SN282 – DEMOKRASI YANG MENJIJIKKAN
DEMOKRASI YANG MENJIJIKKAN
Penganjur menyatakan mereka percaya setiap orang berhak untuk menyayangi dan disayangi walaupun mereka termasuk dalam golongan homoseksual. Dalam perkembangan yang berkaitan, konsert Elton John, seorang penyanyi yang terkenal sebagai ikon gay dunia, akan diadakan di Genting Highlands pada 22 November depan. Dewan Pemuda PAS telah pun menyuarakan bantahan dan mendesak kerajaan agar membatalkan konsert maksiat itu. Namun tindakan Dewan Pemuda PAS ini disifatkan oleh Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebagai meniru ‘Taliban’ Bekas mufti Perlis itu turut menasihatkan pemuda PAS agar mencontohi pendirian Islam yang matang, sederhana dan praktikal. Bercakap kepada Malaysiakini, Dr Asri berkata, halangan itu tidak perlu dan cukup sekadar meminta kerajaan tidak membenarkan orang Islam menyertainya.
Di dalam siri Sautun Nahdhah yang lepas (SN152 dan SN239), kami telah pun menjelaskan bahawa idea hak asasi manusia (HAM) adalah idea kufur yang datangnya dari Barat. Begitu juga dengan idea kebebasan (freedom) yang lahir dari sistem demokrasi, kesemuanya adalah idea kufur yang dibawa oleh Barat ke dunia Islam. Idea hak asasi manusia dan kebebasan yang dilaungkan atas nama demokrasi adalah bencana kemanusiaan yang paling mengerikan yang menimpa seluruh umat manusia sejak runtuhnya sistem Islam dan diganti dengan sistem demokrasi. Idea ini telah menjunamkan darjat dan martabat manusia di negara-negara demokrasi sampai ke tahap yang lebih hina daripada binatang! Demokrasi yang membawa empat jenis kebebasan (beragama, bersuara, berpemilikan dan bertingkah laku) adalah idea kufur buatan manusia yang bercanggah seratus peratus dengan Islam.
Seksualiti Merdeka yang cuba mempromosikan dan memperjuangkan hak asasi manusia yang tidak pernah dilakukan oleh binatang sekalipun, adalah cerminan dari kebebasan bertingkah laku yang lahir dari sistem demokrasi. Malangnya pesta maksiat ini dibenarkan berlangsung oleh kerajaan sehingga dua minggu. Idea kebebasan bertingkah laku dan hak asasi manusia yang diamalkan di bawah sistem demokrasi membawa erti kebebasan untuk lepas dari segala macam ikatan keagamaan dan kebebasan untuk melepaskan diri dari setiap nilai kerohanian, akhlak dan kemanusiaan. Ia juga bererti kebebasan untuk memporak-porandakan keluarga dan institusi keluarga. Kebebasan ini merupakan jenis kebebasan yang telah menimbulkan segala kebinasaan dan membolehkan segala sesuatu yang telah diharamkan oleh Islam.
Dalam banyak negara demokrasi, hubungan seksual tanpa talian perkahwinan menjadi aktiviti yang ‘sah’ (seperti halnya meminum air) kerana telah di‘sah’kan oleh undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen di negara-negara tersebut. Peraturan tersebut membolehkan hubungan seksual dan pergaulan lelaki-perempuan dengan sebebas-bebasnya bila masing-masing telah berumur 18 tahun. Negara dan sesiapa sahaja tidak berhak sedikit pun untuk mencegah segala perilaku seksual tersebut. Undang-undang itu ternyata tidak sekadar membenarkan hubungan seksual dengan lawan jenis di luar ikatan pernikahan, tetapi lebih dari itu, telah membolehkan hubungan seksual sesama jenis. Bahkan beberapa negara demokrasi telah mengesahkan pernikahan antara dua orang yang berlainan seksual, yakni lelaki dibolehkan menikah sesama lelaki dan wanita dibolehkan menikah sesama wanita.
Kebebasan inilah yang telah menjerumuskan masyarakat Barat menjadi masyarakat binatang yang sangat memalukan dan meruntuhkan moral individu-individunya sampai ke darjat yang lebih hina daripada binatang ternak. Idea dan perilaku inilah yang dijaja oleh Barat ke dunia Islam dalam usaha mereka merosakkan umat Islam. Idea kebebasan ini telah membolehkan seseorang untuk melakukan perzinaan, homoseksual, lesbianisme, gay, meminum khamar, bertelanjang dan melakukan perbuatan apa saja (walaupun sangat hina) dengan sebebas-bebasnya tanpa ada ikatan atau batasan, tanpa tekanan atau paksaan. Inilah idea yang cuba ditunjukkan oleh Seksualiti Merdeka yang nampaknya tidak dipedulikan oleh kerajaan.
Kebebasan gaya syaitan ini menetapkan bahawa setiap orang dalam perilaku dan kehidupan peribadinya berhak untuk berbuat apa sahaja sesuai dengan kehendaknya, sebebas-bebasnya, tanpa boleh ada larangan baik dari Tuhan, negara atau mana-mana pihak sekalipun terhadap perlakuan yang disukainya. Allah SWT berfirman,
“Terangkanlah kepadaKu tentang orang-orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya. Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya? Atau apakah kamu mengira bahawa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami? Mereka itu tidak lain hanyalah seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat jalannya (dari binatang ternak itu)” [TMQ al-Furqan (25):43-44].
Hudud: Antara Chua Soi Lek, Karpal Singh Dan Najib Razak
Satu lagi peristiwa panas yang masih diperkatakan di dalam negara Malaysia sekular ini adalah berkenaan hudud. Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek menyatakan bahawa “Niat PAS untuk melaksanakan hudud akan menyebabkan negara mundur ke belakang dan menakutkan para pelabur”. Dr. Chua yang pernah mengaku berzina tidak lama dulu menambah bahawa, beberapa negara yang melaksanakan hudud ternyata mundur kecuali dari aspek mereka memiliki kekayaan alam” [The Star 29 Oktober]. Pengerusi DAP, Karpal Singh pula mendakwa yang pelaksanaan hudud akan menyebabkan jenayah semakin meningkat kerana penjenayah sukar untuk disabitkan di dalam mahkamah Islam disebabkan oleh syarat-syaratnya yang begitu ketat. Mengambil zina sebagai contoh, ahli parlimen Bukit Gelugur itu menambah yang kenyataan bahawa hudud boleh mencegah jenayah tidak ada sokongannya kerana seseorang itu hanya dapat disabitkan sekiranya ada empat orang saksi-mata yang adil [The Sun 31/10/11]. Sementara itu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, di dalam kenyataannya yang disiarkan oleh Buletin Utama TV3, menegaskan bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan hudud di Malaysia kerana ia tidak berpaksi kepada realiti, walaupun Najib mengakui bahawa ia (hudud) adalah undang-undang Tuhan [http://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=gZdKSWX5-2I].
Sungguh melampau pendapat-pendapat tersebut di dalam menghina hukum Allah! Ini sesungguhnya lahir dari satu lagi ajaran demokrasi iaitu kebebasan berpendapat. Adapun kebebasan berpendapat dalam sistem demokrasi, mempunyai erti bahawa setiap individu berhak untuk menyuara atau mengembangkan pendapat atau idea apa sekalipun, walaupun bertentangan dengan Islam. Dia berhak pula menyatakan atau menyerukan idea atau pendapat itu dengan sebebas-bebasnya tanpa ada syarat atau batasan apapun. Dia berhak pula mengungkapkan idea atau pendapatnya itu dengan cara apapun, tanpa ada larangan baginya untuk melakukan semua itu baik dari negara atau pihak lain, selama dia tidak mengganggu kebebasan orang lain. Maka setiap larangan untuk mengembangkan, mengungkapkan, dan menyebarluaskan pendapat akan dianggap sebagai pelanggaran terhadap kebebasan asasi seseorang.
Oleh yang demikian, baik Muslim mahupun non-Muslim, demokrasi mengajar bahawa mereka adalah bebas untuk mengeluarkan pendapat, sampai ke tahap menghina Islam sekalipun. Kita telah dan sedang melihat betapa banyak dari orang-orang kafir yang menghina Islam, namun tidak ada satu tindakan pun (oleh pemerintah) yang dikenakan ke atas mereka. Orang-orang kafir Barat sering menghina Islam, menghina Al-Quran, menghina Rasulullah SAW dan menghina ajaran-ajaran Islam, namun kesemua tindakan tersebut dibiarkan atas alasan kebebasan, hak asasi manusia dan demokrasi. Orang-orang kafir yang tinggal di Malaysia juga tidak kurang biadabnya menghina Islam, namun kesemuanya dibiarkan tanpa diambil tindakan apa pun oleh pemerintah. Alangkah pengecutnya pemerintah yang ada!!!
Lebih malang dan lebih buruk, apabila terdapat segelintir pemimpin sendiri yang menghina Islam melalui kenyataan-kenyataan mereka. Seseorang yang mengakui hudud sebagai hukum Tuhan tentunya bertepatan dengan akidah Islam, namun tidak mahu melaksanakan hudud yang merupakan hukum Tuhan adalah sama ertinya dengan tidak mahu mengakui kebijaksanaan Tuhan (Allah) sebagai Yang Maha Mengatur dan Maha Adil di dalam membuat peraturan. Bukankah ini sebuah kenyataan yang bertentangan dengan akidah Islam? Inilah padah dan kesan kebebasan berpendapat yang diajar dalam ajaran demokrasi!
Kebebasan bersuara di dalam ajaran demokrasi bukan sahaja bermakna bahawa seseorang itu boleh bersuara menentang Islam, ia juga bermakna sebaliknya, yakni seseorang Muslim itu dilarang dari bercakap tentang Islam, yang merupakan agamanya sendiri! Itulah ajaran demokrasi di mana para pembuat undang-undang, membuat undang-undang yang diluluskan dengan suara majoriti dari kalangan mereka, bahawa orang Islam dilarang dari bercakap tentang Islam, khususnya di tempat-tempat terbuka, termasuk di dalam masjid dan surau, kecuali orang yang telah diberikan tauliah oleh kerajaan.
Antara Politik, AUKU Dan Perlembagaan
Satu perkembangan terbaru yang amat menggembirakan parti pembangkang adalah keputusan Mahkamah Rayuan pada 31 Oktober lepas yang memutuskan bahawa Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 bercanggah dengan hak-hak kebebasan asasi yang dijamin di bawah perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan. Seksyen 15(5) AUKU menetapkan bahawa pelajar universiti tidak dibenarkan menyokong atau membangkang mana-mana parti politik atau apa-apa pertubuhan yang ditetapkan oleh Menteri “sebagai tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar atau universiti itu”. Pada 28 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak saman pemula yang dikemukakan oleh empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia untuk mencabar tindakan tata tertib terhadap mereka kerana didakwa terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor pada April tahun lalu. Mahkamah Rayuan pada Isnin lalu menolak keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa Seksyen 15 (5) tidak melanggar Perlembagaan.
Kementerian Pengajian Tinggi dilapor akan membincangkan keputusan Mahkamah Rayuan ke Kabinet dalam tempoh terdekat ini. Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu bertujuan mendapatkan keputusan daripada jemaah menteri sama ada kes tersebut wajar dirayu ke Mahkamah Persekutuan atau sebaliknya. Menurut beliau, biarpun para pelajar diberi kebebasan tetapi ia masih tertakluk kepada sekatan tertentu terutama bagi mengelak mereka terpengaruh dengan gerakan mana-mana parti politik. Katanya, ia sesuai dengan matlamat pendidikan itu sendiri yang ingin membangunkan intelektual dalam kalangan pelajar bagi membolehkan mereka mempunyai fikiran yang seimbang, bebas dan waras tanpa dipengaruhi mana-mana ideologi politik [UM02/11/11]. Selain pihak Kementerian, beberapa NGO yang menyokong kerajaan turut tidak bersetuju dan melahirkan kebimbangan dengan keputusan Mahkamah Rayuan tersebut.
Apa pun alasan yang diberikan, kerajaan nampaknya sangat takut untuk membenarkan mahasiswa terlibat di dalam politik kepartian. Walaupun keputusan ini disifatkan sebagai kemenangan kepada mahasiswa, namun masih ramai di kalangan mereka yang tidak sedar bahawa mereka sebenarnya ditipu oleh demokrasi sejak sekian lama. Ini kerana, sejak puluhan tahun lamanya mereka tidak dibenarkan berpolitik kerana adanya AUKU yang diluluskan oleh Parlimen melalui proses demokrasi! Walhal berdasarkan hukum demokrasi yang meletakkan hak kepada majoriti, kerajaan seharusnya mengikut desakan dari majoriti mahasiswa yang ingin terlibat di dalam parti politik. Namun, apa yang diambil kira oleh kerajaan selama ini hanyalah ‘kepentingan’ kerajaan semata-mata, bukannya ‘suara majoriti’ mahasiswa atau rakyat. Segala keputusan adalah di tangan kerajaan, bukannya di tangan mahasiswa atau rakyat, walau sebesar mana sekalipun suara rakyat tersebut. Inilah praktik demokrasi di Malaysia di mana keputusan kerajaan (bukan keputusan rakyat) yang sebenarnya diambil kira!
Walaupun keputusan Mahkamah Rayuan tersebut nampak baik dan dialu-alukan oleh gerakan Islam, namun kita perlu sedar bahawa keputusan ini bukannya dibuat atas dasar Islam, tetapi dibuat atas dasar hak asasi manusia dan diputuskan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan. Justeru, walaupun sekali imbas keputusan tersebut nampak baik, namun apabila ia tidak didasarkan kepada Al-Quran dan Sunnah, maka kita perlu meletakkan satu kefahaman yang benar mengenainya. Sandaran ‘boleh-tidak’ sesuatu perbuatan kepada ukuran hak asasi (bukan kepada Islam), adalah satu sandaran yang salah. Sebagai Muslim, kita semua tahu bahawa ukuran perbuatan kita (sama ada boleh atau tidak dilakukan) adalah terletak kepada nas. Jika nas membenarkan, maka perbuatan itu boleh dilakukan dan jika nas tidak membenarkan, maka perbuatan itu haram dilakukan. Ringkasnya, ukuran perbuatan itu adalah berdasarkan nas, bukannya berdasarkan Perlembagaan atau lain-lain undang-undang buatan manusia. Oleh yang demikian, sekalipun Perlembagaan atau AUKU menghalang sesuatu perbuatan, kita tetap melakukannya berdasarkan kebolehan (kebenaran) dari nas tadi.
Dalam hal ini, kita semua perlu faham bahawa berpolitik itu adalah boleh (dan wajib) kerana ada nas yang membolehkannya (dan mewajibkannya). Walau ada seribu atau lebih sekalipun undang-undang yang menghalang, seseorang itu tetap wajib berpolitik kerana ia adalah sebahagian dari tututan agama (sila lihat SN150 dan SN227). Hal ini amat penting difahami kerana sebagai seseorang Muslim, kita adalah terikat dengan nas dan bukannya dengan Perlembagaan, apatah lagi Perlembagaan itu sendiri adalah sebuah kitab ciptaan Lord Reid yang bertentangan dengan Islam. Justeru, jika selepas ini pihak kerajaan merayu ke Mahkamah Persekutuan dan seterusnya memenangi kes ini sekalipun, para mahasiswa tidak seharusnya berhenti dari berpolitik kerana ia adalah tuntutan Islam.
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Itulah beberapa peristiwa terkini tanahair yang menunjukkan kerosakan yang dihasilkan oleh nilai-nilai demokrasi, khususnya idea kebebasan yang disucikan dalam demokrasi. Baik di dunia Barat mahupun di dunia Islam, sistem demokrasi yang dijaja oleh Barat ini akan terus-menerus membawa kerosakan dengan segala kekejian dan kejijikannya. Akibat sistem demokrasilah, darjat manusia terus jatuh ke lembah yang hina sehingga lebih hina dari binatang. Sedarlah wahai mereka yang berakal, bahawa demokrasi adalah sistem kufur yang bertentangan dengan Islam. Demokrasi adalah suatu sistem di mana undang-undangnya dibuat oleh manusia. Demokrasi adalah suatu sistem yang menafikan hak Allah selaku Pembuat undang-undang. Tidakkah semua hal ini merupakan hal yang terlalu jelas bagi kalian wahai mereka yang beriman?
“Dan siapa sahaja yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang Mukmin, Kami biarkan mereka berkuasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan ia ke dalam Jahannam dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali” [TMQ an-Nisa’ (4):115].
Ittaqullah ya ikhwanal kiram..ittaqullah.