah tentang seseorang yang terbunuh di Khaibar,

“Kemudian Rasulullah SAW membayar diyatnya dari apa yang ia miliki (Baitul Mal)”.

Juga, di dalam hadis Amru bin Syuaib disebut,

“Kemudian baginda membayar diyatnya sebanyak 100 ekor unta dari unta sedekah”.

Diyat diambil dari aqilah secara samarata dan diambil dari aqilah yang mampu sahaja. Adapun mengenai persoalan kepada siapakah diyat ini diserahkan, ia diserahkan kepada ahli waris pihak yang terbunuh, bukan kepada aqilah mereka. Ini kerana terdapat hadis yang melarang pembayaran diyat kepada aqilah orang yang terbunuh [sila baca penjelasan penuh di dalam kitab Nizamul Uqubat, Abdul Rahman al-Maliki].

Begitulah serba sedikit penjelasan tentang hukuman bunuh menurut Islam yang dapat diterangkan di dalam ruang yang serba terbatas ini. Melihat kepada kadar jenayah yang semakin meningkat di negara ini, dari satu sudut kita memanglah mengharapkan si pembunuh ditangkap dan dibicarakan segera. Namun, dari sudut yang lain, kita sesungguhnya tidak menginginkan penjenayah ini ‘diadili’ oleh hukum kufur kerana sememangya tidak akan ada keadilan di dalamnya kerana sesungguhnya kita yakin bahawa keadilan itu hanya akan dapat dicapai jika hukum Islam dilaksanakan. Kita juga yakin bahawa selagi hukum kufur ini terus membelenggu kita, maka kes-kes pembunuhan kejam seperti ini tidak akan dapat dihindari. Justeru, tidak ada lagi jalan untuk keluar dari keadaan yang amat buruk ini kecuali kita berusaha untuk menegakkan Daulah Khilafah di mana hanya dengan tertegaknya Khilafah sahajalah, barulah manusia akan benar-benar mendapat keadilan dan dunia ini akan berada dalam kesejahteraan dan kerahmatan kerana di kala itu hukum Allah menjadi hukum yang menaungi kita semua.