SN327 – Apakah Rasulullah SAW Merestui Najasy (Setelah Masuk Islam) Menerapkan Sistem Pemerintahan Kufur?

PDF

SN keluaran 16 November 2012


APAKAH RASULULLAH SAW MERESTUI NAJASY (SETELAH MASUK ISLAM) MENERAPKAN SISTEM PEMERINTAHAN KUFUR?

[SN327] Siapa sahaja yang mengembang dakwah Islam secara ikhlas dan benar serta berusaha mewujudkannya kembali di dalam realiti pemerintahan, baik individu mahu pun parti, tidak mungkin ia akan membenarkan, terlibat atau bergabung dengan sistem pemerintahan kufur dan tidak mungkin ia akan menerapkan sistem kufur di dalam pemerintahan (sekiranya ia berkuasa) atas alasan apa sekalipun. Ini kerana, di saat ia berusaha untuk menghancurkan sistem kufur, mana mungkin di saat yang sama ia juga berusaha mempertahankannya! Bergabung dengan sistem pemerintahan demokrasi dan lain-lain yang menerapkan peraturan (hukum) dan undang-undang kufur, ertinya memperkukuhkan lagi sistem kufur, bukan menghancurkannya. Hujah apa pun yang diguna untuk menjustifikasi penyertaannya di dalam sistem pemerintahan kufur tersebut, tidak lain hanyalah mengkhianati dirinya sendiri, mengkhianati Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman. Apalagi setelah nyata bahawa dalil-dalil itu bertentangan dengan dalil-dalil syar’ie yang qath’itsubut dan qath’i dilalah.Sungguh merupakan suatu bencana dan dosa besar apabila seorang pengembang dakwah mengguna pakai ‘maslahat’ yang diukur dengan akalnya (walhal tidak diakui oleh syarak) sebagai dalil baginya dengan melanggar nas yang qath’i atau menggunakan syubhatal-dalil untuk menjustifikasi penyertaannya di dalam sistem pemerintahan kufur yang menjalankan peraturan yang tidak diturunkan Allah. Padahal, bergabung di dalam sistem pemerintahan kufur bertentangan dengan dalil-dalil yang qath’itsubut dan qath’i dilalah, yang jelas-jelas mewajibkan kaum Muslimin untuk berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah dan mengharamkan berhukum dengan (hukum) selain yang diturunkanNya.

Salah satu ‘dalil’ yang sering digunakan oleh parti Islam atau ulama pro pemerintah di dalam ‘menghalalkan’ perbuatan mereka yang haram ini adalah kisah Najasy, yang diisytiharkan kematiannya oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat. Waktu itu Nabi SAW melakukan solat jenazah untuknya. Hal itu dijadikan sebagai dalil untuk menjustifikasi penyertaan mereka di dalam sistem pemerintahan kufur atau di dalam membenarkan tindakan pemerintah yang menerapkan hukum selain dari apa yang diturunkan Allah SWT. Mereka mengatakan bahawaNajasy telah masuk Islam pada masa Rasulullah SAW dan tetap memerintah dengan peraturan kufur dan hal ini didiamkan (dibolehkan) oleh Rasulullah. Mereka melontarkan enam buah hadis yang dikeluarkan oleh Bukhari berkaitan dengan wafatnya dan solatnya Rasulullah atas kematiannya. Tiga hadis diantaranya diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah al-Ansari dan tiga lagidiriwayatkan oleh Abu Hurairah.

Apabila diteliti dengan mendalam, sesungguhnya keenam-enamhadis tersebut tidak boleh dijadikan sebagai dalil yang membolehkan penerapan sistem kufur atau bergabung di dalam sistem pemerintahan kufur. Penjelasannya adalah sebagaimana berikut:-

(1)    Imam Bukhari meriwayatkan hadis-hadis ini dengan memasukkan lima hadis ke dalam bab ‘Meninggalnya Najasy’. Hadis yang keenam dimasukkan ke dalam bab ‘Al-Jana’iz’. Keenam-enamhadis itu berkaitan dengan kematian Najasy dan perkhabaran Rasulullah SAW kepada para sahabat tentang kematiannya, bukannya berkenaan bolehnya memerintah atau bergabung dengan sistem kufur. Baginda menyebut Najasy sebagai lelaki yang soleh dan bahawa dia adalah saudara mereka. Kemudian Rasulullah SAW meminta kepada mereka (para sahabat) agar memohon ampun untuknya. Disebutkan juga tentang solatbaginda SAW bersama para sahabat ke atas Najasy. Ini menunjukkan bahawaNajasy adalah seorang Muslim walaupun tidak dinyatakan bilakah dia masuk Islam.

(2)    Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya Fathul Bari (syarah Sahih Bukhari) memberi komentar hadis tersebut di bawah judul ‘Mautu an-Najasy’ (kematian Najasy), katanya,

“Tidak jelas mengapa Bukhari tidak menjelaskan tentang keIslamannya (Najasy) dan ini adalah topiknya (yakni) menjelaskan tentang kematiannya. Inikerana, kisah yang menyebutkan keIslamannya tidak ada. Perkara (keIslaman)nyaitu tampak jelas dalam kematiannya yang ditunjukkan hasil pemahaman dari solat (jenazah) Rasulullah untuknya yakni Najasy ketika itu telah masuk Islam”.

(3)    Sighat(bentuk-bentuk) hadis yang dikeluarkan oleh Bukhari menunjukkan bahawa Rasulullah SAW mengetahui tentang kematian Najasy dan keIslamannya dihari kematiannya melalui wahyu. Hadis itu menunjukkan bahawa para sahabat juga tidak mengetahui kematian dan keIslamannya, kecuali setelah Rasulullah SAW memberitahukan mereka tentang hal itu. Di dalam hadis Jabir, ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda ketika Najasy meninggal,

“Hari ini telah meninggal seorang lelakisoleh, maka berdirilah kalian dan solatlah atas saudara kalian As-himah”.

Di dalam hadis Abu Hurairah tercatat, “Sesungguhnya Rasulullah SAW memberitahukan kematian Najasy, penguasa Habsyah,kepada mereka (sahabat) pada hari kematiannya”.

Ini menjadi dalil yang menunjukkan bahawa Rasulullah SAW mengetahui mengenai kematian dan keIslamanNajasy pada hari meninggalnya, melalui wahyu. Ucapan Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah,

“Hari ini telah meninggal seorang lelaki soleh”

dan sabda baginda,

“Maka berdirilah kalian dan solatlah atas saudara kalian As-himah”

menunjukkan bahawa mereka sebelumnya tidak mengetahui keIslamanNajasy. Seandainya mereka mengetahui hal itu, tidak mungkin Rasulullah SAW mengucapkan ungkapan-ungkapan seperti “lelaki soleh” dan “saudara kalian”, kerana baginda tidak mengucapkan ungkapan sedemikian ketika mengajak mereka untuk mensolatkanmana-mana sahabat yang meninggal.

(4)    Hadis-hadis ini menunjukkan bahawaNajasy telah masuk Islam menjelang kematiannya, namun tidak dijelaskan bilakahkeIslamannya. Bentuk kalimatnya menunjukkan bahawa Rasulullah SAW mengetahui kematian dan keIslamannya pada hari kematiannya, melalui wahyu sebagaimana yang telah disebutkan sebelumnya. Tidak terdapat khabar (berita)yang sah yang menyebutkan bahawa Rasulullah SAW telah memberitakan keIslamanNajasy selain pada topik ini.

(5)    Keenam-enamhadis ini langsung tidak mengandungi pengertian yang menunjukkan bahawaNajasy yang telah diberitahukan kematiannya oleh Rasulullah SAW kepada sahabat lalu baginda solat bersama para sahabat, adalah Najasy yang berkuasa di Habsyah ketika kaum Muslimin berhijrah ke sana. Juga, tidak ada khabar yang menunjukkan bahawa dia adalah Najasy yang menerima surat (dakwah) Rasulullah SAW yang mengajaknya masuk Islam. Ini kerana istilah “Najasy” bukanlah nama peribadi, melainkan gelaran yang diberikan kepada penguasa-penguasa yang memerintah Habsyah. Hal ini disebutkan oleh Imam Nawawi pada jilid ke-12 dari kitabnya, Syarah Sahih Muslim. Juga disebutkan oleh Ibnu Hajar al-Asqalani dalam juz ke-3 kitab al-Ishabah.

(6)    Di dalam juz ke-12 dari kitab Syarah Sahih Muslim an-Nawawi, disebutkan bahawaNajasy yang dikirimi surat oleh Rasulullah SAW dan diajaknya masuk Islam pada akhir tahun ke-6 Hijriah, setelah baginda kembali dari Perang Hudaibiyah, bukanlah Najasy yang Rasulullah SAWsolat jenazah untuknya. Teksnya berbunyi,

“Dari Anas,bahawa Nabi SAW telah menulis surat kepada Kisra, kepada Kaisar dan kepada Najasy serta kepada setiap Jabbar (penguasa), mengajak mereka kepada Allah Ta’ala, bukan Najasy yang Nabi SAWmensolat (jenazahkan) atasnya”.

Dari hadis ini jelas bahawaNajasy yang Rasulullah SAWsolat jenazah atas kematiannya bukanlah Najasy yang ada pada saat kaum Muslimin berhijrah ke Habsyah, untuk hidup di bawah lindungannya dan bukan juga Najasy yang telah dikirimi surat oleh baginda.

(7)    Orang-orang yang berpendapat bahawaNajasy yang Rasulullah SAWsolat jenazah atas kematiannya adalah Najasy yang sama ketika kaum Muslimin berhijrah kesana, juga merupakan Najasy yang dikirimi surat oleh Rasulullah SAW mengajaknya memeluk Islam pada akhir tahun ke-6 Hijriah, sesungguhnya pendapat tersebut diliputi wahm(kerancuan). Kerancuan itu muncul kerana Rasulullah SAW telah memujinya dan menyebutnya kepada sahabat yang akan berhijrah,

“Bahawa dia adalah raja yang tidak menzalimi seorang pun dan bahawa negerinya adalah negeri yang benar” (Sirah Ibnu Hisyam).

Keadaan disana adalah ibarat jiran yang baik bagi kaum Muslimin yang berhijrah. Najasy pun menjamin kedudukan mereka. Kaum Muslimin dengan aman menyembah Allah, tidak takut kepada sesiapapun. Najasy itu menolak untuk menyerahkan kaum Muslimin kepada dua orang utusan Quraisy yang memintanya. Dia berkata kepadakaum Muslimin,

“Kalian berada dalam keadaan aman dinegeriku. Barangsiapa yang mencela kalian, maka akan dijatuhkan hukuman”.

Dialah yang memberi komen kepada jawapan Ja’far ketika ditanyakan perkara yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada mereka, dengan mengatakan,

“Demi Dzat yang Isa datang dengan kata-kata ini, sesungguhnya ini benar-benar keluar dari sumber yang satu”.

Begitu pula menanggapi jawaban Ja’far pada hari berikutnya ketika dia bertanya kepadaJa’far tentang Nabi Isa. Saat itu dia mengambil sebatang kayu lalu membuat garisan kecil sambil mengatakan,

“Antara agama kalian dan agama kami (perbezaannya) tidak lebih dari garisan ini.”

Paparan-paparan seperti itulah yang telah menimbulkan wahmbahawaNajasy itulah yang telah masuk Islam. Rasulullah SAW tidak memberitakanbahawa dia telah masuk Islam. Hal ini dituturkan oleh UmmuSalamah, isteri Rasulullah SAW yang pada waktu itu termasuk salah seorang wanita yang turut berhijrah ke Habsyah. UmmuSalamah tidak pernah menyebut bahawa dia telah masuk Islam tatkala menceritakan tentang Najasy dan kejadian yang mereka alami di negeri Habsyah. UmmuSalamah berkata,

“Ketika kami tiba di negeri Habsyah, dia (Najasy) menjadi jiran kami yang terbaik. Dia menjamin agama kami. Kami pun beribadah kepada Allah dan kami tidak disakiti. Bahkan kami tidak mendengar sesuatu pun yang kami benci”. UmmuSalamah berkata lagi, “Demi Allah, sesungguhnya kami dalam keadaan seperti itu ketika datang kepadanya seorang lelaki yang ingin merebut kerajaannya.”Seterusnya UmmuSalamah berkata, “Maka demi Allah, aku tidak mengetahui bahawa kami pernah bersedih dengan satu kesedihan yang begitu mendalam seperti kesedihan kami saat itu (kerana) takut kalau-kalaulelaki itu mengalahkan Najasy, maka akan digantikan oleh seorang lelaki yang tidak mengetahui hak-hak kami sebagaimana halnya yang diketahui Najasy”. UmmuSalamah melanjutkan lagi, “Setelah Allah memenangkan Najasy atas musuhnya dan mengukuhkan kekuasaannya dinegerinya, maka aku tidak mengetahui lagi kegembiraan yang lebih besar daripada itu”. Berkata UmmuSalamah lagi, “Najasy telah kembali dan Allah telah menghancurkan musuhnya, mengukuhkan kekuasaannya dinegerinya dan Habsyah menjadi teratur ditangannya. Kami disisinya tinggal dirumah yang terbaik sampai kami datang kepada Rasulullah SAW ketika baginda di Makkah” (Sirah Ibnu Hisyam). Hadis Ummu Salamah ini langsung tidak menunjukkan bahawaNajasy telah memeluk Islam.

Adapun berkenaan dua buah surat yang disebutkan oleh Muhammad Hamidullah dalam kitabnya al-Watsa’iq as-Siyasiyah fi ‘Ahdi an-Nabawi, yang menyebutbahawaNajasy telah menulis surat kepada Rasulullah SAW, menjelaskan keIslamannya dan kesediaannya untuk datang menemui Rasulullah jika baginda perintahkan dan bahawa dia juga telah mengirimkan anaknya yang bernama Arha bin al-As-ham bin Abhar; surat yang pertama itu datang ketika Rasulullah berada di Makkah, sedangkan surat yang kedua menyebutbahawaNajasy telah mengirim kepada Rasulullah SAW melalui orang-orang (sahabat) yang kembali dari Habsyahdan baginda waktu itu sudah berada di Madinah; sesungguhnya kedua-dua surat itu tidak disebutkan oleh kitab-kitab hadis yang sahih. Walaupun penulis buku al-Watsai‘iq as-Siyasiyah fi ‘Ahdi an-Nabawimenyebut bahawa dia mengutip peristiwa tersebut dari kitab tarikh (sejarah) tetapi tidak menyebutbahawa dia mengambil surat-surat tersebut dari salah satu kitab hadis pun. Dalam hal ini, tentunya kitab tarikh tidak dapat disejajarkan dengan kitab-kitab hadis, apatah lagi untuk (kitab tersebut) dijadikan dalil.

Oleh yangdemikian, hujah tentang kedua surat tersebut tidak boleh diterima. Tambahan lagi, ia bertentangan dengan hadisAnas yang diriwayatkan oleh Muslim dan bertentangan dengan hadis UmmuSalamah tentang Najasy dan tentang orang-orang yang berhijrah ke Habsyah. Orang yang paling akhir kembali kepada Rasulullah SAW adalah Ja’far. Jadi, khabar yang menyebutkan bahawaNajasy telah masuk Islam, sementara Ja’far kembali kepada Rasulullah SAW pada tahun ke-7 setelah penaklukan Khaibar dan setelah Rasulullah SAW mengirimkan surat-surat kepada para Raja dan Amir, hal ini menunjukkan yang kedua surat itu tidak boleh diterima dan tidak boleh digunakan untuk beristidlal (dijadikan dalil).

Berdasarkan hadis dan penerangan di atas, maka jelaslah bahawa Najasy yang masuk Islam dan yang Rasulullah solat jenazah ke atasnya, bukanlah Najasy yang ada pada saat kaum Muslimin berhijrah kepadanya dan bukan Najasy yang Rasulullah kirimi surat untuk mengajaknya masuk Islam pada akhir tahun ke-6 Hijriah dan awal tahun ke-7 Hijriah melalui Amru bin Umayyah al-Dhamiri. Najasy yang masuk Islam ini adalah Najasy yang berkuasa setelah meninggalnya Najasy yang dikirimi surat oleh Rasulullah SAW, yakni surat yang berisi seruan untuk memeluk Islam.Najasy yang telah masuk Islam ini telah menerima kekuasaan pada tahun ke-7 Hijriah, kerana Rasulullah SAW telah mengirimkan banyak utusan baginda kepada para Raja dan Amir, diantara mereka adalah Najasy. Hal itu Rasulullah lakukan sekembali baginda dari perang Hudaibiyah, yang terjadi pada akhir tahun ke-6 Hijriah di bulan Zulqa’idah. Dialah Najasyyang Rasulullah SAWsolat jenazah atasnya, yang waktu kematiannya terjadi sebelum penaklukan kota Makkah pada tahun ke-8 Hijriah, sebagaimana yang disebutkan oleh Baihaqi dalam kitab Dala’ilu an-Nubuwwah.

Dengan demikian, dapat difahami bahawatempoh masa antara pengangkatannya menjadi Raja dan keIslamannya, begitu juga dengan kematiannya, sangat singkat. Dia masuk Islam dalam keadaan tidak ada seorang pun, termasuk Rasulullah, yang mengetahui keIslamannya. Rasulullah SAW diberitahu melalui wahyu tentang kematiannya (sekali gus keIslamannya)hanya pada hari kematiannya, sebagaimana yang ditunjukkan oleh sighat(bentuk) keenam-enamhadisBukhari yang meriwayatkan tentang kematiannya. Waktu yang singkat yang dilaluinya sebagai seorang Muslim (sebelum dia meninggal) tidak memungkinkannya untuk mengetahui hukum-hakam Islam, termasuklah tentang pemerintahan.

Ketidaktahuan Nabi SAW terhadap hal itu menyebabkan baginda tidak mengirimkan kepadanya utusan yang akan menjelaskan apa yang harus dikerjakan (menerapkan Islam), kerana mustahil sekiranya Rasulullah mengetahui, baginda membenarkan hukum Allah tidak diterapkan.Oleh itu, kisah Najasyini tidak boleh dijadikan dalil bagi membolehkan seseorang atau sesebuah parti Islam untuk bergabung di dalam sistem pemerintahan kufur yang menjalankan pemerintahan dengan hukum selain dari yang diturunkan oleh Allah SWT, apatah lagi untuk dijadikan dalil bolehnya menerapkan hukum kufur dalam pemerintahan sekiranya parti Islam itu berkuasa.

Parti Islam dan mereka yang beristidlal dengan kisah Najasy ini wajib sedarbahawayang wajib dijadikan dalil (dan ikutan) bagi kita ialah perintah Allah SWT di dalam Al-Quran dan pemerintahan Rasulullah SAW itu sendiri, bukannya pemerintahan Najasy. Berapa banyak dari ayat-ayat Al-Quran yang memerintahkan kita untuk menerapkan hukum Allah sehingga orang yang tidak menerapkannya akan menjadi kafir, zalim dan fasik. Adanya kisah Najasy yang tidak menerapkan Islam bukanlah boleh dijadikan dalil untuk menafikan kewajipan menerapkan hukum Allah. Mereka yang berhujah dengan kisah Najasy ini seolah-olah mahu menolak apa yang diterapkan oleh Muhammad SAW dan Khulafa’ Rasyidinsehingga mahu mengambil apa yang diterapkan oleh Najasy! Janganlah kita mencari-carihujah untuk tidak menerapkan Islam dengan beristidlal kepada kisah Najasy(semoga Allah mengampuni dan merahmatinya) kerana yang wajib untuk kita beristidlal adalah kepada Kitabullah dan Sunah RasulNya. Saudaraku, cukuplah kalian mencari-cari alasan untuk membenarkan sistem demokrasi yang kufur atau mencari-cari dalih untuk tidak menerapkan hukum Allah di dalam pemerintahan, kerana apa yang kalian lakukan itu sesungguhnya hanyalah mengundang murka Allah kepada kalian di dunia dan akhirat. Na’uzubillah min zalik.