SN319 – HUDUD TIDAK BOLEH DAN TIDAK AKAN TEGAK MELALUI DEMOKRASI
HUDUD TIDAK BOLEH DAN TIDAK AKAN TEGAK MELALUI DEMOKRASI
“Dan apabila mereka dipanggil kepada Allah (untuk berhukum dengan Kitabullah) dan RasulNya agar Rasul menghukum (mengadili) di antara mereka, tiba-tiba sebahagian dari mereka menolak untuk datang. Tetapi jika keputusan itu untuk (kemaslahatan) mereka, mereka datang kepada Rasul dengan patuh. Apakah (ketidakdatangan mereka itu kerana) dalam hati mereka ada penyakit atau (kerana) mereka ragu-ragu (terhadap hukum Allah), ataukah (kerana) kerana takut kalau-kalau Allah dan RasulNya berlaku zalim kepada mereka? Sebenarnya mereka itulah orang-orang yang zalim” [TMQ an-Nur (24):48-50].
Jika para pemimpin negara ini benar-benar beriman kepada Allah, Allah SWT menjelaskan,
“Sesungguhnya jawapan orang-orang Mukmin bila mereka dipanggil kepada Allah dan RasulNya agar Rasul menghukum (mengadili) di antara mereka, ialah ucapan ‘kami dengar dan kami taat.’ Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung” [TMQ an-Nur (24):51].
Di pihak yang lain, MCA mahupun DAP terus secara konsisten menolak hudud dengan pelbagai bentuk bangkangan, malah pemimpin MCA sering mengeluarkan kenyataan yang menghina hukum Allah tersebut. Dengan ruang demokrasi yang menjadi tunjang kepada sistem pemerintahan negara sekular Malaysia pada hari ini, ternyata ia telah memberikan ruang dan peluang yang baik kepada golongan musuh Allah untuk terus melakukan penolakan terhadap apa jua hukum Allah. Dalam masa yang sama, kita melihat bagaimana parti Islam yang berjuang di pentas demokrasi terus terperangkap dan terpedaya dalam sistem yang batil ini dengan “menundukkan” hudud kepada demokrasi. Ini dapat dilihat dari kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang berkata, PAS akan melaksanakan hukum hudud melalui proses demokrasi yang sedia ada. Malah ujarnya, usaha itu telah dimulakan sejak tahun 90-an lagi apabila Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 diperkenalkan di kedua-dua negeri itu. Sebelum itu lagi katanya, mereka telah memperkenalkan draf undang-undang itu kepada NGO Islam dan bukan Islam dan pernah mengemukakan usul agar isu pelaksanaan hudud dibincangkan di Parlimen. “Kita akan terus langsungkannya melalui ruang demokrasi,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Biro Politik dan Pilihan Raya PAS di Pejabat Agung parti itu [http://www.my.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/12660-hudud-pas-akan-laksana-ikut-saluran-demokrasi – 25/08/12].
Ingin Laksana Hudud Melalui Saluran Demokrasi?
Demokrasi merupakan sebuah sistem pemerintahan kufur yang berasal dari Barat. Sistem ini dibuat oleh manusia dan bukan oleh Tuhan manusia. Dalam sistem kufur ini, kedaulatan berada di tangan rakyat (as-siyadah li sya’bi) bukan di tangan syarak. Dengan kata lain, hak untuk membuat undang-undang diletakkan kepada manusia dan apa sahaja undang-undang, walaupun bertentangan dengan hukum Allah, dapat diluluskan sekiranya majoriti pembuat undang-undang bersetuju. Di dalam sistem kufur ini, tempat membuat undang-undang adalah di Parlimen, malah Parlimen dianggap sebagai sebuah tempat yang mulia dan tinggi. Ahli Parlimen di dalam sistem demokrasi dikenali sebagai Legislator atau Law Maker (Pembuat Undang-Undang / Musyarri’) yang mana dalam Islam, Musyarri’ adalah Allah SWT. Di Malaysia, proses pembuatan undang-undang di Parlimen adalah dilakukan melalui dua dewan iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Ia sebenarnya bermula dengan proses pembuatan draf di peringkat kementerian dan Jabatan Peguam Negara lagi. Selepas itu barulah dibentangkan oleh Menteri yang berkenaan di Parlimen.
Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan kuasa Parlimen dalam menggubal undang-undang di mana rang undang-undang yang dibentangkan mestilah diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen. Suatu rang undang-undang itu boleh dimulakan di mana-mana dewan (biasanya bermula di Dewan Rakyat) dan kemudian di bawa ke Dewan Negara. Sebelum diluluskan, suatu rang undang-undang itu mestilah melalui tahap-tahap berikut:
(1) Bacaan Pertama – Ia dilakukan secara formal, ringkas dan tidak ada apa-apa perdebatan dibenarkan;
(2) Bacaan Kedua – Ia dilakukan sekiranya rang undang-undang telah dicetak dan diedarkan kepada ahli dewan. Rang undang-undang akan dibincangkan secara teliti di mana ahli-ahli dewan dibenarkan membahas dan mereka boleh menyokong atau membangkang rang undang-undang berkenaan melalui undi;
(3) Peringkat Jawatankuasa – Sesudah dibahas, rang undang-undang dirujuk kepada sebuah jawatankuasa. Rang undang-undang akan dibaca dan dibahas secara lebih terperinci. Jawatankuasa berkenaan berhak mengubahsuai dan meminda rang undang-undang tersebut jika perlu;
(4) Bacaan Ketiga – Bacaan ketiga ini ringkas dan perdebatan hanyalah kepada beberapa kandungannya sahaja. Kemudian ia dilulus dan dibawa ke Dewan Negara.
Apabila suatu rang undang-undang itu diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen, ia hendaklah diserahkan kepada YDPA untuk diperkenankan dan dalam tempoh 30 hari YDPA hendaklah memperkenankan rang undang-undang itu. Rang undang-undang yang diperkenankan oleh YDPA akan menjadi undang-undang yang dikenali sebagai Akta. Undang-undang ini kemudiannya akan diwarta untuk dikuatkuasakan. Sekiranya suatu undang-undang itu termasuk dalam Senarai II (Senarai Negeri), Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan (seperti hudud), maka ia termasuk di dalam bidang kuasa Negeri dan menjadi hak Dewan Undangan Negeri untuk menggubalnya. Proses penggubalannya hampir sama sahaja, cuma ia hanya melibatkan satu dewan dan peringkat akhir dihantar kepada Sultan, Yang Di-Pertuan Besar atau Yang Di-Pertua Negeri untuk diluluskan dan setelah diluluskan ia dipanggil Enakmen. Begitulah serba ringkas perjalanan proses pembuatan undang-undang di Parlimen dan DUN dalam sistem demokrasi di Malaysia.
Apa yang penting untuk difahami di sini ialah, di dalam sistem demokrasi, sekiranya hudud atau lain-lain undang-undang Islam ingin digubal dan diluluskan, maka undang-undang Allah ini juga “wajib” melalui proses di atas iaitu proses yang sama seperti mana menggubal dan meluluskan undang-undang taghut yang lain. Di sinilah kebatilan demokrasi yang nyata, di mana undang-undang Allah SWT berada di bawah kuasa manusia untuk diluluskan! Inilah sebenarnya apa yang telah diajar dan ditinggalkan oleh penjajah kuffar kepada umat Islam iaitu sebuah sistem demokrasi yang mana hak untuk membuat undang-undang ada pada manusia dan “melebihi” kuasa Allah SWT, di mana undang-undang Allah sekalipun “wajib” tunduk kepada proses yang dibuat oleh manusia. Umat Islam telah tercampak jauh ke dalam lembah kejahilan dengan mengambil sistem kufur ini, di mana mereka menyangka bahawa undang-undang Allah juga boleh dan mesti diluluskan oleh manusia, sesuai dengan kehendak demokrasi.
Bagi ahli Parlimen (pembuat undang-undang) yang terdiri daripada orang-orang kafir dan sekular, mereka langsung tidak merasakan hal ini sebagai sebuah dosa dan kesalahan kerana pemikiran mereka sudah jauh menyeleweng dari pemikiran Islam, malah mereka bukanlah orang-orang yang mahukan Islam dalam pemerintahan pun. Namun bagi parti Islam yang mahukan Islam tetapi bergelumang dengan demokrasi, mereka juga sudah tidak nampak dosa dan kesalahan dalam hal ini kerana seluruh pemikiran dan tubuh mereka sudah ditutupi dengan najis demokrasi. Najis demokrasi yang sudah menyelimuti kepala dan badan mereka membuatkan mereka sudah tidak lagi dapat menghidu kebusukan demokrasi. Syaitan telah berjaya “menghias” demokrasi untuk mereka sehingga mereka merasa demokrasi itu sungguh cantik dan indah! Kerana itulah mereka ingin terus memegang dan memeluk erat demokrasi dan kalau boleh ingin “beriman” dengannya, sehingga mereka akan memusuhi siapa sahaja yang memusuhi demokrasi! Jika dikatakan kepada mereka tinggalkanlah demokrasi kerana ia merupakan sistem kufur yang haram lagi merosakkan, maka mereka akan terus melabelkan orang tersebut sebagai lawan atau musuh yang perlu diperangi. Begitulah kuatnya kecintaan dan “keimanan” mereka kepada demokrasi!
Hudud Untuk Diterapkan Bukan Untuk “Diluluskan”
Hudud merupakan salah satu uqubat (hukuman) dalam Islam selain dari jinayat, ta’zir dan mukhalafat. Uqubat itu sendiri pula merupakan salah satu dari sistem Islam selain dari sistem pemerintahan, sistem ekonomi, sistem pergaulan, pendidikan dan luar negeri. Kesemua sistem ini merupakan hukum-hukum Allah yang pada hakikatnya wajib diterapkan oleh pemerintah tanpa perlu digubal dan diluluskan seperti mana dalam proses demokrasi. Sistem demokrasi yang batil itu meletakkan kedaulatan di tangan manusia sedangkan Islam meletakkan kedaulatan di tangan syarak (as-syadah li syara’). Oleh itu, dalam sistem demokrasi, suatu undang-undang itu memerlukan “kelulusan” manusia terlebih dahulu, manakala di dalam Islam, hukum syarak (hukum Allah) itu wajib dilaksanakan terus, tidak kira sama ada manusia bersetuju atau tidak dan tidak kira sama ada manusia meluluskannya atau tidak. Malah manusia langsung tidak ada hak untuk menggubal, mendebat, mengundi atau meluluskan hukum Allah! Hudud contohnya, merupakan hukum Allah yang wajib dilaksanakan, tanpa perlu digubal, diperdebatkan, diundi atau dipersetujui. Tidak kira sama ada manusia suka atau tidak, faham atau tidak, setuju atau tidak, luluskan atau tidak, keadaan kondusif atau tidak, hukum hudud (serta hukum Islam yang lain) adalah hukum Allah yang wajib dilaksanakan oleh pemerintah tanpa melalui proses penggubalan atau kelulusan!
Di dalam Al-Quran, Allah SWT mewajibkan kepada pemerintah untuk menerapkan hukumNya. Maka, hukum ini wajib diterapkan tanpa perlu digubal melalui bacaan kali pertama, kali kedua dan kali ketiga! Pemerintah sebagai kiyantanfizi (badan pelaksana) merupakan sebuah institusi yang mempunyai autoriti sebagai pelaksana hukum, wajib menerapkan seluruh hukum-hakam Allah dalam negara, bukannya membuat hukum sendiri atau meletakkan syarat di dalam menerapkan hukum Allah. Meletakkan hudud sebaris dengan undang-undang taghut yang lain dan perlu diluluskan oleh manusia sebelum dikatakan “sah” untuk dilaksanakan bukan sahaja haram secara qath’ie, malah boleh menjatuhkan manusia ke dalam kesyirikan kerana ia telah mengambil hak Allah sebagai Pembuat Hukum. Sesungguhnya Allah tidak bersyarikat (berkongsi) dengan manusia di dalam membuat hukumNya. Firman Allah SWT,
“Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah” [TMQ al-An’am (6):57].
Siapakah kita untuk menundukkan hukum Allah di bawah kehendak dan hawa nafsu serta suara majoriti manusia? Apakah hak kita untuk mengundi hukum Allah, apatah lagi untuk meluluskan? Bilakah masanya Allah memberikan hak kepada manusia untuk meluluskan hukumNya?.
Cubalah renungi wahai setiap jiwa yang beriman, adakah Rasulullah SAW dan para sahabat dahulu “bersidang” setiap kali ingin menerapkan hukum Allah? Adakah Rasulullah SAW memanggil para sahabat setiap kali hukum Allah diturunkan, untuk bermesyuarat membahaskannya, mengundinya dan meluluskannya setelah majoriti para sahabat (ahli syura) bersetuju? Adakah begini sikap Rasulullah dan para sahabat terhadap hukum Allah? Sudah tentu tidak! Kita boleh melihat bagaimana takut dan bersegeranya Rasulullah SAW dan para sahabat di dalam melaksanakan hukum Allah. Terlalu banyak hadis yang menyentuh hal ini. Antaranya Ibnu Jarir telah meriwayatkan dari Abu Buraidah dari bapanya, beliau berkata,
“Ketika kami sedang duduk-duduk menikmati minuman di atas pasir, pada saat itu kami bertiga atau berempat. Kami memiliki kendi besar dan meminum khamar kerana masih dihalalkan. Kemudian aku berdiri dan ingin menghampiri Rasulullah SAW. Lalu aku mengucapkan salam kepada baginda, tiba-tiba turunlah ayat tentang keharaman khamar (yang berbunyi): ‘Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya khamar dan judi…..’, sampai akhir dua ayat iaitu ‘Maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu).’ Maka aku datang kepada sahabat-sahabatku (yang sedang minum khamar) dan membacakan ayat tersebut kepada mereka sampai pada firman Allah ‘Maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu)’. Dia (perawi hadis) berkata, ‘Sebahagian di antara mereka yang minumannya masih ada di tangannya, sebahagiannya telah diminum dan sebahagian lagi masih ada di wadahnya.’ Dia berkata, ‘Sedangkan gelas minuman yang ada di bawah bibir atasnya, seperti yang dilakukan oleh orang yang membekam (gelasnya masih menempel di bibirnya), kemudian mereka menumpahkan khamar yang ada pada kendi besar mereka seraya berkata, ‘Ya Tuhan kami, kami telah berhenti”.
Ini adalah sebahagian kisah yang menunjukkan kehebatan generasi cetakan Rasulullah SAW dalam melaksanakan hukum Allah SWT dalam kehidupan mereka. Mereka tidak bersidang untuk mengambil suara majoriti untuk melaksanakan hukum Allah. Dan mereka juga tidak berselisih terhadap perintah dan larangan Allah sama ada boleh diterapkan ataupun tidak, sesuai untuk dilaksanakan ataupun tidak, keadaan kondusif atau tidak. Mereka hanya terus melaksanakannya. Keadaan ini cukup berbeza dengan umat Islam hari ini yang sering memberi alasan dan memperdebatkan hukum Allah untuk dilaksanakan. Setiap Mukmin yang berpegang kepada nas besertaaf’alar-Rasul (perbuatan Rasulullah), akan memahami bahawasanya proses penggubalan undang-undang dalam sistem demokrasi adalah suatu yang batil, baik yang ingin digubal itu adalah undang-undang taghut (bertentangan dengan Islam) atau undang-undang Islam sekalipun, kerana kewajipan manusia hanyalah melaksanakan undang-undang (hukum) Allah, bukan menggubalnya! Kewajipan pemerintah untuk melaksanakan hudud sesungguhnya tidak ada beza sedikit pun dengan kewajipannya untuk melaksanakan solat dan puasa. Kesemuanya wajib dilaksanakan tanpa memerlukan penggubalan dan kelulusan manusia! Hudud adalah hukum Allah yang wajib diterapkan, bukan untuk “diluluskan”.
Khatimah
Sama ada mereka sedar atau tidak, gerakan-gerakan Islam yang berjuang menggunakan saluran demokrasi sebenarnya telah berjaya diperdayakan oleh musuh-musuh Islam sehingga mereka masuk ke dalam perangkap sistem taghut ini. Demokrasi, selain merupakan sistem kufur yang haram secara qathie untuk diambil, diterapkan dan disebarkan, telah terbukti rosak lagi merosakkan sejak sekian lama. Parlimen yang dianggap mulia dalam sistem demokrasi itu pula sesungguhnya merupakan pusat maksiat terbesar kerana di situlah tempat di mana manusia mengambil hak Allah, sehingga hudud Allah tidak akan dapat dilaksanakan kecuali jika diluluskan oleh Parlimen! Dari Parlimenlah keluarnya segala undang-undang dan peraturan kufur yang mengatur kehidupan manusia. Ahli Parlimenlah (bukan Allah) yang menjadi penentu kepada halal dan haram bagi manusia! Riba, arak dan judi menjadi halal kerana ahli Parlimen “menghalalkannya” manakala berdakwah, mengedar risalah dakwah, berdemonstrasi aman dan berusaha menegakkan Khilafah menjadi haram kerana “diharamkan” oleh ahli Parlimen. Inilah hakikat sistem demokrasi di mana pemakan riba dibiarkan tetapi pendakwah ditangkap. Sesungguhnya Islam adalah hak dan demokrasi adalah batil dan haram bagi umat Islam untuk mencampur-adukkan hak dengan batil. Firman Allah SWT
“Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu sedangkan kamu mengetahui” [TMQ al-Baqarah (2):42].