SN415 – Bank Dunia Di Malaysia: Negara Bakal Terjerat?
SN keluaran 6 Februari 2015
[SN415] Pada 27 Januari 2015, Bernama melaporkan yang Bank Dunia bakal membuka cawangannya di Kuala Lumpur yang akan berfungsi sebagai hab pengetahuan dan penyelidikan di rantau ini selain manfaat lain yang dapat diperoleh daripada Kumpulan Bank Dunia itu. Ini adalah rentetan daripada perjanjian kesefahaman (MoU) antara Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dengan wakil Bank Dunia di Spring Meetings of the World Bank Group and the International Monetary Fund (IMF) di Washington pada April 2014. Matlamat jangka panjang penubuhan pejabat itu adalah untuk membantu perkongsian pengalaman Malaysia yang berjaya dalam bidang seperti pembasmian kemiskinan dan pembangunan sektor kewangan yang baik dengan negara membangun lain di seluruh dunia. Hanadzlah dalam satu kenyataan berkata, sebagai negara yang telah mengambil langkah besar untuk membasmi kemiskinan dan meningkatkan kebajikan penduduk miskin, Malaysia berada pada kedudukan sesuai untuk bekerjasama dengan Bank Dunia bagi mencapai matlamat bank itu membasmi kemiskinan tegar dan menggalakkan perkongsian kemakmuran di seluruh dunia. Naib Presiden Bank Dunia bagi Asia Timur, Axel van Trotsenburg berkata, penubuhan pejabat itu mengiktiraf kejayaan Malaysia sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi dan peranannya sebagai pelanggan serta rakan kongsi dalam memajukan pembangunan global.
Malaysia menjadi ahli Bank Dunia pada tahun 1958 dan telah menerima pelbagai kemudahan pinjaman dan bantuan teknikal daripada institusi kewangan tersebut. Sejak tahun 1958, Bank Dunia telah meluluskan pinjaman dan bantuan teknikal dalam pelbagai bidang. Walau bagaimanapun, Malaysia tidak lagi menerima pinjaman dari Bank Dunia selaras dengan keputusan yang dibuat oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada 12 Oktober 1999 kerana Malaysia mempunyai dana yang mencukupi untuk membangunkan negara. Namun begitu, bagi mewujudkan hubungan kerjasama yang lebih sistematik dan tersusun, Jemaah Menteri pada 23 Oktober 2009 telah bersetuju supaya Malaysia mewujudkan program kerjasama dengan Bank Dunia bagi mendapatkan khidmat nasihat. Satu Country Partnership Programme telah diwujudkan merangkumi bidang kerjasama antara Kerajaan Malaysia dengan Bank dalam tempoh pelaksanaan program serta pembiayaan projek. Satu Framework Agreement for Advisory Services yang memperincikan terma dan syarat kerjasama ini telah ditandatangani oleh Ketua Pengarah UPE, JPM pada 20 November 2009 [http://www.epu.gov.my/world-bank].
Bank Dunia: Membantu Atau Membinasa
Bank Dunia ditubuhkan pada 27 Disember 1945 berdasarkan ratifikasi Internasional atau proses terima pakai (adoption) dari perjanjian Internasional melalui sebuah persidangan pada 1-22 Julai 1944 di bandar Bretton Woods. Dari persidangan tersebut dihasilkan keputusan yang akhirnya mendasari sejarah berdirinya Bank Dunia yang beribu pejabat di Washington DC, Amerika Syarikat. Secara teknik dan strukturnya, Bank Dunia adalah sebahagian daripada PBB, namun dari segi operasinya, ia sangat berbeza dari badan-badan rasmi PBB yang lain. Ketika Persidangan Bretton Woods ini berlangsung, ia dihadiri delegasi 44 buah negara, namun yang berperanan paling penting ketika itu adalah Amerika Syarikat dan Britain. Dari sejarah, Bank Dunia awalnya bertujuan untuk kononnya mengatur kewangan dunia setelah Perang Dunia II dan membantu negara-negara mangsa perang agar ekonomi mereka dapat dipulihkan kembali.
Secara fakta, Bank Dunia adalah institusi yang sering menggunakan istilah seperti ‘bantuan’, ‘pelarasan struktur’, ‘pengurangan kemiskinan’ dan istilah indah lainnya dalam menzahirkan peranan dan “kebaikan” mereka. Namun hakikatnya, Bank Dunia adalah sebuah institusi yang dikendalikan oleh negara Kapitalis kaya yang membenarkan negara membangun dieksploit oleh badan-badan korporat dan juga Kapitalis yang lain. Kepentingan penduduk dalam negara-negara membangun bukannya untuk dijaga, tetapi dieksploit. Pihak-pihak yang mendapat manfaat dari Bank Dunia hanyalah beberapa orang penguasa dan kroni mereka yang korup yang terlibat dalam proses kerjasama dengan bank antarabangsa ini, manakala rakyat terus sahaja hidup dalam kesengsaraan.
Media arus perdana cuba memaparkan wajah cantik Bank Dunia, dengan menayangkan kemesraan yang termanifestasi dengan ukiran senyuman di wajah kedua-dua pihak tatkala menandatangani perjanjian persefahaman, dengan alunan pujian terhadap langkah kerajaan yang menerima keberadaan Bank Dunia dengan terhormat. Namun bagi mereka yang mengenali wajah buruk Bank Dunia, sudah pasti tidak akan termakan dengan wayang kulit atau propaganda media. Mereka yang celik sejarah akan mampu melihat kesinambungan hegemoni Bank Dunia sejak penubuhannya lebih 60 tahun lalu.
Dalam tempoh tersebut, Bank Dunia (bersama IMF) telah memberikan pinjaman melebihi trillion US Dollar kepada negara-negara miskin yang zahirnya kelihatan untuk membantu tetapi hakikatnya hanya memperhamba negara-negara miskin. Daripada semua peminjam, hanya sebahagian kecil sahaja negara yang berjaya membangunkan semula ekonomi mereka, manakala yang lainnya ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, sudahlah miskin lalu dibelenggu hutang yang diberikan secara licik sehingga negara terjerat dan terpaksa tunduk kepada mereka. Jumlah hutang di negara dunia ketiga sahaja sudah melebihi USD 1 trillion, satu jumlah yang cukup besar membuatkan rakyat negara-negara tersebut hidup tanpa keperluan asas yang mencukupi kerana kekayaan negara telah digunakan untuk membayar hutang negara mereka.
Bukan sekadar itu, Amerika sebagai pemegang kuasa veto tunggal dalam Bank Dunia dan pemegang saham terbesar dalam IMF telah menjadikan kedua-dua institusi ini sebagai alat untuk mengawal negara lain, dengan cara memaksa negara peminjam mengikuti kehendak Amerika jika ingin pinjaman tersebut diluluskan, yang sudah pasti segala suruhan Amerika itu hanya menguntungkannya dan membuat negara-negara peminjam itu terus tersungkur.
John Perkins di dalam bukunya Confessions of an Economic Hitman menyatakan bahawa pinjaman itu bukanlah untuk membantu orang miskin, malah sebahagian besar pinjaman tersebut bukan diserahkan kepada kerajaan negara yang meminjam, sebaliknya diberikan kepada syarikat mereka sendiri seperti Bechtel dan Halliburton dan syarikat jurutera lain yang berebut-rebut untuk mendapatkan projek pembangunan di pelbagai negara miskin, tetapi hutang tersebut perlu dibayar oleh negara yang meminjam. Perkins turut menyatakan negara yang gagal membayar hutang dipaksa membayarnya dalam bentuk kekayaan alam atau mengundi mengikut kemahuan Amerika di dalam persidangan PBB atau menghantar tentera bagi membantu tentera Amerika untuk menempati Iraq.
Dalam brosur yang dikeluarkan oleh Bank Dunia, mereka mendakwa yang bantuan paling besar di dunia ialah bagi membantu membangunkan bidang pendidikan. Namun hakikatnya projek mereka hanya mencipta syarikat-syarikat swasta yang terus melebarkan jurang antara kaya dan miskin. Malah bantuan yang dibanggakan oleh Bank Dunia itu tidak lebih menjadi hutang yang terpaksa dibayar oleh negara miskin dengan matawang Dollar Amerika beserta faedah (riba).
Bank Dunia juga tanpa segan silu mendakwa yang mereka adalah antara pemberi bantuan terbesar dunia bagi membangunkan bidang kesihatan. Namun hakikatnya bantuan tersebut kebanyakannya adalah untuk mewujudkan pusat-pusat kesihatan swasta dan bukannya bantuan kesihatan percuma untuk golongan miskin, yang akhirnya mengenakan caj rawatan yang tinggi kepada penduduk. Bank Dunia juga mendakwa yang mereka berusaha supaya negara yang meminjam mampu untuk bebas hutang tetapi faktanya Bank Dunia tetap melakukan apa sahaja agar mendapat pulangan berganda daripada jumlah hutang yang mereka berikan. Bank Dunia juga mendakwa bahawa ia semakin menumpukan pada kerjasama dan perkongsian tetapi realiti yang berlaku sebelum ini menunjukkan bahawa segala kerjasama yang dilakukan selalunya adalah bersama syarikat multinasional asing. Malah kerjasama yang dilakukan dengan syarikat swasta pun hanya akan dilakukan jika ia menguntungkannya sahaja.
Bank Dunia turut mendakwa dirinya sebagai juara dalam melawan para pemimpin korup di seluruh dunia tetapi sebaliknya, merekalah yang telah membantu para diktator seperti Mobutu Sese Seko (Zaire / Democratic Republic of the Congo) yang menerima USD 650 million dari Bank Dunia walaupun mengetahui bantuan tersebut dijadikan milik peribadinya; Suharto (Indonesia) pula menerima pinjaman bernilai USD 25 billion ketika Indonesia diheret ke dalam krisis pembunuhan di Timor Timur; rejim Apartheid di Afrika Selatan juga menerima bantuan daripada Bank Dunia. Malah tatkala Amerika mengumumkan melancarkan sekatan terhadap rejim Apartheid tersebut, Bank Dunia masih memberikan bantuan kepada Lesotho Highlands Water Project yang penuh dengan korupsi.
Bank Dunia juga mendakwa mereka membantu negara-negara lain untuk keluar daripada kancah konflik seperti Iraq dan Afghanistan (yang ironinya dihancurkan oleh Amerika sendiri), Timor Timur dan Sri Lanka, tetapi strategi mereka tidak lain hanyalah memaksa pelaksanaan dasar penswastaan, penjimatan (potong/mansuh subsidi) dan pasaran terbuka yang hanya menguntungkan Bank Dunia itu sendiri. Bank Dunia juga mendakwa mereka mendengar suara rakyat miskin tetapi yang berlaku adalah sebaliknya. Sebagai contoh di Tanzania pada tahun 2001, apabila Presiden Bank Dunia James Wolfensohn menghadiri satu mesyuarat untuk mendengar suara rakyat miskin, orang miskin dihalang daripada menghadiri mesyuarat tersebut dan turut dihalang menghadiri sidang medianya dan lebih buruk, orang-orang miskin yang melakukan demonstrasi di luar mesyuarat telah dihalau.
Segala fakta ini tidak lain hanyalah sebahagian bukti bahawa Bank Dunia (yang kadang kala bersama IMF) bukanlah sahabat sebaliknya merupakan musuh yang sentiasa mengintai peluang untuk merompak kekayaan negara lain. Bank Dunia ternyata bukan membantu tetapi membinasa negara mana pun yang dimasukinya. Kerana itu, negara seperti Ecuador telah lama menghalau wakil Bank Dunia dari negara mereka dan Venezuela telah memutuskan hubungan dengan Bank Dunia dan IMF sebagai tanda permusuhan terhadap perompak dunia tersebut. Sungguh tragis dan malang apabila masih ada pemimpin umat Islam yang sanggup menyambut Bank Dunia (mahupun IMF) seolah-olah penjenayah ekonomi itu adalah hero atau penyelamat. Sesungguhnya Bank Dunia/IMF tidak layak disambut hatta dengan senyuman sekalipun kerana kerosakan yang telah mereka lakukan selama ini. Jika Amerika sanggup membunuh ribuan nyawa rakyat Iraq dan Afghanistan, membantu Israel membunuh rakyat Palestin, maka merompak kekayaan sesebuah negara hanyalah mainan bagi mereka.
Iktibar Untuk Malaysia
Sejak kewujudannya hingga sekarang, Bank Dunia (bersama IMF) ternyata telah banyak membawa kerugian kepada negara-negara membangun. Pakar ekonomi yang meraih anugerah nobel, Joseph E. Stiglitz menyatakan bahawa negara kapitalis yang maju, melalui IMF, Bank Dunia dan WTO, bukan hanya tidak membantu apa yang diperlukan oleh negara membangun, malah membuat mereka bertambah susah. Hal yang sama telah digambarkan oleh Michel Chossudovsky (2007) di mana dia mengatakan yang pada abad ke-20, penaklukan negara bermaksud ‘kawalan ke atas aset produktif, buruh dan sumber asli’. Tidak ada keperluan untuk menjajah negara atau menghantar tentera seperti yang dilakukan oleh imperialis terdahulu. Ternyata bahawa penjajahan bentuk baru ini wujud dalam era globalisasi sekarang melalui Bank Dunia dan IMF yang menjadi alat negara yang kuat untuk mengawal negara membangun.
Malaysia sepatutnya membelek sejarah bagaimana Bank Dunia (bersama IMF) telah memaksa negara-negara yang baru merdeka di akhir 1950-an dan awal 1960-an untuk membayar hutang riba yang asalnya dipinjam oleh penjajah negara terbabit. Kongo misalnya, dipaksa membayar hutang penjajah yang dipinjam oleh kolonial Belgium dari Bank Dunia untuk mendanai kolonialisasinya di Kongo sekitar tahun 1950-an. Pengalihan hutang kolonial semacam ini kononnya dilarang oleh undang-undang antarabangsa. Lihat sahaja negara jiran Indonesia di mana Bank Dunia telah memberi pinjaman sebesar USD195 juta kepada Belanda, yang digunakan untuk mendanai aktiviti militernya di Indonesia pada tahun 1947 dan hutang ini kena dibayar oleh Indonesia yang baru merdeka melalui perjanjian Konferensi Meja Bundar (KMB). Selain itu, Bank Dunia juga turut mendanai projek transmigrasi yang terang-terangan melanggar hak penduduk di sana serta menyebabkan kerosakan alam dan mengganggu tempat tinggal masyarakat sehingga memaksa penduduk berpindah.
Malaysia juga sepatutnya membuka mata kepada apa yang berlaku di era 90-an di mana Bank Dunia (dan IMF) dengan kerjasama pemerintah, telah menstruktur sebahagian besar negara Amerika Latin, Afrika, Asia, dan Eropah Tengah dan Timur (termasuk Rusia) dengan projek penswastaan yang telah merugikan kepentingan umum dan menyebabkan perpindahan kekayaan besar-besaran ke tangan segelintir oligarki. Bank Dunia dan IMF telah memperkuat perusahaan swasta besar dan melemahkan pengusaha kecil. Akhirnya, seperti biasa, ia melahirkan segolongan kapitalis raksasa yang bertambah kaya-raya manakala sebahagian besar penduduk dan pengusaha kecil semakin menderita.
Khatimah
Pemerintah Malaysia harus membuka mata tentang fakta yang berlaku untuk melihat wajah sebenar Bank Dunia. Lebih buruk, jika pemerintah sebenarnya telah pun membuka mata, namun mereka telah gelap mata melihat segala manfaat yang dapat mereka raih dengan pembukaan cawangan Bank Dunia di sini, walaupun rakyat bakal sengsara. Apa pun, sebagai Muslim, kita wajib melihat hal ini dari perspektif Islam dari segi hukum menandatangani perjanjian dan membenarkan Bank Dunia berada di sini. Walaupun kita tidak mengetahui rinci isi perjanjian, namun secara umumnya kita mengetahui bahawa Bank Dunia berada di bawah PBB dan kawalan langsung Amerika Syarikat. PBB merupakan sebuah organisasi kufur yang telah membawa banyak malapetaka ke atas umat Islam manakala AS pula adalah negara kafir harbi fi’lan yang sedang memerangi umat Islam. Hal ini sahaja sudah cukup untuk mengharamkan negara menandatangani perjanjian yang melibatkan kedua-dua pihak tersebut. Itu belum ditambah dengan nas yang mengharamkan orang beriman dari dikuasai oleh orang kafir dan adanya transaksi riba yang berlaku atau bakal berlaku dalam negara ini dengan kewujudan Bank Dunia yang penuh kelicikan itu. Sudah berapa banyak musibah yang menimpa Malaysia kebelakangan ini dari pelbagai sudut, apakah mahu ditambah lagi dengan musibah yang baru? Wallahu a’lam.