SN264 – NEGARA ISLAM: TAK PENTING JENAMA DAN SEBUAH UTOPIA?
SN Keluaran 10 Jun 2011
NEGARA ISLAM: TAK PENTING JENAMA DAN SEBUAH UTOPIA?
[SN264] Ada sebahagian umat Islam, termasuklah mereka yang bergelar ulama, menyatakan bahawa jenama atau label ‘Negara Islam’ itu tidaklah penting kerana yang penting adalah pelaksanaan atau isinya. Jika dinamakan ‘Negara Islam’ sekalipun, tetapi tiada pelaksanaannya, maka tiada gunanya. Inilah kata mereka. Sesungguhnya kenyataan ini amat keliru dan mengelirukan. Pihak yang menyatakan hal ini tentunya memiliki maslahat (kepentingan) tersendiri yang ingin diraih darinya atau sememangnya seorang yang pragmatik atau meletakkan diri mereka sebagai orang yang ‘realistik’. Bagi mereka, konsep ‘Negara Islam’ yang ingin diperjuangkan kini sudah tidak lagi realistik dan perlu tunduk kepada realiti semasa berdasarkan kemaslahatan. Selain ingin mencari satu istilah yang boleh dipersetujui bersama dengan orang-orang kafir dan sekular, mereka juga ingin menghilangkan ketakutan atau kekhuatiran orang-orang kafir akan istilah ‘Negara Islam’. Maka, mereka mengatakan bahawa yang penting adalah pelaksanaan ‘nilai-nilai’ atau prinsip-prinsip Islam dalam Negara seperti persoalan kebajikan, keadilan, keamanan dan seumpamanya dan bukannya ‘Negara Islam’ itu sendiri.
Bagi mereka yang tidak berfikir panjang dan tidak berfikir dengan jernih, kenyataan di atas semacam ada benarnya. Namun, jika mereka berfikir lebih sedikit, tentu mereka akan menemukan pertentangan dari kenyataan tersebut. Jika benar jenama ‘Islam’ tidak penting, maka seharusnya perkataan ‘Islam’ tidak perlu diidhafahkan (disandarkan) kepada setiap perkara, bukan hanya kepada Negara. Namun, kita lihat perkataan ‘Islam’ diidhafahkan kepada Kota Bharu sebagai ‘Bandaraya Islam’. Begitu juga kita lihat adanya jenama lain seperti ‘Universiti Islam’, ‘Bank Islam’, ‘Pajak Gadai Islam’ dan lain-lain. Jika benar aspek ‘pelaksanaan’ yang penting dan bukan ‘jenama’nya, maka tentu tidak perlu ada istilah Bandaraya ‘Islam’, Universiti ‘Islam’, Bank ‘Islam’ ‘Darul Sunnah’ dan sebagainya. Inilah kekeliruan mereka yang tidak berfikir dengan amiq (mendalam) dan mustanir (jernih) dalam masalah ini. Dalam satu masa mereka menyatakan jenama tidak penting, tetapi dalam masa yang lain, merekalah yang mencipta jenama tersebut atau bersetuju dengan penggunaannya.
Hakikatnya, yang benar dalam masalah ini adalah, istilah/nama ‘Negara Islam’ adalah penting dan perlu, dan aspek ‘pelaksanaan’ juga perlu, malah aspek pelaksanaan itu akan menentukan sesebuah Negara itu sama ada ia layak disebut sebagai Negara Islam atau tidak. Perkataan ‘Islam’ perlu diidhafahkan (disandarkan) kepada ‘Negara’ kerana ia dapat membezakan aspek pelaksanaan dan jenama keduanya, sama ada Islam atau kufur. Apabila kita membincangkan aspek pelaksanaan, yang dimaksudkan dengan ‘pelaksanaan’ di sini adalah penerapan hukum-hukum Islam di dalamnya. Sesebuah negara boleh menjadi Negara Islam (Darul Islam) atau Negara kufur (Darul Kufr/Harb) bergantung kepada realiti penerapan hukum di negara tersebut. Perkataan ‘dar’ banyak sekali disebut di dalam hadis yang menunjukkan perbezaan di antara Dar al-Islam dengan Dar al-Kufur. Kaum Muslimin diperintahkan untuk memerangi Darul Harb sehingga penduduknya mengucapkan La ilaha illallah atau sehingga mereka tunduk kepada hukum-hukum Islam. Jika mereka mahu tunduk kepada hukum Islam, maka perang dihentikan meskipun mereka masih tetap kafir. Tetapi kalau mereka tidak mahu tunduk kepada hukum-hukum Islam, maka mereka akan diperangi sehingga mereka tunduk. Jadi faktor ‘diperangi’ mereka ini adalah kerana penerimaan (atau tidak) mereka terhadap hukum Islam. Semua ini adalah berdasarkan ketentuan Al-Quran dan Al-Hadis. Inilah bukti bahawa faktor pelaksanaan atau penerapan hukum Islam adalah faktor yang merubah status sesebuah negara itu sebagai Darul Kufur atau Darul Islam.
Dengan mencermati nas secara benar dan adil, kita akan tahu dan kita dapat membezakan perkara yang perlu dan tidak perlu diidhafahkan dengan ‘Islam’. Jika kita membicarakan tentang ‘orang’ (manusia), maka ‘orang’ itu perlu diketahui ‘jenama’nya sama ada dia (orang) Islam atau (orang) kafir. Al-Quran dan Hadis banyak sekali membezakan dua kategori manusia ini dan menyebut istilah ‘Islam’ dan ‘kafir’ bagi membezakan keduanya. Malah dalam aspek ini, Allah SWT sememangnya membezakan manusia itu hanya kepada dua golongan sahaja, yakni Islam dan kafir. Terdapat perbezaan mendasar di antara keduanya iaitu masalah ‘akidah’ dan kita dituntut agar mengetahui ‘jenama’ seseorang itu kerana hukum-hukum yang berbeza berlaku ke atas keduanya. Begitu juga apabila kita membicarakan tentang persoalan ‘Negara’, maka berdasarkan nas yang jelas, kita juga perlu tahu dan bezakan ‘jenama’ sesebuah Negara di mana Negara Islam adalah negara yang dibina atas akidah Islam manakalah Negara kufur adalah negara yang dibina atas akidah selain Islam seperti dibina atas Perlembagaan yang bertentangan dengan Islam.
Perbezaan jenama amat penting kerana adanya hukum syarak yang khusus dan berbeza di dalam menangani dua negara yang berbeza ini. Contohnya kewajipan jihad, ia adalah ketentuan yang diwajibkan oleh Allah untuk dilaksanakan oleh Darul Islam terhadap DarulHarb. Hukum jihad tidak akan berlaku di antara sesama Darul Islam. Begitu jugalah dengan hukum-hukum yang terkait dengan jihad seperti futuhat (pembukaan), ghanimah (harta rampasan perang), hudnah (gencatan senjata) dan banyak lagi, yang kesemuanya dilakukan oleh Darul Islam terhadap Darul Harb. Oleh itu, ‘status/jenama’ Negara itu hendaklah diketahui dengan jelas agar hukum Allah dapat diterapkan dengan betul. Kerana itulah, ramai ulama yang begitu teliti dalam membincang dan meletakkan status/jenama sesebuah negara itu sebagai Negara Islam atau Negara kufur. Jika hanya aspek pelaksanaan kebajikan yang diambil kira, lalu sesebuah negara tersebut terus menjadi ‘Negara Islam’ kerananya, maka hal ini amatlah keliru. Amerika Syarikat misalnya, jika ia memberi bantuan kepada fakir miskin dan memotong tangan si pencuri, hal ini tidak sama sekali menjadikan Amerika Syarikat sebagai sebuah Negara Islam, walaupun aspek ‘pelaksanaan’nya nampak Islamik. Begitu jugalah dengan Kuwait, Qatar, Brunei dan lain-lain yang, dari segi pelaksanaan, begitu menjaga kebajikan rakyatnya, walaupun mereka adalah Biladul Muslimin (negeri kaum Muslimin), namun kesemuanya bukanlah Darul Islam atau Islamic State.
Negara Islam Suatu Khayalan?
Apabila kita membincangkan tentang ‘Negara Islam’ yang wajib didirikan ini, maka kita sesungguhnya berbincang mengenai ‘Negara Khilafah’ kerana Negara Islam itu hakikatnya adalah Negara Khilafah dan bukannya Negara Republik, Negara Monarki, Negara Berkebajikan dan seumpamanya. Kewajipan menegakkan Khilafah adalah diambil dari Al-Quran, Al-Hadis dan juga Ijma’ Sahabat. Selain itu, kewajipannya juga ditarik dari kaedah syarak yang masyhur, malah jumhur ulama mengakui akan kewajipan dan kepentingan Khilafah. Malangnya, masih ada segelintir dari umat Islam, termasuklah mereka yang mendapat jolokan ulama, menyatakan bahawa usaha untuk menegakkan Khilafah ini hanyalah suatu yang utopia (khayalan). Alangkah beraninya mereka mengeluarkan pendapat begini, tanpa memikirkan tentang Allah dan Rasul dalam kenyataan mereka! Dalam rangka menegakkan Khilafah Islamiyyah sebagai kewajiban syariah, sikap seorang Mukmin sepatutnya tunduk dan patuh kepada Allah dan Rasul dan berusaha menunaikan kewajiban ini dengan bersungguh-sungguh. Tidak sayugia bagi seorang Mukmin untuk memperlekehkan, mempersoalkan, meragui, mengelak atau menghalang orang lain dari melakukan kewajiban agung ini, apatah lagi menganggapnya sebagai utopia. Sebaliknya, dia wajib menerimanya dengan sepenuh keimanan dan kepasrahan kepada Allah. Ini kerana, kewajiban menegakkan Khilafah Islamiyyah tidak ada bezanya dengan kewajipan-kewajipan lain yang difardhukan oleh Allah seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Engkar terhadap kewajiban menegakkan Khilafah Islamiyyah, tidak ubahnya seperti engkar terhadap kewajipan solat, zakat dan kewajiban-kewajiban syariat lainnya.
Bagi mereka yang menganggap usaha mendirikan Negara Islam ini sebagai sebuah utopia, hal ini tidak lain sama ada kerana kejahilan mereka, atau kerana adanya kedengkian dalam hati-hati mereka terhadap gerakan Islam yang berjuang ke arah tersebut atau kerana adanya sikap suka merendah-rendahkan sesama Muslim. Bagi mereka, usaha ini tidak realistik dan tidak berpijak di bumi nyata, apatah lagi dalam konteks dunia sekarang. Kita akui bahawa usaha untuk menegakkan Khilafah Islamiyyah adalah suatu usaha yang sangat sulit dan sukar, namun hal ini bukanlah khayalan atau mustahil. Ini kerana, Khilafah adalah kewajipan dan sekaligus merupakan janji Allah SWT ke atas mereka yang beriman dan beramal soleh. Justeru, mustahil Allah SWT memerintahkan kepada kita suatu kewajipan yang kita tidak boleh melaksanakannya atau yang bersifat khayalan! Sikap seorang Mukmin apabila diperintahkan Allah SWT dan RasulNya untuk menjalankan suatu kewajipan, adalah mereka berkata “kami dengar dan taat” bukannya mengengkari, meragui, mencemuh atau menganggapnya sebagai suatu utopia. Sikap merendah-rendahkan, mengejek atau mencemuh dan menganggap utopia usaha menegakkan Khilafah merupakan bentuk pelangggaran dan kemaksiatan terhadap perintah Allah SWT dan boleh merosakkan keimanan seseorang. Rasulullah SAW bersabda, “Dan barangsiapa yang mati sedangkan di pundaknya tidak ada bai’at (kepada Khalifah), maka ia mati (seperti) kematian jahiliyyah”, yang menunjukkan betapa besarnya dosa orang yang tidak berusaha menegakkan Khilafah.
Kepada mereka yang mengatakan bahawa usaha Hizbut Tahrir untuk menegakkan Khilafah adalah sebuah khayalan, maka jawapan kami kepada mereka adalah, merekalah yang sebenarnya sedang berkhayal! Mereka adalah orang yang tidak berusaha walaupun sedikit, dan tidak meyakini janji Allah bahawa kemenangan akan pasti datang. Mereka juga tidak mengikuti perkembangan politik dunia dari kacamata Islam, yang menyebabkan mereka ditimpa kejahilan dan keputus-asaan. Mereka merasakan bahawa mereka adalah realistik, walhal mereka sebenarnya sedang berkhayal kerana mereka sesungguhnya tidak dapat merasakan, apa yang dirasai oleh golongan yang sedang berjuang, berupa kemanisan iman dalam menghadapi ujian Allah dan bahawa janji Allah, Khilafah dan kemenangan itu, semakin hari semakin hampir. Wahai mereka yang mempunyai telinga! Dengarlah seruan dari kami, bahawa sesungguhnya tertegaknya Khilafah adalah hakikat yang pasti berlaku dengan izin Allah dan kami ingin mendasarkan hal ini kepada lima fakta berikut:-
Pertama: Janji dari Allah SWT kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bahawa Dia pasti akan memberikan kekuasaan kepada mereka di muka bumi sebagaimana Dia telah memberikannya kepada orang-orang yang sebelum mereka. FirmanNya, “Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahKu dengan tiada mempersekutukan sesuatu apa pun denganKu. Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik” [TMQ An-Nur (24):55].
Kedua: Berita gembira dari Rasulullah SAW akan kembalinya Khilafah Rasyidah Ala Minhaj Nubuwwah selepas pemerintahan diktator/jahat yang kita berada di dalamnya sekarang. Nabi SAW bersabda dalam hadis sahih yang dikeluarkan oleh Ahmad dari jalan Huzaifah Ibn al-Yaman, “Di tengah-tengah kalian terdapat zaman kenabian, atas izin Allah ia tetap ada. Lalu Dia mengangkatnya apabila Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian akan ada zaman Khilafah Ala Minhaj Nubuwwah; ia tetap ada atas izin Allah. Lalu Dia mengangkatnya apabila Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian akan ada zaman Mulkan Adhan (kerajaan yang menggigit); ia tetap ada atas izin Allah. Lalu Dia mengangkatnya apabila Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian akan ada Mulkan Jabariyah (pemerintahan diktator); ia tetap ada atas izin Allah. Lalu Dia mengangkatnya apabila Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian akan kembali zaman Khilafah Ala Minhaj Nubuwwah. Kemudian baginda diam”.
Ketiga: Sesungguhnya umat ini hidup dan bergerak, mereka sedang melakukan usaha untuk mendirikan Khilafah dan semakin hari semakin ramai yang menyokong usaha ini dan dengan izin Allah mereka akan tetap begini sehinggalah janji Allah terealisasi. Selepas itu mereka akan bersama-sama menjaga Khilafah dan memeliharanya. Umat ini akan bersegera mengulangi sejarahnya yang pertama, iaitu tujuan yang Allah telah tetapkan semasa melahirkan mereka, sebagaimana FirmanNya, “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah” [TMQ Al-Imran(3):110]
Keempat: Ketakutan Barat (musuh Islam) akan tegaknya Khilafah dalam masa terdekat. Telah banyak analisis dan usaha yang berpanjangan dari Barat akan hal ini. Mereka bersungguh-sungguh menghalang kebangkitan umat Islam di seluruh dunia bagi menegakkan Khilafah. Para pemimpin dan politikus Barat sudah tidak dapat menahan diri mereka dari membicarakan tentang tegaknya institusi politik pemersatu umat ini. Bahkan mereka telah pun mengambil pelbagai langkah, bukan sahaja untuk membendung pergerakan umat Islam kepada Khilafah, malah langkah-langkah sekiranya Khilafah berdiri nanti!
Kelima: Wujudnya kelompok yang ikhlas kepada Allah SWT, membenarkan janji Allah dan RasulNya, yang telah lama memulakan perjalanan menuju Khilafah sehinggalah terealisasinya janji Allah dan berita gembira dari RasulNya ini. Mereka tidak takut, demi Allah, akan celaan orang-orang yang mencela, tidak lemah atas halangan-halangan yang melanda dengan izin Allah. Mereka tetap konsisten dengan perjuangannya sehingga tertunainya janji Allah atau sehingga mereka syahid di jalanNya. Mereka membenarkan sabda baginda SAW dalam sebuah hadis yang dikeluarkan oleh Muslim dari jalan Tsauban, bahawa “Akan sentiasa ada segolongan dari umatku yang sentiasa menyatakan kebenaran, orang yang memandang rendah terhadap mereka tidak mampu memudharatkan mereka sehingga datangnya perintah Allah dan mereka tetap dalam keadaan yang demikian itu”.
Sesungguhnya mana-mana satu dari lima perkara ini sudah cukup untuk membuktikan bahawa usaha untuk mendirikan Khilafah bukanlah khayalan. Lalu bagaimana pula jika kelima-lima perkara tersebut sememangnya berlaku serentak?! Sesungguhnya janji bahawa Khilafah akan tertegak telah dinyatakan di dalam banyak hadis. Justeru, tidak mungkin (dan alangkah beraninya orang yang mengatakan) bahawa janji Rasulullah ini sebuah khayalan!!! Rasulullah SAW pernah menjanjikan bahawa kota Konstantinople akan dibuka dan selepas itu kota Rom akan dibuka. Sesungguhnya kota Konstantinople telah pun dibuka (selepas lebih 800 tahun janji Rasulullah) dan Insya Allah selepas ini akan pasti berlaku di mana kota Rom pula yang akan dibuka. Siapa dan bagaimana kota Rom akan dibuka jika bukan dengan Khilafah Islamiyyah yang akan melancarkan jihad ke sana?
Kepada mereka yang menuduh usaha menegakkan Khilafah sebagai utopia, tuduhlah apa sahaja yang anda mahukan dan bergembiralah dengan tuduhan anda itu kerana mungkin ramai yang mendengarnya. Namun sesungguhnya anda tidak akan memudharatkan Allah sedikitpun dan anda juga tidak akan dapat melenturkan para pejuang Khilafah sedikitpun dan anda tidak akan dapat menghalang tertegaknya Khilafah dengan tuduhan anda itu. Negara Khilafah akan pasti tertegak dengan izin Allah dan anda akan diresapi kehinaan dan kerugian di dunia dan akhirat sekiranya meninggalkan kewajipan agung ini atau memperlekehkannya. Kepada mereka yang telah meninggalkan kewajipan menegakkan Negara Islam dan menggantikannya dengan perjuangan dan istilah lain, sedarlah dan kembalilah kepada jalan yang benar. Sebutlah Negara Islam dengan lisan-lisan kalian dan tegakkanlah Negara Islam (Khilafah), walaupun orang-orang kafir membencinya. Sesungguhnya kita tidak mengharapkan keredhaan dan bantuan orang-orang kafir di dalam perjuangan ini dan tidak boleh bergabung dengan mereka. Sesungguhnya wali (teman/penolong) kita adalah sesama Mukmin dan kepada Allah jualah kita ingin meraih keredhaan. Dengarlah wahai Mukmin yang ikhlas, bahawa kami telah menyampaikan dan memberikan peringatan (melepaskan tanggungjawab kami) terhadap kalian dan seterusnya kami memohon ampun kepada Allah. “Dan Allah berkuasa terhadap urusanNya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya” [TMQ Yusuf (12):21].