SN350 – MUHASABAH TERBUKA KEPADA GERAKAN ISLAM

SN keluaran 17 May 2013


MUHASABAH TERBUKA KEPADA GERAKAN ISLAM:
TINGGALKAN DEMOKRASI TEGAKKAN KHILAFAH

[SN350] Umat Islam pernah hidup di bawah naungan Khilafah selama lebih 1300 tahun, bermula dari tegaknya Daulah Islam yang pertama di Madinah sehinggalah kepada keruntuhanDaulah Khilafah pada 28 Rajab 1342H (3 Mac 1924) di Turki. Selama lebih 13 abad, umat Islam berada di bawah satu payung pemerintahan dan di bawah satu bendera. Umat Islam menjadi umat yang mulia, umat yang terbaik, umat yang disegani kawan dan lawan. Hukum Allah SWT yang penuh keadilan dan keberkatan diterapkan oleh Khalifah dan kebaikannya dirasai oleh segenap lapisan manusia. Peradaban Islam memancarkan cahaya yang bergemerlapan ke seluruh penjuru alam sehingga dunia menjadi terang benderang kerananya. Daulah Khilafah menjadi super power dunia sehingga tidak ada satu kekuatan pun yang dapat menandinginya.

Namun, kafir Barat yang iri hati dan mendendami Islam sejak sekian lama, akhirnya berjaya memasukkan racun berbisa, assabiyyah dan wathaniyyah ke dalam tubuh umat Islam sehingga tubuh yang gagah perkasa itu mengalami kehancuran dari dalam dengan kehancuran yang sangat cepat dan membinasakan. Barat seterusnya berjaya menjajah Daulah Islam, mencerai-beraikan Negara Islam kepada negeri-negeri yang kecil dan lemah dan meletakkan umat Islam dalam keadaan yang cukup terhina. Barat lalu menghapuskan sistem Khilafah dan menghunjamkan ke tanah kaum Muslimin satu sistem baru yang tidak pernah dikenal oleh umat Islam iaitu sistem demokrasi. Barat mengajar umat Islam bahawa sistem demokrasi adalah satu-satunya sistem yang terbaik dan lebih layak untuk umat Islam, berbanding dengan sistem Khilafah yang dikatakan penuh keburukan. Sejak itulah bermulanya era pemerintahan demokrasi di tanah-tanah kaum Muslimin sekali gus menandakan berakhirnya sebuah sistem pemerintahan yang datangnya dari Tuhan manusia dan diganti dengan satu sistem pemerintahan yang datangnya dari akal manusia!

Demokrasi Penghalang Islam

Setelah Barat berjaya menghapuskan Khilafah dan memecah-belahkan negara kaum Muslimin kepada negara-negara kecil yang lemah dengan sempadan bangsa masing-masing, maka sistem Khilafah tidak lagi berjalan di muka bumi dan digantikan dengan sistem demokrasi. Melalui demokrasi, Barat mengajar bahawa kedaulatan itu berada di tangan rakyat (as-siyadah li asy-sya’bi) yang menjadikan suara rakyat sebagai suara keramat di mana rakyat berhak menentukan hukum sendiri menurut apa yang mereka kehendaki. Walhal, Islam mengajar bahawa kedaulatan itu berada di tangan syarak (as-siyadah li asy-syarie) di mana rakyat wajib tunduk kepada hukum syarak dan rakyat tidak boleh (haram) untuk membuat hukum sendiri. Namun, oleh kerana para penguasa kaum Muslimin yang ada adalah boneka Barat dan pada masa yang sama taraf berfikir umat sungguh merosot ketika itu, maka penerapan sistem demokrasi dapat dilakukan oleh Barat dengan mudah.

Barat mengajar umat Islam bagaimana untuk memerintah negara dan membuat undang-undang, berdasarkan akal sendiri. Caranya adalah dengan mengadakan pilihan raya untuk memilih wakil-wakil, di mana wakil-wakil yang menang akan pergi ke Parlimen (dan Dewan Undangan Negeri) dan di sini akan berlakunya proses pelantikan pemimpin (oleh parti yang menang) manakala kesemua wakil diberi hak untuk membuat undang-undang yang (kononnya) dikehendaki oleh rakyat yang mereka wakili. Maka wujudlah bermacam-macam parti, termasuklah parti-parti Islam, yang bersaing untuk mendapatkan kekuasaan melalui cara yang ditetapkan oleh Barat ini. Parti Islam ini tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya telah terjebak ke dalam permainan yang dicipta oleh kuffar Barat. Niat mereka asalnya baik, yakni ingin menegakkan Islam, tetapi mereka tidak sedar bahawa mereka telah mengikuti jalan yang Barat sediakan.

Dalam permainan demokrasi ini, parti yang mendapat undi majoriti dikira mendapat mandat (dari rakyat) untuk memerintah dan membuat undang-undang. Namun ternyata, setelah mereka menang, sebahagian besar undang-undang yang dibuat bukanlah mengikut kehendak rakyat, sebaliknya mengikut hawa nafsu mereka sendiri, manakala rakyat terus dizalimi dan diperbodohkan. Setelah sekian lama merasa tertindas dan dizalimi oleh para pemimpin yang kononnya memerintah atas kehendak rakyat ini, rakyat akhirnya sedar dan menuntut perubahan. Rakyat bangkit untuk menggantikan pemimpin dan parti yang memerintah dengan parti dan pemimpin yang baru. Malangnya rakyat tidak sedar bahawa tuntutan perubahan mereka masih tetap dilakukan melalui sistem yang sama (demokrasi). Rakyat tidak nampak bahawa sistem demokrasi itu sendirilah yang sebenarnya menjadi penyebab kepada berlakunya kezaliman. Atas usaha untuk menghapuskan kezaliman, maka parti-parti yang ada, termasuklah parti Islam, sanggup melakukan apa sahaja (tetapi masih dalam koridor demokrasi) demi mencapai kemenangan, termasuk bergabung dengan parti kufur dan parti sekular dalam rangka menumbangkan parti pemerintah.

Benar bahawa kita semua tidak mahukan kezaliman dan ia wajib dihapuskan. Sayangnya, makna kezaliman telah disempit dan disalahertikan. Allah SWT berfirman, “Barang siapa yang tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim” [TMQ al-Ma’idah (5):45]. Ayat ini menjelaskan maksud kezaliman iaitu apabila manusia tidak menerapkan hukum Allah SWT. Ini bermakna, apa jua hukum (undang-undang) yang digubal oleh manusia di bawah sistem demokrasi, adalah kezaliman! Sistem demokrasi itu sendiri yang tidak berasal dari wahyu, yang jelas berasal dari kuffar Barat dan bertentangan dengan Islam, adalah sebuah kezaliman! Dengan kata lain, mengambil sistem demokrasi dan apa sahaja yang lahir dari rahim sistem kufur ini, segala-galanya adalah zalim kerana ia berlawanan dengan apa yang diturunkan oleh Allah SWT. Oleh itu, sekiranya kita ingin menghapuskan kezaliman, maka sistem demokrasi yang kufur inilah yang sebenarnya perlu dihapuskan kerana sistem inilah yang merupakan punca dan sumber kepada segala kezaliman! Malangnya gerakan Islam tidak sedar akan hal ini kerana mereka telah terbius dan terpukau dengan ‘keindahan’ demokrasi!

Gerakan Islam tidak sedar bahawa demokrasilah yang selama ini menjadi penghalang kepada tegaknya agama Allah. Demokrasilah yang selama ini menyebabkan umat Islam berpecah belah. Pilihan raya yang ada di dalam sistem demokrasi begitu ketara di dalam memporak-perandakan umat Islam di dalam sesebuah negara. Selagi umat Islam mengambil demokrasi, selagi itulah mereka akan sentiasa terpecah-belah, lemah dan terhina. Selagi wujudnya demokrasi, selagi itulah umat Islam tidak akan bersatu dan sempadan palsu negara bangsa akan terus wujud. Palestin tidak akan dibebaskan oleh pemerintah yang menganut demokrasi. Umat Islam di Myanmar akan terus dibunuh dan tidak akan dibebaskan oleh pemerintah negara demokrasi. Pemimpin umat Islam yang demokratik akan terus tunduk kepada Amerika Syarikat dan akan terus berkhidmat kepada PBB. Pendek kata, perpecahan, penderitaan dan kehinaan akan terus menimpa umat Islam selagi mana mereka berpegang teguh kepada demokrasi.

Justeru, gerakan Islam sepatutnya sedar bahawa jika mereka ingin menghapuskan kezaliman dan ingin kembali kepada keadilan, kemuliaan, penyatuan dan kerahmatan daripada Allah SWT, maka sistem demokrasi inilah yang mesti dihapuskan terlebih dahulu. Sistem demokrasi adalah sistem kufur yang dibawa masuk ke negara umat Islam bagi menghalang penegakan agama Allah. Parti-parti yang berjuang dalam demokrasi dan tunduk kepada kehendak rakyat (bukan kehendak Allah), sesuai dengan falsafah demokrasi, sudah pasti tidak akan menerapkan Islam. Kilang arak, judi dan segala pusat maksiat akan terus subur di dalam negara demokrasi, tidak kira siapa pemerintahnya sekalipun. Semulia mana sekalipun peribadi seseorang pemimpin, dia akan tetap terhina apabila menjadi pemimpin dalam sistem yang buruk ini. Sebersih mana sekalipun peribadi seseorang ulama, kekotoran akan tetap terpalit di wajah dan hatinya apabila ia menceburkan dirinya ke dalam sistem yang kotor ini. Sebaik mana sekalipun keadaan hidup di bawah sistem demokrasi, sungguh tidak ada gunanya kerana ia berlawanan dengan Islam. Seindah mana sekalipun yang tampak pada sistem demokrasi, ia tetap merupakan sebuah sistem kufur!

Tinggalkanlah Sistem Kufur Itu

Wahai para pejuang Islam yang ikhlas! Kalian sudah lama berjuang tanpa mengenal penat dan lelah. Kalian sanggup berkorban apa sahaja di dalam perjuangan ini. Kalian telah menghabiskan banyak masa, tenaga, wang, harta benda dan hampir segala-galanya yang kalian ada, demi memastikan perjuangan kalian mencapai kejayaan. Kalian juga telah menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran, dipukul, ditangkap, diheret ke mahkamah dan ada yang dipenjarakan. Pendek kata, bukan sahaja harta dan badan, nyawa pun kalian sanggup jadikan sebagai galang ganti di dalam perjuangan ini. Sesungguhnya apa jua yang kalian lakukan dengan niat yang ikhlas dan tindakan/jalan yang menepati kehendak Allah SWT, maka kalian berhak mendapat ganjaran di sisiNya. Namun, jika niatnya betul tetapi tindakan tidak menepati kehendakNya, ia akan tetap menghasilkan kesalahan. Contohnya, niat yang ikhlas ingin berpuasa tetapi dilakukan pada hari raya, maka hal ini tetap menyalahi perintahNya. Justeru, niat yang ikhlas untuk menegakkan agama Allah hendaklah diikuti dengan jalan yang benar yang ditetapkan oleh Allah juga.

Saudaraku para pejuang Islam sekalian! Kalian telah lama bergelumang dan berjuang di jalan demokrasi. Kalian memasuki pilihan raya di dalam sistem kufur ini dan mengharapkan dapat meraih kemenangan dan pemerintahan dalam rangka untuk menegakkan Islam. Kalian mengerahkan seluruh tenaga dan kekuatan demi mencapai cita-cita. Kalian berjaya mengerahkan para pemuda, wanita dan orang-orang tua di jalan ini. Sudah puluhan tahun kalian istiqamah di dalamnya walaupun kalian tahu yang kalian telah ditipu sejak awal dan terus ditipu dan terus ditipu dan akan terus ditipu. Akhirnya, apa yang kalian dapat ialah kekalahan demi kekalahan dan jika kalian menang sekalipun, Islam tetap tidak dapat ditegakkan melalui jalan yang kalian ambil itu. Semua ini menyebabkan semangat dan kekuatan yang luar biasa yang kalian miliki itu terbuang begitu sahaja. Walaupun kalian boleh mendakwa bahawa kalian telah mencapai sedikit kemenangan, namun persoalannya, adakah Islam berjaya ditegakkan dengan sedikit kemenangan yang dicapai itu? Jawablah persoalan ini dengan hati yang ikhlas dan terbuka, bukan dengan perasaan benci dan dendam.

Wahai gerakan Islam! Kenapakah kalian terus kalah, manakala musuh terus menang? Tidakkah kalian nampak bahawa hal ini berlaku kerana kalian sesungguhnya berjuang di jalan musuh? Kalian mengambil sistem demokrasi yang datangnya dari musuh Allah. Kalian bertanding di gelanggang yang dibuat oleh musuh. Kalian menggunakan senjata pihak musuh. Kalian diadili oleh pengadil yang berpihak kepada pihak musuh dan kalian mengharapkan yang pengadil ini berlaku adil. Dengan semua ini, apakah kalian merasakan yang pihak musuh akan memberikan kemenangan kepada kalian? Sekuat mana sekalipun kalian, namun apabila kalian telah masuk ke dalam perangkap musuh, maka kalian tidak akan dapat berbuat apa-apa!

Kalian bersungut dan melakukan protes, baik sebelum mahupun sesudah setiap kali pilihan raya. Kalian menuntut keadilan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya. Kalian menuntut agar ditubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja, Suruhanjaya Siasatan Bebas dan macam-macam lagi. Tidakkah kalian nampak bahawa berapa banyak dari tuntutan kalian itu tidak pernah dipenuhi? Jika dipenuhi sekalipun, tidakkah kalian sedar yang siapa pun yang dilantik menganggotai Suruhanjaya-suruhanjaya tersebut adalah terdiri daripada orang-orang yang tidak pernah menyebelahi kalian? Tidakkah kalian nampak yang jika tuntutan kalian dilayan sekalipun, kalian tidak pernah menang? Tidakkah kalian nampak bahawa sejak dulu hingga kini, pilihan raya tidak pernah dan tidak dapat merubah keburukan kepada kebaikan? Hal ini tidak lain kerana pilihan raya dalam sistem demokrasi bukanlah didesign untuk menukar sistem kufur kepada sistem Islam. Justeru, apakah kalian masih menaruh harapan dan berpendapat bahawa demokrasi dan pilihan raya adalah jalan terbaik dalam melakukan perubahan atau jalan terbaik untuk mendapatkan kekuasaan?

Bukalah matamu wahai para pejuang Islam! Sesungguhnya tidak ada kebaikan sedikit pun di dalam sistem demokrasi, walaupun kalian menyangka bahawa ada kebaikan di dalamnya. Ini kerana, sistem ini adalah bertentangan dengan Islam. Mana mungkin adanya kebaikan apabila sesuatu itu menyalahi Islam? Mana mungkin ada kebaikan apabila berjuang meraih pemerintahan melalui jalan yang bertentangan dengan wahyu? PRU-13, sebagaimana PRU-PRU sebelum ini, tidak pernah membawa kebaikan kepada umat Islam. Malah, pilihan raya itu sebenarnya menjadi pentas di mana umat Islam bercakaran sesama sendiri sejak dulu. Segala bentuk kemaksiatan seperti penipuan, fitnah, makian, hasutan, rasuah, pergaduhan  dan pelbagai lagi dapat disaksikan setiap kali pilihan raya. Parti mana pun yang menang , baik di peringkat persekutuan mahupun negeri, tidak pernah menegakkan dan tidak pernah berjaya menegakkan hududullah. Pilihan raya dalam sistem demokrasi mungkin sahaja dapat menukar wajah para pemimpin tetapi tidak pernah dan sekali-kali tidak akan dapat menukar wajah kufur demokrasi kepada wajah Islam!

Sedarlah wahai saudaraku! Sesungguhnya siapa jua yang memilih demokrasi, bermakna dia telah memilih untuk meninggalkan Islam. Dia telah memilih jalan yang diredhai oleh Yahudi dan Nasara. Dia telah memilih agar dirinya dan negaranya diatur oleh kitab Lord Reid, bukannya oleh Kitab Allah. Sebagai gerakan Islam dengan bilangan ahli yang ramai, kalian sesungguhnya mempunyai kekuatan untuk menegakkan agama Allah, tetapi kalian telah mensia-siakan kekuatan itu apabila kalian mengambil demokrasi. Kekuatan kalian berjaya dilumpuhkan dengan mudah oleh pihak musuh, kerana kalian telah mengambil racun yang diberikan oleh musuh dan kalian dengan sukarela dan dengan bersungguh-sungguh menelannya.

Khatimah

Wahai para pejuang Islam yang ikhlas! Kalian sanggup dan kalian telah melakukan segala-galanya demi demokrasi hatta segala harta, badan dan nyawa sanggup kalian korbankan! Namun kalian tidak pernah mencapai apa yang kalian mahukan. Tidak cukupkah semua itu menjadi pengajaran buat kalian? Tidakkah kalian terfikir bahawa satu-satunya perkara yang belum kalian lakukan ialah meninggalkan demokrasi dan menegakkan Khilafah? HizbutTahrir dengan ini ingin mengingatkan dan menyampaikan berita gembira kepada kalian. HizbutTahrir ingin mengingatkan kalian bahawa demokrasi itu adalah sistem kufur dan haram untuk diambil. Manakala berdasarkan nas-nas yang qath’ie lagi jelas, menegakkan Khilafah itu adalah wajib. Maka kalian wajib meninggalkan keharaman dan menunaikan kewajipan ini tanpa sebarang alasan. HizbutTahrir ingin mengingatkan kalian bahawa Islam tidak akan tegak dengan demokrasi tetapi Insya Allah Islam akan pasti tegak dengan Khilafah. HizbutTahrir ingin menyampaikan berita gembira bahawa berdirinya semula Khilafah itu adalah janji Allah dan janji Allah itu pasti berlaku. Sesungguhnya Khilafah itu sudah sangat hampir, dengan izin Allah. Marilah bergabung bersama para syababHizbutTahrir yang sedang berjuang menegakkan Khilafah di seluruh dunia. Marilah berganding bahu untuk merealisasi penegakan Khilafah di samping sentiasa menadah tangan memohon kepada Allah Azza wa Jalla agar kita sempat menyambut ketibaannya dan bernaung di bawahnya. Amin ya Rabbal alamin.