SN352 – Meneladani Rasulullah Menegakkan Daulah

PDF

SN Keluaran 28 Jun 2013

MENELADANI RASULULLAH MENEGAKKAN DAULAH

[SN352] Penggal pertama Parlimen ke-13 telah pun bermula. Para wakil rakyat yang merupakan anggota Parlimen, termasuk kesemua 89 orang ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat hadir pada hari pertama sidang Dewan Rakyat ini. Kesemua mereka telah mengangkat sumpah untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang mengandungi hukum taghut ciptaan si kafir Lord Reid. Inilah di antara kejayaan penjajah kuffar yang bukan sahaja telah berjaya menjajah tanah umat Islam, malah berjaya menjadikan umat Islam tunduk kepada hukum ciptaan mereka berbanding hukum Allah. Demokrasi yang dibawa oleh penjajah berjaya memerangkap parti Islam agar terus bergelumang di dalam kekotorannya, sehingga berjaya melarikan mereka daripada perjuangan menegakkan Negara Islam dengan cara yang benar. Justeru, dalam kesempatan ini, Sautun Nahdhah ingin mengingatkan kembali umat Islam akan thariqah (jalan) dakwah Rasulullah SAW di dalam menegakkan Daulah Islam yang mana ia menjadi kewajipan bagi setiap Muslim untuk mengikutinya. Siapa pun yang melakukan penelaahan mendalam terhadap thariqah Nabi Muhammad SAW, akan menemukan bahawa baginda menempuh tiga tahapan dalam mewujudkan Daulah Islam di Madinah:-

Tahap Pertama: Tasqif wa Takwin (Pembinaan Dan Pengkaderan)

Sejak Rasulllah SAW mendapat wahyu, baginda diperintah untuk menyampaikannya kepada manusia. Ketika mana Allah SWT menurunkan al-Quran Surah al-Muddatsir ayat 1-2, maka Nabi SAW terus mengajak masyarakat untuk memeluk Islam. Baginda menyampaikan Islam kepada isterinya, Khadijah ra. Kemudian menyampaikan pula kepada sepupunya Ali bin Abi Thalib, kepada hambanya Zaid, sahabat baginda Abu Bakar as-Shiddiq ra. dan masyarakat secara umumnya. Baginda bukan sekadar mengajak mereka masuk Islam, melainkan disusuli dengan membina (tasqif) mereka dengan akidah dan hukum-hukum Islam yang telah diturunkan waktu itu. Baginda mentasqif kaum Mukmin di rumah Arqam bin Abi al-Arqam (Dar al-Arqam). Di rumah Arqam itulah Rasulullah SAW mencetak para Sahabat, mengajarkan Islam kepada mereka, membacakan al-Quran kepada mereka, menjelaskan maksud-maksudnya, memerintahkan mereka untuk menghafal dan memahami al-Quran serta melaksanakan isi kandungannya. Setiap kali ada sahabat yang masuk Islam, maka terus digabungkan ke Darul Arqam.

Di peringkat ini, Nabi SAW melakukan dua hal. Pertama:tasqif wa taqwin(pembinaan dan pengkaderan) akidah dan syariah hingga terbentuk para kader bersyakhsiyyah Islam. Kedua: pengorganisasian para sahabat sehingga membentuk satu kutlah (kelompok) dakwah secara solid dan berjamaah yang bergerak di tengah-tengah masyarakat untuk menyampaikan Islam. Setelah para sahabat memeluk Islam dan ditasqif, bukan hanya Nabi SAW seorang diri sahaja yang melakukan pembinaan, para sahabat ini pun mula berdakwah dan mentasqif orang lain pula. Rasulullah SAW pernah memerintahkan Khubbab bin al-Arts untuk mengajarkan al-Quran kepada Zainab binti al-Khatab dan suaminya, Said, di rumah mereka.

Dilihat dari kacamata sekarang, apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ini merupakan proses tasqif murakkaz (pembinaan intensif). Pembinaan intensif ini dilakukan untuk membentuk kader yang mempunyai syakhsiyyah (keperibadian) Islam dan siap berjuang di jalan Allah. Secara praktis, pembinaan intensif ini diawali dengan melakukan kontak secara individu. Dulu, Rasulullah SAW mengawali kontak baginda kepada sahabat karibnya Abu Bakar. Setelah didakwahi, maka Abu Bakar terus memeluk Islam. Abu Bakar kemudiannya memulakan kontak beliau dengan keluarga dan kawan-kawannya, di antaranya adalah Utsman bin Affan. Abu Bakar menyampaikan Islam kepadanya sehingga Usman memeluk agama Allah yang benar ini. Abu Bakar juga melakukan kontak dengan Zubair bin Awwam, Abdul Rahman bin Auf, Saad bin AbiWaqas dan Thalhah bin Ubaidillah. Kesemuanya masuk Islam melalui tangan Abu Bakar.

Begitulah apa yang dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat. Justeru, perkara yang sama wajib dilakukan oleh kita saat ini di mana kita wajib menyampaikan agama Allah ini kepada manusia dan secara praktisnya kita akan mengawalinya dengan menyampaikannya kepada kawan-kawan yang dekat dan juga kaum kerabat. Setiap orang yang telah bergabung dengan kutlah dakwah sudah pasti mempunyai rakan-rakan, saudara-mara, jiran tetangga dan lain-lainnya yang boleh dikontak untuk disampaikan Islam kepada mereka. Banyak perkara yang boleh disampaikan kepada mereka, khususnya mengenai kewajipan seseorang Muslim untuk menegakkan agama Allah. Para kontak ini perlu disedarkan bahawa kita sekarang hidup di zaman di mana hukum Allah tidak ditegakkan, persis pada zaman Jahiliyyah, akidah umat yang rapuh, pemikiran umat yang diracun dengan pemikiran kufur, negeri-negeri kaum Muslimin terjajah, para pemerintahnya menjadi pengkhianat Islam, akhlak pemimpin dan juga umat yang rosak dan sebagainya.

Sebagaimana diterangkan di atas, Nabi SAW tidak hanya sebatas mendakwahi orang tersebut agar memeluk Islam, tetapi setiap orang tersebut diajak bergabung ke dalam kutlah dan seterusnya ditasqif hingga menjadi pengembang dakwah dengan sanggup memikul apa jua kewajipan dan menghadapi segala rintangan dan halangan di dalam menegakkan agama Allah. Pembinaan dan pengkaderan terhadap mereka yang bergabung ke dalam kutlah tadi dilakukan dengan intensif dan efektif dalam bentuk halqah. Di dalam halqah dilakukan pembinaan dengan asas dan kurikulum Islam yang jelas, pemikiran-pemikiran dan kajian tertentu yang telah ditetapkan serta melalui metode talaqqi sehingga kesinambungan gagasan terjaga. Di sinilah setiap kader dicetak dengan ideologi Islam, syakhsiyyah Islamiyyah, taqarrubilallah, ketaatan dan kedisiplinan di dalam berkutlah, pengorbanan, kejamaahan dan lain-lain. Kesemuanya dilakukan dalam membentuk kader yang mujahid (pejuang) sekali gus muta’abbid (ahli ibadah), mufakkir(pemikir) dan juga ahli siyasi (politikus).

Selain tasqif murakkaz, Nabi SAW juga menyampaikan Islam dengan cara tasqif jamaie (pembinaan massa) dengan mengumpulkan masyarakat di Bukit Safa serta mengundang makan bersama, yang kesemuanya dilakukan dalam rangka menyampaikan Islam kepada masyarakat secara kolektif. Di dalam konteks sekarang, ini merupakan pembinaan umum yang perlu dilakukan dengan cara seminar, kuliah, forum, muktamar, wacana dan apa jua bentuk perbincangan umum dengan mengundang orang ramai. Pembinaan secara massa dilakukan untuk memberi kesedaran Islam kepada masyarakat di samping mengharapkan masyarakat agar turut sama berjuang dan mempertahankan Islam.

Tahap Kedua: Tafa’ul wal Kiffah (Interaksi Dan Perjuangan)

Walaupun usaha dakwah dilakukan secara massa oleh para kader dakwah yang ditasqif di dalam kutlah tadi, namun tidak semua anggota masyarakat dapat menerima apa yang disampaikan dan mahu bergabung menjadi kader dakwah. Apatah lagi dalam keadaan sekarang di mana umat telah lama terbius dan diracun dengan tsaqafah Barat. Oleh itu, dengan meneladani thariqah (jalan) dakwah Rasulullah SAW, beberapa perkara mesti dilakukan seperti berikut:-

1. As-sira’ al-fikri (penggulatan pemikiran). Rasulullah SAW senantiasa melakukan penggulatan pemikiran terhadap gagasan/ide/pandangan kufur yang dilakukan baginda secara konsisten. Baginda menjelaskan kebobrokan pemikiran (akidah dan sistem) kufur yang mendominasi masyarakat dengan berusaha untuk merubah mafahim (konsep/pemahaman), maqayis(tolok ukur) dan qana’at(keyakinan) yang ada dalam masyarakat, kepada Islam. Misalnya, baginda menjelaskan secara lantang realiti tuhan (berhala) kaum kafir dengan membacakan ayat Allah, “Sesungguhnya kalian dan apa (berhala) yang kalian sembah adalah umpan neraka Jahanam [TMQ al-Anbiya’ (21):98]. Baginda juga menentang sikap kafir Quraisy yang merasa aib bila memiliki bayi perempuan hingga mereka membunuh bayi tersebut. Baginda juga menentang sistem rosak yang diamalkan ketika itu seperti amalan riba, perzinaan, menipu timbangan dan sebagainya.

Dengan meneladani perbuatan Rasulullah SAW ini, kita juga (sekarang) hendaklah menentang segala gagasan/ide/pandangan yang lahir dari akidah kufur, khususnya yang datang dari Barat dengan menjelaskan dan menentang segala kerosakan dan kebatilan yang dibawanya. Misalnya, sekularisme, pluralisme dan liberalisme merupakan ide yang wajib di tentang. Begitu juga gagasan cabang yang lahir darinya seperti demokrasi, hak asasi manusia, kesetaraan gender dan lain-lain. Caranya adalah dengan menjelaskan pertentangan hal-hal tersebut dengan Islam, menjelaskan kebatilan dan bahaya hal-hal tersebut ke atas Islam dan umatnya dan menjelaskan bagaimana Islam menyelesaikan masalah manusia dengan akidah Islam dan hukum-hukumnya yang indah dan sempurna. Hal ini perlu dilakukan secara konsisten dalam pelbagai kesempatan baik di muktamar, seminar, ceramah, forum dan sebagainya yang dihadiri oleh umat Islam. Bila hal ini dilakukan terus-menerus, Insya Allah masyarakat akan dapat memahami manakah idea-idea kufur lagi rosak yang berada di tengah-tengah mereka sehingga mereka tidak mahu lagi diatur oleh sistem kufur tersebut.

2. Al-kifah as-siyasi (perjuangan politik). Aktiviti al-kifah as-siyasi merupakan aktiviti politik yang ditujukan sebagai respons kepada pelbagai realiti kekinian yang terjadi di pelbagai tempat. Pada zaman Rasulullah SAW, banyak berlaku realiti yang rosak yang direspons oleh Rasulullah melalui aktiviti politik. Antaranya, menipu dalam ekonomi merupakan amalan biasa dalam masyarakat seperti mengurangi timbangan. Untuk menjelaskan kerosakan tersebut, Allah SWT menurunkan Surah al-Muthafifin yang disampaikan oleh Rasulullah SAW di tengah-tengah masyarakat. Begitu juga, sudah menjadi kebiasaan masyarakat Jahiliyyah menjerumuskan hamba wanita mereka ke lembah pelacuran. Hal ini direspons oleh Nabi SAW dengan menyampaikan Quran Surah an-Nur (24) ayat 33, dan banyak lagi.

Saat ini, setiap kejadian/peristiwa politik kekinian yang bertentangan dengan Islam dan merugikan umat Islam perlu dilakukan kifahsiyasi. Kutlah Islam harus melakukan aktiviti politik di saat pemerintah menjual dan menaikkan harga minyak sesuka hati, menaikkan tarif elektrik, air dan lain-lain, mengenakan dan menaikkan cukai, tol, menghalalkan riba, judi, arak, membenarkan pertandingan ratu cantik, penyanyi, pesta dan lain-lain aktiviti yang merosak akhlak. Begitu juga saat terjadi peristiwa politik internasional seperti serangan ke atas Islam dan umatnya, serangan ke atas Rasulullah, tragedi Mavi Marmara dan seumpamanya.

Caranya, kutlah Islam perlu mengeluarkan penulisan, buletin, kenyataan akhbar, mendatangi menteri dan lain-lain, dalam rangka menjelaskan bahaya dan kerugian yang akan dideritai oleh umat Islam hasil dari semua itu. Juga, dalam rangka menjelaskan apa yang terjadi itu, dari sudut pertentangannya dengan syariat Islam dan memberikan penyelesaian Islam terhadapnya. Bahkan kutlah Islam boleh melakukan demonstrasi aman (masirah) dalam rangka memuhasabah pemerintah dan menyedarkan umat Islam lainnya akan apa yang berlaku. Dengan dilakukan aktiviti kifahsiyasi ini secara berterusan, Insya Allah lama-kelamaan akan menumbuhkan kesedaran di kalangan masyarakat untuk mereka kembali kepada Islam.

3. Kasyful al-khutat (membongkar rencana jahat) kaum kafir yang menjadi musuh Islam. Rasulullah SAW sering menyampaikan wahyu berkenaan rencana jahat kaum kafir. Sebagai contoh, baginda membongkar rancangan tokoh Quraisy (seperti Abu Jahal, Abu Sufian, UmayyahibnKhalaf dan Walid bin Mughirah) yang berdiskusi di pusat pertemuan strategis mereka, Darun Nadwah, yang mana mereka memberikan label negatif pada diri Rasulullah SAW untuk dipropagandakan kepada bangsa Arab. Baginda juga membongkar persekongkolan kaum kafir dengan kaum munafik yang disebut oleh Allah SWT dalam al-Quran Surah al-Mudatsir (74) ayat 18-26.

Meneladani hal ini, dalam usaha penegakan Daulah Islam (Khilafah), amat penting untuk membongkar makar negara kafir imperialis dan ejen-ejen mereka. Misalnya, rencana jahat Amerika Syarikat (AS) di Syria, Mesir, Turki, Irak, Afghanistan, Pakistan, Bangladesh dan lain-lain perlu dijelaskan kepada masyarakat baik di dalam seminar, muktamar, khutbah, kuliah subuh, kelas-kelas pengajian dan sebagainya. Masyarakat juga perlu difahamkan tentang hakikat kunjungan Obama ke negeri-negeri kaum Muslimin yang hanya ingin memastikan umat Islam terus kekal di dalam perpecahan dengan mengamalkan demokrasi dan memastikan kita tidak akan kembali bersatu di bawah Khilafah, di samping untuk kepentingan minyak, gas, ekonomi, pangkalan militer dan untuk pembentukan lobi Yahudi-AS di wilayah umat Islam. Hal ini dapat dilakukan juga melalui pelbagai bentuk penulisan, mengirim delegasi ke tempat-tempat yang sesuai, demonstrasi aman dan sebagainya.

Thalab an-Nusrah (Mencari Pertolongan)

Pada saat kehendak dominan masyarakat menghendaki syariah dan Khilafah, maka masyarakat bersama dengan kutlah pejuang syariah dan Khilafah akan menuntut penguasa agar menegakkan Khilafah atau mundur seraya menyerahkan kepemimpinan kepada mereka. Di saat penguasa ingin mundur secara sukarela dan menyerahkan kekuasaannya kepada kutlah pejuang Khilafah, maka para tokoh dari pelbagai tempat dan kalangan atau organisasi akan membentuk semacam ahlul halliwal ‘aqdi untuk membaiat khalifah. Ketika itu terjadilah penyerahan kekuasaan (istilam al-hukmi) dari rakyat kepada penguasa baru (Khalifah). Namun sebaliknya, sekiranya penguasa sedia ada tidak mahu melepaskan kekuasaannya, lalu menghadapi rakyat (selaku pemilik kekuasaan) dengan kekerasan, maka di sinilah pentingnya dukungan pemilik kekuatan (ahlul quwwah /  ahlunnushrah) terhadap dakwah dan kutlah yang ingin menegakkan Khilafah.

Ahlul quwwah adalah mereka yang benar-benar memiliki kekuatan seperti tentera atau sekelompok orang yang memiliki kekuatan seperti tentera. Dengan adanya dukungan ahlul quwwah, penyerahan kekuasaan akan terjadi dengan damai dan yang lebih penting, ia adalah satu-satunya thariqah yang syarie untuk menegakkan sebuah kekuasaan. Begitulah yang dilakukan oleh Nabi SAW tatkala menegakkan Daulah Islam di Madinah. Baginda SAW telah mendapat pertolongan dari kaum Auz dan Khazraj (dari Madinah) selaku ahlul quwwah, untuk mendapatkan kekuasaan dan seterusnya menerapkan Islam dalam sebuah negara (Madinah). Rasulullah SAW telah dibaiah oleh kaum Ansar di Aqabah dan dari peristiwa inilah, munculnya Daulah Islam yang pertama di muka bumi ini. Hal inilah yang wajib diikuti oleh setiap kutlah yang ingin menegakkan Negara Islam. Perlu difahami bahawa tertegaknyaDaulah Khilafah melalui dukungan ahlul quwwah ini berlaku secara damai, tanpa rampasan kuasa dan tanpa kekerasan, sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Tahap Ketiga: Istilam al-Hukmi (Penerapan Islam)

Tahap ini adalah tahap penerapan hukum-hukum Allah setelah Daulah Islam berjaya ditegakkan. Seterusnya, Khalifah selaku ketua Negara akan menyebarkan dakwah dan jihad ke luar negara. Khalifah akan mempersatukan negeri-negeri kaum Muslimin, membebaskan wilayah Islam yang terjajah serta membebaskan umat Islam di seluruh dunia dari cengkaman kuffar. Apabila semua ini terjadi, maka agama Allah akan zahir di atas segala agama lain dan rahmat Allah akan sampai ke seluruh penjuru alam Insya Allah.