Gabenor Bank Negara diganti, sistem kapitalisme dikekalkan

gabenor-bank-negaraTimbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Muhammad Ibrahim dilantik secara rasminya menjawat jawatan Gabenor menggantikan Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz yang tamat perkhidmatannya April lalu. Muhammad, 56 yang telah menyertai bank pusat sejak 1984, merupakan Gabenor BNM yang kelapan untuk berkhidmat selama lima tahun bermula 1 Mei lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pihaknya yakin dengan kepimpinan Muhammad yang mampu memberi sumbangan dalam membantu kerajaan daripada pelbagai aspek dan pulangan positif. “Saya yakin beliau mampu memberikan nasihat dan pandangan bagi memacu ekonomi negara selain mentadbir dasar monetari bagi mengawal selia industri kewangan negara”, kata Najib. “Ia termasuklah meneruskan usaha BNM untuk membangunkan industri kewangan dengan sewajarnya,” sambung Perdana Menteri dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Muhammad yang sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Gabenor BNM sejak Jun 2010 juga merupakan ahli dalam Jawatankuasa Polisi Monetari dan Kestabilan Kewangan BNM. Berdasarkan sejarah, bank pusat Malaysia itu asalnya diterajui oleh Tan Sri W.H. Wilcock pada Januari 1959 hingga Julai 1962, seorang Gabenor pembantu Commonwealth Bank of Australia. Manakala Zeti menjadi wanita pertama menjawat jawatan tertinggi di BNM bermula Mei 2000 hingga 30 April 2016.

Di sebalik namanya yang gah, hakikatnya bank negara tiada kuasa dalam menentukan sistem ekonomi negara dan hanya bertindak mengikut kepentingan politik pemerintah. Ini terbukti apabila beberapa hari lepas, Gabenor yang baru itu mengumumkan bahawa BNM telah menamatkan siasatan di bawah bidang kuasanya terhadap hal ehwal 1Malaysia Development Bhd (1MDB), satu keputusan yang sama dengan keputusan peguam negara yang bertindak menutup segala salah laku dan skandal yang melanda 1MDB yang diterajui oleh Perdana Menteri Malaysia.

Dalam menguruskan kewangan, fungsi bank negara hanyalah penasihat kepada kerajaan dalam aspek kewangan kerana kuasa mutlak kewangan ada pada Menteri Kewangan iaitu Perdana Menteri sendiri. Jadi, tidak mungkin BNM akan melampaui atau sanggup membuat sebarang keputusan yang berlawanan dengan kehendak Menteri Kewangan, yang juga Perdana Menteri Malaysia!

Itu dari satu sudut. Dari sudut lain, penubuhan BNM tidak boleh lepas daripada sistem ekonomi Kapitalisme yang menjadi tunjang sistem perekonomian negara dan juga dunia. Sejak dulu hingga kini, selain tertakluk kepada kuasa Menteri Kewangan, BNM dipimpin oleh mereka yang pakar dalam bidang ekonomi Kapitalis dan bukannya ekonomi Islam. Walaupun terdapat Majlis Penasihat Syariah BNM, namun ia tidak lebih kecuali menjadi badan penasihat, bukannya pembuat dasar. Manakala sistem kewangan “syariah” yang diluluskan oleh Majlis Penasihat tersebut tidak lebih daripada “transformasi” atau “arabisasi” sistem kewangan Kapitalis semata-mata.

Sesungguhnya apa yang diperlukan oleh umat Islam bukanlah sekadar penggantian Gabenor Bank Negara atau Menteri Kewangan, kerana ia tidak membawa apa-apa erti sekiranya sistem kapitalisme yang berasal dari Barat ini masih tetap diamalkan. Umat Islam memerlukan perubahan total dalam sistem kewangan yakni dengan mencampakkan kesemua sistem Kapitalis atau konvensional yang diamalkan pada hari ini dan menggantikannya dengan sistem ekonomi Islam berdasarkan wahyu.

Islam hadir dengan sistem ekonomi yang ampuh dalam mengatur politik ekonomi dan kewangan dengan sempurna, sehingga berjaya mencapai kesejahteraan dalam ertikata yang sebenar. Pengurusan ekonomi berdasarkan wahyu, sebagaimana yang diterapkan oleh Rasulullah dan lain-lain Khalifah, terutamanya di zaman Khalifah Umar al-Khattab dan juga Umar bin Abdul Aziz, ternyata telah menghasilkan kemakmuran ekonomi yang luar biasa sehingga setiap individu Muslim dan non-Muslim yang tinggal dalam Daulah Islam dapat merasainya.

Setiap Muslim perlu sedar bahawa sistem ekonomi Islam yang hebat dan telah terbukti membawa kesejahteraan kepada dunia, datang dalam satu pakej yang lengkap dengan sistem pemerintahan, sistem pergaulan, sistem uqubat, polisi dalam dan luar negeri dan lain-lain, yang kesemuanya berdasarkan kepada wahyu, dan kesemua sistem ini wajib diusahakan untuk direalisasikan, bukannya dengan hanya menunggu dan berharap.

Wallahu a’lam.