SN406 – Transgender: Mahkamah Beri Lesen Untuk Memaksiati Allah!

PDF

SN keluaran 14 November 2014

[SN406] Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan yang memperuntukkan hukuman terhadap golongan lelaki Islam berpakaian wanita di tempat awam adalah melanggar Perlembagaan Persekutuan. Hakim Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus yang mengetuai panel tiga hakim membuat ketetapan tersebut selepas membenarkan rayuan tiga lelaki Muslim yang bekerja sebagai mak andam untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban, Negeri Sembilan yang menolak semakan kehakiman mereka bagi mencabar undang-undang syariah itu.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 yang melarang kaum lelaki memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di tempat awam adalah tidak sah dan terbatal. Selain mendiskriminasi perayu-perayu mengikut Perkara 8(2) Perlembagaan, mahkamah memutuskan, Seksyen 66 itu menafikan hak mereka daripada segi kebebasan diri mengikut Perkara 5(1); hak kebebasan melahirkan perasaan mengikut Perkara 10(2); hak kesamarataan di sisi undang-undang mengikut Perkara 8(1) dan kebebasan bergerak mengikut Perkara 9(2). Dalam penghakimannya juga, Hakim Mohd. Hishamudin berkata, penguatkuasaan Seksyen 66 itu akan meletakkan perayu-perayu yang mengalami kecelaruan identiti jantina (Gender Identity Disorder – GID) terus hidup dalam ketidakpastian, kesengsaraan dan rasa malu.

Berdasarkan keputusan terbaru ini, transgender telah diberi pengiktirafan dari segi undang-undang yang didasarkan kepada kebebasan yang ada dalam Perlembagaan dan juga atas nama hak asasi manusia (HAM). Keputusan Mahkamah Rayuan ini disambut baik oleh golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) dan pendukung-pendukung mereka khususnya daripada kalangan pejuang HAM. Ini dari satu sisi. Dari sisi lain, keputusan terbaru ini juga mengukuhkan lagi hujah bahawa mahkamah sivil mempunyai kuasa yang lebih tinggi daripada mahkamah syariah di mana hakim mahkamah sivil bukan sahaja boleh membatalkan keputusan mahkamah syariah, malah boleh mengisytiharkan yang sesuatu peruntukan dalam enakmen syariah negeri sebagai tidak sah dan terbatal. Dalam bahasa lain, keputusan terbaru Mahkamah Rayuan ini sebenarnya membuktikan yang mahkamah sivil, sepertimana juga Parlimen, boleh membatalkan hukum Islam semahu mereka, bahkan boleh memberi hak kepada setiap orang untuk memaksiati Allah SWT!

Inilah sebenarnya antara punca utama golongan LGBT dan para pendukung mereka semakin berani beraksi yakni kerana idea kebebasan atau liberalisme yang diamalkan oleh negara. Konsep kebebasan yang diamalkan di bawah sistem demokrasi dan dijamin oleh Perlembagaan memberi seluas-luas ruang kepada golongan LGBT untuk melakukan dan menyuburkan aktiviti mereka. Di beberapa bahagian negara di dunia pada hari ini, bukan sahaja aktiviti LGBT, malah pernikahan sejenis juga dibenarkan, yang menjadikan mereka “suami-isteri” yang sah di sisi undang-undang. Di sesetengah negara juga, pelbagai acara turut diadakan oleh kaum LGBT secara sah dan dijadikan acara tahunan, khususnya di Eropah dan Amerika. Presiden Obama sendiri adalah antara orang yang mengiktiraf hak kaum homoseksual dan pernikahan sesama jenis. Pendek kata, idea liberalisme yang dianut oleh negaralah yang telah menyuburkan LGBT dan hal ini didukung lagi oleh kuffar Barat.

LGBT: Hukum Dan Hukumannya

Lesbianisme dalam kitab-kitab fiqh disebut dengan istilah as-sahaaq atau al-musahaqah. Ia bermaksud hubungan seksual yang terjadi di antara sesama wanita. Sesungguhnya tidak ada khilafiyah (perselisihan) di kalangan fuqaha bahawa lesbianisme hukumnya haram. Sabda Rasulullah SAW,

Lesbianisme adalah (umpama) zina di antara wanita” [HR Thabrani].

Namun hukuman untuk lesbianisme adalah ta’zir, tidak seperti hukuman zina yang termasuk di bawah hudud. Jadi, jenis dan berat-ringan hukumannya diserahkan kepada qadhi (hakim) yang dinilai berdasarkan kecil dan besarnya kesalahan tersebut.

Gay adalah orang yang lelaki yang melakukan hubungan seksual sesama lelaki atau dikenali sebagai homoseksual (liwat). Keharamannya juga tidak ada khilaf di kalangan ulama. Sabda Nabi SAW,

Allah melaknat siapa saja yang melakukan perbuatan kaum Nabi Luth[HR Ahmad].

Hukuman untuk pelaku homoseks ini adalah hukuman mati. Sabda Nabi SAW,

Siapa sahaja yang kalian dapati melakukan perbuatan kaumnya Nabi Luth, maka bunuhlah keduanya[HR al-Khamsah, kecuali an-Nasa’i].

Biseksual adalah perbuatan zina yang dilakukan dengan lain jenis. Jika dilakukan dengan sesama jenis (lelaki) ia tergolong homoseksual dan jika dilakukan sesama jenis (perempuan) ia tergolong lesbianisme. Hukumannya disesuaikan dengan faktanya. Jika tergolong zina, hukumnya rejam (dilempar dengan batu hingga mati) jika pelakunya muhsan (sudah berkahwin) dan disebat seratus kali jika pelakunya bukan muhsan. Jika tergolong homoseksual, hukumannya adalah mati. Jika tergolong lesbianisne, maka hukumannya adalah ta’zir.

Transgender adalah orang yang menyerupai lawan jenis, baik dalam cara bercakap, berpakaian mahupun dalam tingkah laku dan termasuklah juga dalam aktiviti seksual. Islam mengharamkan perbuatan menyerupai lawan jenis sebagaimana disebut dalam hadis,

Nabi SAW melaknat lelaki yang berlagak seperti wanita dan wanita yang berlagak seperti lelaki[HR al-Bukhari].

Selain haram dari segi syarak, pelaku homoseksual juga boleh menimbulkan ancaman penyebaran HIV/AIDS yang bukan sahaja memudaratkan dirinya, bahkan boleh membahayakan keluarga atau orang sekelilingnya. Adapun hukuman untuk transgender, jika sekadar berbicara atau berpakaian menyerupai lawan jenis, adalah diusir dari pemukiman atau perkampungan. Nabi SAW melaknat si pondan (mukhannats) dari kalangan lelaki dan si tomboy (mutarajjilat) dari kalangan perempuan. Sabda baginda,

Usirlah mereka dari rumah-rumah kalian.”

Maka Nabi SAW pernah mengusir si Fulan dan Umar RA juga pernah mengusir si Fulan [HR Bukhari] (Lihat Imam Syaukani, Nailul Authar).

Jika transgender melakukan hubungan seksual maka hukumannya disesuaikan dengan faktanya. Jika hubungan seksual terjadi di antara sesama lelaki, maka dijatuhkan hukuman homoseksual. Jika terjadi di antara sesama wanita, maka dijatuhkan hukuman lesbianisme. Jika hubungan seksual dilakukan dengan lain jenis, dijatuhkan hukuman zina.

Memang dalam Islam dikenal istilah khunsa atau hermaphrodit, yakni orang yang mempunyai dua alat kelamin. Golongan ini memang diakui dalam fiqh Islam. Namun khunsa berbeza sama sekali dengan transgender, kerana kaum transgender mempunyai satu alat kelamin yang sempurna, tetapi memilih untuk berperilaku menyerupai lawan jenisnya. Sedangkan khunsa dilahirkan dengan dua alat kelamin.

Menangani LGBT Dari Akar

Bagi golongan transgender yang mempercayai kewujudan Allah SWT sebagai Tuhan yang Maha Mencipta, golongan ini sebenarnya seolah-olah meletakkan kesalahan ke atas Allah SWT yang telah mencipta mereka dengan jantina yang tersilap atau jantina yang tidak sepatutnya. Ada juga yang berhujah bahawa Allah SWT telah mentakdirkan mereka menjadi seperti itu yang membawa maksud yang sama yakni “kesalahan” itu diletakkan kepada Allah SWT, bukan kepada diri mereka sendiri. Apatah lagi dengan pengiktirafan medis dan mahkamah bahawa mereka mengalami kecelaruan identiti jantina (GID), maka mereka merasakan yang hujah mereka adalah kuat dan benar. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka katakan! Merekalah sebenarnya yang berada dalam penyimpangan yang nyata!

Realitinya, GID bukanlah satu bentuk penyakit mental sehingga menyebabkan seseorang itu menjadi hilang kewarasan dan terangkat hukum (rufi’a al-qalam) daripadanya. Istilah disorder (kecelaruan) itu sendiri sebenarnya merujuk kepada celaru dalam berfikir (terkait pemikiran) dan bukannya celaru dalam kesakitan (terkait biologi/medis). Ini kerana golongan ini ternyata masih mempunyai akal yang waras (tidak gila) baik dari segi percakapan mahu pun tingkah laku mereka yang sekali gus bermaksud taklif hukum masih terkena kepada mereka. Jadi, persoalannya, benarkah mereka “celaru” atau hanya perasaan sahaja dan jika benar, bagaimanakah mereka boleh tercelaru? Kalau betul mereka tercelaru, kenapa mereka hanya celaru dalam memilih jantina, tetapi tidak pula tercelaru memilih sama ada untuk menjadi manusia atau binatang? Sesungguhnya masalah transgender tidak ada kaitan dengan GID tetapi adalah terkait dengan perilaku dan juga masalah psikologi yang dimiliki oleh seseorang. Kedua-dua hal ini (perilaku dan psikologi) adalah terbentuk daripada cara berfikir dan rangsangan fakta yang ada di sekeliling mereka.

Oleh sebab transgender adalah seorang yang sihat akal fikirannya, maka mereka sebenarnya boleh berfikir dengan waras dan tidak celaru sedikit pun. Hanya orang yang tidak sihat otaknya sahaja yang boleh bercelaru dalam berfikir. Adapun transgender, dengan kewarasan fikiran yang mereka miliki, mereka tahu bahawa mereka itu lelaki atau perempuan. Cuma masalahnya mereka sengaja “memilih” menjadi lawan jenis dan mereka sengaja (secara sukarela) “memerangkap” diri mereka dan tidak mahu keluar dari psikologi berfikir bahawa mereka sebenarnya mempunyai jantina yang berbeza dari yang mereka miliki. Atas pilihan mereka inilah (yang dilakukan dengan waras, sengaja dan sukarela), maka Allah SWT meletakkan hukum dan hukuman ke atas mereka. Berbeza jika mereka tidak waras (gila), di mana Allah SWT akan mengangkat pena (dosa) daripada mereka sebagaimana sabda Rasulullah,

Diangkat pena (dosa) daripada tiga orang, kanak-kanak hingga ia baligh, orang gila hingga ia sembuh (dari gilanya), orang yang tidur hingga ia jaga [HR Abu Daud, Tarmizi & Ibn Majah].

Begitulah, setiap manusia yang waras sebenarnya bebas memilih untuk berkata-kata, bertingkah laku, berakidah dan sebagainya, termasuklah memiliki persepsi terhadap segala sesuatu. Bagi seseorang yang asalnya lelaki dan menganggap dirinya sebagai seorang perempuan yang terperangkap dalam badan lelaki atau sebaliknya, ini juga merupakan sikap dan persepsi yang dia boleh pilih secara bebas. Persepsi terhadap diri ini boleh diperkuat, diperlemah, diubah atau diganti dengan sesuatu persepsi atau tanggapan lain berdasarkan kepada kecenderungan, cara berfikir dan rangsangan persekitaran setiap individu. Dari persepsi inilah lahirnya pelbagai perbuatan dan cara berfikir yang didasarkan kepada kecenderungan yang dipilih oleh seseorang individu tadi. Atas dasar inilah seseorang itu memilih dan membentuk keperibadian dirinya sama ada untuk menjadi manusia yang beriman ataupun kufur, sama ada ingin menjadi pelaku maksiat atau hamba yang bertakwa, sama ada ingin menjadi manusia normal yang mengikut ketetapan Allah atau pun menjadi transgender atau menukar jantina! Semuanya adalah pilihan mereka sendiri dan apa sahaja pilihan yang mereka ambil, ada dosa dan pahala dan mereka akan dipertanggungjawabkan (dihisab) oleh Allah SWT.

Keinginan kepada seks merupakan dorongan yang muncul dari gharizah (naluri). Ia berbeza daripada keinginan kepada keperluan fizikal/badan (hajatul ’udhawiyah). Keperluan fizikal akan muncul dengan sendiri tanpa perlu dorongan seperti perlu makan, minum, tidur, berehat dan seumpamanya. Sedangkan gharizah hanya akan muncul apabila ada rangsangan. Gejolak seksual muncul apabila ada rangsangan. Demikian juga hasrat untuk homoseks, lesbian atau transgender akan muncul bila terdapat rangsangan-rangsangan. Ada dua rangsangan yang umumnya merangsang manusia, iaitu fikiran dan fakta (realiti) yang nampak.

Contohnya, orang yang asalnya bukan penzina boleh menjadi penzina apabila selalu berfikir untuk berzina, membayangkan kenikmatan berzina atau selalu melihat filem lucah atau apabila bergaul dengan sekumpulan penzina atau apabila selalu ke tempat pelacuran, kerana itu semua merupakan rangsangan baginya. Orang yang asalnya tidak lesbian boleh menjadi lesbian jika asyik berfikir ingin mencuba atau jika terus berinteraksi atau berada di dalam komuniti lesbian. Begitulah juga dengan transgender. Apabila asyik memikirkan yang mereka terperangkap dalam tubuh lelaki dan tidak mahu keluar dari pemikiran tersebut, sering bersama dengan kumpulan transgender, bertukar-tukar fikiran, berinteraksi, malah mungkin melakukan hubungan seksual sesama mereka, maka kesemua itu merupakan rangsangan untuk mereka terus menjadi transgender. Untuk itu, cara untuk mencegah semua penyimpangan tersebut adalah dengan cara menghilangkan rangsangan-rangsangan terkait dengannya.

Pertama, terkait pemikiran. Pemikiran yang mendorong seseorang ingin mencuba atau menjadi gay, lesbi atau transgender adalah pemikiran serba bebas, yakni liberalisme. Dengan mempunyai pemikiran serba bebas seperti ini, mereka merasakan mereka tidak terikat kepada apa pun, termasuklah kepada agama. Jadi, mereka mengikut hawa nafsu semata-mata dan menyifatkan agama sebagai satu kongkongan. Pemikiran kufur seperti ini mesti dibuang dan diganti dengan pemikiran Islam. Ia wajib mempelajari Islam, hukum-hakamnya serta dosa dan pahala dan wajib mengikatkan diri dengannya (mematuhinya). Secara individu, ia mesti menjauhi hal-hal yang dapat mengundang perilaku menyimpang ini sebagaimana perintah Rasulullah SAW,

Janganlah seorang lelaki melihat aurat lelaki, jangan pula perempuan melihat aurat perempuan. Janganlah seorang lelaki tidur dengan lelaki dalam satu selimut, begitu juga janganlah perempuan tidur dengan perempuan dalam satu selimut[HR Muslim].

Islam sangat ketat menjaga hal ini kerana ia boleh merangsang kepada perilaku yang menjijikkan. Malah, sejak kecil, Rasulullah SAW memerintahkan kaum Muslimin

Suruhlah anak-anakmu solat pada usia 7 tahun dan pukullah mereka pada usia 10 tahun dan pisahkan mereka dari tempat tidur[HR Abu Daud].

Kedua, secara sistemik, negara wajib menghilangkan segala bentuk rangsangan seksual dari publik. Segala tempat maksiat tidak sepatutnya ada, begitu juga tempat yang asalnya baik tetapi berpotensi untuk kemaksiatan dilakukan, hendaklah dipantau seperti di taman-taman, pantai-pantai dan sebagainya. Proses pernikahan juga sepatutnya dipermudahkan walaupun di peringkat usia yang masih muda. Apa yang lebih penting ialah penerapan hukum Islam oleh negara, menggantikan semua bentuk amalan jahiliyyah moden pada hari ini, termasuklah sistem demokrasi yang rosak lagi merosakkan ini. Setelah Islam diterapkan yang sekali gus bermaksud semua langkah pencegahan telah diambil, namun jika tetap juga wujud golongan LGBT ini, maka negara wajib mengenakan uqubat (hukuman) ke atas pelakunya atau para pendukung mereka, sebagaimana dinyatakan dalam nas-nas di atas. Uqubat itu dijatuhkan melalui mahkamah yang berhukum dengan hukum Allah, bukannya seperti mana mahkamah sivil mahupun syariah yang ada sekarang.

Dengan semua itu, barulah umat Islam, malah umat manusia boleh diselamatkan dari perilaku LGBT. Kehidupan umat pun akan dipenuhi oleh kesopanan, keluhuran, kehormatan, martabat dan ketenteraman serta kesejahteraan. Jelas, syariat Islam memiliki cara untuk mencegah menyebarnya penyimpangan seksual ini. Begitu juga, Islam memiliki cara jitu untuk menghentikan pelakunya. Jelas, membanteras penyakit LGBT tidak akan dapat diselesaikan jika ideologi sekular dan liberalisme, demokrasi kapitalisme tidak dibuang dari akar-akarnya dan diganti dengan penerapan ideologi Islam dengan syariahnya secara total dalam bingkai Negara Islam (Khilafah). Wallahu a’lam.