SN413 – Serangan Charlie Hebdo VS Serangan Ke Atas Islam

PDF

SN keluaran 16 Januari 2015

[SN413] Pada 7 Januari yang lalu dunia digemparkan dengan serangan ke atas akhbar mingguan Perancis, Charlie Hebdo. Serangan di tengah-tengah kota Paris itu mengorbankan sebanyak 12 nyawa dan mencederakan beberapa yang lain manakala kedua-dua penyerang dan seorang lagi rakan mereka dilaporkan ditembak mati oleh polis Perancis.

Presiden Perancis, Francois Hollande dan ramai lagi pemimpin dunia lainnya mengutuk serangan tersebut dan menyifatkannya sebagai tindakan keganasan. Susulan itu, pada hari Ahad (11/1) lebih dari sejuta orang dilaporkan turun ke jalan di Paris sebagai tanda sokongan dan solidariti terhadap Charlie Hebdo. Mereka mengusung poster bertuliskan “Je Suis Charlie” (Saya Charlie). Seramai 40 orang tokoh dan pemimpin negara mengambil bahagian dalam perhimpunan itu.

Charlie Hebdo memang terkenal dengan penerbitannya yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW melalui karikatur yang dikeluarkannya. Oleh itu, tidak hairanlah kalau ramai yang menyifatkan serangan ke atas akhbar terbabit sebagai reaksi atas kemarahan pihak-pihak tertentu ke atasnya. Beberapa tahun sebelumnya, penghinaan yang telah banyak kali dilakukan itu telah ‘memaksa’ kelompok Muslim di Perancis membawa kes ke mahkamah. Namun, mantan Presiden Perancis Nicholas Sarkozy mendukung Charlie Hebdo dan membenarkan tindakan akhbar itu sebagai sebahagian daripada kebebasan bersuara. Pada 22 Mac 2007, mahkamah Perancis memutuskan yang Charlie Hebdo tidak bersalah. Ramai tokoh di Eropah turut memberikan dukungan kepada akhbar terbabit, baik secara tersirat mahupun tersurat, dengan alasan kebebasan bersuara. Tindakan provokatif yang berulang-ulang yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW dan dibela oleh pemerintah Perancis serta diluluskan pula oleh mahkamah, inilah yang memicu kemarahan setiap Muslim di sana.

Lebih memburukkan keadaan, selepas kejadian serangan pada 7 Januari itu, banyak media di Barat yang mengumumkan hasrat mereka untuk mengulang cetak karikatur-karikatur kontroversi, termasuklah karikatur yang menghina Nabi Muhammad SAW. Di German, sentimen anti-Islam sampai ke tahap di mana sebuah muzium memperagakan segala lukisan yang menyindir dan menghina Rasulullah SAW sebagai tanda sokongan ke atas kebebasan bersuara! Manakala sebuah stesen radio di Moscow (Echo of Moscow) telah melayan permintaan yang dibuat melalui soalan undian “Adakah anda setuju dengan cetakan semula kartun-kartun Nabi Muhammad sebagai tindak balas terhadap pembunuhan akhbar keluarga Charlie Hebdo?” Di Perancis dan beberapa negara Eropah kini, beberapa buah masjid dan tempat kemudahan Islam lainnya dikhabarkan menjadi sasaran tindak balas. Di Belgium, kaum Muslimah yang berjilbab merasa takut untuk keluar rumah kerana khuatir menjadi mangsa serangan jalanan.

Kebebasan Bersuara Dan Double Standard Barat

Tragedi Charlie Hebdo tidak harus dipandang sebelah mata oleh masyarakat dunia kerana ternyata tragedi itu tidak berdiri sendiri. Sentimen anti-Islam sememangnya semakin menebal di Barat dan kita mengetahui bahawa sejak sekian lama pelbagai propaganda dan tindakan anti-Islam telah dilakukan oleh Perancis. Justeru, serangan ke atas akhbar terbabit harus dipandang secara menyeluruh, termasuk dari sisi aksi dan reaksi. Di sebalik rakaman video aksi serangan yang banyak kejanggalannya, memang kita tidak menolak kalau serangan tersebut dikatakan dilakukan oleh Muslim. Jika benar Muslim melakukannya, tidak mungkin serangan itu terjadi tanpa sebab. Provokasi yang berterusan oleh Charlie Hebdo ke atas umat Islam melalui penghinaannya ke atas Junjungan Besar Rasulullah SAW hampir pasti menjadi penyebab kepada serangan tersebut.

Justeru, siapa sahaja yang mengutuk serangan itu, dia sepatutnya terlebih dahulu mengutuk Charlie Hebdo dengan lebih keras lagi kerana tindakan akhbar tersebut yang tidak putus-putus menistakan Islam dan Nabi Muhammad SAW. Mengutuk pelaku serangan semata-mata dan sebaliknya tidak mengutuk Charlie Hebdo, hal ini jelas tidak adil. Namun ketidakadilan seperti ini sentiasa dipraktikkan oleh Barat. Inilah pun yang ingin ditonjolkan oleh Barat yakni cubaan mengaitkan Muslim dengan keganasan. Bagi mereka yang waras, tindakan provokatif Charlie Hebdo lebih layak untuk dikutuk dan diambil tindakan tegas dan penerbit Charlie Hebdo seharusnya menjadi pihak pertama yang bertanggung jawab atas serangan itu!

Kita setuju bahawa serangan tersebut tidak akan menyelesaikan masalah. Tetapi perkara pokok yang perlu dibincangkan ialah apakah ‘penyebab’ kepada serangan. Selain tidak menyelesaikan masalah, serangan terbaru ini malah menimbulkan lebih banyak masalah. Kerana itulah, penyebabnya harus dicari dan diselesaikan. Sekali lagi kita katakan yang Charlie Hebdo dan pemerintah Baratlah yang memicu kepada masalah. Mereka seolah-olah sengaja membangkitkan kemarahan umat Islam agar umat Islam bertindak balas, lalu mereka menunggu-nunggu untuk menyalahkan umat Islam. Pemerintah Barat cuba menjarakkan hubungan antara Muslim dan non-Muslim, malah sengaja menakut-nakutkan non-Muslim dari mendekati Islam dan kaum Muslimin. Ternyata, melalui serangan dan propaganda ‘keganasan’ ini, komuniti Islam di Eropah terus menghadapi masalah dengan penduduk tempatan yang non-Muslim. Islamophobia terjadi di mana-mana dan terus meningkat. Inilah yang dikehendaki oleh Barat.

Para pemimpin Barat menganggap serangan ke pejabat Charlie Hebdo itu sebagai serangan terhadap nilai dan sistem yang diyakini Barat. Presiden Perancis Francois Hollande menegaskan dalam ucapannya di depan pejabat akhbar tersebut bahawa serangan itu “menyentuh prinsip Republik Perancis iaitu kebebasan dan kebebasan bersuara”. Perdana Menteri Britain, David Cameron mengatakan, “Kami tidak akan bertolak ansur dengan para terroris itu yang menghancurkan atau menyerang nilai demokrasi kami dan kebebasan berbicara”. Apa yang jelas dari kenyataan ini ialah, para pemimpin Barat menganggap bahawa tindakan penghinaan ke atas Islam dan Nabi Muhammad SAW oleh Charlie Hebdo itu, adalah sebahagian daripada kebebasan bersuara yang dibenarkan yang menjadi amalan suci mereka selama ini!!!

Benarkah Barat mengamalkan kebebasan bersuara? Inilah sandiwara Barat. Orang buta sekalipun tahu hakikat ini. Kebebasan bersuara Barat hanyalah dakwaan kosong semata-mata dan penuh dengan penipuan! Mereka bercakap tentang kebebasan bersuara apabila membolehkan penghinaan ke atas Islam, namun dalam masa yang sama merekalah yang melarang Muslimah mengenakan hijab di khalayak ramai, malah denda dikenakan bagi mereka yang ingkar. Muslimah dilarang dari mendapat hak pendidikan kecuali mereka menanggalkan hijab. Malah di Charlie Hebdo sendiri, pada 2008 yang lalu ketika salah seorang kartunis Charlie Hebdo, Maurice Sinet, membuat karikatur anak lelaki Nicholas Sarkozy yang berkahwin dengan ahli waris Yahudi kerana wang, sebuah karikatur yang merendahkan Sarkozy, akibatnya Maurice Sinet dipecat dari Charlie Hebdo! Di manakah kebebasan bersuara yang mereka laungkan!?

Dalam kes DieudonneM’bala, pada Januari tahun lalu, Menteri Dalam Negeri Perancis Manuel Valls melarang M’bala melakukan pertunjukan teater atas alasan teater tersebut bersifat anti-semitik atau mengolok-olokkan Yahudi. Mahkamah Agung Perancis pun mendukung keputusan tersebut. Namun, tiga tahun yang lalu, atas dalih menjaga kebebasan bersuara, Mahkamah yang sama membebaskan novelis Michel Houellebecq yang menuduh Islam sebagai agama paling bodoh di dunia. Manakala di Britain, kerajaan Britain sekarang sedang dalam proses memperkenalkan undang-undang yang ‘menjenayahkan’ apa jua ucapan, baik oleh kanak-kanak atau ibu bapa, yang tidak sesuai dengan nilai-nilai British. Kerajaan Britain sebelum ini telah pun menjenayahkan apa sahaja kenyataan yang menghina institusi ketenteraan negaranya dan banyak lagi contoh lainnya.

Justeru, amat terang lagi bersuluh bahawa dalih kebebasan bersuara hanya digunakan sesuai dengan kepentingan mereka. Kebebasan bersuara tidak boleh dilakukan jika hal itu mengganggu atau menghina Yahudi. Sebaliknya, jika menyerang dan menghina Islam, Nabi Muhammad SAW dan simbol-simbol Islam, maka itu dibenarkan sebagai bentuk kebebasan bersuara. Sesungguhnya kebebasan bersuara di Barat tidak lebih dari sebuah penipuan dan omong kosong semata-mata. Inilah sikap double standard Barat sejak dulu, kalau pun mereka ada standard! Mereka kononnya sangat peduli dan simpati terhadap 12 orang mangsa serangan Charlie Hebdo, akhbar yang terkenal melakukan provokasi jahat terhadap Islam, tetapi dalam masa yang sama mereka diam terhadap ribuan korban pembantaian Yahudi ke atas Palestin, malah mereka sebaliknya membela kaum Yahudi terlaknat itu. Barat juga diam terhadap pembunuhan jutaan Muslim di Iraq, pembantaian ratusan ribu kaum Muslimin oleh rejim al-Assad di Syria serta pembunuhan umat Islam di Rohingya, Pakistan, Afrika, Xinjiang dan banyak lagi. Bahkan Barat turut bersubahat di dalamnya!

Ironi Penguasa Muslim

Jika Barat melakukan penghinaan ke atas Islam dan membiarkan umat Islam terus dibantai, hal ini dapat difahami dengan mudah kerana Allah SWT telah pun mengingatkan kita akan hal ini melalui firmanNya,

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil menjadi teman kepercayaanmu orang-orang yang di luar kalanganmu (kerana) mereka tidak henti-henti (menimbulkan) kemudaratan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sungguh telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu memahaminya” [TMQ Ali Imran (3):118].

Namun, apa yang lebih buruk ialah diamnya para penguasa Muslim, malah mereka turut bersama dengan Barat dalam mengecam serangan pada hari Rabu itu. Mereka segera berbaris dalam barisan yang rapi bagi menunjukkan sokongan dan kebersamaan mereka dengan Barat. Di manakah mereka ketika Charlie Hebdo berulang-ulang kali menghina Islam dan Rasulullah SAW? Padahal dengan kekuasaan dan kekuatan yang ada pada mereka, mereka boleh menutup mulut Barat dan menghentikan segala penghinaan tersebut serta-merta. Paling kurang pun, jika mereka mengeluarkan ancaman politik seperti ancaman pemutusan hubungan diplomatik atau ancaman pemberhentian perdagangan, embargo ekonomi, pemberhentian pasport dan visa dan banyak lagi, apatah lagi jika dilakukan bersama-sama, pasti akan membuatkan Perancis dan negara-negara Barat berfikir panjang untuk membiarkan penghinaan itu apalagi mendukung dan membenarkannya. Ini belum lagi ancaman ketenteraan dan jihad!

Sayangnya, hal itu tidak dilakukan, sebaliknya para penguasa Muslim berbaris rapi bergandingan tangan dengan para pemimpin musuh Islam. Sesungguhnya sikap mereka tidak ada beza sedikit pun dengan Barat! Semua itu menjadi bukti bahawa keberadaan para penguasa Muslim itu bukanlah demi kepentingan Islam dan kaum Muslimin. Keberadaan mereka tidak ubah seperti boneka atau hamba yang tunduk patuh pada arahan tuan mereka, yakni Barat. Daripada kejadian ini juga, tampak jelas bahawa keberadaan pemimpin Muslim sekarang ini bukan menjadi kebaikan bagi Islam dan kaum Muslimin, sebaliknya menjadi sebahagian daripada keburukan. Keberadaan mereka tidak demi Islam atau demi melindungi kemuliaan Islam serta martabat kaum Muslimin, sebaliknya hanya mengekor Barat dan menjaga kepentingan Barat.

Tragedi Charlie Hebdo ini mengingatkan kita akan perbezaan penguasa Muslim sekarang dengan Khalifah yang pemimpin Negara Khilafah sedikit waktu dulu. Suatu ketika pada zaman Khalifah Abdul Hamid, Perancis pernah merancang untuk mengadakan pementasan drama yang diambil dari hasil karya Voltaire yang bertemakan “Muhammad atau Kefanatikan” yang mencaci Rasulullah dan turut menghina Zaid dan juga Zainab. Ketika sang Khalifah mendapat tahu tentang hal tersebut, melalui dutanya di Perancis, beliau segera memberikan amaran kepada pemerintah Perancis supaya menghentikan pementasan drama tersebut serta-merta. Beliau mengingatkan bahawa Perancis bakal berhadapan dengan tindakan politik jika tetap meneruskan pementasan tersebut. Pemerintah Perancis akhirnya tunduk dan membatalkan pementasan tersebut.

Tidak berhenti di situ, perkumpulan teater tersebut kemudiannya berangkat ke Britain. Mereka merencanakan untuk mengadakan pementasan yang sama di Britain. Sekali lagi, Khalifah Abdul Hamid yang mendapat tahu akan hal itu, terus memberi amaran kepada Britain. Britain dengan angkuhnya tidak melayan amaran tersebut. Alasannya, tiket sudah habis terjual dan jika dibatalkan drama tersebut, ini bertentangan dengan prinsip kebebasan (freedom) yang dianutinya. Wakil Khilafah Uthmaniyyah di sana kemudian menegaskan kepada pemerintah Britain bahawa Perancis telah pun membatalkan acara tersebut sekalipun sama-sama mendukung kebebasan sebagaimana Britain. Pihak Britain justeru menjawab bahawa kebebasan yang dinikmati rakyatnya jauh lebih baik daripada apa yang ada di Perancis. Setelah mendengar sikap Britain yang demikian, sang Khalifah terus memberi amaran, “Aku akan mengeluarkan perintah kepada umat Islam dengan mengatakan bahawa Britain sedang menyerang dan menghina Rasul kita. Aku akan mengobarkan jihad al-akbar!”. Melihat keseriusan Khalifah dalam menjaga kehormatan Rasulullah SAW tersebut, pemerintah Britain terus terdiam dari ‘cakap besar’nya tentang kebebasan, dan pementasan drama itu pun dibatalkan [Sumber: Majalah al-Wa‘ie, No. 31, 2003].

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Apa yang terjadi ini membuktikan kepada kita bahawa keberadaan Khilafah (Negara Islam) dan Khalifah (pemimpin kaum Muslimin) sebenarnya amat penting dan mendesak. Inilah kepemimpinan dan pemimpin yang keberadaannya adalah demi Islam, menjaga serta melindungi kemuliaan Islam, kehormatan Nabi Muhammad SAW serta kaum Muslimin keseluruhannya. Mereka memimpin atas dasar Islam dan menjadikan Islam sebagai sistem. Kepemimpinan dan pemimpin inilah yang disifatkan oleh Nabi SAW sebagai,

“Sesungguhnya Imam (pemimpin) itu laksana perisai, orang-orang berperang dan berlindung di belakangnya” [HR Bukhari& Muslim].

Itulah Khalifah dan sifatnya yang memimpin kaum Muslimin di seluruh dunia berdasarkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Apa yang penting dan wajib dilakukan oleh setiap Muslim sekarang ialah berjuang untuk mewujudkannya.

Wallahua’lam.