SN418 – Jawapan Islam Untuk Kambing Hitam Dan Penggembalanya

PDF

SN keluaran 27 Februari 2015

[SN418] Kes pembunuhan Altantuya Shaaribu kembali hangat diperbincangkan apabila salah seorang tertuduh yang telah dijatuhi hukuman mati, Koperal Sirul Azhar Umar, yang kini berada dalam tahanan Jabatan Imigresen Australia, mengeluarkan kenyataan kepada pihak media untuk membongkar rahsia di sebalik pembunuhan tersebut. Sirul telah bertindak melarikan diri ke Australia beberapa bulan sebelum Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari lalu memutuskan hukuman mati ke atasnya bersama seorang lagi tertuduh, Cif Inspektor Azilah Hadri atas kesalahan membunuh Altantuya. Dalam pendedahannya dari Australia, Sirul mengaku membunuh model dari Mongolia itu, tetapi menegaskan yang dia melakukannya atas arahan pihak tertentu dan menyifatkan dirinya sebagai kambing hitam. Pendedahan terbaru Sirul ini menarik perhatian yang cukup besar sehingga pihak media bergegas meminta komen dari Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang pernah dikaitkan dengan kes tersebut. Najib yang enggan mengulas lanjut hanya menyifatkan apa yang dikatakan oleh Sirul sebagai ‘mengarut’. Jawapan ini terus memanaskan lagi suasana dan telah menimbulkan pelbagai persepsi dan spekulasi terhadap kes berprofil tinggi ini.

Walaupun Malaysia telah dikhabarkan memohon ekstradisi ke atas Sirul, kerajaan Australia bagaimana pun sehingga kini masih tidak mahu melepaskan pesalah terbabit kerana undang-undang negara kangaroo tersebut membenarkan orang-orang yang dihukum mati untuk berlindung di negaranya. Di samping misteri bagaimana Sirul boleh bolos ke Australia jika tiada bantuan serta perancangan yang rapi dan teliti, kerajaan Malaysia dilihat tersepit dengan perjanjian ekstradisi yang ditandatanganinya sendiri.

Hukum Ekstradisi Menurut Islam

Perjanjian ekstradisi bagi para pelaku jenayah adalah suatu perjanjian yang menghendaki negara yang menandatangani perjanjian untuk menyerahkan seseorang yang berada di wilayahnya kepada negara lain yang meminta berbuat demikian, untuk diadili atas kejahatan yang dituduhkan terhadapnya atau untuk menerapkan hukuman yang telah diputuskan untuknya oleh pengadilan dari negara yang meminta ekstradisi tadi. Pada dasarnya, Islam membolehkan apa jua bentuk perjanjian antarabangsa (termasuk ekstradisi), dengan syarat tidak bercanggah dengan syarak. Rasulullah SAW pernah menandatangani perjanjian Hudaibiyyah yang memperuntukkan bahawa baginda mesti mengembalikan penduduk Makkah yang Muslim yang datang ke Madinah. Hal ini menunjukkan bahawa negara asing boleh meminta kembali rakyatnya atas kejahatan yang mereka lakukan di negara mereka.

Sebagaimana disebutkan, syarat-syarat yang terdapat dalam perjanjian ekstradisi hendaklah syarat yang tidak mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram. Dalam perjanjian ekstradisi contohnya, orang yang diminta untuk diekstradisi hendaklah bukan termasuk warga Darul Islam (Khilafah), sebab Darul Islam wajib menghukum warganya atas segala kejahatan yang mereka lakukan, baik dilakukan dalam mahupun luar negara, menurut hukum Islam. Manakala warga asing yang hendak diekstradisi pula, hendaklah terhadap jenayah yang mereka lakukan di luar Darul Islam. Ekstradisi tidak boleh dibenarkan ke atas warga asing yang melakukan kejahatan di dalam Darul Islam. Ini kerana, negara Khilafah wajib menghukum setiap kesalahan yang berlaku dalam negara, dengan hukum Islam, tidak kira sama ada ia dilakukan oleh warganya sendiri mahupun warga asing. Dikecualikan dalam masalah ini adalah para duta dan wakil khas negara asing kerana mereka memiliki perlindungan diplomatik yang disahkan oleh Islam.

Perbicaraan Islam Untuk Kes Sirul

Antara isu baru yang muncul dalam kes pembunuhan Altantuya ini ialah pengakuan Sirul bahawa dia melakukan pembunuhan tersebut atas arahan orang lain yang dikatakan masih terlepas. Persoalannya, bagaimanakah status pengakuan ini dinilai dari hukum Islam? Pada dasarnya, apabila seseorang qadhi (hakim) telah memutuskan hukuman, maka hukumannya adalah terpakai dan wajib dijalankan, kecuali dalam tiga keadaan dan salah satunya ialah apabila qadhi memutuskan hukum berdasarkan kesilapan fakta (yang baru muncul kemudian).

Ketetapan di atas adalah berdasarkan beberapa nas, antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah,

“Sesungguhnya pernah ada seorang lelaki berzina dengan seorang wanita. Lalu Rasulullah SAW memberikan keputusan dalam masalah ini hingga si lelaki itu dihukum sebat. Kemudian Rasulullah SAW diberitahu bahawa lelaki itu muhsan (pernah menikah), lalu baginda pun mengeluarkan perintahnya sehingga lelaki itu direjam” [HR Abu Daud].

Namun, perlu difahami bahawa pihak yang memiliki solahiyyah (autoriti) membatalkan keputusan-keputusan hukum itu adalah Qadhi Madzalim [Ajhizah Daulah al-Khilafah Fi al-Hukm wa al-Idarah, Hizbut Tahrir].

Jadi, dalam kes pembunuhan Altantuya ini, oleh sebab terdapat perubahan fakta (fakta baru) hasil dari pengakuan Sirul, maka keputusan mahkamah boleh dibatalkan untuk dilihat semula dan diputuskan berdasarkan fakta yang baru muncul. Namun demikian, beberapa perkara perlu diperhalusi dalam fakta yang baru muncul ini:-

Pertama; Untuk keterangannya diterima oleh mahkamah, Sirul hendaklah memberi keterangan dan mengemukakan bukti di dalam Majlis al-Qadha’ (sidang mahkamah) dan di hadapan qadhi, bukannya memberi keterangan atau mengemukakan bukti di luar mahkamah, apatah lagi di Australia. Dari Abdullah bin Zubair, ia berkata,

“Rasulullah SAW memutuskan agar kedua pihak yang bersengketa duduk di hadapan baginda”.

Seandainya seseorang bersaksi menyampaikan kebenaran, namun bukan di dalam Majlis al-Qadha’ atau bukan di hadapan qadhi, meskipun menggunakan lafaz seperti “saya bersaksi” atau “saya bersumpah” maka hal itu tidak diakui sebagai bayyinah (kesaksian) menurut Islam. Sidang mahkamah merupakan syarat pokok bagi sahnya sebuah kesaksian, kecuali dalam hal hisbah dan mukhalafat (kesalahan terhadap hak jamaah seperti menipu di pasar, jalan raya, vandalisme dan sebagainya).

Kedua; Sirul mengaku melakukan pembunuhan (walaupun atas arahan orang lain). Sekiranya pengakuan membunuh ini dilakukan dalam Majlis al-Qadha’, maka dia wajib dikenakan qisas, tiada keraguan lagi mengenai hal ini. Satu-satunya syarat yang boleh melepaskan Sirul dari qisas ialah jika dia berjaya buktikan yang pembunuhan itu dilakukannya kerana ikrah al-mulji’ (pemaksaan yang bersangatan). Ini kerana, pemaksaan (al-ikrah) yang diakui syarak hanyalah pemaksaan yang dapat membawa kepada kematian (al-mulji’), bukan yang lain, yakni jika ia tidak melakukan perbuatan tersebut, ia akan dibunuh. Dalam keadaan seperti ini, maka ia tidak akan dikenakan uqubat (hukuman), berdasarkan sabda Rasulullah SAW,

“Diangkat pena (dosa) dari umatku atas 3 keadaan, orang yang tersalah (tidak sengaja), lupa dan orang yang dipaksa.”

Jika ia hanya dipaksa dengan ancaman akan dipecat dari jawatan atau dipenjara atau pemaksaan yang lainnya, hal itu tidak dianggap sebagai pemaksaan yang dapat menghindarkan dari uqubat [Nidzam al-Uqubat, Abdurrahman al-Maliki].

Ketiga; Untuk membuktikan dakwaannya (bahawa ada orang yang mengarahkannya melakukan pembunuhan), Sirul hendaklah mendatangkan bukti berupa sekurang-kurangnya dua orang saksi yang adil, atau seorang saksi yang adil dan diikuti dengan sumpahnya sendiri selaku pendakwa. Firman Allah SWT,

“Dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu” [TMQ al-Thalaq (65):2]. Dari Ibnu Abbas RA, “Bahawa Rasulullah SAW telah memutuskan perkara dengan sumpah (dari orang yang mendakwa) dan seorang saksi”

dan banyak lagi hadis yang senada dengan ini. Jika dia gagal berbuat demikian, maka dia tidak memenuhi ahkam al-bayyinat (hukum pembuktian) dalam Islam dan orang yang dituduhnya itu mesti dilepaskan, kecuali orang itu sendiri mengaku yang dia mengarahkan.

Keempat; Jika Sirul berjaya dalam pembuktiannya atau orang yang memberi arahan itu mengaku (dalam Majlis al-Qadha’), maka hal ini termasuk dalam kategori subahat dan ia perlu diperhalusi lagi. Hukuman ke atas orang yang bersubahat dalam pembunuhan bergantung pada tahap penglibatannya dalam pembunuhan tersebut. Jika sekumpulan orang “bersekutu” (sama ada dua orang atau lebih) untuk membunuh seseorang, semuanya akan dikenakan qisas. Bersekutu di sini bermaksud bersama-sama membunuh, mendorong terjadinya pembunuhan atau merancang/mengatur pembunuhan dan seumpamanya. Mereka dianggap terlibat dalam pembunuhan secara langsung. Umar pernah bertanya kepada Ali tentang pembunuhan yang dilakukan oleh sekelompok orang terhadap seseorang. Ali bertanya kepada Umar,

“Apa pendapatmu seandainya ada sekelompok orang mencuri, apakah engkau akan memotong tangan mereka?’ Umar menjawab, ‘Ya’. Ali lalu berkata, ‘Demikianlah dengan pembunuhan” [Ahkam al-Bayyinat, Ahmad al-Da’ur].

Maka, tidak diragukan lagi bahawa orang yang mengarahkan pembunuhan juga wajib dikenakan qisas.

Ingatlah bahawa walaupun kambing hitam atau penggembalanya terlepas dari hukuman dunia, tetapi mereka sekali-kali tidak akan terlepas dari hukuman Akhirat. Sekiranya mereka beriman dengan ayat di bawah ini, nescaya mereka tidak akan membiarkan diri mereka menjadi ‘kambing’ yang mentaati penggembalanya membabi buta. Firman Allah SWT,

“Dan seandainya orang-orang yang melakukan kezaliman itu mengetahui ketika mereka melihat azab (pada hari Kiamat) bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu kepunyaan Allah semuanya dan bahawa Allah amat berat seksaNya (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu) (iaitu) ketika orang-orang yang diikuti (ketua-ketua) itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikutinya, dan mereka melihat azab dan (ketika) segala hubungan antara mereka terputus sama sekali, dan berkatalah orang-orang yang menjadi pengikut, ‘Seandainya kami dapat kembali (ke dunia) pasti kami akan berlepas diri dari mereka, sebagaimana mereka berlepas diri dari kami (pada hari ini)’. Demikianlah Allah memperlihatkan kepada mereka amal perbuatan mereka menjadi penyesalan bagi mereka, dan sekali-kali mereka tidak akan keluar dari (azab) neraka” [TMQ al-Baqarah (2):165-167].

Kedudukan Qisas

Berbeza dengan undang-undang sekular Malaysia yang mengenakan hukuman bunuh ke atas pembunuh, Islam mewajibkan qisas ke atas si pembunuh. Qisas memberikan hak kepada ahli waris untuk mengambil salah satu daripada tiga pilihan. Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dari AbiSyuraih al-Khaza’iy, ia berkata,

“Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa ditumpahkan darah dan dilukai, maka ia berhak memilih salah satu di antara tiga ini, meminta qisas (bunuh balas), mengambil diyat atau memberi maaf.”

Hadis ini memberikan hak kepada seseorang anak Adam (ahli waris) untuk memilih salah satu daripada tiga bentuk hukuman ke atas si pembunuh.

Adapun qisas terhadap seorang Muslim kerana membunuh orang kafir, maka dalam kes ini mesti dibezakan antara kafir dzimmi (kafir warga Daulah Islam), kafir muharib bi al-fi’l (kafir dari negara yang memusuhi Daulah Islam secara langsung) dengan kafir ghair muharib bi al-fi’l (kafir dari negara yang tidak memusuhi Daulah Islam). Mana-mana Muslim yang membunuh kafir dzimmi, maka hukumannya sama sahaja dengan membunuh seorang Muslim kerana darah mereka (dzimmi) haram atas kaum Muslimin seperti halnya darah seorang Muslim. Banyak hadis yang menerangkan akan hal ini.

Adapun kafir ghair muharib bi al-fi’l yang negaranya tidak mempunyai apa-apa perjanjian dengan Negara Islam, jika dia masuk ke dalam Negara Islam tanpa jaminan keamanan (visa), seorang Muslim tidak akan dikenakan hukuman bunuh kerana membunuhnya. Sabda Rasulullah SAW,

“Perhatikan, seorang Mukmin tidak dibunuh kerana membunuh seorang kafir (kafir ghair muharib bi al-fi’l)…” [HR Ahmad].

Walaupun Muslim tersebut tidak dikenakan hukuman bunuh, namun ia diwajibkan membayar diyat yang jumlahnya separuh dari diyat pembunuhan ke atas seorang Muslim. Hal ini sebagaimana diriwayatkan dari Amru bin Syu’aib dari bapaknya, dari datuknya, bahawa Nabi SAW bersabda,

“Diyat seorang kafir (ghair muharib bi al-fi’l) adalah separuh diyat seorang Muslim.”

Adapun kafir ghair muharib bi al-fi’l yang negaranya mempunyai perjanjian dengan Negara Islam (digelar kafir mu’ahid), jika dia masuk ke dalam Negara Islam dengan jaminan keamanan (visa) maka dia mendapat perlakuan sama seperti seorang Muslim darihal penjagaan terhadap darah, harta dan kehormatannya.  Imam Baihaqi mengeluarkan hadis dari Abd al-Rahman al-Bilmaniy,

“Rasulullah SAW telah menghukum bunuh seorang Muslim yang membunuh kafir mu’ahid. Kemudian baginda bersabda, ‘Aku telah memuliakan darah orang yang memohon perlindungan.”

Dengan kata lain, kafir mu’ahid yang diberi jaminan keamanan (disebut juga sebagai kafir musta’min), ia diperlakukan sebagaimana kafir dzimmi (selama ia berada dalam negara kita) yakni diharamkan darahnya, sehingga seorang Muslim akan dihukum bunuh kalau membunuhnya [Nidzam al-Uqubat, Abdurrahman al-Maliki].

Khatimah

Berdasarkan fakta kes, Altantuya (warga Mongolia) telah masuk ke Malaysia dengan jaminan keamanan, walaupun kemudiannya rekod kemasukan model itu telah gagal dikesan!!! Maka, jika telah terbukti siapa pembunuhnya dan siapa bersekutu dalam pembunuhan, hukuman ke atas mereka adalah qisas. Jadi, ahli waris Altantuya boleh memilih salah satu daripada tiga pilihan yang diberikan Islam kepada mereka. Dalam kes ini, negara langsung tidak berhak menjatuhkan hukuman kerana sahib al-haq (pemilik hak) adalah ahli waris, bukannya negara. Demikianlah kes pembunuhan Altantuya ini jika diadili menurut hukum Islam. Wallahua’lam.