SN365 – Keseluruhan Bantuan AS Adalah Racun Dan Kehilangannya Adalah Seribu Kali Lebih Ringan Dari Mempertahankannya

SN keluaran 18 Oktober 2013


Keseluruhan Bantuan AS Adalah Racun Dan Kehilangannya Adalah Seribu Kali Lebih Ringan Dari Mempertahankannya
 

[SN365] Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Jennifer Psaki, berkata pada 10/10/2013 bahawa Washington akan membekukan bantuan ketenteraan dan ekonomi ke Mesir sementara menunggu Mesir melakukan perkembangan yang boleh dipercayai (credible progress) ke arah mewujudkan kerajaan awam yang dipilih secara demokratik. Akhbar The Los Angeles Times memetik pegawai AS, dalam sidang akhbar pada 10/10/2013 sebagai berkata perkara yang sama, “Inti kepentingan keselamatan Amerika di rantau ini, termasuk perjanjian damai antara Mesir dan Israel, tidak akan terancam akibat pembekuan atau pengurangan bantuan ini.

Kita memahami bahawa kenyataan oleh Amerika ini bukanlah penyudah kepada segala bantuan beracun yang disalurkan ke Mesir. Sebaliknya ia adalah salah satu cara ancaman untuk mengatur langkah pembentukan kerajaan baru mengikut apa yang Amerika kehendaki. Dengan kata lain, apa yang berlaku itu bukanlah suatu yang berada di luar perhitungan Amerika. Huluran bantuan adalah salah satu cara, malah merupakan metodologi yang dilakukan Amerika dalam rangka menjajah orang lain dan mengembangkan kawalan dan pengaruhnya. Hal ini telah dilakukan sejak Amerika memasuki Timur Tengah sebagai kekuatan imperialisme baru. Semasa persidangan di Istanbul oleh para diplomat Amerika yang diadakan untuk Kumpulan Arab pada 2 Oktober tahun 1950 yang dipengerusikan oleh George Maggie yang mewakili Jabatan Negara AS, antara pelan AS adalah “untuk menjalin kerjasama dengan penduduk negara ini sebagai salah satu jalan untuk akses kepada rantau ini”. Inilah tabiat mereka dalam melakukan penipuan, umpama musang berbulu ayam!

Bantuan beracun yang mereka namakan sebagai “kerjasama” ini menjadi tulang belakang kepada polisi Amerika untuk menembusi rantau ini dan untuk menghasilkan ejen mereka sekali gus merampas kekayaan dan menghisap darah kita semua. Amerika telah menggunakan kaedah “bantuan” untuk menjajah Indonesia. Apabila Sukarno pada tahun 1950 menolak bantuan Amerika, Amerika terus menekannya melalui ancaman dan ugutan sehingga dia menerima bantuan AS dan kemudian pengaruh AS memasuki Indonesia dan terus wujud hingga ke hari ini.

Oleh itu, apa yang dinamakan oleh Amerika sebagai bantuan kemanusiaan, dalam kamus mereka sebenarnya adalah projek-projek penjajahan atas nama ekonomi, walau terhadap kawan-kawan mereka sendiri sekalipun! Pelan Marshall selepas Perang Dunia II yang dinamakan sebagai Program Pemulihan Eropah, menjadi pintu masuk bagi syarikat-syarikat Amerika untuk menjadi rakan kongsi yang aktif dalam banyak sendi perekonomian Eropah. Selepas sepuluh tahun berlalu, ekonomi Eropah secara umum menjadi milik syarikat-syarikat Amerika. Walaupun ia telah menurun sedikit pada tahun-tahun kebelakangan ini, tetapi kesan daripada syarikat-syarikat AS ke atas ekonomi Eropah masih wujud hingga ke hari ini.

Sungguh, kesemua bantuan tersebut adalah suatu keburukan, kerana realiti menunjukkan bahawa negara kuffar penjajah, terutama Amerika, tidak akan menawarkan bantuan kecuali hanya untuk mengembangkan pengaruh dan hegemoni mereka, demi kepentingan mereka serta kepentingan entiti Yahudi. Semua ini telah termaktub dalam Perjanjian Camp David yang penuh kejahatan. Pegawai-pegawai entiti Yahudi cukup bimbang terhadap kesan pembekuan mana-mana bantuan AS ke Mesir, kerana entiti Yahudi itu menganggap “bantuan AS ke Mesir merupakan tunggak penting Perjanjian Camp David”.

Sesungguhnya bantuan-bantuan Amerika Syarikat adalah dharar (kemudaratan) yang sangat besar, sedangkan Nabi SAW bersabda,

Tidak boleh memudaratkan diri sendiri dan orang lain” [HR al-Hakim dalam al-Mustadrak].

Al-Hakim berkata, “Ini adalah sebuah hadis dengan sanad sahih mengikut syarat Muslim, walaupun dia tidak mengeluarkannya.”

Penerimaan bantuan-bantuan ini adalah satu jenayah besar dalam Islam, kerana mereka (yang menerima bantuan ini) telah membuka ruang untuk kuffar penjajah menguasai tanah kaum Muslimin melalui pengaruh ekonomi dan politik. Allah SWT berfirman,

Dan Allah sekali-kali tidak memberikan jalan kepada orang-orang kafir untuk menguasai orang-orang beriman” [TMQ an-Nisa’ (4):141].

Ini dari satu sudut. Dari sudut yang lain, bantuan-bantuan ini tidak bermakna sama sekali jika dibandingkan dengan KDNK Mesir. Bantuan Amerika sekitar USD1.5 billion itu sebenarnya tidak lebih dari 0.3% KDNK Mesir. Ini belum lagi mengambil kira kekayaan Mesir baik minyak, gas, galian besi dan juga laluan terusan Suez. Dengan menaikkan sedikit saja tarif laluan terusan Suez, ia akan mendatangkan pendapatan yang berkali-kali ganda dari jumlah bantuan Amerika itu. Dengan memutuskan bekalan gas ke entiti Yahudi yang selama ini dijual kepada mereka dengan harga yang amat murah sekali, dan menjual bekalan gas tersebut di pasaran dengan harga biasa, ia akan mendatangkan kemasukan berkali-kali ganda dari jumlah bantuan Amerika itu. Apatah lagi kita di saat ini sedang berada dalam keadaan perang dengan entiti Yahudi perampas bumi Israk dan Mikraj itu, maka sama sekali tidak boleh menjalin apa jua hubungan damai dengan entiti Yahudi tersebut, baik hubungan politik, ekonomi dan lain-lainnya.

Mengenai apa yang disebarkan oleh Amerika tentang kemiskinan dan krisis ekonomi yang akan menimpa Mesir jika tidak ada bantuan-bantuan tersebut, itu adalah perkataan yang cacat dan dusta. Kemiskinan di negeri kaum Muslimin adalah kemiskinan palsu hasil rekayasa, yang disebabkan oleh kelemahan pemerintahan dan pembuat keputusan. Akibatnya kekayaan umat dan pemilikan umum dibazirkan dengan cara-cara yang korup yang mendatangkan kemudaratan kepada negara serta penduduknya. Pemilikan umum yang sepatutnya diagihkan kepada umat kerana ia adalah hak umat, sebaliknya ditelan oleh “ikan-ikan paus” dan disimpan di kantong mereka baik di dalam mahupun luar negeri, sama ada secara rahsia mahupun terang-terangan. Seterusnya, negeri Muslim juga diikat dengan Bank Dunia, IMF dan lain-lain racun Amerika yang disebut sebagai “bantuan”. Inilah penyebab kemiskinan di negeri-negeri kaum Muslimin walhal negeri-negeri kaum Muslimin itu melimpah ruah dengan kekayaan yang dikurniakan oleh Allah, yang jauh dari mencukupi, jika ia dikelola dengan cara-cara yang telah dijelaskan oleh Zat yang Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

Wahai kaum Muslimin di bumi al-Kinanah! Kewajipan kalian adalah menolak bantuan-bantuan tersebut, bukan sebaliknya Amerika yang mengancam kalian dengan ancaman pembekuan bantuan-bantuan itu! Kalian sepatutnya menghalang segala bantuan beracun ini dari masuk ke dalam negara. Inilah hukum asalnya. Dengan menolak segala bantuan ini, ia akan mengheret Amerika dan entiti Yahudi ke jurang kematian. Inilah yang seharusnya kita usahakan dan mengerahkan seluruh daya dan upaya ke arahnya. Begitulah jawapan yang wajib kita sampaikan dan kita sepatutnya melemparkan racun-racun tersebut ke wajah mereka, bukannya menjawab sebagaimana ucapan duta besar Badar Abdul ‘Athi, yang bercakap bagi pihak Kementerian Luar Negeri Mesir, “Keputusan (AS) ini tidak tepat dilihat dari segi isi dan waktunya”. Dia menambah, “Mesir juga mementingkan penerusan hubungan yang baik dengan Amerika Syarikat”.

Sungguh apa yang wajib dilakukan oleh al-Sisi si perampas kuasa itu, adalah melemparkan bantuan-bantuan ini ke wajah pemiliknya dan mengembalikan racun-racun Amerika ke kerongkongnya, sehingga Amerika tahu bahawa bumi al-Kinanah adalah kuat dengan Rabbnya dan mulia dengan agamanya. Akan tetapi hal itu tidak mungkin dilakukan oleh si perampas kuasa tersebut, kerana dia sedang sibuk membunuh rakyatnya, kerana dia mahukan orang berkata seperti perkataannya dan berpandangan seperti pandangannya. Hal itu seperti yang dikatakan oleh Firaun dahulu,

Firaun berkata: Aku tidak mengemukakan kepadamu, melainkan apa yang aku pandang baik…” [TMQ al-Mukmin (40):29].

Sesungguhnya membunuh satu jiwa yang diharamkan oleh Allah tanpa hak, akan membinasakan pelakunya di dunia dan di akhirat. Di antara apa yang diucapkan oleh Rasulullah SAW di hadapan manusia pada hari Arafah ialah,

Sungguh darah kalian, harta kalian, kehormatan kalian, adalah haram ke atas kalian, seperti haramnya hari kalian ini, di bulan ini dan di negeri ini” [HR al-Bukhari].

Sesungguhnya orang yang membunuh satu jiwa tanpa hak, ia telah melakukan kejahatan terhadap agama dan umatnya dan kesudahannya adalah seperti yang difirmankan oleh Allah yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa,

Orang-orang yang berdosa, nanti akan ditimpa kehinaan di sisi Allah dan seksa yang keras disebabkan mereka selalu membuat tipu daya” [TMQ al-An’am (6):124].

Begitulah yang telah berlaku terhadap kelompok mereka yang terdahulu. Orang yang berakal adalah orang yang mengambil pengajaran dari orang lain.

Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai akal atau yang menggunakan pendengarannya, sedang dia menyaksikannya” [TMQ Qaf (50):37].

6 Zulhijjah 1434 H
11 Oktober 2013 M
Hizbut Tahrir