SN290 – BARAT MERAMPAS DAN MENGALIHKAN ARAH PERUBAHAN TIMUR TENGAH
BARAT MERAMPAS DAN MENGALIHKAN ARAH PERUBAHAN TIMUR TENGAH
Sesungguhnya pelbagai cara telah dan sedang digunakan oleh Barat untuk membentuk arah perubahan ini. Yang terpenting ada lima cara iaitu: Pertama, memanfaatkan para politikus boneka mereka. Kedua, memberi bantuan ekonomi (hutang). Ketiga, melakukan campurtangan ketenteraan. Keempat, mempropagandakan Islam moderat. Kelima, mengendalikan media massa bagi mempengaruhi pandangan umum (public opinion).
Para Politikus Boneka Dan Para Ejen
Barat kerap memanfaatkan ahli-ahli politik lokal untuk melayani kepentingannya. Hal ini dapat dilihat dengan jelas dari pelbagai campurtangan politik negara-negara Barat di kebanyakan negara di Timur Tengah. Campurtangan politik ini tidak akan berjalan kecuali kerana adanya peranan aktif para politikus lokal ini yang menjadi tangan-tangan Barat. Timur Tengah memang sejak sekian lama telah menjadi arena persaingan politik yang hebat di antara negara-negara imperialis Barat.
Di Tunisia, arah perubahan dikendalikan oleh Eropah (Britain dan Perancis), jauh dari pengaruh Amerika, kerana Tunisia sejak sekian lama memang berada di bawah pengaruh Eropah. Sementara di Mesir, Amerikalah yang memegang kendali perubahan melalui militer Mesir, kerana tidak ada pengaruh Eropah yang efektif di sana. Manakala di Libya dan Yemen, kekuatan Amerika dan Eropah hadir secara bersama meskipun kekuatan Eropah lebih nyata berbanding Amerika. Di Syria, keadaannya lebih rumit di mana Amerika berkali-kali menegaskan bahawa ia tidak akan melakukan campurtangan. Ini kerana kedudukan Syria yang sentral dan amat signifikan bagi kepentingan Amerika di Timur Tengah seperti kepentingan Amerika di Israel dan Iraq. Pada masa yang sama, kewujudan Britain di Syria juga masih kekal melalui ejen-ejennya yang telah ditempatkan di sana sejak sekian lama.
Bagaimanakah campurtangan politik Barat ini dapat berlaku di negeri-negeri tersebut? Ya, hakikatnya semua ini berjalan melalui para ahli politik lokal yang menjadi ejen dan boneka Barat. Di Mesir misalnya, kepentingan Amerika dalam revolusi Timur Tengah ini dijalankan oleh Jeneral Sulaiman yang secara de facto menjadi pemimpin Mesir untuk sementara pasca jatuhnya Presiden Hosni Mubarak. Sulaiman tak ada bezanya dengan Hosni Mubarak atau Anwar Sadat, yang menjadi boneka politik Amerika di waktu kekuasaan masing-masing. Sesungguhnya tidak mudah bagi Amerika dan Barat untuk masuk campur di dalam urusan Mesir tanpa bantuan dan kerjasama para penguasa pengkhianat tersebut.
Bantuan Ekonomi
Barat juga memanfaatkan cara ekonomi untuk merampas dan mengalihkan arah perubahan Timur Tengah. Dalam pertemuan negara-negara G-8 yang berlangsung pada 26-27 Mei 2011 yang lalu di Perancis, pinjaman berbunga kepada Tunisia dan Mesir telah dipersetujui bagi mengarahkan kedua negara itu untuk menerapkan kapitalisme di bidang ekonomi dan demokrasi di bidang pemerintahan. Negara-negara kapitalis G-8 itu telah menyiapkan dana lebih dari 20 bilion dolar AS untuk mengikat Tunisia dan Mesir dengan pelbagai syarat yang mematikan. Tujuannya adalah agar kedua negara itu tetap berada di bawah kawalan dan dominasi ekonomi kapitalis ribawi dan pemerintahan demokrasi di bawah pimpinan Amerika dan Eropah.
Sementara itu IMF telah memberikan pinjaman ribawi sebanyak USD3 bilion kepada Mesir (dari 12 bilion dolar yang diperlukan menurut perkiraan IMF) dengan jumlah riba sebanyak 3% untuk menutup defisit KDNK dan mengatasi defisit perdagangan luar negerinya. Mesir mengalami lonjakan inflasi hingga 20% dan defisitnya mendekati 10% dari nilai KDNK-nya. Perdana Menteri Tunisia pula telah meminta bantuan dari G-8 sebanyak USD25 bilion dalam jangka waktu 5 tahun, untuk mengatasi kemiskinan dan pengangguran yang dikatakan akan menyuburkan ekstremisme. Inilah cara Barat mengheret arah perubahan Timur Tengah melalui jalur bantuan ekonomi. Atas nama ‘bantuan’, apa yang sebenarnya terjadi ialah Timur Tengah telah terjerat dengan permainan Barat yang penuh kejahatan.
Campurtangan Ketenteraan
Campurtangan langsung Barat di bidang ketenteraan juga merupakan salah satu cara untuk membentuk arah perubahan Timur Tengah mengikut acuan mereka. Di Libya contohnya, terdapat dua kekuatan politik yang berpengaruh iaitu Amerika dan Eropah. Melalui NATO, Eropah berkepentingan untuk segera melenyapkan Gaddafi. Sementara itu, Amerika pula berusaha untuk mempertahankan Gaddafi dalam rangka melenyapkan pengaruh Eropah di situ. Inilah yang membuatkan Amerika agak perlahan terlibat dalam operasi penggulingan Gaddafi, sehinggalah ke saat kematian Gaddafi. Di Yemen, juga terdapat persaingan antara kekuatan Amerika dan Eropah. Eropah ingin segera menjatuhkan Ali Abdullah Saleh, manakala Amerika masih ingin mempertahankannya. Inilah yang membuat revolusi di Yemen masih tidak bernoktah.
Campurtangan ketenteraan di Libya sesungguhnya amat jelas hanya bertujuan untuk merealisasikan kepentingan Barat dan bukannya untuk membantu umat Islam menuju arah perubahan yang sesuai dengan tuntutan Islam. Tujuan campurtangan ketenteraan Barat itu ada dua. Pertama, untuk ‘membalas dendam’ kepada Gaddafi yang selama ini dianggap belum cukup membayar ganti rugi bagi korban letupan pesawat Lockerby. Kedua, untuk menguasai minyak Libya yang melimpah ruah.
Kesan campurtangan ketenteraan ini menjadi musibah yang amat buruk bagi rakyat Libya. Selain kematian 25 ribu orang akibat perang saudara sejak Februari hingga Oktober 2011, kesannya juga turut terasa dari segi ekonomi. Rakyat Libya bakal jatuh ke dalam penjajahan ekonomi yang sangat eksploitatif. Di samping itu, semua harta Gaddafi yang disimpan di bank-bank Barat disita oleh Barat untuk membayar kos operasi ketenteraan ini. Pemerintahan Libya selanjutnya juga akan dipaksa untuk menjual minyak dan gas Libya dengan harga yang amat murah kepada Barat, khususnya Amerika dan Perancis.
Islam Moderat
Barat juga memanfaatkan idea dan gerakan Islam moderat untuk mengubah haluan perubahan Timur Tengah. Ini dilakukan Barat kerana terdapat public opinion yang kuat tentang Islam di Timur Tengah. Maka Barat berusaha menggunakan isu ‘Islam moderat’ untuk membentuk rejim-rejim baru berbaju Islam, sehingga seolah-olah sudah sesuai dengan Islam, padahal sebenarnya ia hanyalah merupakan ‘bungkusan’ untuk ideologi Barat. Tujuannya adalah agar umat Islam tertipu dan menyimpang dari arah perubahan hakiki yang kaum Muslimin mahukan iaitu menuju penerapan Islam secara total dalam negara Khilafah.
Cheryl Bernard dan rakan-rakannya dari RAND Corporation, sebuah lembaga kajian strategis di Amerika, pada tahun 2007 telah menggagas strategi untuk memanfaatkan kefahaman dan gerakan ‘Islam moderat’ dalam membina dan membentuk dunia Islam. Kajian ini memberi cadangan kepada Amerika agar menyokong orang-orang Islam moderat untuk terjun ke dalam perang ideologi bagi menghadapi apa yang mereka sebut sebagai kelompok jihadi fundamentalis dan kelompok Islam radikal.
Amerika merealisasikan strategi itu dengan dua langkah utama. Pertama, AS membekalkan idea-idea sekular kepada kelompok-kelompok Islam. Beberapa tokoh kelompok Islam di Kuwait dan Mesir telahpun menyuarakan idea Barat ini. Antara lain ideanya adalah, orang non-Muslim boleh menjadi anggota parti Islam atau bersama-sama dengan parti Islam. Barat juga cuba menyusupkan anggapan bahawa seruan penegakan syariah dan Khilafah hanyalah ajakan yang bersifat emosional belaka, ketinggalan zaman dan khayal. Dalam masa yang sama, Barat menuduh dan mempropagandakan bahawa usaha penyatuan umat Islam di bawah Daulah Khilafah adalah usaha kelompok yang ekstrem dan teroris yang mesti dijauhi oleh Muslim yang moderat. Kedua, AS mengadakan hubungan dengan gerakan-gerakan Islam di Mesir, Syria, Kuwait, Lebanon, Palestin dan lain-lain. Langkah Amerika ini juga diikuti oleh Eropah yang mengadakan hubungan dengan kelompok-kelompok Islam, baik secara terbuka mahupun rahsia. Kita boleh lihat di Mesir sebagai contoh di mana Amerika mengadakan hubungan secara terbuka dengan kelompok Islam Ikhwanul Muslimin.
Antara tokoh yang boleh dijadikan contoh representasi idea Islam moderat ialah Hasan Turabi (Sudan) dan Rasyid Al-Ghanusyi (Tunisia). Hasan Turabi, seorang doktor lulusan Sorbonne Perancis, mendukung apa yang disebutnya sebagai “demokrasi Islami.” Sementara Rasyid Al Ghanusyi sebagai pemimpin Hizbun Nahdhah (Parti Kebangkitan) di Tunisia sangat positif terhadap nilai-nilai Barat. Rasyid antara lain menyatakan ketidaksetujuannya dengan negara Khilafah. Di sisi lain dia menyatakan secara terang-terangan bahawa jika partinya berkuasa, dia tidak akan melarang khamr (arak) dan juga tidak akan melarang wanita memakai bikini di pantai-pantai. Contoh tokoh Islam moderat lainnya adalah Tayyip Erdogan, pemimpin Partai Keadilan dan Pembangunan (Turki). Erdogan pernah mengatakan, “Kami menentang idea Negara Agama. Kita tidak perlu bicara tentang Negara Islam dalam pengertiannya yang luas. Yang kita serukan adalah sebuah negara demokrasi yang hakiki yang memberikan kebebasan, kemuliaan dan akidah kepada masyarakat tanpa perbezaan dan diskriminasi” [Al Waie (Bahasa Arab) No 295-297, hlm. 178-179].
Agenda Barat melalui tokoh dan gerakan Islam moderat seperti ini termanifestasi dengan begitu jelas sekali. Sungguh malang apabila kita melihat begitu ramai para pemimpin dan gerakan Islam yang berlumba-lumba mahu dilabel sebagai ‘moderat’. Sebahagian mereka cukup takut kalau digelar oleh Barat sebagai ekstremis atau radikal. Justeru, segala usaha yang mereka lakukan adalah dilaraskan sedemikian rupa agar mereka tidak dicop sebagai ekstremis oleh Barat. Hasilnya, ramai di kalangan tokoh dan gerakan Islam akhirnya berjaya dijinakkan oleh Barat dalam usaha Barat menentukan arah perubahan di Timur Tengah. Usaha Barat melalui ‘Islam moderat’ ini membuahkan hasil dengan mudah kerana adanya ulama-ulama upahan dan juga ‘tokoh-tokoh agama’ yang menjadi rujukan masyarakat yang menyeru ke arah idea ini dengan mengatasnamakan konsep wasathiyyah di dalam Islam. Pendek kata, dari pemimpin negara, gerakan Islam, tokoh-tokoh agama hinggalah ke segenap lapisan masyarakat berjaya diseru kepada idea Islam moderat ini.
Media Massa
Media massa juga menjadi salah satu alat yang cukup berkesan yang digunakan oleh Barat untuk menentukan arah perubahan Timur Tengah. Amat keliru jika kita menganggap bahawa media massa khususnya televisyen, selalu menayangkan realiti yang berlaku di Timur Tengah secara objektif atau positif. Yang benar, Barat sebenarnya menayangkan apa yang mereka inginkan sesuai dengan kepentingan mereka dan apa yang mereka mahu di sebaliknya. Media massa boleh sahaja membesar-besarkan apa yang sebenarnya kecil atau sebaliknya mengecilkan sesuatu yang sebenarnya sungguh besar. Bahkan mereka boleh juga tidak memberitakan suatu peristiwa atau realiti sama sekali, padahal sesungguhnya peristiwa atau realiti itu ada atau nampak dengan jelas.
Dalam revolusi Timur Tengah, apa yang memberi kesan yang kuat bagi penonton televisyen adalah slogan-slogan perubahan yang bersifat sesaat seperti “Irhal Mubarak!” (“Pergilah Mubarak!”), padahal seruan-seruan yang ideologis dan mendasar seperti tuntutan penegakan syariat dan Negara Islam (Khilafah) sebenarnya cukup banyak, tetapi tidak mendapat liputan yang sewajarnya. Contohnya, apa yang terjadi di Homs (Syria) di mana sekelompok pemuda menyerukan kembalinya Khilafah dalam sebuah masirah (long march) yang dilaksanakan di malam hari. Stesyen Aljazeera yang biasanya melaporkan kejadian seperti ini bahkan tidak menyebutnya sama sekali. Demikian juga revolusi di Tunisia di mana begitu kuat kedengaran seruan-seruan Islami yang bersifat ideologis dan global seperti “Al Khilafah Hiya Al Hal” (Khilafah Adalah Penyelesaian), namun tidak ada satu televisyen pun yang menayangkan seruan seperti ini. Ketidakadilan media massa ini banyak sekali terjadi dalam revolusi Timur Tengah sejak ia bermula hinggalah sekarang [Al Waie (Bahasa Arab) No 295-297, hlm. 216].
Semua ini tiada lain kerana media massa telah diarahkan dan dikendalikan samada secara langsung atau tidak oleh Barat, khususnya Amerika. Menteri Luar AS, Hillary Clinton, pernah memberi amaran pada 13 Januari 2011 kepada ketua-ketua negara-negara Arab, agar tidak memberi kesempatan kepada kelompok ekstremis untuk memanfaatkan kondisi politik yang ada. Memang ada kalanya, siaran televisyen menampilkan sosok-sosok aktivis Islam beserta tuntutan-tuntutannya, namun kebanyakan mereka yang muncul itu hanyalah tokoh-tokoh yang telah pun dipilih dan disenangi oleh Barat iaitu dari kalangan tokoh-tokoh kelompok Islam moderat. Sesungguhnya usaha Barat melalui media massa ini amat jelas dalam mempengaruhi dan mengalihkan arah perubahan di Timur Tengah sehingga seluruh dunia ‘dipaksa’ melihat dan mendengar bahawa arah perubahan yang umat Islam mahukan adalah kepada demokrasi dan nilai-nilai kebebasan yang dibawa oleh Barat! Semua ini dilakukan Barat bagi menutup serta merampas dengan tujuan mengalihkan arah kebangkitan umat Islam dari menuju kepada Islam yang sebenar di bawah naungan syariah dan Khilafah, kepada arah perubahan yang Barat inginkan sesuai dengan kejahatan dan kerakusan mereka selaku negara-negara kuffar penjajah yang tidak pernah berhenti memusuhi Islam dan umatnya.
Wallahu a’lam.