SN387 – “BABI HALAL”, BABI HARAM, BABI SAHAJAKAH YANG HARAM?

 
SN keluaran 6 Jun 2014

“BABI HALAL”, BABI HARAM, BABI SAHAJAKAH YANG HARAM?

[SN387] Selepas tamat kekecohan pilihan raya Teluk Intan, kini Malaysia dikecohkan pula dengan kes coklat Cadbury. Kementerian Kesihatan (KK) mengesahkan yang dua sampel coklat Cadbury iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel (Cadbury Dairy Milk Hazelnut) dan Coklat Susu dengan Buah Badam (Cadbury Dairy Milk Roast Almond) mengandungi DNA babi (porcine). DNA babi itu dikesan dalam sampel kedua-dua produk tersebut yang bernombor kelompok (batch no) NO200813M01H I2 bertarikh luput 13 Nov 2014 dan 221013N01R I1 bertarikh luput 15 Jan 2015. Sehari selepas itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terus menggantung sijil pengesahan halal dua produk tersebut. Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata, tindakan itu diambil berikutan analisis yang dijalankan KK dan siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca pencemaran [UM 24/05/14].

Bagaimanapun beberapa hari kemudian, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan mengesahkan bahawa hukum produk Cadbury yang disahkan halal sebelum didakwa mengandungi DNA babi, adalah seperti hukum asalnya iaitu halal dimakan kerana ia termasuk dalam kategori keadaan ‘umum al-balwa’, iaitu keadaan musibah atau kesukaran yang berleluasa dan sukar dielak [UM 29/05/14]. Lebih mengejutkan, Jakim kemudiannya  mengesahkan dua sampel produk coklat keluaran syarikat Cadbury itu dikesan tidak mengandungi porcine. Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil KhirBaharom selepas keputusan ujian yang dijalankan terhadap dua sampel coklat berkenaan dikeluarkan oleh makmal Ibu Pejabat Jabatan Kimia di Petaling Jaya. “Makmal itu adalah yang telah diakreditasikanJakim untuk menguji DNA babi dan keputusannya adalah tiada DNA babi dikesan dalam dua produk berkenaan dan halal dimakan umat Islam”, jelas Jamil Khir. Jamil bagaimanapun tidak menolak kemungkinan makmal KK itu juga boleh menemukan DNA babi, namun makmal tersebut tidak diakreditasi untuk menguji DNA.

Dalam perkembangan terbaru yang bercanggah lagi mengelirukan, KK yang sebelum itu mempertahankan keputusannya, mengakui telah melakukan kesilapan berhubung pengumuman terdapat kesan DNA babi dalam kandungan dua produk coklat Cadbury tersebut,  termasuk tidak memaklumkan kepada Jakim terlebih dahulu. Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. HilmiYahaya berkata, kesilapan berlaku apabila maklumat terhadap ujian makmal yang dijalankan ke atas produk-produk itu dibocorkan ke laman sosial selain pengumuman dibuat terlalu awal. Saya mohon kepada semua untuk menerima keputusan Jakim. “Satu kesilapan telah dibuat oleh pegawai kami dan kementerian sedang jalankan siasatan dalaman dan tindakan tegas akan diambil,” katanya [UM 03/06/14]. Keputusan terbaru KK ini bukan sekadar memeningkan lagi rakyat, malah menjatuhkan kredibiliti mereka sendiri. Bagaimana KK pada awalnya boleh mengeluarkan pengesahan adanya DNA babi dan mempertahankan keputusannya, kemudian mengakuinya silap (itupun cuma dari segi prosedur) dan mengarahkan rakyat untuk mengikut keputusan Jakim yang mengesahkan coklat tersebut halal?!

Jakim pula, yang sebelum itu yakin dengan keputusan KK dan menarik balik sijil halal Cadbury serta-merta, kemudian bertindak  mengembalikan semula “kehalalan”nya. Lebih ironi apabila Timbalan Menteri Kesihatan mengesahkan yang “Jakim dan Kementerian Kesihatan melakukan ujian makmal menggunakan prosedur operasi standard yang sama untuk mendapatkan keputusan. Bezanya, berbanding makmal yang digunakan Jakim, makmal kementerian tidak diakreditasikan untuk penentuan produk halal dan hanya digunakan untuk kajian dalaman” [UM 03/06/14]. Dengan kata lain, bentuk ujian yang dilakukan kedua-dua jabatan kerajaan ini sama sahaja, bezanya cuma kerajaan akan mengambil keputusan Jakim sebagai keputusan rasmi. Ringkasnya, jika KK mengatakan ada DNA babi dan Jakim mengatakan tiada (dari bentuk dan hasil ujian yang sama), keputusan Jakim adalah terpakai. Apakah makna ini semua???!!!

Tindakan kontroversi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, KK dan Jakim yang telah “menghalalkan semula” coklat Cadbury ini setelah disahkan sebelumnya mengandungi DNA babi, selain pelik dan mengelirukan, telah menjatuhkan kredibiliti semua pihak terbabit serta telah menimbulkan spekulasi bahawa wujudnya tekanan dan arahan pihak tertentu sehingga keputusan KK dan Jakim berubah. Jika keadaan ini benar, ia bukanlah suatu yang di luar jangkaan kerana sesebuah syarikat Kapitalis antarabangsa, apatah lagi jika di back-up oleh pihak-pihak yang berkepentingan politik, tentunya tidak akan berdiam diri dalam hal yang melibatkan reputasi dan kerugian besar seperti ini. Apa pun, nasi sudah menjadi bubur. Sebahagian umat Islam sudah tekad tidak akan memakan coklat tersebut walaupun berpuluh cop halal terdapat pada bungkusannya sekalipun. Begitulah sensitifnya sebahagian umat Islam apabila sesuatu bahan makanan itu sudah dikaitkan dengan babi. Fatwa apa pun yang dikeluarkan untuk menghalalkannya semula tidak akan lagi diterima atau diyakini oleh mereka.

Cukuplah, Sampai Bila Hanya Ingin Sensitif Dengan Babi Sahaja?

Keharaman babi adalah jelas. Allah SWT berfirman,

“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah. Tetapi barangsiapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang ia tidak menginginkan dan tidak (pula) melampau batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”  [TMQ al-Baqarah (2):173].

Berdasarkan ayat ini, satu keadaan sahaja yang menjadikan babi (dan lain-lain yang disebut) boleh dimakan yakni apabila wujudnya keadaan terpaksa (darurat). Keadaan darurat di sini ialah apabila tiadanya benda lain yang boleh dimakan untuk menyambung hidup kecuali benda itu sahaja, maka perkara-perkara yang diharamkan tadi boleh dimakan. Itu pun dengan syarat kita tidak menginginkan (untuk memakannya) dan tidak boleh melampaui batas dalam memakannya, yakni hanya dimakan sekadarnya untuk tujuan meneruskan hidup.

Dalam kes coklat Cadbury ini, jika ternyata telah mengandungi unsur babi, maka haram untuk dimakan. Titik. Langsung tidak muncul keadaan darurat atau ‘umum al-balwa’ yang membolehkan kita memakannya kerana di sekeliling kita sekarang dilimpahi dengan pelbagai jenis makanan lain yang halal. Jadi, nas al-Quran terpakai dan wajib dipakai dalam keadaan ini dan bukannya terus melompat ke keadaan ‘umum al-balwa’ bagi membolehkan atau “menghalalkan” benda yang haram ini.

Jika kita perhatikan, sebenarnya sejak dulu lagi, apabila timbulnya isu babi dalam makanan, maka isu ini menjadi sungguh sensitif dan tidak akan dibiarkan oleh umat Islam. Berita akan disebarkan dengan begitu cepat kerana munculnya rasa kebertanggungjawaban yang amat tinggi untuk memaklumkan (mendakwahkan) kepada saudara-saudara Muslim yang lain akan hal ini kerana tidak mahu saudara-saudara yang lain terlibat dalam keharaman ini. Sebut sahaja babi, bukan sahaja daging atau fizikal babi itu sendiri yang dirasakan jijik, bahkan kalau ada sekelumit sahaja organ dalaman atau DNA babi yang dikesan, maka umat Islam akan merasa jijik dengannya dan tidak akan berdiam diri. Bukan itu sahaja, jika ada bekas-bekas makanan (pinggan mangkuk) yang dirasakan pernah digunakan untuk menghidangkan binatang yang haram itu, kaum Muslimin pasti tidak akan menggunakan bekas tersebut. Begitulah betapa berhati-hatinya umat Islam dalam hal ini. Tindakan umat Islam yang sangat berhati-hati dan sensitif dengan keharaman babi ini adalah satu tindakan yang tepat dan benar.

Malangnya, kesensitifan umat Islam terhadap keharaman babi adalah melebihi segala-galanya. Seseorang yang sering meninggalkan solat atau kewajipan-kewajipan lain, apabila mendengar adanya babi dalam makanan tertentu, terus akan meninggalkan keharaman ini dan akan terus memberitahu saudara-saudaranya yang lain. Dia lupa yang meninggalkan solat itu juga adalah haram. Seorang yang suka mengambil riba dan sentiasa bergelumang dengan riba sekalipun tidak akan sanggup untuk memakan makanan yang mengandungi babi. Padahal keharaman riba itu jauh lebih ditekankan oleh Allah SWT dan RasulNya berbanding keharaman babi. Firman Allah SWT,

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Jika kamu tidak mengerjakan (tidak meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah bahawa Allah dan RasulNya akan memerangimu…”[TMQ al-Baqarah (2):279].

Sabda Rasulullah SAW,

“Riba itu memiliki 73 pintu. Yang paling ringan (dosanya) adalah seperti seseorang yang berzina dengan ibunya sendiri” [HR al-Hakim dan al-Baihaqi].

Seorang perempuan yang sanggup melakukan keharaman dengan tidak bertudung (tidak menutup aurat) tidak akan sanggup untuk memakan babi. Seorang penzina atau pelacur dan malah seorang perogol pun tidak akan sanggup untuk memakan babi. Begitu juga dengan seorang yang suka makan rasuah tidak akan sanggup untuk memakan babi. Tidak keterlaluan jika dikatakan seorang perompak, pencuri atau pembunuh (yang beragama Islam) sekalipun tidak akan sanggup untuk memakan babi. Begitulah sensitifnya umat Islam dengan babi. Mereka sanggup melakukan segala bentuk keharaman-keharaman lain yang jauh lebih besar, tetapi memakan babi tidak sekali.

Bilakah umat Islam akan sedar yang, jika mereka tidak sanggup memakan babi kerana keharamannya, maka mereka juga sepatutnya meninggalkan segala keharaman lainnya seperti muamalah riba, tidak menutup aurat, berbohong, menyakiti saudaranya dan banyak lagi. Mengumpat dan mencela adalah haram. Menuduh dan memfitnah adalah haram. Berjuang atas nama bangsa dan tanah air (assabiyyah dan wathaniyyah) adalah haram. Tidak melakukan dakwah adalah haram. Berdiam diri dengan kezaliman pemerintah dan berdiam diri dengan sistem kufur yang diterapkan pada hari ini juga adalah haram. Sampai bila sebahagian umat Islam hanya ingin sensitif dengan keharaman babi sahaja sedangkan di sekeliling kita pada hari ini dipenuhi dengan banyak keharaman lainnya yang dibiarkan begitu sahaja?

Sistem Yang Haram

Kita memuji dan berterima kasih kepada pegawai KK yang mendedahkan hal ini kerana ia telah menjalankan kewajipan sebagai Muslim. Kita juga memuji tindakan Jakim pada awalnya yang bertindak cepat bagi menghentikan sebuah keharaman. Namun apa yang kita kesalkan ialah kenapa hanya keharaman babi yang diperbesarkan dan diambil tindakan? Kenapa Jakim tidak memperbesarkan dan tidak mengambil tindakan terhadap keharaman sistem yang dilaksanakan oleh kerajaan pada hari ini yang telah menyebabkan muncul pelbagai keharaman lainnya dalam negara? Ramai umat Islam yang mengambil riba dan perbuatan ini adalah sebuah dosa besar. Siapa sahaja yang terlibat dengannya telah melakukan keharaman. Ini dari satu sisi. Dari sisi lain, kerana kerajaan mengamalkan dan membenarkan sistem ribawi-lah yang menyebabkan bank-bank ribawi bersepah di sana-sini dan seterusnya membolehkan orang ramai mengambil riba dengan mudah serta mewujudkan suasana ribawi yang telah mendarah daging dalam masyarakat.

Kerajaan juga bertanggungjawab dengan kewujudan industri judi (yang dihalalkan dengan diberi lesen), kilang-kilang arak, kelab-kelab malam dan disko-disko yang begitu subur, konsert-konsert liar yang diadakan dari masa ke semasa dan banyak lagi. Kenapakah banyak pihak, khususnya pihak berwajib tidak sensitif dengan segala kemaksiatan dan keharaman ini? Pelbagai jenis cukai, saham dan insurans juga adalah produk sistem ekonomi Kapitalisme yang jelas haram di sisi Islam. Kerajaan jugalah yang menghalalkan segala bentuk keharaman ini dan menzalimi rakyat dengan pelbagai jenis produk yang haram tersebut. Kerajaan jugalah yang telah merampas segala kekayaan alam yang merupakan milik umat seperti minyak, gas dan segala sumber alam lainnya. Kerajaanlah yang mengenakan bayaran pendidikan yang tinggi kepada para pelajar yang sewajibnya dibiaya oleh kerajaan secara percuma. Kenapa Jakim dan ejensi kerajaan lainnya tidak bertindak dengan sungguh-sungguh untuk menghentikan segala keharaman ini?

Kerajaan kononnya sensitif dengan isu babi yang haram, tetapi dalam masa yang sama kerajaan jugalah yang terkenal dengan kes-kes rasuah, pembaziran dan politik wang dalam pemerintahan. Bukankah ini semuanya haram? Rakyat hidup dalam ketakutan kerana keselamatan mereka tidak pernah terjamin dek kes jenayah yang tidak pernah kunjung padam dan mengerikan, namun pemerintah hidup dalam serba kemewahan dan dikawal 24 jam. Pemerintah juga mengarahkan polis dan Jabatan Agama untuk memantau dan menangkap para pendakwah, khususnya yang tidak diberi tauliah oleh mereka, tidak terkecuali para pengembang dakwah yang ingin menerapkan Islam secara kaffah dan para pejuang Khilafah. Dalam masa yang sama golongan sekular, liberal, pejuang assabiyyah dan wathaniyyah dibiarkan, malah disokong. Bukankah ini semua adalah keharaman yang nyata?

Pemerintah juga membiarkan saudara-saudara seakidah mereka dibunuh di Selatan Thailand, Myanmar, Kashmir, Palestin, Syria dan lain-lain tanpa melancarkan jihad untuk menyelamatkan mereka. Pemerintah juga membiarkan Masjidil Aqsa terus dikuasai Israel tanpa mengerahkan tentera untuk berjihad bagi membebaskannya. Sebaliknya pemerintah berbaik dengan Amerika Syarikat, Britain dan negara kafir harbi yang lain, termasuk dengan badan kufur dunia, PBB dan menyerahkan nasib umat Islam kepada mereka. Dengan menerapkan sistem kufur demokrasi, pemerintah telah mengekalkan perpecahan umat Islam kepada lebih 50 buah negara, mempertahankan negara atas dasar assabiyah dan wathaniyyah. Walhal Islam menyatakan dengan jelas bahawa umat Islam adalah umat yang satu dan wajib berada di bawah satu kepimpinan (Khilafah), kaum Muslimin adalah bersaudara dan wajib membantu saudaranya dan kafir harbi adalah musuh. Bukankah apa yang dilakukan pemerintah ini adalah keharaman?

Kerajaan jugalah yang telah mengambil perlembagaan persekutuan sebagai undang-undang dasar untuk memerintah negara dan meletakkan kitab ciptaan Lord Reid itu sebagai lebih tinggi dari Kitabullah (Al-Quran) dalam aspek pemerintahan. Tidak haramkah tindakan ini? Begitu juga dengan menjadikan Parlimen sebagai majlis tasyri’ (membuat hukum) dengan mengambil hak Allah selaku Musyari’ (Pembuat Hukum). Tidak haramkah tindakan ini? Kenapa hanya keharaman babi dalam makanan sahaja yang takut untuk ditelan sedangkan keharaman yang jauh lebih besar dari itu ditelan bulat-bulat? Semoga Allah SWT menunjukkan kita semua ke jalan yang benar. Amin ya Rabbal alamin..