SN324 – KERAJAAN NAK HAPUSKAN RASUAH: MIMPI ATAU BERLAKON?

SN keluaran 12 Oktober 2012
 

KERAJAAN NAK HAPUSKAN RASUAH: MIMPI ATAU BERLAKON?

[SN324] Di dalam kenyataannya yang terbaru, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan keyakinan bahawa kerajaan akan berjaya memerangi rasuah. Keyakinan ini diasaskan oleh penampakan kejayaan menerusi inisiatif-inisiatif serta pembaharuan yang telah dan bakal dilaksanakan oleh kerajaan. Selain itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Pelajaran telah memulakan usaha memasukkan modul integriti dan pencegahan rasuah di peringkat sekolah dan kerajaan juga mengamalkan ketelusan dan pentadbiran yang baik terutama dalam melaksanakan tender terbuka untuk projek-projek kerajaan dan perolehan,” katanya. Muhyiddin berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Persidangan Pertubuhan Agensi Penguatkuasa Antirasuah Antarabangsa (IAACA) Ke- 6 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Inisiatif-inisiatif lain katanya, termasuk menggubal Akta Pemberi Maklumat 2010, menubuhkan 14 buah Mahkamah Sesyen Khas Rasuah serta penyediaan pangkalan data individu yang didapati bersalah dalam kes rasuah oleh mahkamah [UM 08/10/12]. Walaupun begitu yakin dengan langkah yang telah dan akan diambil, Muhyiddin seharusnya tidak lupa bahawa kenyataannya itu dikeluarkan tatkala laporan Transparency International Global Corruption (GCB) 2010 seperti mana yang dipetik oleh Berita Harian, meletakkan polis sebagai paling korup dengan nisbah 4.1/5.0, diikuti oleh parti politik (4.0/5.0) dan Ahli Parlimen (3.4/5.0) [http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PDRMadamekanismepantauanggotarasuah_KPN/Article/].
Kenyataan Muhyiddin itu juga dilontarkan tatkala kita disajikan dengan berita panas terbaru tentang kos perkahwinan anak Ketua Menteri Melaka yang dilaporkan mencecah sehingga RM600,000 dengan kehadiran 180,000 tetamu yang menjadi rekod terbaru dalam Malaysia Book of Records. Kenyataan TPM tersebut juga keluar tatkala kita menyaksikan perbicaraan skandal Port Kelang Free Zone (PKFZ) masih berjalan. Terbaru, dalam perkembangan yang didedahkan oleh pembangkang, projek KLIA2 yang kos asalnya berjumlah RM1.7 bilion (pada Julai 2007), kemudian telah naik kepada RM2.5 bilion (pada Oktober 2010) dan kini dikatakan telah mencecah RM4 billion. Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai mempertikaikan kenaikan kos tersebut dan meminta kerajaan menjawabnya. Ini tidak termasuk sejumlah skandal rasuah yang dikaitkan dengan Perdana Menteri Malaysia sendiri yang masih terus tidak berjawab seperti isu pembelian kapal selam Scorpene, isu perbelanjaan lawatan Najib dan Rosmah ke luar negara, isu kos pertunangan anak mereka dan banyak lagi. Juga, tidak termasuk kes-kes yang bukan lagi misteri tentang kekayaan pak-pak menteri, ketua-ketua dan lain-lain pemimpin kerajaan. Malah, kes-kes rasuah yang melibatkan pegawai atasan polis, kastam, imigresen dan banyak lagi, sama ada yang dilaporkan atau pun tidak, saban hari terus membukit. Pendek kata, amalan rasuah dalam pemerintahan dan politik di Malaysia adalah umpama lagu dan irama, tidak dapat dipisahkan. Inilah realiti rasuah di dalam sistem kapitalisme-sekular di mana hubungan erat antara rasuah dan pemimpin kapitalis adalah suatu yang sudah sebati dan tidak dapat dipisahkan lagi. Di dalam sistem kapitalisme, para pemimpin yang memegang kendali pemerintahan tidak akan dapat memerintah dan berada pada kedudukannya jika tidak ada rasuah disampingnya.

Mimpi Atau Lakonan Menghapuskan Rasuah?

Isu rasuah sudah menjadi isu ‘evergreen’ di dalam negara. Kes-kes rasuah tidak pernah kering dari dilaporkan sama ada di media cetak mahupun media elektronik. Bukan sahaja pihak media, malah masyarakat sendiri tidak pernah berhenti membicarakannya, yang menunjukkan betapa banyaknya kes-kes rasuah yang berlaku dari masa ke semasa. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa amalan jijik ini sebenarnya berlaku setiap hari dan kadang-kadang boleh dilihat di depan mata. Sudah menjadi lumrah bahawa jika orang itu besar, maka besarlah rasuahnya dan jika orang itu kecil, kecillah rasuahnya. Sudah menjadi lumrah juga untuk Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri kabinet dan ramai lagi ahli politik, sering menyebut-nyebut tentang keburukan rasuah dan usaha kerajaan untuk menanganinya, seolah-olah mereka adalah orang-orang yang berusaha untuk menghapuskannya! Sejak era Dr. Mahathir, usaha untuk menghapuskan rasuah sering diperkatakan oleh bekas Perdana Menteri ini. Namun ternyata indeks rasuah di zamannya terus meningkat. Begitu juga di era pemerintahan Pak Lah yang terkenal sebagai Mr.Clean, yang cuba membersihkan para menteri dan kakitangan kerajaan dari rasuah, namun ternyata Malaysia tidak pernah ‘clean’ dari gejala rasuah di zamannya. Itulah mimpi para pemimpin, jika pun tidak lakonan, dalam usaha mereka menghapuskan rasuah. Walaupun kes rasuah yang melibatkan pemimpin tertinggi negara tidak pernah dapat dibuktikan, namun dengan menggunungnya kes rasuah di kalangan orang bawahannya, maka tidak hairanlah jika usaha mereka untuk menghapuskan rasuah hanyalah ibarat guru kencing berdiri, murid kencing berlari. Kita semua tahu apa kesudahannya dengan si ketam
yang cuba mengajar anaknya berjalan betul. Inilah hakikat para pemimpin dan anak buah mereka pada hari ini. Jika benar sekalipun ada usaha di kalangan mana-mana pihak yang benar-benar ikhlas ingin menghapuskan rasuah, hal ini sungguh sulit, jika pun tidak mustahil, dalam keadaan sekarang. Hal ini kerana:-

Pertama: Sistem sekular yang diterapkan hari ini dengan akidah pemisahan agama dari negara dan kehidupan (faslu ad-deen an alhayah), menyebabkan nilai-nilai ketakwaan hilang dari politik dan pemerintahan. Sistem yang tidak di built in dengan keimanan ini, menyebabkan tidak ada kawalan internal yang menyatu dalam diri politikus dan juga penjawat awam. Akhirnya, semuanya hanya bersandar pada kawalan eksternal semata-mata dan sedikit pengawasan dari pihak atasan serta pihak kehakiman. Masalahnya, mereka semuanya tidak jauh berbeza, bahkan sama sahaja. Orang atas makannya mewah manakala orang bawah makannya kecil sahaja, tetapi makan tetap makan, tidak kira kecil atau besar. Sikit-sikit pun tak apa, lama-lama menjadi bukit. Kes V.K Lingam yang pernah mengemparkan negara satu ketika dahulu kerana klip video correct correct correct yang menunjukkan perbualannya dengan seseorang bagi ‘mengatur’ pelantikan hakim, menunjukkan betapa bidang kehakiman sendiri sudah tidak boleh diharap. Di sisi lain, hukuman juga bersifat terpilih. Umum mengetahui bahawa kesemua jerung selalu sahaja terlepas dan hanya ikan bilis sahaja yang tersangkut. Kalau ada jerung yang tersangkut sekalipun, ia hanyalah jerung yang dikambing hitamkan saja.

Kedua: Sistem politik demokrasi yang ‘mahal’ menjadi salah satu sumber masalah korupsi. Siapa tak tahu, untuk seseorang menjadi ahli politik ‘biaya’nya cukup besar. Untuk menjadi wakil rakyat sahaja sudah memerlukan ratusan ribu, malah ada yang juta-juta, apatah lagi untuk menjadi menteri hinggalah ke atas. Mana cukup dengan gaji yang ada untuk sampai ke peringkat itu semua. Sebab itu, dalam sistem demokrasi-kapitalisme ini, siapa yang miskin atau tak berduit, jangan mimpilah untuk jadi wakil rakyat atau nak jadi pemimpin! Kita menyaksikan bagaimana parti-parti atau pihak-pihak yang bertanding untuk menjadi wakil rakyat perlu menghabiskan jutaan ringgit untuk memastikan kemenangan. Ini semua menunjukkan betapa mahalnya harga demokrasi! Namun begitu ‘pulangannya’ lagi besar bila dah menang, sebab itulah habis ratusan ribu pun tak apa kerana selepas ini jutaan ribu pula yang masuk! Untuk mereka yang dah menang ini, sekadar berusaha untuk ‘balik modal’ sahaja memang tak patut, tetapi mesti berusaha mendapatkan keuntungan selumayan mungkin. Justeru, apa cara sekalipun mesti diusahakan, baik cara-cara itu “sah tetapi curang” atau “curang tetapi sah” seperti projek ratusan juta atau berbilion ringgit melalui pemberian terus atau proses tender yang sudah diatur dan banyak cara lain lagi yang kesemua cara-cara ini sudah pun menjadi rahsia umum. Kesemua ini berjalan dengan lancar kerana adanya ‘pelincir’ yang membantu.

Ketiga: Antara masalah terbesar dan punca suburnya rasuah sehingga hampir mustahil untuk dihapuskan adalah kerana kerajaan pimpinan UMNO-BN ini telah membezakan di antara rasuah biasa dan ‘rasuah politik’. Rasuah biasa memang dianggap sebagai kesalahan dan boleh dihukum di bawah undang-undang negara, namun rasuah politik atau lebih dikenali sebagai ‘politik wang’ tidak termasuk dalam kesalahan undang-undang! Politik wang yang nyata-nyata adalah satu rasuah tidak boleh dan tidak pernah diambil tindakan oleh pihak berkuasa tetapi hanya diambil tindakan oleh badan disiplin sesebuah parti. Besar mana sekalipun rasuah yang diberikan oleh seseorang calon yang ingin bertanding merebut jawatan dalam parti, ia tetap tidak menjadi kesalahan rasuah tetapi hanya dianggap sebagai kesalahan dalaman parti. Di dalam UMNO sebagai contoh, orang buta sekalipun mengetahui bahawa wujudnya rasuah seumpama ini yang mengalir laju tanpa henti ibarat air terjun, dan jumlah RM yang terlibat bukan alang-kepalang. Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun, Tan Sri Isa Samad sebagai contoh, telah terbukti terlibat dengan politik wang dengan ‘merasuah’ ramai perwakilan sehingga menang jawatan Naib Presiden UMNO pada tahun 2004, hanya digantung tiga tahun dari parti, tetapi langsung tidak didakwa atas kesalahan rasuah. Isa Samad dan beberapa yang lain hanyalah kambing hitam sahaja pada waktu itu, semua orang tahu. Namun hingga kini, kesemua kambing hitam masih dijaga dengan baik oleh UMNO, malah sesetengahnya tetap diberi maqam yang tinggi hingga sekarang. Inikah parti/kerajaan yang nak menghapuskan rasuah? Begitu juga dengan segala pemberian, baik wang mahupun hartabenda, semasa pilihan raya, tidak pernah dianggap sebagai rasuah oleh kerajaan. Ia hanya dianggap sebagai ‘pemberian’ malah istilah yang lebih baik digunakan iaitu ‘sumbangan ikhlas’ kononnya demi menolong penduduk sesuatu kawasan. Hakikatnya, wang atau harta benda tersebut diberikan semata-mata untuk mendapat ‘imbalan’ undi dari orang yang menerimanya. Kesemua hal ini, baik politik wang mahupun politik pilihan raya, yang melibatkan pemberian jutaan wang, tidak pernah dikategorikan sebagai rasuah. Justeru, bagaimana mungkin dalam sistem demokrasi di mana amalan seumpama ini yang sudah menjadi darah daging kepada ahli politik, boleh menghapuskan rasuah? Memberi dan memakan rasuah sudah menjadi amalan biasa kepada golongan ini, sehingga mereka tidak lagi merasa berdosa atau bersalah dengan apa yang mereka lakukan. Makan rasuah bagi mereka tidak ubah seperti makan nasi sahaja!

Menghapuskan Rasuah Dengan Syariah Dan Khilafah

Sudah lebih setengah abad Malaysia merdeka dan mengamalkan sistem demokrasi-sekular. Namun, apa yang kita lihat hingga kini adalah kes rasuah yang semakin parah tahun demi tahun. Selagi ada pemimpin yang tidak amanah dan sistem yang rosak, maka selagi itulah rasuah tidak akan dapat dibanteras. Harapan untuk kita bebas dari rasuah hanya akan dapat dicapai jika pembanterasan korupsi ini dilakukan dengan wujudnya pemimpin yang amanah dan bertakwa, diiringi dengan sistem yang baik. Ini kerana, pemimpin yang buruk dan sistem yang buruklah yang sebenarnya menjadi faktor kepada kewujudan dan berleluasanya rasuah. Satu-satunya sistem yang baik yang boleh mencegah amalan keji ini adalah syariah Islam. Ini kerana:-

Pertama: Dasar akidah Islam melahirkan kesedaran yang setiap insan itu senantiasa diawasi oleh Allah SWT yang sekali gus akan melahirkan ketakwaan pada diri pemimpin, ahli politik dan penjawat awam serta masyarakat. Negara diwajibkan terus membina ketakwaan ini. Dari sini, lahirlah kawalan dan pengawasan internal yang built n (menyatu) dalam diri setiap pemimpin mahupun yang dipimpin, yang secara automatik akan menjadi benteng yang kukuh pada dirinya untuk dimasuki oleh apa jua aspek kemaksiatan.

Kedua: Sistem politik Islam dalam hal pemilihan pemimpin dan setiap jawatan kepimpinan, tidaklah “mahal” seperti demokrasi. Tidak timbul soal biaya sampai ratusan ribu atau jutaan ringgit untuk dilantik menjadi pemimpin. Dalam sistem Islam tidak ada pilihan raya sebagaimana dalam sistem demokrasi yang luar biasa mahal harganya untuk menjadi seorang wakil rakyat. Justeru, tidak timbul soal untuk mendapatkan ‘balik modal’ atau keuntungan lumayan melalui corong-corong projek dan sebagainya. Anggota Majlis Umat (Majlis Syura), walaupun dipilih melalui pilihan raya di dalam Negara Khilafah, tetapi setelah terpilih, mereka bertugas untuk memberikan input dan memuhasabah Khalifah, bukan untuk membuat dasar, polisi atau undang-undang. Anggota Majlis Umat tidak mempunyai apa-apa kepentingan lain selain dari fungsi yang telah digariskan oleh Islam kepada mereka, tidak sebagaimana anggota Majlis Parlimen pada hari ini yang mempunyai begitu banyak kepentingan yang ingin diraih. Dengan kata lain, jika mana-mana calon Majlis Umat menang di dalam pilihan raya, tidak ada apa-apa “projek” yang boleh mereka rebutkan, tidak sebagaimana calon pilihan raya dalam sistem demokrasi pada hari ini.

Ketiga: Ahli politik dan proses politik, kekuasaan serta pemerintahan tidak bergantung dan tidak terikat dengan parti politik. Setiap warganegara wajib berpolitik manakala peranan parti politik pula (dalam Islam) bukan untuk memerintah tetapi melakukan dakwah kepada Islam dan melakukan amar makruf nahi mungkar serta memuhasabah penguasa [lihat Ali Imran (3):104]. Hukum dalam syariah Islam bersumber dari wahyu dan wajib dilaksanakan tanpa sebarang dalih, bukannya dibuat oleh wakil rakyat dan penguasa. Justeru, tidak ada ruang untuk berlakunya “politik wang” atau politik pilihan raya yang memerlukan seseorang calon merasuah calon lain sebanyak mungkin demi mencapai kemenangan.

Keempat: Struktur pemerintahan dalam sistem Khilafah semuanya berada di bawah satu kepemimpinan, Khalifah. Setelah seorang Khalifah dibaiat, maka dialah yang mempunyai solahiyah (bidang kuasa) mutlak untuk melantik kesemua pimpinan di bawahnya. Manakala Khalifah itu sendiri pula dikawal oleh Mahkamah Madzalim, sebuah mahkamah khas yang akan membicarakan pemerintah darihal kezalimannya. Syarat untuk menjadi Khalifah atau apa jua jawatan pemerintahan mestilah adil dan tidak boleh fasik, di mana jika wujud atau terbukti kefasikan, maka dia akan dipecat oleh mahkamah Madzalim. Kesemua ini telah menutup segala ruang untuk mana-mana pemimpin (menjadi fasik dengan) mengamalkan rasuah.

Kelima: Sekiranya berlaku rasuah sekalipun di dalam Negara Khilafah, hukum Islam berkenaan harta ghulul akan dilaksanakan, yang menyebabkan pemakan rasuah tidak akan dapat menikmati harta rasuahnya itu sedikit pun. Dalam Islam, kriteria harta ghulul itu jelas yakni harta yang diambil di luar imbalan yang sah; harta yang diperolehi kerana faktor jawatan, tugas, kedudukan, kekuasaan dan sebagainya sekalipun disebut sebagai hadiah. Harta penjawat awam, yang melebihi kewajaran, yang tidak boleh dibuktikannya diperolehi secara sah, maka semua itu termasuk harta ghulul yang akan dirampas oleh Khalifah. Di akhirat, Allah SWT akan mendatangkan azab yang pedih [sila rujuk SN233 Harta Haram Ke Mana Mahu DiBelanjakan].

Khatimah

Berdasarkan fakta, langsung tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa jika ada dari para pemimpin kerajaan yang ingin mengurangkan atau menghapuskan rasuah dia hanyalah berlakon semata-mata, kerana fakta menunjukkan bahawa rasuah sudah menjadi way of life sebahagian daripada mereka. Jika ada pun di kalangan para pemimpin yang masih ada keimanan dan keikhlasan untuk memerangi rasuah, hal ini sebenarnya hanyalah satu mimpi sahaja. Selagi mana tidak ada ketakwaan dan amanah di dalam diri seseorang, baik dia adalah pemimpin atau penjawat awam, maka selagi itulah kes rasuah akan terus berlaku. Selagi pemimpin dan yang dipimpin tidak melihat rasuah dari perspektif dosa dan pahala serta syurga dan neraka, maka selagi itulah rasuah akan terus membarah dalam tubuh umat dan negara. Kerana itulah kita memerlukan pemimpin yang baik dan sistem yang baik, barulah gejala rasuah dan lain-lain kemaksiatan akan dapat dibanteras. Pemimpin yang baik dan sistem yang baik itu tidak lain adalah seorang Khalifah yang akan memerintah dengan sistem Khilafah Ala Minhaj Nubuwwah, yang Insya Allah akan muncul dalam masa yang tidak lama dari sekarang.