SN301 – PENAMBAHBAIKAN PILIHAN RAYA – DI MANA BAIKNYA?
SN keluaran 6 April 2012
PENAMBAHBAIKAN PILIHAN RAYA – DI MANA BAIKNYA?
Pembangkang yang terus membuat sidang media selepas itu membidas tindakan Pandikar Amin dan melahirkan rasa amat tidak berpuas hati dengan keputusan yang telah dibuat oleh beliau. Begitulah nasib pembangkang yang cuba ‘berjuang’ untuk menyelamatkan demokrasi di mana mereka akhirnya sentiasa dibohongi oleh demokrasi itu sendiri! Walaupun dari satu sudut demonstrasi besar-besaran yang dibuat oleh Bersih pada 9 Julai 2011 nampaknya “berjaya” mendesak kerajaan sehingga menubuhkan PSC, namun kerajaan tentunya tidak akan membuat apa-apa perubahan atau penambahbaikan kecuali ia adalah suatu yang memihak kepada mereka. Inilah hakikat demokrasi di mana segala undang-undang hanya digubal dalam rangka menguntungkan pihak yang memerintah, tidak kira kerajaan mahupun pembangkang, tetapi dalam masa yang sama, tetap mengatakan bahawa ia adalah untuk kepentingan rakyat!
Dalam perkembangan yang berkaitan, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) telah mengumumkan sekali lagi akan mengadakan himpunan besar-besaran Bersih 3.0 pada 28 April ini bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Kesemua anggota jawatankuasa termasuk pengerusi bersama Datuk A. Samad Said dan Datuk AmbigaSreenevasan turut hadir pada sidang media di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor. Himpunan kali ini memilih tema ‘Duduk Bantah’ dan bakal diadakan serentak di seluruh negara dan dunia. Himpunan itu juga akan disertai bersama oleh 84 NGO dan masih mengekalkan lapan tuntutan iaitu bersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media bebas dan adil, masa kempen minima 21 hari, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor [www.harakahdaily.net].
Penambahbaikan Pilihan Raya, Apa Yang Tak Kena?
Sebagai Muslim, kita seharusnya sedar, malah sepatutnya telah lama sedar bahawa pilihan raya di dalam sistem demokrasi ini sesungguhnya tidak akan merubah apa-apa, apatah lagi jika kita mengharapkan perubahan kepada Islam. Pilihan raya di dalam sistem demokrasi ini sesungguhnya hanya akan lebih menjauhkan seseorang Muslim itu daripada Islam. Ini kerana, selain menyalahi syarak, terdapat banyak perbezaan mendasar di antara pilihan raya di dalam sistem demokrasi dan pilihan raya di dalam Islam:-
Pertama: Pilihan raya di Malaysia yang di adakan sejak pertama kali pada tahun 1955 sehinggalah ke pilihan raya umum ke-12 pada tahun 2008 yang lepas, kesemuanya hanyalah rekayasa penjajah British di dalam memastikan umat Islam di Tanah Melayu ini tunduk kepada peraturan dan undang-undang penjajah kuffar itu. Sumber utama kepada pilihan raya ini adalah perlembagaan ciptaan Lord Reid, yang termaktub dalam Bahagian VIII Perkara 113-120 Perlembagaan Persekutuan.
Di dalam Islam, sememangnya terdapat pilihan raya, walaupun bukan di dalam bentuk seperti hari ini, sebagaimana yang telah terjadi pada masa pemilihan Khalifah Uthman ibnu Affan di mana Abdul Rahman bin Auf telah mengetuai proses pengambilan pendapat dari kalangan kaum Muslimin sehingga terlantiknyaUthman sebagai Khalifah yang ketiga umat Islam, menggantikan Khalifah Umar Al-Khattab [sila rujuk “SN164 Pandangan HizbutTahrir Tentang Pilihan Raya” untuk mengikuti kupasan yang lebih lanjut]. Proses pemilihan dari peringkat awal sehinggalah dibaiatnyaUthman sebagai Khalifah, semuanya berlaku atas kesepakatan para sahabat (ijma’ sahabat). Dengan kata lain, sumber hukum kepada pilihan raya di dalam Islam adalah diambil dari ijma’ sahabat, manakala “sumber hukum” kepada pilihan raya di Malaysia adalah diambil dari kesepakatan Lord Reid dan kawan-kawannya yang lain yang menjadi penggubal kepada Perlembagaan Persekutuan.
Kedua: Pilihan raya di Malaysia merupakan satu-satunya thariqah (metod) untuk membentuk dan merubah kerajaan, malah ia merupakan metod yang bersifat “wajib”. Perlembagaan dan undang-undang yang ada sama sekali tidak membenarkan pembentukan atau penukaran kerajaan dibuat selain dari metod ini. Sesiapa yang ingin menukar atau membentuk kerajaan tanpa mengambil metod pilihan raya, maka ia dikira telah melanggar Perlembagaan dan boleh dihukum. Sesiapa yang ingin merubah kerajaan tanpa thariqah pilihan raya bukan sahaja dianggap sebagai bersalah, malah boleh dianggap sebagai ekstremis dan mungkin juga teroris. Ringkasnya, dengan memasukkan peruntukan tentang pilihan raya ke dalam Perlembagaan, maka umat Islam telah berjaya “dikunci” dengan kemas oleh penjajah kuffar agar tidak menggunakan jalan lain untuk menukar kerajaan selain jalan pilihan raya. Hatta, jika menggunakan thariqah Rasulullah sekalipun untuk mendirikan sebuah negara Islam, ini adalah salah, kerana hanya thariqah demokrasi-pilihan raya sahaja yang dibenarkan!
Dengan cara ini, Lord Reid (baca: penjajah) sebenarnya telah berjaya menjauhkan umat Islam dari cara berfikir yang benar (yang Islami). Sekiranya golongan kafir atau golongan sekular sentiasa bertungkus-lumus memastikan mereka menang di dalam pilihan raya, hal ini amat mudah untuk difahami kerana golongan ini sememangnya tidak berpegang kepada Islam. Namun, apa yang menyedihkan ialah parti atau gerakan Islam juga turut berjaya diheret ke lembah perangkap yang sama. Parti Islam, khususnya yang berjuang di dalam demokrasi, sudah hilang jati diri Islamnya dan betul-betul memfokuskan perjuangan mereka kepada memenangi pilihan raya. Apa sahaja yang mereka lakukan, baik berupa ceramah, perhimpunan, pendedahan kejahatan kerajaan, pembinaan ahli, pengggabungan dengan parti kafir/sekular, pembukaan keahlian kepada orang kafir dan sebagainya, kesemuanya dilakukan dengan matlamat memenangi pilihan raya. Malah jutaan wang dihabiskan, baik oleh pemerintah mahupun pembangkang, hanya semata-mata untuk memastikan kemenangan calon masing-masing di dalam pilihan raya. Pendek kata, matlamat telah menghalalkan segala cara demi memenangi sesebuah pilihan raya!
Manakala di dalam Islam, pilihan raya bukanlah metod untuk membentuk atau menukar kerajaan. Perlu difahami bahawa pilihan raya di dalam Islam boleh menjadi uslub (cara/teknik) dan bukan satu-satunya uslub untuk memilih pemimpin dan yang lebih penting untuk difahami, pilihan raya bukanlah thariqah untuk membentuk atau menukar kerajaan. Thariqah adalah suatu yang bersifat tetap manakala uslub boleh berubah-ubah. Satu-satunya thariqah untuk membentuk kerajaan atau dengan kata lain untuk menegakkan sebuah Negara Islam adalah melalui thariqah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan ia bukanlah melalui jalan pilihan raya, bukan juga melalui jihad atau revolusi rakyat. Adapun untuk memilih ketua negara (Khalifah) dalam keadaan di mana telah ada Khalifah sebelumnya, maka uslub pilihan raya boleh digunakan, sebagaimana yang ditunjukkan oleh ijma’ sahabat semasa pemilihan Uthman bin Affan. Namun, untuk membentuk sebuah Negara Islam, dalam keadaan sebelumnya tidak ada Negara Islam, maka thariqah Rasulullah SAW semasa perjuangan baginda di Mekah wajiblah diikuti dan bukannya melalui pilihan raya.
Ketiga: Tujuan pilihan raya diadakan di dalam sistem demokrasi di Malaysia adalah untuk memilih “wakil” (bukan memilih “pemimpin”) dan wakil yang dipilih ini akan pergi ke Parlimen untuk menjalankan tiga fungsi utama iaitu (i) memilih pemimpin negara (ii) melakukan muhasabah (iii) menggubal undang-undang (tasyri’). Di antara ketiga-tiga fungsi ini, fungsi ketiga adalah yang paling banyak dan paling ketara dilakukan oleh setiap wakil yang menang pilihan raya yang berada di Parlimen.
Sedangkan di dalam Islam, tujuan pilihan raya diadakan adalah untuk memilih Khalifah dan juga untuk memilih anggota Majlis Umat (Majlis Syura). Pemilihan Khalifah boleh dilakukan melalui pilihan raya, namun pelantikannya wajib dilakukan melalui baiat. Seseorang Khalifah hanya sah menjadi Khalifah apabila ia telah dibaiat dan ia dibaiat untuk melaksanakan Kitabullah dan Sunnah RasulNya, bukan untuk tujuan lain. Oleh yang demikian, Khalifah bukannya dibaiat untuk membuat undang-undang atau melaksanakan undang-undang kufur sebagaimana pelantikan seseorang Perdana Menteri atau menteri-menteri di dalam sistem demokrasi. Begitu juga dengan pemilihan anggota Majlis Umat di mana pilihan raya yang diadakan untuk memilih mereka adalah bertujuan untuk mereka melakukan dua perkara yakni memberikan masukan (pandangan) kepada Khalifah dan melakukan muhasabah terhadap Khalifah sekiranya Khalifah tersasar dari hukum syarak. Majlis Umat tidak mempunyai fungsi tasyri’ (membuat undang-undang) sebagaimana Parlimen di dalam sistem demokrasi.
Dalam konteks ini, betapa bersih dan adil sekalipun sesebuah pilihan raya di dalam sistem demokrasi itu berjalan, ia tetap haram selama mana wakil rakyat yang dipilih adalah untuk menjalankan fungsi tasyri’. Ringkasnya, tidak ada gunanya sebuah pilihan raya yang bersih dan adil sekiranya asas dan tujuan pilihan raya itu sendiri adalah menyalahi syarak.
Keempat: Menurut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, tempoh maksimum Parlimen adalah lima tahun. Kecuali dibubarkan lebih awal, Parlimen akan terbubar dengan sendiri selepas tempoh tersebut dan sebuah pilihan raya hendaklah diadakan dalam masa 60 hari dari tarikh pembubaran tersebut. Sebagai Muslim, pernahkah kita bertanya berapakah tempoh maksimum sesebuah pemerintahan Islam? Adakah Allah SWT atau Rasulullah SAW menetapkan tempoh maksimum bagi seseorang untuk menjadi pemerintah? Adakah para sahabat atau para Khulafa’ Rasyidin menetapkan tempoh tertentu di dalam pemerintahan mereka? Jika jawapan untuk semua itu adalah ‘tidak’, maka, persoalannya berapakah tempoh maksimum pemerintahan seseorang Ketua Negara di dalam Islam?
Sebelum menjawab persoalan di atas, persoalan yang terlebih dahulu perlu dijawab adalah, dari mana dan kenapa di Malaysia, tempoh maksimum sesebuah pemerintahan itu ditetapkan lima tahun? Jawapannya adalah, kerana Lord Reid (perlembagaan) telah menetapkannya demikian!!! Jika Lord Reid dahulunya menetapkan bahawa tempoh maksimum pilihan raya adalah tiga tahun atau tujuh tahun, maka tentulah tempoh maksimum tersebut yang akan menjadi ikutan pencinta demokrasi di Malaysia. Dengan kata lain, rakyat yang patuh kepada tempoh masa ini sebenarnya telah patuh kepada ketetapan yang telah dibuat oleh Lord Reid, bukannya patuh kepada ketetapan Allah dan RasulNya. Makanya, sungguh aneh dengan gerakan Islam yang memperjuangkan demokrasi yang dikatakan tidak bertentangan dengan Islam, walhal dalam hal ingin menegakkan Islam sekalipun, mereka sebenarnya telah tunduk kepada ketetapan musuh Islam sehingga terpaksa menunggu lima tahun sekali untuk mendirikan sesebuah negara dan menegakkan Islam.
Sedangkan di dalam Islam, kosongnya sesebuah pemerintahan bukanlah kerana pembubaran pemerintahan mengikut tempoh masa tertentu. Pemerintahan seorang Khalifah akan dikira berakhir hanya apabila tujuh syarat in’iqad (pelantikan) Khalifah sudah tidak lagi wujud. Selama mana syarat in’iqad Khalifah masih wujud, maka selama itulah dia berhak memerintah dan haram untuk memberontak terhadapnya atau menumbangkannya dengan apa cara sekalipun. Di dalam Islam, selama mana Khalifah memerintah dengan Kitabullah dan Sunnah RasulNya, maka ia tidak boleh dijatuhkan atau dibubarkan, berapa lama sekalipun ia memerintah. Inilah hukum Islam dari segi tempoh pemerintahan. Manakala apabila berlakunya kekosongan Khalifah, umat Islam wajib melantik seorang Khalifah dalam masa tiga hari dua malam dan tidak boleh melebihi malam yang ketiga. Setiap orang yang tidak berusaha untuk melantik Khalifah dalam tempoh tersebut adalah berdosa kerana tidak melaksanakan kewajipan yang telah ditetapkan berdasarkan ijma’sahabat.
Dalam keadaan di mana Khalifah telah kehilangan salah satu dari tujuh syarat in’iqad seperti menjadi gila, murtad, fasik secara terang-terangan dan sebagainya, maka secara syar’i ia tidak boleh terus menduduki jabatan kekhilafahan dan mesti dipecat. Pihak yang memiliki kuasa untuk menetapkan pemecatannya adalah Mahkamah Mazhalim. Mahkamah Mazhalimlah yang berkuasa menentukan sama ada seseorang Khalifah itu telah kehilangan syarat in’iqad atau tidak. Jika Khalifah telah kehilangan salah satu syarat in’iqad dan ia mengundurkan dirinya secara sukarela, maka urusannya dikira selesai. Dalam keadaan di mana kaum Muslimin berpandangan bahawa Khalifah wajib dipecat kerana hilangnya salah satu dari syarat-syarat in’iqad, sementara Khalifah menolak pandangan mereka, maka masalah ini dikembalikan kepada Mahkamah Mazhalim. Ini sebagaimana firman Allah SWT,
“Kemudian jika kalian berlainan pendapat tentang sesuatu maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (as-Sunnah)” [TMQ an-Nisa’ (4):59].
Maksudnya adalah jika kalian bersengketa dengan ulilamri (penguasa) di mana sengketa itu adalah sengketa antara waliyulamr (penguasa) dan umat, maka hendaklah persengketaan itu dikembalikan kepada Allah dan RasulNya. Dalam aspek praktikalnya, mengembalikan urusan persengketaan kepada Al-Quran dan As-Sunnah bermaksud mengembalikannya kepada al-Qadha’ (pengadilan) yang akan berhukum dengan Al-Quran dan As-Sunnah dan al-Qadha’ yang menangani masalah ulilamri dan rakyat adalah Mahkamah Mazhalim.
Khatimah
Demikianlah beberapa perbezaan mendasar antara pilihan raya di bawah sistem demokrasi dan sistem Islam. Sesungguhnya masih banyak lagi perkara yang membezakan di antara pilihan raya di dalam sistem demokrasi dengan pilihan raya di dalam Islam. Selain itu, terlalu banyak juga perkara lainnya yang bertentangan dengan Islam yang berlaku setiap kali pilihan raya, baik pilihan raya umum mahupun pilihan raya kecil. Tuduh-menuduh, fitnah-memfitnah, caci-mencaci, penipuan, rasuah, salah guna kuasa, malah pergaduhan seperti tumbuk-menumbuk, baling kayu dan sebagainya adalah fenomena biasa yang dapat dilihat setiap kali pilihan raya. Semua itu terjadi di antara sesama Muslim di mana sudah tidak wujud lagi sifat hormat-menghormati, kasih sayang dan persaudaraan sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam. Semuanya kerana berebut sebuah kerusi. Semuanya kerana ingin memenangi pilihan raya. Semuanya kerana ingin berkuasa di dalam sistem demokrasi. Semuanya adalah kerana umat Islam itu tunduk patuh kepada ajaran penjajah yang telah menjadikan pilihan raya sebagai satu-satunya metod yang sah untuk membentuk dan menukar kerajaan. Justeru, persoalannya adalah, apakah penambahbaikan kepada proses (jika) memaksiati Allah, betapa besar dan hebat sekalipun ia dilakukan, merupakan sebuah kebaikan menurut Islam?