SN393 – AD-DAULAH AL-ISLAMIYYAH

 
SN keluaran 8 Ogos 2014

AD-DAULAH AL-ISLAMIYYAH

…sambungan dari SN390

[SN 393] Allah SWT memerintahkan seluruh Muslim, termasuk pemerintah, untuk mematuhi dan melaksanakan hukumNya secara kaffah (keseluruhan), persis sepertimana Dia turunkan. FirmanNya,

 “Dan apa sahaja yang dibawa oleh Rasul, maka ambillah dan apa sahaja yang dilarangnyabagimu, maka tinggalkanlah dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat keras hukumanNya” [TMQ al-Hasyr (59):7].

Lafaz “ma”(apa sahaja) dalam ayat di atas bermaksud umum, yang menunjukkan kewajipan melaksanakan segala perintah dan menjauhi segala larangan. Selain bersifat wajib, perintah untuk mengambil dan meninggalkan dalam ayat ini juga bersifat jazm (tegas) yang menunjukkan kewajipan mematuhinya. Ini kerana, ayat ini disusuli di akhirnya dengan perintah bertakwa kepada Allah dan terdapat ancaman kepada sesiapa yang tidak melakukannya bahawa ia akan menerima azab yang keras daripada Allah SWT.

Allah SWT juga telah memerintahkan RasulNya untuk berhukum dengan apa yang Dia turunkan. FirmanNya,

“Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah” [TMQ al-Maidah (5):49]

Ini merupakan perintah yang tegas daripada Allah SWT kepada Rasulullah dan kepada semua pemerintah Muslim selepas baginda, untuk berhukum dengan apa yang Dia turunkan, tidak kira sama ada hukum itu berupa perintah atau larangan, kerana lafaz “ma” dalam ayat ini membawa maksud umum  yang merangkumi apa sahaja hukum yang diturunkanNya.

Allah SWT juga melarang RasulNya, begitu juga dengan seluruh pemerintah Muslim selepas baginda, daripada mengikut hawa manusia dan tunduk kepada kehendak manusia. FirmanNya,

“Dan janganlah kamu mengikuti hawa-hawa mereka” [TMQ al-Maidah (5):49]

Allah SWT memberi amaran kepada RasulNya dan semua pemerintah selepas baginda supaya tidak terjebak dalam penyelewengan dan godaan manusia dari menerapkan apa yang Dia turunkan. Allah SWT menyatakan dengan tegas bahawa seseorang itu akan menjadi kafir jika ia tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan dan sekali gus ia mengimani hukum (undang-undang) ciptaannya sendiri atau ia percaya yang hukum Allah itu tidak sah. FirmanNya,

“Dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan, maka mereka adalah orang-orang yang kafir” [TMQ al-Maidah (5):44].

Allah SWT menegaskan bahawa seseorang itu adalah fasik dan zalim apabila berhukum dengan selain daripada apa yang Dia turunkan tanpa mengimani apa yang ia lakukan.

Penerapan hukum-hakam Islam hendaklah secara sempurna, menyeluruh dan sekali gus, tidak boleh berperingkat. Ini kerana, penerapan secara berperingkat adalah bercanggah dengan Islam secara nyata dan hal ini akan membuatkan seseorang yang tidak melaksanakannya atau seseorang yang melaksanakan sebahagian dan meninggalkan sebahagian, sebagai kafir (dengan syarat di atas). Pelaksanaan hukum Allah secara berperingkat juga akan menjadikan seseorang itu fasik dan zalim, jika dia masih mengakui keabsahan hukum-hakam Islam.

Oleh yang demikian, tidak boleh ada rasa tidak puas hati dengan penerapan hukum syarak, juga tidak boleh ada penerapan secara berperingkat. Ini kerana, tidak ada perbezaan di antara satu kewajipan (hukum) dengan kewajipan yang lain seperti mana tidak ada perbezaan di antara suatu larangan dengan larangan yang lain. Hukum Allah adalah sama sahaja dan ia wajib dilaksanakan tanpa lengah, penangguhan atau berperingkat. Jika tidak, ayat di bawah ini akan terkena kepada orang yang melakukannya,

“Apakah kamu beriman dengan sebahagian (isi) Kitab dan mengkufuri sebahagian yang lain? Maka, tidak ada balasan bagi orang yang melakukan hal itu, selain kehinaan dalam kehidupan di dunia, serta pada hari Kiamat nanti akan dikembalikan kepada azab yang sangat pedih”[TMQ al-Baqarah (2):85].

Jadi, tidak ada alasan apa pun untuk tidak menerapkan keseluruhan hukum Islam. Dalih seperti tidak mampu, tidak wujud keadaan yang kondusif atau pandangan umum yang masih tidak memihak kepada syariah atau kuasa-kuasa besar tidak akan membenarkan kita menerapkan Islam atau apa sahaja alasan remeh yang lain, semuanya tidak boleh diterima sedikit pun.

Negara Islam (al-Daulah al-Islamiyyah) adalah negara kemanusiaan, bukannya negara ketuhanan dalam ertikata pemimpin (Khalifah) yang memerintah Negara Islam adalah seorang manusia biasa dan bukannya seorang manusia yang suci atau maksum. Umatlah yang melantiknya (Khalifah) dan bukannya Allah yang melantiknya. Ini kerana Allah SWT telah meletakkan kuasa pelantikan kepada umat dan umat menjadi wakil dalam pelantikan ini dengan cara baiah (umat memberikan baiah kepada Khalifah) dan Khalifah menjalankan pemerintahan dan kekuasaan bagi pihak umat.

Abdullah Ibn Amr al-‘As meriwayatkan, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Barangsiapamembaiah seorang Imam (Khalifah), lalu memberikan genggaman tangannya dan menyerahkan buah hatinya, hendaklah ia mentaatinya semampunya”.

Abdullah Ibn Umar meriwayatkan, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Barangsiapa mati sedangkan di pundaknya tidak ada baiah (kepada Khalifah) maka matinya adalah mati Jahiliyyah”.

Khalifah menerapkan hukum syarak bagi pihak umat dan siapa sahaja yang menjawat jawatan Khalifah adalah diamanahkan dengan segala kuasa memerintah dan mempunyai hak untuk menerapkan sistem, hukum dan peraturan. Orang yang memegang jawatan Khalifah adalah seorang manusia biasa yang berkemungkinan melakukan kesilapan, terlupa, menipu, khianat atau fasik dan dia bukanlah seorang yang maksum kerana kemaksuman hanyalah khusus untuk para Nabi dan Rasul.

Rasulullah SAW telah mengingatkan kita bahawa seorang Imam (Khalifah) itu boleh jadi melakukan kesilapan dan boleh jadi tidak adil atau melakukan dosa yang menyebabkan manusia membenci atau melaknatnya. Rasulullah SAW juga mengingatkan kita yang seseorang Imam itu boleh jadi melakukan kekufuran secara nyata.

Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Imam (Khalifah) itu adalah perisai di mana orang-orang berperang dan berlindung di belakangnya”

Muslim juga meriwayatkan daripada Auf Ibn Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sebaik-baik pemimpin adalah mereka yang kalian cintai dan mereka pun mencintai kalian; mereka mendoakan kalian dan kalian pun mendoakan mereka. Seburuk-buruk pemimpin ialah mereka yang kalian benci dan mereka pun membenci kalian; kalian melaknat mereka dan mereka pun melaknat kalian”.

Bukhari juga meriwayatkan daripada Ubadah Ibn Samit yang berkata,“Nabi SAW mengajak kami (membaiatnya), lalu kami membaiatbaginda. Kemudian baginda mengajarkan kepada kami bagaimana kami perlu membaiat. Lalu kami membaiatbaginda untuk mendengarkan dan mentaati perintahnya, baik dalam keadaan yang kami senangi ataupun tidak kami senangi, dalam keadaan sulit ataupun lapang, serta dalam hal tidak mendahulukan urusan kami, juga agar kami tidak merebut kekuasaan dari seorang pemimpin, kecuali (sabda baginda), ‘Kalau kalian melihat kufran bawahan (kekufuran yang nyata) yang dapat dibuktikan berdasarkan keterangan dari Allah”

Hadis-hadis ini menunjukkan dengan jelas bahawa Imam atau Khalifah itu boleh jadi melakukan kesilapan dan dosa yang menunjukkan dengan jelas bahawa Imam atau Khalifah itu tidak maksum.

Oleh sebab itulah, maka Allah SWT memerintahkan kaum Muslimin agar memuhasabah Khalifah (pemimpin). Allah SWT memberikan hak ini kepada kaum Muslimin kerana seseorang pemimpin itu tidak memiliki sebarang kesucian dan tidak maksum dan boleh sahaja melakukan kesalahan dan dosa malah kekufuran yang nyata, walaupun pemimpin itu merupakan wakil umat dari segi pemerintahan dan kekuasaan dan walaupun umatlah yang melantik mereka. Allah SWT berfirman,

“Dan hendaklah ada di antara kalian segolongan umat (kelompok) yang mengajak pada kebajikan (Islam), memerintahkan yang makruf dan mencegah kemungkaran. Merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan”[TMQ Ali Imran (3):104].

Ketika Rasulullah SAW ditanya, “Apakah jihad yang paling baik?’Baginda menjawab,‘Menyampaikan kebenaran di hadapan penguasa yang zalim”.

Rasulullah SAW juga bersabda, “Penghulu syuhada’ ialah Hamzah dan seseorang yang berdiri di hadapan penguasa yang zalim dan menasihatinya, lalu dia dibunuh (oleh penguasa tadi)”.

Dalam Sunan Abu Daud, daripada Abdullah Ibn Mas’ud berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Tidak, demi Allah, kalian hendaklah memerintahkan yang makruf dan mencegah yang mungkar dan kalian hendaklah mencegah tangan orang yang menindas, mengawal dan membataskan (tindakan)nya untuk mengikut kebenaran”.

Dalam riwayat lain daripada Ibn Mas’ud, Rasulullah SAW menambah “Atau (jika kalian tidak melakukannya) Allah akan mencampakkan permusuhan dalam hati-hati kalian dan melaknat kalian sebagaimana Dia melaknat mereka”

Dalam beberapa keadaan, Islam memerintahkan kita melaksanakan lebih daripada sekadar muhasabah secara lisan, malah sehingga ke tahap mengangkat senjata terhadap Khalifah jika dia menunjukkan kekufuran yang nyata (kufran bawahan) yang tidak ada (tidak ditunjukkannya) sebelum ini, sebagaimana yang disebut dalam riwayat Ubadah Ibn Samit, “…juga agar kami tidak merebut kekuasaan dari seorang pemimpin…” dan Rasulullah SAW meneruskan, “…kecuali jika kalian melihat kufran bawahan (kekufuran yang nyata) yang dapat dibuktikan berdasarkan keterangan dari Allah”

Wahai kaum Muslimin, inilah Daulah Islam yang Allah SWT perintahkan kepada setiap Muslim untuk mendirikannya dan yang mana kami (HizbutTahrir) mengajak kalian berusaha bersama-sama kami untuk mendirikannya dalam rangka mewujudkan sebuah Khilafah yang berdiri atas dasar petunjuk (Khilafah Rasyidah) dan merealisasikan segala kebaikan seperti mana telah disebut oleh Rasulullah SAW, “kemudian akan kembali al-Khilafah al-Rasyidah ala minhaj al-nubuwwah”.