SN400 – EIDUL ADHA: WAJIB IKUT PEMERINTAH ATAU NAS?

 
SN keluaran 3 Oktober 2014

 

EIDUL ADHA: WAJIB IKUT PEMERINTAH ATAU NAS?

[SN400] Untuk ke sekian kalinya, Eidul Adha disambut pada hari yang berbeza di antara Arab Saudi dan Malaysia serta beberapa negeri umat Islam lainnya. Tatkala Arab Saudi mengumumkan wukuf pada hari Jumaat 3 Oktober yang sekali gus bermaksud Eidul Adha jatuh pada hari Sabtu 4 Oktober, kerajaan Malaysia pula mengumumkan yang Eidul Adha jatuh pada hari Ahad 5 Oktober. Begitu juga dengan Indonesia dan Brunei yang menyambutnya pada hari yang sama seperti Malaysia. Hal ini tidaklah pelik memandangkan negeri-negeri umat Islam terpecah kepada lebih 50 buah yang masing-masing mengikut kepala pemerintah masing-masing. Bagi sesetengah orang, perbezaan ini langsung tidak menyentuh hati dan perasaannya, malah ada pula yang menyalahkan orang yang ingin beraya serentak dengan Arab Saudi pada 4 Oktober. Betapa kerasnya hati orang-orang seperti ini. Bagi mereka yang hatinya dihiasi dengan keimanan dan ketakwaan, kesedihan melihat perpecahan umat di dalam menyambut hari kebesaran ini sedikit terubat apabila kali ini terdapat suara-suara yang tidak berpuas hati dengan ketetapan kerajaan dan mula mempertikaikan tarikh raya yang tidak sama ini. Alhamdulillah segelintir umat Islam sudah mula sedar dan mempertikaikan hal ini, apatah lagi apabila ia melibatkan hari puasa Arafah yang juga berbeza.
 
Hizbut Tahrir telah lama menjelaskan sebab wujudnya perbezaan raya dalam kalangan umat Islam yakni tidak lain tidak bukan kerana terpecah belahnya umat Islam kepada lebih 50 buah negara-bangsa yang tidak diatur dengan Islam. Hal ini bernatijah kepada penetapan raya berdasarkan ketetapan pemerintah masing-masing. Walhal dulu kesemua negeri umat Islam berada di bawah naungan Khilafah dan menyambut perayaan pada hari yang sama, sejauh mana maklumat pengisytiharan itu terjangkau. Ini kerana, nas-nas berkenaan kesatuan raya ini amat jelas dan tidak pernah dikaburi sedikit pun. Namun sekarang, nas yang ada hanya digunakan oleh pemerintah sebagai “dalih” untuk menjustifikasi perbezaan raya dan bukannya sebagai hukum syarak yang kita semua wajib bersatu dalam mematuhinya. Nas-nas yang ada “dipusing” dan dijelaskan sedemikian rupa agar masyarakat menerima bahawa apa yang dilakukan oleh pemerintah adalah betul. Jika ada pendapat mana-mana ulama yang membolehkan perbezaan raya, yang walaupun lemah dan tidak tersohor sekali pun, maka pendapat ini dipetik dan diangkat bagi ‘membenarkan” apa yang dilakukan oleh pemerintah. Padahal bukan main banyak pendapat ulama muktabar yang menyatakan bahawa umat Islam adalah umat yang satu, wajib berada di bawah satu kepimpinan, satu negara dan wajib berhari raya pada hari yang sama dan haram untuk berpecah belah, namun semua pendapat ini, walaupun kuat lagi tersohor, tetapi tidak diangkat dan tidak diketengahkan.

Ini dari satu sisi. Dari sisi yang lain, memang ada sesetengah alim ulama yang ikhlas, namun terkeliru dalam memahami nas sehingga mereka ini juga membenarkan perbezaan raya dalam kalangan umat Islam. Namun, apa yang mendukacitakan ialah terdapat segelintir tokoh agama dan intelektual Muslim yang berhujah berdasarkan akal bagi membolehkan perbezaan raya yang bukan sahaja menyalahi nas, malah menyalahi “hukum intelektual” itu sendiri. Kami telah menjelaskan dengan panjang lebar tentang kesalahan, kekeliruan dan kelemahan hujah yang membolehkan perbezaan raya dalam “SN92 – Rukyah Dan Hisab, Matla’ Syar’iyyah Atau Matla’ Assabiyyah” dan “SN153 – Kenapa Berbeza Eidul Adha”.  Kali ini, kami hanya ingin menekankan beberapa hujah yang banyak diangkat dalam menjustifikasi kebolehan raya yang berbeza pada tahun ini.

Dalil Akal Bagi Membolehkan Beza Raya/Puasa

Antara dalil akal pihak yang mengatakan bahawa boleh wujud perbezaan raya mahupun puasa Arafah adalah kerana perbezaan masa antara Malaysia dan Arab Saudi. Mereka mengatakan bahawa bukan semua negara di dunia dapat berpuasa pada detik yang sama kerana sekiranya semua orang ingin berpuasa Arafah pada detik yang sama dengan orang-orang di Arab Saudi Jumaat ini, maka ketika orang-orang di Arab Saudi baru memulakan puasa, orang-orang Islam di Malaysia sudah lama memulakan puasa menghampiri waktu tengahari, orang-orang Islam di New Zealand sudahpun menghampiri waktu berbuka. Maka jadilah orang-orang Islam di New Zealand berpuasa Arafah jauh mendahului apa yang sedang berlaku di Arafah. Inilah hujah mereka.

Umum mengetahui bahawa kita (selain jemaah haji) disunatkan berpuasa pada hari Arafah. Hari Arafah bermaksud hari di mana jemaah haji wukuf di Arafah iaitu yang pada tahun ini telah ditetapkan oleh pemerintah Arab Saudi pada hari Jumaat 3 Oktober. Sesungguhnya persoalan kita memulakan puasa 5 jam mendahului Arab Saudi langsung tidak timbul untuk menjadikan kita kena berpuasa sehari selepas Arab Saudi. Hujah ini langsung tidak masuk akal. Jika hujah ini diterima, maka mana-mana negara yang mendahului Arab Saudi selama 4 jam, 3 jam atau 1 jam, pun kena berpuasa lewat sehari dari Arab Saudi. Persoalannya, siapakah yang berhak menentukan berapa lama beza masa (berapa jam) untuk menjadikan sesuatu kawasan itu kena berpuasa sehari selepas wukuf diMakkah? Adakah kita diperintahkan oleh Islam untuk kita betul-betul berpuasa pada minit dan jam yang sama sebagaimana masa di Arafah? Bukankah Rasulullah hanya menyebut “yaum” (hari) dalam semua lafaz hadis baginda?

Itu dari satu sisi. Dari sisi yang lain, kenapa pula pada tahun-tahun sebelum ini di mana tarikh Raya Hajinya sama dengan Arab Saudi, golongan ini tidak pula mempertikaikan tentang masa yang berbeza? Kenapa mereka tidak pertikaikan yang kita (di Malaysia) berpuasa 5 jam lebih awal berbanding masa wukuf di Arafah? Kenapa pada waktu itu mereka tidak pertikaikan hari puasa kita yang sama dengan Arafah? Kenapa mereka hanya diam dan mengikut sahaja? Tambahan lagi, kalau mengikut hujah yang tidak masuk akal ini, ini bermakna Malaysia dan Arab Saudi tidak akan pernah dapat berpuasa dan berhari raya bersama selama-lamanya, kerana sejak dulu hingga kini dan mungkin hingga Kiamat, beza masa antara Makkah dan Malaysia tetap 5 jam. Dengan kata lain, jika tahun hadapan diisytiharkan wukuf dan raya di Malaysia pada hari yang sama dengan Makkah, maka golongan yang berpegang kepada hujah ini mestilah menentangnya kerana beza masa antara Malaysia dan Makkah adalah 5 jam yang “memustahilkan” untuk kita berpuasa dan beraya mengikut masa Makkah!!!

Menggunakan hujah yang sama, maka ini bermaksud umat Islam yang berada di Saint Petersburg dan Vladivostok mestilah berpuasa dan beraya selang sehari kerana beza masa antara kedua-dua bandar yang terletak di Russia itu adalah 5 jam. Begitu juga dengan umat Islam di New York dan di Los Angeles yang sepatutnya berpuasa dan beraya pada hari yang berlainan kerana beza masa antara kedua bandar tersebut adalah selama 3 jam. Bolehkah umat Islam di Semenanjung Malaysia dan di Sabah dan Sarawak berpuasa dan beraya pada hari yang berbeza kerana beza waktu antara Malaysia Barat dan Timur ini adalah 1 jam? Persoalannya, siapakah yang menetapkan masa 5 jam, 3 jam atau 1 jam untuk membolehkan puasa dan raya disambut pada hari yang berbeza jika bukan akal manusia semata-mata???

Ada juga hujah akal yang lain yang menyatakan bahawa perbezaan waktu raya di antara negara-negara umat Islam boleh diterima dan memang mesti diterima kerana ia sama seperti perbezaan waktu solat. Sesungguhnya hujah ini lagi tidak masuk akal kerana menganalogikan dua perkara yang tidak kena. Waktu solat bukan sahaja tidak samadi antara negara-negara berlainan di dunia malah di dalam satu negara sendiri pun tidak sama. Antara Perlis dan Kedah sudah berbeza, apatah lagi antara Perlis dan Johor dan apatah lagi antara Johor dan Sabah. Malah antara daerah-daerah dalam satu negeri pun tak sama. Berdasarkan analogi ini, maka adakah kita diperbolehkan untuk menyambut raya berbeza-beza mengikut daerah dan negeri-negeri yang ada di Malaysia, kerana ternyata waktu solat kita tidak sama!!!???

Ada pula hujah akal lain yang menyatakan bahawa kecanggihan teknologi tidak boleh diterima untuk menolak perbezaan raya di antara negara-negara di dunia. Ini kerana secanggih mana sekali pun teknologi yang ada, ia tidak boleh mengubah tempat atau waktu terbit matahari dan bulan yang berbeza mengikut negara dan sekali gus tidak boleh mengubah perbezaan hari dan waktu.Sesungguhnya hujah ini tercampur di antara hak dan batil. Memang benar bahawa kecanggihan teknologi tidak dapat merubah hari dan waktu serta tidak dapat merubah tempat dan waktu terbit matahari dan bulan. Namun, bukan ini yang menjadi persoalan di sini. Persoalan di sini ialah hukum raya atau puasa yang ingin (dan wajib) ditentukan berdasarkan rukyah al-hilal (melihat anak bulan). Kecanggihan teknologi boleh digunakan untuk menyampaikan maklumat sepantas kilat ke semua tempat bagi mengisytiharkan bahawa hilal telah kelihatan di tempat itu dan ini. Inilah gunanya teknologi. Jika dulu digunakan kuda atau telegram untuk menyampaikan maklumat dengan cepat, kini internet atau telefon digunakan untuk fungsi yang sama. Jadi, tidak timbul lagi persoalan tidak menerima berita atau lambat menerima berita untuk sesuatu tempat itu tidak memulakan raya atau puasa pada hari yang sama dengan tempat yang nampak hilal.

Keliru Dengan Nas Atau Mengelirukan Nas?

Ada juga hujah akal yang cuba dikaitkan dengan Islam di mana mereka menyatakan bahawa perbezaan raya tidak menunjukkan perpecahan umat Islam, sebaliknya ia hanya merupakan perbezaan pendapat dalam perkara cabang agama yang mesti diraikan dan ia menyerlahkan lagi keindahan Islam yang bersifat anjal. Jika menggunakan hujah yang sama, ini bermaksud lagi banyak berlakunya perbezaan raya di antara tempat-tempat di dunia, maka bertambahlah keraian dan Islam menjadi semakin indah dengannya. Benarkah? Jika begitu keadaannya, bukankah lebih baik kalau semua 14 negeri di Malaysia mengisytiharkan hari raya yang berbeza-beza, maka lebih meriah dan ia akan menyerlahkan lagi keindahan Islam!!!??? Apakah pihak yang berhujah begini tidak tahu bahawa Hari Raya Korban, sama seperti Hari Raya Eidul Fitri, merupakan syiar (perkara besar) Islam dan merupakan hari kebesaran Islam? Apakah mereka tidak tahu yang Rasulullah memerintahkan kaum Muslimin seluruhnya merayakan hari raya ini bersama-sama (serentak) tanpa mengira tempat?

Sesungguhnya penetapan raya/puasa dalam Islam wajib berdasarkan rukyah al-hilal (melihat anak bulan) dan rukyah al-hilal semata-mata, tidak ada cara lain. Inilah yang ditunjukkan dan diperintahkan oleh nas. Tidak dibolehkan untuk menggunakan kaedah hisab semata-mata mahupun rukyah dan hisab (serentak) berdasarkan kriteria imkanur-rukyah (kebolehnampakan). Secara ringkasnya, kaedah rukyah dan hisab berdasarkan kriteria imkanur-rukyah ialah penentuan masuknya awal bulan baru, apabila kedudukan hilal ketika matahari terbenam berada dalam keadaan yang memungkinkan kenampakannya. Sesungguhnya tidak ada nas yang membolehkan kaedah ini diguna pakai untuk menentukan raya/puasa. Sabda Rasulullah SAW,

“Berpuasalah kalian apabila melihat hilal dan berbukalah (berEidul Fitri) kalian apabila melihat hilal. Dan jika hilal itu tertutup dari (penglihatan) kalian, maka sempurnakanlah (genapkanlah) bilangan bulan Sya’ban itu 30 hari” [HR Bukhari dari Abu Hurairah].

Dalam hadis ini dan banyak hadis lain yang senada dengannya, Rasulullah memerintahkan untuk berpuasa atau beraya hanya kerana rukyah (melihat) hilal. Sekiranya tidak nampak hilal yang boleh jadi kerana mendung/awan, maka bulan Syaaban atau Ramadhan mesti digenapkan 30 hari. Dalam hadis ini juga,Rasulullah SAW memerintahkan dengan jelas untuk menggenapkan Syaaban atau Ramadhan kepada 30 hari jika kaum Muslimin gagal melihat hilal kerana mendung/awan. Ini bermaksud, hilal itu ada di tempat yang ia sepatutnya muncul, tetapi orang yang melihatnya tidak nampak dek terlindung awan/mendung. Ini sekaligus menafikan kaedah hisab mahupun imkanur-rukyah yang hilal itu “diperkirakan” kenampakannya. Kita tidak perlu dan tidak diperintahkan untuk “memperkirakan” keboleh nampakan hilal kerana apa yang kita diperintah ialah untuk “melihat” (rukyah) hilal. Inilah (rukyah al-hilal) satu-satunya cara yang syar’i untuk menentukan puasa/raya.

Hadis ini juga dan hadis-hadis lain yang serupa dengannya, Rasulullah SAW menyebut lafaz “kalian” yang bermaksud lafaz umum untuk seluruh kaum Muslimin, tanpa mengira bangsa dan tempat tinggal. Justeru, Muslim manapun yang melihat hilal di mana pun jua, maka ia menjadi saksi untuk seluruh Muslim lainnya berpuasa/raya, setelah informasinya sampai kepada mereka. Dengan kata lain, sama ada dalam hadis-hadis di atas mahupun hadis-hadis lainnya tentang melihat hilal, Rasulullah SAW tidak pernah menetapkan matla’ (tempat lihat munculnya hilal) sebagai tempat berlakunya puasa/raya di kawasan tersebut sahaja dengan mengecualikan tempat lain dalam jarak-jarak yang tertentu untuk menyambut puasa/raya bersama.

Sesungguhnya hal ini tidak pernah ada dalam mana-mana nas sekalipun. Hanya setelah runtuhnya Khilafah dan kaum Muslimin terpecah secara politik dan geografi kepada lebih 50 buah negara, barulah munculnya hujah-hujah yang “menyempitkan” raya untuk tempat-tempat (negara) tertentu sahaja. Sebagaimana yang telah disebut di atas, hujah-hujah tersebut bukannya “murni” muncul untuk mempertahankan Islam, tetapi hanya muncul dalam rangka “mempertahankan” tindakan pemerintah. Itu sahaja. Jadi, tidak kiralah sama ada mereka itu sebenarnya keliru dengan nas atau sebenarnya mereka mengelirukan manusia dengan nas, pokoknya, nas itu diguna bagi “membenarkan” tindakan pemerintah yang mengiystiharkan puasa/raya sendiri-sendiri yang hakikatnya bertentangan dengan nas.

Adapun untuk masuknya bulan Zulhijjah, Rasulullah SAW telah mengkhususkan rukyah al-hilal oleh Amir/Wali/penduduk Makkah sebagai orang yang mempunyai solahiyah (autoriti) untuk  menetapkannya yang sekaligus menjadi penentu kepada yaum Arafah (hari puasa Arafah) dan yaum al-nahr (hari sembelih korban – hari raya). Dari Husain ibn al-Harits al-Jadali, ia berkata,

“Sesungguhnya Amir (Wali) Makkah pernah berkhutbah dan berkata, “Rasulullah SAW mengamanatkan kepada kami untuk melaksanakan manasik haji berdasarkan rukyah. Jika kami tidak dapat merukyah tetapi ada dua saksi adil yang berjaya merukyah, maka kami melaksanakan manasik haji berdasarkan kesaksian keduanya” [HR Abu Daud dan Daruquthni].

Hadis ini dengan jelas menunjukkan bahawa penentuan hari Arafah dan hari Raya Korban adalah berdasarkan ketetapan Amir/penduduk Makkah. Ketetapan ini berlaku tidak kira sama ada kekuasaan Amir tersebut diperolehi secara sah ataupun secara paksa. Oleh yang demikian, apabila Arab Saudi telah melakukan rukyah al-hilal dan menetapkan hari wukuf di Arafah pada 3 Oktober dan Hari Raya ialah 4 Oktober, maka kita semua wajib mengikut tarikh ini sesuai dengan perintah Rasulullah SAW.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Kami ulangi lagi sekali bahawa berdasarkan nas, penetapan puasa/raya hanyalah dilakukan dengan cara rukyah al-hilal sahaja dan bukan dengan cara lain. Kami ulangi juga bahawa wujudnya perbezaan puasa/raya yang menunjukkan ketidaksatuan umat Islam dalam hal ini ialah kerana terpecah-belahnya kaum Muslimin kepada lebih 50 buah negara-bangsa yang tidak diatur menurut Islam. Tarikh puasa/raya lalu mengikutketetapan pemerintah dan bukannya mengikut ketetapan nas. Semua ini adalah natijah dari runtuhnya Daulah Khilafah pada 28 Rajab 1342H (3 Mac 1924). Justeru, satu-satunya cara untuk mengembalikan semula penyatuan kita dan menerapkan hukum Allah ke atas kita semua ialah dengan mengembalikan semula Daulah Khilafah ala minhaj nubuwwah. Maka, kami ulangi lagi dan lagi seruan kami, ayuhlah bergabung dengan Hizbut Tahrir yang sedang berusaha di seluruh dunia untuk mengembalikan entiti politik agung umat Islam ini.