SN423 – Serangan Yemen: Penjaga Dua Kota Suci Menjaga Amerika!!!
SN keluaran 3 April 2015
[SN423] Selepas Abdul Rabbuh Mansur Hadi mengambil alih pemerintahan daripada Ali Abdullah Saleh pada 27 Februari 2012, keadaan politik di Yemen boleh dikatakan menjadi semakin tegang dengan kebangkitan kumpulan minoriti yang dikenali sebagai Houthi yang kini sudah sampai ke kemuncak dengan mengambil alih kerajaan dan membubarkan Parlimen. Situasi ini meletakkan Yemen dalam ketegangan politik yang serius dan akhirnya meletup apabila Arab Saudi dan beberapa negara Teluk yang lain, di bawah pengaruh Amerika, melancarkan serangan ke atas Yemen. Ketika darah umat Islam di Yemen masih basah dan mengalir akibat kerja tangan kaum kuFfar, serangan oleh pakatan negara Teluk yang diketuai oleh Arab Saudi dan direstui Amerika ini telah memburukkan lagi keadaan serta menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia yang mempunyai keimanan.
Sebanyak 100 jet pejuang dan 150,000 tentera Arab Saudi beserta aset perang tentera negara Teluk yang lain dikerahkan untuk memerangi kumpulan Houthi. Ini bukanlah satu jumlah yang kecil dan serangan ini bukan main-main, malah dengan kekuatan tersebut boleh melenyapkan Yemen sebagai sebuah negara. Tindakan membabi buta Arab Saudi ini wajib dipersoalkan kerana Yemen adalah negeri Islam yang majoriti penduduknya Muslim dan merupakan saudara kita semua. Betapa laju Arab Saudi menghalakan kekuatan tenteranya untuk membunuh sesama Muslim, sedangkan Yahudi yang secara nyata menjajah Palestin dan merampas tanah yang diberkati itu dari kaum Muslimin, tidak pernah diacah sedikit pun oleh Saudi! Sungguh, kejahatan dan pengkhianatan Arab Saudi amat terang lagi bersuluh! Mereka bersahabat dan tunduk kepada kuffar Amerika tetapi bermusuh dan membunuh sesama Muslim!
Serangan Saudi dan beberapa negara teluk ke atas Yemen jelas menunjukkan betapa mereka menjaga tuannya (Barat). Alasan hipokrit mereka kononnya serangan dilakukan bagi menjaga kiblat umat Islam sesungguhnya diketahui dan dilaknat oleh penduduk langit dan bumi. Mereka dengan beraninya mencampakkan hadis Rasulullah SAW yang menegaskan, “Sungguh, hancurnya dunia ini lebih ringan di sisi Allah dibandingkan terbunuhnya seorang Muslim” [HR Nasa’i dan Tirmizi]. Arab Saudi dan negara Teluk yang terlibat dalam serangan ini ternyata telah berjaya menggembirakan dan memuaskan hati tuan mereka. Inilah realiti dan pengkhianatan yang dilakukan oleh para penguasa umat Islam yang mengambil kuffar Barat sebagai teman rapat dan tempat untuk mereka berlutut. Sungguh hina apabila penguasa Saudi yang dikenal sebagai penjaga dua kota suci, sesungguhnya tidak lebih kecuali merupakan penjaga Amerika!!! Hizbut Tahrir mengecam sekeras-kerasnya serangan ini yang merupakan tindakan melampaui batas terhadap larangan Allah dan RasulNya. Berikut ini adalah nasyrah rasmi Hizbut Tahrir Pusat mengenai serangan ke atas Yemen.
Akhirnya, Pesawat-pesawat Para Penguasa Ejen Bergerak, Namun Ke Mana? Ia Bergerak Untuk Membunuh Kaum Muslimin, Bukan Untuk Memerangi Musuh!
Pada pagi Khamis, 26/03/2015, duta Arab Saudi ke Amerika Syarikat, Adel al-Jabir telah mengumumkan serangan terhadap puak Houthi yang melibatkan serangan udara daripada gabungan sepuluh buah negara Teluk, kecuali Oman. Dia menegaskan bahawa Arab Saudi telah berunding dengan Amerika Syarikat sebelum mengambil tindakan tersebut. Kementerian Luar Negara Mesir juga telah mengumumkan penyertaan Mesir dan empat kapal perang tentera laut Mesir dalam perjalanan ke Teluk Aden. Sementara itu, jurucakap tentera Sudan pula berkata, “Penyertaan Sudan adalah sebagai salah satu tanggungjawab Islam. Kami tidak akan berdiam diri sedangkan kiblat umat Islam dan tempat turunnya wahyu berdepan dengan ancaman.”
Jet dan kapal perang penguasa ini telah digerakkan untuk menyerang Yemen, tetapi tidak untuk menyerang entiti Yahudi, walaupun entiti Yahudi jauh lebih hampir kepada mereka! Lebih buruk, mereka telah menjustifikasi serangan ini adalah untuk melindungi kiblat umat Islam (Makkah), meski ia masih belum pun dimasuki, sebaliknya, kiblat pertama umat Islam (BaitulMaqdis)-lah yang telah diserang dan sedang menjerit meminta pertolongan! Namun, jet-jet penguasa ini telah dikerahkan ke Yemen untuk memenuhi kepentingan kuffar penjajah sedangkan jet-jet tersebut tidak pernah digerakkan untuk membantu Tanah Suci yang dijajah oleh mereka (Yahudi) yang paling keras memusuhi umat Islam!
Sungguh jelas bagi mereka yang memiliki penglihatan dan pandangan bahawa apa yang sebenarnya yang berlaku di Yemen adalah persengketaan antara dua pihak, (iaitu) Amerika Syarikat (AS), penyokongnya dari kalangan Houthi dan kelompok lainnya, di satu pihak; dengan Britain dan penyokongnya, Hadi, Ali Abdullah Saleh serta pengikutnya, di pihak yang satu lagi, seperti yang telah kami jelaskan dalam kenyataan kami sebelum ini:
“Pergolakan di Yemen adalah disebabkan oleh perbalahan antara dua pihak iaitu Amerika, pengikutnya dan ejennya, dengan Britain, pengikutnya dan ejennya. Setiap pihak mempunyai cara dan sarana politik masing-masing. Amerika berjalan dengan percaturan kekuatan Houthi, gerakan-gerakan selatan dan Iran, selain strategi rundingan untuk merealisasikan kemahuan mereka melalui Jamal bin Umar (penasihat khas PBB di Yemen). Manakala Britain pula menggunakan kaedah licik dengan mengeksploitasi kuasa kepresidenan Hadi dengan bertindak ‘sopan’ terhadap Amerika bagi menghalang tekanan-tekanan AS agar AS tidak mendapat posisi strategis di pemerintahan. Pada masa yang sama, Britain juga mendorong Saleh dan orang-orangnya untuk bergabung dengan Houthi sehingga jika Hadi gagal dan posisi Houthi lebih kuat, maka Britain tetap mendapat bahagian dalam pemerintahan -berapa pun bahagian tersebut- melalui Saleh dan orang-orangnya. Inilah yang berlaku di Yemen. Britain sudah tidak lagi mampu mendominasi Yemen seperti dahulu. Pada masa yang sama, Britain juga tidak mampu untuk menandingi AS dan agennya secara militer. Maka, Britain menggunakan taktik licik dengan mengawal politik Yemen melalui kedua ejennya, Hadi dan Ali Abdullah Saleh” (01/10/2014).
Amerika telah mendukung Houthi melalui Iran dengan pelbagai macam senjata dan peralatan ketenteraan agar mereka mampu mengawal Yemen menggunakan kekerasan. Sebabnya, Amerika faham bahawa lingkungan politik (di Yemen) berada di bawah pengaruh Britain. Jadi, Houthi beranggapan yang mereka memiliki kekuatan yang boleh mengawal Yemen. Kerana itu mereka mengepung Presiden Hadi agar mereka dapat memperolehi apa yang mereka inginkan melalui undang-undang yang dikeluarkan oleh Presiden. Presiden Hadi sebelumnya setuju, tetapi kemudian menunda-nunda pelaksanaannya. Houthi lalu mengenakan tahanan rumah terhadap Hadi tetapi Hadi berjaya lolos dan lari ke Aden. Namun Houthi berjaya mendapatkan Hadi, tetapi Hadi sekali lagi berjaya lolos.
Lama-kelamaan, harapan dan tempat yang dituju terasa semakin jauh bagi Houthi. Mereka menyebar di wilayah tanpa ada penjaga yang sanggup menerima mereka, kecuali para pengikut Saleh yang berjalan bersama mereka agar berpeluang berbahagi kekuasaan jika mereka berjaya mengalahkan Hadi, atau sebaliknya melecehkan mereka (Houthi) jika mereka terlepas peluang atau ditimpa kegagalan!
Tanda-tanda tersebut sudah jelas terlihat. General People’s Congress yang diketuai oleh bekas Presiden Ali Abdullah Saleh berkata bahawa “Ia tiada kaitan dengan gerakan bersenjata Houthi yang cuba merampas kuasa untuk menumbangkan negeri di bahagian selatan terhadap kerajaan sah di negara ini”. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Am bahagian Biro Politik menegaskan bahawa, “Apa yang sedang berlaku adalah kerana perebutan kuasa antara kedua-dua belah pihak dan tiada kaitan dengan General People’s Congress” (al-Arabiya, 26/03/2015).
Mereka berlagak seolah-olah mereka belum pernah menjadi sekutu puak Houthi sebelum ini. Sudah tentu tidak pelik sedikit pun jika General People’s Congress kembali ke jalan sebelumnya, jika Houthi berjaya. Ejen-ejen ini akan bertukar wajah dengan cepat, sesuai dengan peranan yang telah ditetapkan oleh tuan mereka (AS)! Amat buruklah perbuatan mereka.
Amerika menyedari bahawa puak Houthi berada dalam keadaan goyah. Mereka telah bergerak ke seluruh Yemen, tetapi gagal untuk menguasainya ataupun untuk kembali ke kubu kuat mereka di utara. Amerika membuat keputusan untuk menyelamatkan mereka dengan sedikit bantuan ketenteraan dengan menggunakan strategi serampang dua mata; menunjukkan mereka adalah mangsa atas kekacauan yang berlaku, setelah sebelum itu rakyat melihat mereka sebagai penceroboh; dan untuk melahirkan suasana agar rundingan tergempar dapat dilakukan supaya penyelesaian jalan tengah (kompromi) dapat diambil -seperti kebiasaan Amerika- ketika tidak mampu mengambil semuanya sendirian.
Hal itu sangat jelas dengan melihat apa yang telah dan sedang terjadi. Saudi berkonsultasi dengan Amerika sebelum mengambil tindakan ketenteraan di Yemen. Pihak-pihak yang memainkan peranan ketenteraan secara aktif adalah ejen-ejen Amerika, khususnya Salman (Raja Saudi) dan al-Sisi (Presiden Mesir). Adapun negara-negara Teluk lainnya, Jordan dan Maghribi lebih memainkan peranan politik -menurut kebiasaan Britain- dalam mendampingi Amerika. Tujuannya adalah agar Britain turut berada dalam potret dan mendapat bahagian dalam rundingan yang akan datang agar pengaruhnya tetap tidak hilang. Tindakan ketenteraan kadang-kala berhasil membuka pintu rundingan, tapi kadang-kala gagal. Akibatnya, masalah menjadi kusut kembali dan menyengsarakan Yemen yang satu ketika dulu bahagia, iaitu pada hari di mana bumi Yemen berada dalam keadaan bersih, tidak dimasuki oleh para ejen dan kuffar penjajah.
Wahai kaum Muslimin! Inilah penguasa kita. Mereka ialah malapetaka terbesar yang melanda kita. Jika kita tidak menggunakan semua usaha untuk membuang malapetaka ini, ia akan menyelubungi kita dan akan berlaku bencana dan kemusnahan yang besar. Kekayaan alam kita telah dijarah, darah kita tumpahkan dan kita tidak mengambil peringatan kepada firman Allah SWT,
“Peliharalah diri kalian dari seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang zalim saja di antara kalian. Ketahuilah bahawa Allah amat keras seksaanNya” [TMQ al-Anfal (8):25].
Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya manusia itu, jika melihat orang zalim, lalu tidak melakukan apa-apa (untuk menghapuskan kezaliman), maka hampir saja Allah menimpakan seksa dari sisiNya secara merata”[HR Tarmizi].
Inilah penguasa kita! Tatkala Palestin, tempat berlakunya israk dan mikraj serta merupakan kiblat pertama kita, sedang meraung meminta pertolongan, langsung tidak diendahkan oleh mereka seolah-olah ada sumbatan di telinga mereka dan tutupan di mata mereka. Tetapi demi kepentingan politik dan kepentingan penjajah kuffar, semua aset ketenteraan mereka dikerahkan untuk menjaga kepentingan penjajah. Kalian tidak akan melihat jet dan kapal perang mereka digunakan untuk memerangi musuh umat Islam, tetapi kesemuanya di ‘parking’ dengan baik di kawasan pangkalan tentera. Sebaliknya, semuanya bangun dan menyalak hanya dengan isyarat dari para pemimpin kuffar yang tidak memelihara hubungan dengan orang-orang Mukmin dan tidak pula mengendahkan perjanjian. Para penguasa itu menampakkan diri sebagai orang yang hebat di hadapan penduduk negeri mereka, tetapi lemah dan kecut di hadapan para musuh. Dilaknati Allahlah mereka. Bagaimana mereka bisa berpaling?
Wahai kaum Muslimin! Untuk menyelamatkan Yemen daripada pergolakan ini bukanlah dengan menyokong Britain atau Amerika atau sekutu mereka dan tidak pula dengan berpura-pura menyokong mereka. Akan tetapi, dengan kekuatan umat Islam yang bergerak kerana Allah SWT dan RasulNya SAW untuk melenyapkan orang-orang jahat dari kedua belah pihak, menyelamatkan negeri dan penduduknya dari pengkhianatan mereka dan mengembalikan Yemen ke posisi asalnya sebagai negeri yang penuh dengan keimanan dan hikmah yang menjunjung al-uqab, panjinya Rasulullah SAW, serta berhukum dengan syariah Allah SWT dalam bingkai Khilafah al-Rasyidah di atas manhaj kenabian.
“Pada hari (kemenangan) itu bergembiralah orang-orang yang beriman kerana pertolongan Allah. Allah menolong orang yang Dia kehendaki dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Penyayang” [TMQ al-Rum (30):4-5].
Wahai kaum Muslimin! Wahai warga Yemen! Hizbut Tahrir mengingatkan kalian dengan jujur dan ikhlas agar berhati-hati. Jangan biarkan keangkuhan Amerika dan sekutunya menakutkan kalian dan jangan biarkan kelicikan Britain dan sekutunya memalingkan kalian. Mereka semua adalah musuh kita, berwaspadalah terhadap mereka! Tolonglah agama Allah, nescaya Allah akan menolong kalian dan meneguhkan kedudukan kalian.
“Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai akal atau yang menggunakan pendengarannya, sedangkan dia menyaksikannya” [TMQ Qaf (50):37].
Hizbut Tahrir
7 Jamadil Akhir 1436 H
27 Mac 2015 M