SN446 – Serangan Paris: Perbaharui Lesen Untuk Serang Islam Dan Umatnya

PDF

SN Keluaran 27 November 2015

banner_sn
[SN446]  Seluruh dunia dibuat gempar dengan serangan yang berlaku di kota Paris pada 14 November 2015. Berita melaporkan yang siri pengeboman dan tembakan telah meragut 153 jiwa di beberapa lokasi termasuklah di Stadium Nasional Perancis di mana Presiden Perancis, Francois Hollande sedang menyaksikan perlawanan persahabatan di antara pasukannya dan Jerman. Serangan dikatakan bermula kira-kira jam 8.30 malam dengan dua letupan kedengaran berhampiran stadium bola sepak tersebut yang kemudian disusuli dengan serangan oleh dua penyerang bersenjatakan senapang Kalashnikov dan bom tangan yang mengorbankan seramai 112 orang di sebuah pawagam. Selain itu, lapan pengebom berani mati dikatakan turut melancarkan serangan. Berikutan dari kejadian tersebut, Presiden Perancis terus mengisytiharkan darurat di seluruh negara dan pihak polis telah menutup semua sempadan serta menahan beberapa orang suspek yang didakwa menjadi dalang. Berita melaporkan yang kumpulan bersenjata Islamic State (IS) mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut. Serangan ini dikatakan yang terburuk selepas serangan ke atas pejabat majalah Charlie Hebdo yang menyiarkan karikatur menghina Rasulullah pada Januari lalu.

Meskipun siasatan terhadap serangan Paris ini masih lagi berjalan, namun yang pasti umat Islam sudah pun menjadi mangsa dan menanggung akibatnya. Masjid-masjid di Perancis telah pun diserang dan turut diancam dengan serangan bom sehingga ada yang terpaksa ditutup. Selain itu, komuniti Muslim di sana telah mengalami perlecehan disebabkan peristiwa berdarah tersebut. Salah seorang Datuk Bandar di Perancis pula menggesa agar agama Islam diharamkan di negara tersebut. Sementara itu Donald Trump, calon pilihan raya Presiden dari parti Republican di Amerika Syarikat menyarankan agar masjid ditutup dan umat Islam warga AS diberikan kad pengenalan yang berbeza daripada warganegara yang lain. Manakala calon Presiden AS yang lain iaitu Ben Carson, telah mengeluarkan kenyataan penuh kebencian bahawa pelarian Syria yang melarikan diri daripada keganasan oleh rejim Assad dan serangan Barat adalah seperti “anjing gila”.

Sikap Double Standard Pemimpin Dan Media

Umum mengetahui bahawa serangan Paris ini diliput secara besar-besaran oleh media Barat dari segenap aspek dan untuk jangka masa yang lama seolah-olah telah berlaku perang dunia ketiga dibuatnya. Jika kita saksikan, beberapa bulan sebelum itu telah berlaku satu serangan ke atas sebuah masjid di Kuwait dan pantai peranginan di Tunisia yang telah mengorbankan berpuluh-puluh orang, termasuklah para pelancong dari Eropah, tetapi insiden tersebut tidak mendapat liputan yang meluas dan juga tidak mendapat ucapan simpati serta takziah daripada pemimpin-pemimpin dunia. Malah beberapa hari sebelum serangan Paris, telah berlaku pengeboman di kota Beirut yang mengorbankan berpuluh orang, tetapi turut tidak mendapat liputan meluas dari media. Namun, apabila berlakunya serangan di kota Paris, peristiwa tersebut telah mendapat liputan yang luar biasa, sehinggakan bukan sahaja pemerintah, malah para pemimpin parti politik, termasuk di negeri umat Islam telah berlumba-lumba menyampaikan takziah masing-masing.

Apabila Anders Behring Breivik, seorang ekstremis kulit putih menembak mati 69 orang di pulau Utoya, Norway pada 22 Julai 2011, media tidak melabelkan insiden tersebut sebagai keganasan atau pelakunya sebagai pengganas. Beberapa jam sebelum peristiwa tersebut, dia telah meletupkan bom yang mengorbankan seramai 40 orang di sebuah bangunan kerajaan di Oslo, Norway. Dylann Roof, seorang lagi kulit putih yang menembak mati sekumpulan penduduk kulit hitam di Gereja Emanuel African Methodist Episcopal Church, Amerika Syarikat, pada 17 Jun 2015, yang juga seorang ekstremis yang menghadapi sebanyak 33 tuduhan termasuk menyebarkan kebencian terhadap golongan kulit hitam, pun tidak dilabelkan sebagai pengganas dan insiden tersebut tidak dicop sebagai suatu keganasan. Inilah fakta dan realitinya, apabila insiden berdarah dilakukan oleh umat Islam (sekalipun belum terbukti) ia akan terus dilabelkan sebagai pengganas dan aktiviti keganasan dan dikutuk oleh seluruh pemimpin Barat dan Timur serta mendapat liputan meluas media. Inilah sikap double standard, jika pun mereka ada standard, yang diamalkan oleh pemimpin dan media Barat dalam melaporkan berita, yang sebenarnya bertujuan memberi persepsi yang negatif terhadap Islam dan penganutnya.

Apabila terjadinya peristiwa 9/11, pengeboman di rangkaian kereta api bawah tanah (tube) di London pada Julai 2005, pembunuhan askar British di Woolwich pada May 2013 dan tembakan di pejabat Charlie Hebdo, agama dan umat Islam diserang habis-habisan serta terus dimasukkan ke dalam kandang salah dan kaum Muslimin “dipaksa” menjadi pihak yang defensif. Inilah yang dimahukan oleh Barat yang merupakan musuh Islam yakni usaha yang berterusan untuk memburukkan dan menyalahkan Islam dan mereka tidak mahu umat Islam keluar dari kandang salah, kecuali golongan moderat yang tunduk dan sejalan dengan kehendak mereka. “War on Terror” yang telah berlangsung sejak September 2001 mesti sentiasa diperbaharui agar seluruh dunia sentiasa  ingat akan “keganasan demi keganasan” yang dilakukan oleh umat Islam. Justeru, serangan Paris merupakan salah satu skrip ulangan yang menjadi nafas baru bagi Barat untuk meneruskan polisi luar mereka memerangi umat Islam sebagai satu justifikasi yang mereka harap diterima dunia.

Barat ingin membentuk pandangan umum (public opinion) bahawa tindakan keganasan adalah berpunca dari umat Islam dan bukannya dari polisi Barat. Inilah yang Barat mahu dunia fokuskan yakni Islam sebagai pencetus keganasan dan bukannya polisi Barat. Mereka cuba menutup polisi imperialis yang mereka amalkan sejak berkurun lamanya yang tidak pernah luput dari menjadi polisi luar mereka selama ini. Seorang veteran askar British di Afghanistan, Joe Glenton, menulis di dalam akhbar Guardian dengan menyalahkan polisi luar negara Britain ke atas peristiwa keganasan yang berlaku. Beliau menulis, “Amat jelas bahawa dengan menyerang umat Islam di luar negara, adalah sebenarnya menyebarkan kebencian (terhadap kita) di dalam negara. Kita mesti sedar bahawa kerajaan British terlibat dengan Amerika Syarikat di dalam penjajahan di Timur Tengah. Kita sepatutnya berterima kasih bahawa peristiwa pembunuhan ini adalah jauh lebih kecil daripada yang sepatutnya”.

Selepas berlakunya serangan ke atas pejabat majalah Charlie Hebdo, mantan Perdana Menteri Perancis sendiri, Dominique De Villepin, menyalahkan polisi luar Barat terhadap negara umat Islam tentang meningkatnya kekerasan dan keganasan di Barat. Dia merujuk kepada penjajahan AS dan sekutunya di Afghanistan dan Iraq yang bertujuan untuk menghalang keganasan tetapi sebaliknya telah melipat-gandakan serangan keganasan yang telah berlaku sejak peristiwa September 2001.

Satu laporan daripada Federal Bureau of Investigation (FBI) mengatakan tindakan keganasan seperti penembakan yang dilakukan oleh suspek beragama Islam dari 1980 sehingga 2005 hanyalah 6% dan ini adalah lebih rendah daripada angka 7% yang dilakukan oleh ekstremis Yahudi. Sebahagian besar kes penembakan dilakukan oleh ekstremis berkulit putih (24%) dan Latino (42%). Sementara itu, menurut laporan daripada Europol yang bertajuk EU Terrorism Situation and Trend Report (TESAT) dari 2006-2008 menunjukkan hanya 0.4% sahaja keganasan yang dilakukan oleh suspek beragama Islam. Manakala dari 2009-2010, daripada 543 serangan pengganas, hanya sejumlah 0.7% sahaja dilakukan oleh suspek beragama Islam.

Dari fakta di atas sahaja kita sudah tahu siapakah sebenarnya yang kerap melakukan tindakan keganasan ke atas orang awam. Namun, semua statistik ini tidak dipedulikan oleh Barat kerana polisi luar mereka yakni imperialisme (penjajahan) mesti diteruskan dan hanya akan berjaya diraih dengan mereka sentiasa membesar-besarkan setiap aktiviti “keganasan” yang dilakukan oleh umat Islam. Hanya dengan cara ini sahajalah, mereka akan dapat memperbaharui lesen untuk terus membunuh, memerangi dan menjajah tanah umat Islam serta mengaut segala sumber alam milik kita. Atas dasar ini, umat Islam hendaklah memiliki kesedaran politik dan pemahaman hukum syarak yang benar agar dapat memahami dan menangani agenda jahat Barat ke atas kita. Umat Islam tidak harus bersikap defensif apabila berhadapan dengan serangan Barat seperti ini, tetapi mesti terus membongkar agenda dan kejahatan Barat yang sedang mereka usahakan ke atas umat Islam di dalam skala yang jauh lebih besar daripada pengeboman yang telah berlaku di Paris.

Perancis: Negara Imperialis Yang Sangat Memusuhi Islam

Liberté, égalité, fraternité (kebebasan, kesamaan, persaudaraan) merupakan slogan kebangsaan Perancis yang hakikatnya merupakan suatu penipuan besar Perancis kepada warganya dan seluruh dunia. Perancis merupakan negara imperialis yang menjajah dan merompak kekayaan negara lain, khususnya negara umat Islam di benua Afrika, Asia Timur dan Timur Tengah. Presiden Perancis, François Hollande semasa lawatannya ke Algeria pada 2012 mengakui dalam sidang parlimen bahawa penjajahan Perancis ke atas Algeria selama 132 tahun adalah suatu ketidakadilan dan kekejaman oleh Perancis. Ini termasuklah pembunuhan 1.5 juta umat Islam yang berjuang menghalau Perancis dari Algeria dari 1954-1962. Hollande berkata, “Sistem ini mempunyai namanya, ia adalah kolonialisme dan saya mengakui bahawa penduduk Algeria telah mengalami kesengsaraan akibat penjajahan ini”.

Sesungguhnya sikap dendam Perancis terhadap umat Islam terpahat kukuh oleh ucapan General Henri Gouraud semasa memasuki kota Damsyik pada tahun 1920. Henri pergi ke makam Salahuddin al-Ayubi dan berkata dengan angkuhnya, “Bangkitlah wahai Sallehuddin, kami telah kembali, kedatangan aku ke sini adalah tanda kemenangan Salib ke atas Islam”.

Perancis bukan sahaja negara penjajah sejak berabad lamanya, malah ia sangat kejam dan mempunyai rekod yang sangat buruk terhadap tanah jajahannya. Seramai 400 ulama Islam di Chad telah dipenggal kepala oleh Perancis pada tahun 1917 semasa penjajahannya. Sepertiga kota Aghwat di Algeria telah dibakar oleh tentera Perancis tahun 1852 apabila Perancis menjajah wilayah tersebut dan dianggarkan lebih dari 10 juta umat Islam di Algeria telah dibunuh oleh Perancis sejak penjajahan bermula dari 1830 sehingga 1962. Walaupun penjajahannya di beberapa buah negara Afrika secara rasminya telah tamat, tetapi masih terdapat sekurang-kurangnya 14 buah negara di benua tersebut yang sehingga kini dipaksa membayar cukai jajahan, dengan Perancis mendapat keuntungan sebanyak 500 billion setahun. Jacques Chirac, mantan Presiden Perancis pernah berkata pada tahun 2008 bahawa “tanpa Afrika, Perancis akan menjadi negara dunia ketiga”.

Bukan sahaja melakukan kekejaman ke atas umat Islam di negara jajahannya, malah sehingga kini umat Islam yang hidup di Perancis, walaupun sudah menjadi warganegara, namun tidak pernah lepas dari polisi penindasan dan diskriminasi yang dilakukan oleh negara kafir tersebut. Fakta berbicara dengan sendirinya tanpa perlu diungkap. Pemerintah dan warga Perancis tidak sepatutnya lupa akan kebaikan yang telah dilakukan oleh Khilafah Uthmaniyah yang membantu membebaskan raja mereka, Francis I, yang telah menjadi tawanan perang pada tahun 1525. Kerajaan Perancis menulis surat kepada Khalifah Uthmaniyah pada waktu itu, Sulaiman al-Qanuni, untuk meminta bantuan Khalifah agar dapat mengusahakan pembebasan raja mereka. Sulaiman al-Qanuni lalu menggunakan kekuatan pengaruh antarabangsanya dan mengerahkan kekuatan tentera Khilafah untuk menyelamatkan raja Perancis tanpa meminta apa-apa bayaran atau imbalan sedikit pun.

Sebagai Muslim, kita mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang dilakukan di tempat awam, baik itu dilakukan di negara kaum Muslimin mahupun di negara kuffar, tidak kiralah sama ada ia dilakukan oleh Muslim mahupun bukan. Lebih buruk jika ia dilakukan oleh Muslim kerana hal ini menyalahi hukum syarak secara terang-terangan. Jika kita telusuri sejarah, serangan ke atas tempat awam yang sememangnya disasarkan untuk membunuh orang yang tidak berdosa, merupakan polisi luar negara kuffar penjajah dan tidak pernah dipraktikkan oleh Negara Islam, kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam. Kita lihat semasa perang dunia kedua di mana tentera British dan Amerika sengaja menyasarkan serangan ke atas penduduk awam di Dresden, Jerman, yang telah membunuh seramai 80,000 ribu jiwa, sebagai tindak balas terhadap serangan Jerman ke atas kota London. Logik yang demikian juga telah dipakai semasa perang dingin antara Amerika Syarikat dan Soviet Union yang menghalakan peluru berpandu masing-masing ke arah kota-kota besar (tempat awam) musuh mereka. Pendekatan ini juga diambil oleh Israel apabila melakukan serangan ke atas Gaza, di mana kebanyakan serangan sengaja ditujukan ke atas hospital, masjid, sekolah, kawasan penduduk dan lain-lain tempat awam.

Khatimah

Serangan berterusan Barat ke atas Islam dan umatnya sesungguhnya sudah semakin menyedarkan banyak pihak akan agenda jahat Barat ke atas umat yang mulia ini. Setiap perancangan dan kejahatan yang mereka lakukan ternyata telah semakin melondehkan seluar mereka sendiri. Cuma, umat Islam masih belum mempunyai pemimpin dan satu entiti politik di peringkat antarabangsa yang akan melawan Barat secara mental mahupun fizikal. Hizbut Tahrir bergerak sejak tahun 1953 untuk mendirikan semula entiti politik Islam yang pernah menjadi super power dunia satu ketika dulu iaitu Daulah al-Khilafah al-Rasyidah ala minhaj nubuwwah. Hasil usaha berterusan Hizbut Tahrir sejak lebih 60 tahun lalu yang semakin disambut oleh umat Islam ini, telah pun menampakkan hasilnya di mana cahaya Khilafah sudah mula memancarkan sinarnya. Insya Allah sudah tidak lama untuk munculnya Sallehuddin al-Ayubi yang kedua yang akan mengajar Perancis dan segala kebiadaban Barat ke atas Islam dan umatnya serta akan mempersatukan semula umat Islam di bawah satu payung pemerintahan. Wallahu a’lam.