SN386 – DEMOKRASI – AGENDA BARAT MENGHANCURKAN ISLAM!!!

 
SN keluaran 23 Mei 2014


DEMOKRASI – AGENDA BARAT MENGHANCURKAN ISLAM!!!

[SN386] Masuknya 28 Rejab 1435H menggenapkan 93 tahun runtuhnya Khilafah Islamiyyah, sebuah entiti politik umat Islam yang telah menaungi dunia selama lebih 13 abad. Khalifah adalah pengganti Rasulullah SAW dalam mentadbir dan memerintah Negara Islam, sekali gus sebagai pemimpin bagi umat Islam secara keseluruhan. Khilafah Islamiyyah yang bermula sejak zaman selepas kewafatan Rasulullah SAW yakni sejak pemerintahan Khulafa’ ar-Rasyidin, dilanjutkan dengan pemerintahan Bani Umayyah, Bani Abbasiyyah dan yang terakhir Bani Utsmaniyyah. Selama kewujudannya, Khilafah Islamiyyah merupakan super power dunia, disegani kawan dan lawan serta merupakan sebuah kekuatan Islam yang amat menggentarkan musuh-musuhnya terutama Barat. Namun, setelah lebih 1300 tahun menguasai dua pertiga dunia, Khilafah Islamiyyah secara rasmi dihapuskan pada 28 Rejab 1342H bersamaan 3 Mac 1924M oleh Barat melalui ejennya, Mustafa Kamal Attartuklaknatullah. Keruntuhan Khilafah bukanlah sesuatu kebetulan, tetapi merupakan perancangan ratusan tahun Barat yang dengki dan benci akan Islam dan umatnya. Tidak berhenti di situ, kuffar Barat yang sangat memusuhi Islam itu, terus berusaha bagi memastikan super power ini tidak kembali semula ke persada dunia. Usaha yang dilakukan Barat kali ini lebih licik, lebih tersusun dan lebih menyeluruh hingga menembusi ke lubuk jantung umat Islam.

Walau demikian keadaannya, kuffar Barat, dengan AS sebagai ketuanya, semakin hari semakin gentar dengan kebangkitan umat Islam di seluruh dunia. Mereka cukup takut yang umat yang tertindas ini akan mencapai satu titik di mana ia akan kembali menjadi umat yang istimewa dan menggapai semula kemuliaannya sebagaimana dahulu. Kuffar Barat semakin gementar melihat kehendak dan pergerakan umat Islam yang ingin kembali bersatu di bawah naungan Khilafah, yang sekali gus membawa maksud bahawa hegemoni Barat di dunia pasti akan berakhir. Semua ini menghantui Barat pagi dan petang, siang dan malam sehingga menjadi mimpi ngeri mereka. Kuffar Barat benar-benar memahami bahawa tatkala umat Muhammad ini memiliki semula negara mereka, umat ini akan pasti tampil di pentas dunia dengan cahaya Islam dan akan memimpin dunia dalam waktu yang singkat, sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh para pendahulunya dari generasi awal. Bendera dan panji Khilafah pun akan berkibar dari ufuk Barat hingga ke ufuk Timur dunia dan seluruh benua akan bernaung di bawah kekuasaannya.

Maka dari itu, adalah wajar apabila Barat sanggup melakukan apa sahaja demi memastikan Khilafah tidak tegak kembali. Serangan demi serangan dilakukan oleh Barat ke atas umat Islam dan ke atas deenulIslam. Tidak dinafikan bahawa motif serangan Barat berpunca dari kerakusan serta ketamakan mereka terhadap sumber daya alam di negeri-negeri kaum Muslimin dan posisi negeri-negeri kita yang amat strategik. Juga adanya potensi negeri-negeri Islam itu sebagai pasar raksasa bagi produk Barat dan sumber bahan mentah utama bagi industri mereka, di samping adanya deposit minyak bumi yang melimpah ruah yang sangat vital bagi kelangsungan hidup Barat. Meskipun memang ada motif-motif seperti itu, namun motif utama dan tertinggi daripada serangan Barat tidak lain adalah adanya potensi bahaya dalam tubuh umat Islam yang dapat mengancam kepentingan Barat dan dominasi internasionalnya. Potensi bahaya itu tidak lain tidak bukan adalah kembalinya umat Islam kepada kesatuan mereka yang hakiki di bawah Daulah Khilafah, entiti agung yang akan menerapkan hukum Allah dan Rasul secara kaffah dan akan mengembang risalah Islam ke seluruh penjuru dunia dengan dakwah dan jihad!

Demokrasi Sebagai Senjata Utama Barat

Serangan militer Barat ke atas umat Islam memang diketahui dan disedari umum. Apa yang paling bahaya dan tidak disedari oleh umat Islam ialah serangan pemikiran dan tsaqafah. Melalui serangan pemikiran dan tsaqafah ini, sebahagian besar umat Islam, termasuk para ulama, cendekiawan dan gerakan Islam telah terpengaruh dan terbius dengan apa yang dibawa oleh Barat. Mereka mengagung-agungkannya dan melihat bahawa pemikiran dan tsaqafah itu sebagai suatu yang indah dan hebat. Lebih parah, apabila golongan ulama, cendekiawan dan gerakan Islam tersebut menelan pemikiran dan tsaqafah Barat tadi bulat-bulat dan malah ada yang mengakui bahawa ia datang dari Islam, sesuai dengan Islam atau tidak bercanggah dengan Islam. Mereka bahkan pergi lebih jauh sampai ke tahap memperjuangkannya mati-matian dan memusuhi kelompok Islam lain yang menentang pemikiran dan tsaqafah kufur tersebut.

Tujuan serangan Barat saat ini tidak lain adalah untuk menghancurkan Islam dengan cara menjadikan kaum Muslimin meninggalkan akidah Islamiyyah yang mereka miliki (dari dalam) dan seterusnya memeluk akidah pemisahan agama dari kehidupan (sekularisme) sebagaimana anutan Barat. Hal ini dilakukan Barat dengan menjadikan “demokrasi” sebagai senjata ampuh dan utama untuk “membunuh” Islam dan umatnya. Dengan demikian, ideologi Kapitalisme Barat akan dijadikan asas pemikiran dan sumber peraturan hidup bagi kaum Muslimin. Barat tahu bahawa demokrasi akan pasti menjauhkan umat dari Islam dan akan mengekalkan perpecahan sesama Muslim.

Khilafah dimomokkan sebagai sebuah pemerintahan yang zalim dan Khalifah dianggap sebagai seorang diktator kerana segala kuasa ada padanya. Dari sini, Barat mencanangkan demokrasi sebagai sebuah pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat. Suara rakyat adalah suara keramat dan rakyatlah yang menentukan sendiri apa yang mereka mahukan. Umat yang terbius sudah tidak sedar bahawa maksud “rakyat menentukan sendiri apa yang mereka mahukan” adalah penyamaan suara rakyat dengan suara Tuhan. Rakyat bukan lagi mengikut peraturan Tuhan tetapi mengikut peraturan yang dicipta oleh akal mereka sendiri! Inilah aspek terpenting dalam demokrasi yakni ketetapan bahawa pihak yang berhak membuat hukum (Al-Musyarri’) adalah manusia, bukannya Al-Khaliq. Dalam demokrasi, manusia bukan sahaja berkuasa membuat hukum, malah hukum manusia itu lebih ditinggikan dan lebih ditaati daripada hukum Allah SWT, walaupun hakikatnya hukum manusia itu bertentangan dengan hukum Allah!

Demokrasi dengan segala inti pati yang dibawanya, adalah ditujukan untuk menghakis akidah umat Islam hingga hancur, disampingmencerai-berai kesatuan Muslim dan memecah-belah negeri kaum Muslimin. Racun Barat yang diselaputi dengan manisan ini cukup lazat dirasakan oleh kaum Muslimin sehingga mereka tidak sanggup menolaknya dan tidak mahu berhenti menelannya, walhal sebahagian mereka telah mati dan sebahagian yang lain sedang tenat menderita kerananya. Senjata mematikan ini menusuk ke kalbu kaum Muslimin dengan cukup halus sehingga tidak dapat dilihat atau dirasakan oleh kaum Muslimin kecuali oleh mereka yang mempunyai mata hati.

Sesuai dengan kelicikannya, Barat bukan sahaja melaksanakan agenda demokrasi mereka melalui tangan-tangan mereka, tetapi melalui tangan-tangan kaum Muslimin itu sendiri. Selain dari melantik penguasa yang menjadi ejen dan tali barut mereka, Barat juga mencipta dan mendukung kelompok-kelompok moderat dan liberal di dunia Islam. Kelompok yang memperjuangkan hak asasi manusia dan kebebasan ini diangkat oleh Barat dengan diberi dana, liputan yang meluas, pujian dan galakan untuk terus beraktiviti bagi menyerang Islam dari dalam. Lebih ironi, Barat juga mendukung kelompok-kelompok Muslim yang berjuang dalam demokrasi. Kelompok ini merupakan kelompok yang diredhai oleh Barat. Kerana itu mereka dibiarkan (kerana langsung tidak mengancam Barat), malah Barat sering memuji kelompok ini kerana ‘keistiqamahan’ mereka berjuang dalam demokrasi! Sama ada sedar atau tidak, kelompok Muslim pencinta dan pejuang demokrasi ini sebenarnya hanya berada dalam perangkap yang dipasang Barat bagi memastikan agenda demokrasi Barat tidak akan mati di dunia Islam. Melalui kelompok inilah dan kerana kelompok inilah, sistem demokrasi kufur ciptaan Barat ini masih dapat meneruskan talian hayat mereka hingga ke hari ini.

Dalam masa yang sama, Barat menyimpan para diktator yang setia kepadanya. Apabila diktator ini sudah tidak berguna, khususnya apabila umat Islam sudah sedar dan bangkit untuk menghumban diktator ini, maka Barat berlakon seolah-olah mereka menentang diktator tersebut dan mereka (Barat) bersama dengan umat. Kemudian, Barat akan menawarkan kepada umat “demokrasi” yang diletak pelbagai manisan tadi, sebagai pengganti kepada kediktatoran. Dengan itu, umat Islam yang benci kepada diktator dan bangkit untuk membuang kezalimannya, telah berjaya dipalingkan oleh Barat kepada demokrasi. Inilah perancangan licik Barat dan inilah apa yang terjadi dengan Mesir, Tunisia, Yemen dan lain-lain. Hasilnya, banyak gerakan Islam yang telah berjaya dijinakkan oleh Barat dan akhirnya menjalin hubungan intim dengan Barat, melalui penglibatan mereka dalam demokrasi!

Tidak berhenti di situ, Barat berusaha untuk membendung gerakan Islam yang menolak demokrasi, apatah lagi gerakan jihad dan gerakan yang berjuang untuk mengembalikan semula Daulah Khilafah. Semuanya dicop oleh Barat sama ada sebagai terroris, extremis ataupun fundamentalis. Para penguasa Muslim yang memang setia dan tunduk kepada Barat, lalu digerakkan untuk menghalang kelompok yang ikhlas ini sampai ke tahap menangkap, memenjara dan membunuh mereka, walaupun kelompok yang ingin menegakkan kembali Khilafah hanya bergerak secara politik dan intelektual. Bagi Barat, kelompok Islam mana pun yang menolak demokrasi dan ingin mengembalikan semula Khilafah adalah musuh mereka.

Demokrasi Sebagai Agama Baru

Kuffar Barat memahami benar bahawa mengambil demokrasi bermakna membuang syariat Allah dan menempatkan manusia pada posisi Al-Khaliq. Ini kerana, demokrasi itu terhasil dari ideologi Kapitalisme yang memisahkan agama dari kehidupan (sekularisme). Justeru, menerapkan demokrasi bermakna memisahkan Islam dari kehidupan dan memberikan hak kepada manusia menentukan peraturan mereka sendiri tanpa campur tangan dari Tuhan manusia. Inilah hakikat demokrasi yang sebenar. Oleh yang demikian, Barat tidak menjajakan demokrasi dengan cara mengungkapkan hakikat ini, akan tetapi mereka mengatakan bahawa demokrasi itu adalah pemerintahan dari, oleh dan untuk rakyat. Mereka katakan pula bahawa demokrasi membawa keadilan dan kesamarataan, tidak sebagaimana diktator yang menindas dan bersifat kuku besi. Inilah yang mereka sebarkan kepada dunia Islam. Mereka tidak menyentuh sedikit pun mengenai hal demokrasi yang membuang syariat Allah, padahal itulah substansi (inti) demokrasi, dari awal sampai akhir.

Allah SWT telah menyatakan bahawa kaum Yahudi dan Nasara tidak akan redha kepada kaum Muslimin sehinggalah kita mengikuti millah mereka [rujuk al-Baqarah (2):120]. Barat akan redha dengan Muslim mana pun yang mengambil demokrasi dan Barat akan memusuhi Muslim yang menentang demokrasi. Walaupun secara umumnya Barat tidak berjaya menukar agama seseorang Muslim kepada agama mereka, namun ternyata melalui demokrasi, mereka sebenarnya telah berjaya ‘mengeluarkan’ umat Islam dari ajaran Islam dan masuk ke dalam ajaran mereka. Umat Islam lebih cenderung mengikuti ajaran demokrasi berbanding ajaran Islam. Malah, dalam keadaan-keadaan tertentu, akidah umat Islam juga berjaya dipesongkan oleh Barat melalui demokrasi. Mengambil demokrasi bermakna tidak berhukum dengan hukum Allah dan Allah SWT mengingatkan bahawa siapa sahaja yang tidak berhukum dengan hukumNya, seseorang itu boleh jatuh kafir (apabila meyakininya), zalim dan fasik (apabila tidak meyakini tetapi mengamalkannya).
   
Realitinya, berapa ramai daripada kalangan umat Islam yang menjadikan demokrasi sebagai anutannya sehingga setiap penganut demokrasi ini mengukur “benar atau salah” sesuatu perbuatan/tindakan atau perkara, berdasarkan demokrasi, bukan lagi berdasarkan Islam. Contohnya, jika berlaku kezaliman dalam sesebuah pemerintahan, maka hal ini dikatakan tidak demokratik. Bila seseorang ditangkap tanpa bicara, maka hal ini dikatakan bertentangan dengan demokrasi; bila dihalang untuk melakukan demonstrasi atau perhimpunan, maka hal ini dikatakan melanggar lunas-lunas demokrasi; bila permit penerbitan ditarik balik, maka tindakan ini dikatakan telah menghakis demokrasi; bila dihalang untuk berceramah dan mengajar agama, maka ini dikatakan pencabulan terhadap demokrasi dan banyak lagi contoh-contoh lainnya. Dari orang jahil sampailah ke para ulama; dari budak sekolah sampailah ke pemimpin negara; dari kaki lima sampailah ke Parlimen; dari ceruk desa sampailah ke OIC, tidak ada manusia yang tidak membincangkan demokrasi dan ternyata demokrasi telah menjadi pegangan utama manusia, termasuk umat Islam!

Maka, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa demokrasi sesungguhnya telah menjadi suatu “agama” baru yang dianut oleh manusia! Inilah apa yang dimahukan oleh Barat yakni umat Islam tunduk dan patuh dengan ajaran demokrasi, malah sanggup berjuang bermati-matian demi mempertahankan demokrasi serta memusuhi saudara-saudaranya yang lain yang menolak demokrasi! Begitulah antara kelicikan Barat dalam menghancurkan Islam dan umatnya melalui demokrasi. Ia dilakukan bukan secara spontan atau kebetulan, tetapi dirancang secara rapi dan sistematik, melalui proses yang panjang dan berterusan. Sesungguhnya bahaya yang dihadapi kaum Muslimin saat ini dek “serangan” demokrasi Barat, jauh lebih besar daripada seluruh bahaya yang pernah dialami kaum Muslimin di sepanjang sejarah mereka.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Sedarlah akan kelicikan musuh-musuh kalian terhadap kalian! Tinggalkanlah demokrasi daripada kehidupan kalian. Demokrasi merupakan sistem kufur yang berasal dari Barat dan tidak sama dan tidak akan pernah sama dengan Islam dalam aspek mana sekalipun. Haram untuk kita mengambilnya, mengamalkannya mahupun menyebarluaskannya. Jagalah akidah dan agama kalian. Bahaya kemusnahan yang dibawa oleh Barat ini sudah tidak diragukan lagi akan terus mengancam kalian, selama kalian tetap berpegang kepadanya. Ayuhlah kita berjuang menegakkan agama Allah dengan jalan yang ditunjukkan oleh RasulNya dan bukan dengan jalan yang ditunjukkan oleh Barat atau oleh akal kita yang serba kurang ini. Ayuhlah kita berjuang menegakkan kembali Khilafah kerana demi sesungguhnya agama Allah ini tidak akan tegak tanpa adanya negara yang menegakkannya. Sudah 93 tahun umat Islam hidup dalam kelemahan, kehinaan, terpecah-belah dan tercerai-berai kerana tiadanya Khilafah dan selama itu kuffar Barat melakukan sewenang-wenangnya di muka bumi tanpa ada yang dapat melawannya. Hanya dengan kembalinya Khilafah di persada politik dunia sahajalah yang akan dapat mengajar segala kebiadaban Barat selama ini sekali gus mengembalikan semula kemuliaan umat Islam. Wallahua’lam.