SN424 – Pota: Mencegah Aktiviti Keganasan Atau Aktiviti Keislaman?
SN keluaran 17 April 2015
[SN424] Tatkala kerajaan PAS Kelantan sibuk memastikan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Hudud) diterima di Parlimen, ternyata kerajaan Persekutuan lebih bernafsu untuk memperkenal dan menggubal Akta Pencegahan Keganasan (POTA) yang tidak lebih daripada usaha menghidupkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan beberapa peruntukan yang lebih zalim lagi. Kerajaan menegaskan bahawa Akta ini perlu digubal rentetan ancaman yang muncul dari kelompok bersenjata Islamic State (IS). Sekali imbas, POTA yang baru diluluskan oleh Dewan Rakyat ini mirip dengan Akta Patriot USA 2001 yang digubal untuk mencegah serangan pengganas pasca peristiwa 11 September 2001. Akta yang sama turut dilaksanakan di India atas tujuan mengekang keganasan rentas sempadan. Semua ini sebenarnya tidak lepas dari kempen dan propaganda Barat pasca 11 September 2001 yang menjadikan usaha melawan terrorisme (baca: Islam) sebagai keutamaan mereka, walaupun hakikatnya mereka sendirilah yang merupakan pengganas dan menaja serta menyuburkan kegiatan keganasan di wilayah-wilayah bergolak yang mereka masuki.
POTA Dari Perspektif Syarak
Sebagaimana ISA, POTA dengan jelas membenarkan polis melakukan tajassus (intipan) ke atas sesiapa sahaja. POTA membenarkan mana-mana pegawai polis untuk menangkap orang yang pada pandangan polis terlibat melakukan atau menyokong keganasan. Polis boleh menahan seseorang selama 59 hari dan boleh merujuk kes kepada Lembaga Pencegahan Jenayah yang boleh melanjutkan lagi tahanan selama 2 tahun dan boleh diperbaharui tanpa had. Selain boleh menahan suspek selama yang mereka mahukan, suspek juga boleh ‘dibebaskan’ dengan dipasang alat peranti elektronik untuk jangkamasa yang polis kehendaki. Pegawai Siasatan yang dilantik oleh Menteri di bawah Akta ini mempunyai kuasa yang hampir tidak terbatas dalam usaha mencari bukti bagi mengaitkan suspek dengan keganasan. Lebih kejam dari ISA, POTA memperuntukkan yang semua mahkamah tidak mempunyai bidangkuasa untuk mendengar dan membicarakan suspek yang ditangkap di bawah Akta ini kecuali atas kesilapan prosedur sahaja.
Hukum tahanan tanpa bicara – Sebagaimana disebutkan, POTA memberi kuasa yang sangat luas kepada polis dan Lembaga Pencegahan Jenayah untuk menahan dan memenjara seseorang hanya berdasarkan ‘pandangan’ mereka sahaja (tanpa bukti) dan tanpa perlu dibicarakan atau dibawa ke mahkamah. Hal ini secara jelas bertentangan dengan syarak. Kaedah syarak dalam Islam menyatakan “al-aslubara’atuzimmah” yang bermaksud “seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah” (innocent until proven guilty). Kaedah ini diambil dari hadis Rasulullah SAW iaitu, “(Beban) pembuktian adalah di atas orang yang mendakwa dan sumpah (penafian) adalah di atas yang tertuduh” [HR Baihaqi dan Mutafaqalaih]. Imam Nawawimensyarah hadis ini dengan mengatakan, “Pembuktian terletak di pihak pendakwa kerana ia menyalahi perkara yang zahir. Ini adalah kerana asasnya seseorang itu adalah ‘bebas dari kesalahan/liabiliti’ (bara’atuzimmah), sedangkan bagi tertuduh (accused/defendant) cukup dengan sumpah sahaja di pihaknya kerana dia meminta mengekalkan status quo, sesuai dengan asalnya iaitu bara’atuzimmah (tidak bersalah)” [Syarah Matan Arba’in].
Berdasarkan nas dan kaedah di atas, tiada pihak yang boleh dikenakan hukuman oleh mana-mana pihak yang lain melainkan setelah adanya keputusan mahkamah yang membicara dan membuktikan kesalahannya [Muqaddimah al Dustur au al-Asbab al-Mujibah Lahu, Fasal 13]. ‘Pandangan’ atau ‘syak wasangka’ semata-mata tidak boleh dijadikan sebab untuk menghukum manusia kerana Islam meletakkan ‘pembuktian’ (al-baiyyinah) sebagai sabit kepada hukuman. Tanpa bukti, haram bagi pemerintah untuk menghukum seseorang.
Hukum tajassus (mengintip) – Tajassus bermaksud menelusuri berita atau informasi yang dilakukan oleh jasus (mata-mata / spy). Tajassus boleh berlaku baik pada hal-hal terbuka atau tersembunyi selama mana seseorang itu sedang melakukan risikan/siasatan terhadap suatu berita atau informasi. Perlu difahami bahawa siapa sahaja (tidak semestinya polis) boleh melakukan perkara yang termasuk dalam tajassus selama mana perbuatannya memenuhi ciri-ciri di atas dan memang dilakukan dengan tujuan risikan. Hukum tajassus ini bergantung pada “objek” yang dirisik. Sekiranya objeknya adalah umat Islam, maka hukumnya adalah haram. Namun sekiranya objeknya adalah orang kafir harbi, baik harbifi’lan atau harbihukman, maka hal ini dibolehkan, malah wajib bagi negara (pemerintah) untuk melakukan tajassus ke atas kafir harbi dalam rangka menjaga Islam dan negara dari ancaman musuh.
Tajassus terhadap umat Islam dan warganegara Daulah Islam adalah jelas haram berdasarkan firman Allah SWT, “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah oleh kamu kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan (tajassus) orang lain” [TMQ al-Hujurat (49):12]. Ahmad dan Abu Daud telah meriwayatkan hadis dengan sanad dari Miqdad dan Abu Umamah, keduanya berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya seorang amir itu, jika ia mencari keraguan-keraguan (memata-matai) rakyatnya, bererti dia telah merosakkan mereka”.
Hukum melakukan keganasan (teror) – Sampai sekarang definisi sebenar keganasan masih kabur dan Barat telah memandu dunia untuk memahaminya dalam konteks negatif bahawa keganasan bermaksud apa jua bentuk kekerasan yang dilakukan oleh seseorang ke atas orang lain. Pengertian umum seperti ini dipergunakan oleh Barat dalam usaha mereka meletakkan umat Islam di kandang salah dengan menggembar-gemburkan maksud keganasan yang diidentikkan dengan Islam. Kerana itu, jihad dianggap dan diwar-warkan oleh Barat sebagai aktiviti keganasan, sedangkan peperangan dan pembunuhan yang dilakukan oleh Barat ke atas umat Islam tidak termasuk keganasan! Walhal jihad adalah satu kewajipan dan merupakan amalan mulia, bahkan yang tertinggi untuk meraih redha dan syurga Allah SWT.
Dalam bahasa Arab, istilah “keganasan” (al-irhab) merupakan derivasi dari asal kata rahiba – yarhabu – rahban wa rahaban wa ruhban wa rahbatan yang bererti khafa (takut) dan faza’a (ngeri) dan arhabahu wa rahhabahu ertinya akhafahu (membuatnya takut) dan fazza’ahu (membuatnya merasa ngeri) [lihat Ibn Manzhur, Lisan al-‘Arab, Ibn Sayidih, al-Muhkam wa al-Muhith al-A’zham, Murtadhaaz-Zubaidi, Taj al-‘Urusy]. Di dalam al-Quran, kata rahiba dan derivasinya disebut di 12 tempat iaitu dalam Surah al-Baqarah (2):40; an-Nahl (16):51; al-Maidah (5):82; al-Taubah (9):31,34; al-A’raf (7):116,154; al-Anfal (8):60; al-Anbiya (21):90; al-Qasas (38):32; al-Hadid (57):27 dan al-Hasyr (59):13. Semuanya dalam makna bahasanya iaitu takut, gentar dan ngeri.
Kata rahiba dan derivasinya kebanyakan dinyatakan dalam konteks berita. Namun ada juga yang dinyatakan dalam konteks perintah iaitu perintah untuk takut kepada Allah dan perintah untuk berdoa secara raghabanwarahaban (mengharap dan cemas) iaitu cemas/takut doa tidak termakbul. Manakala dalam Surah al-Anfal (8): 60, Allah SWT memerintahkan dengan tegas untuk “turhibun” (menakutkan musuh-musuh Islam) dengan kekuatan perang yang wajib dilakukan oleh pemimpin kaum Muslimin. Oleh itu, maksud “al-irhab” hendaklah difahami dan digunakan berdasarkan konteks ayatnya. Ia menjadi benar jika digunakan selaras dengan apa yang Allah perintahkan dan menjadi salah apabila digunakan dalam konteks yang menyalahi nas.
Melakukan keganasan atau kekerasan dengan jalan menyalahi syarak, apatah lagi dengan menggunakan senjata, sehingga menyebabkan kematian, mencederakan, merampas harta atau menakut-nakutkan orang, semua ini adalah salah dan wajib dihukum. Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya dan membuat kerosakan di muka bumi, hanyalah mereka dibunuh atau disalib atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bertimbal balik atau dibuang dari negeri (tempat kediamannya). Yang demikian itu (sebagai) suatu penghinaan untuk mereka di dunia dan di akhirat mereka mendapat seksaan yang besar” [TMQ al-Maidah (5):33].
Sesungguhnya Islam telah merincikan setiap kesalahan besertauqubat (hukuman)nya. Dalam masa yang sama, hukum pembuktian (ahkam al-baiyyinah) dalam Islam memperuntukkan bahawa setiap kesalahan itu wajib dibuktikan oleh orang yang mendakwa dan hanya mahkamah (qadhi), yang mempunyai solahiyah (autoriti) untuk menjatuhkan hukuman. Termasuklah untuk menghukum orang yang melakukan keganasan yang menyalahi syarak, maka dia wajib dibawa ke mahkamah dan hanya boleh dihukum setelah terbukti kesalahannya, tetapi bukan dihukum hanya dengan “pandangan” mana-mana pegawai polis atau Lembaga Pencegahan Jenayah semata-mata. Justeru, POTA hakikatnya menyalahi syarak dalam banyak sudut.
Realiti POTA, Pemimpin Dan Pengganas
Antara justifikasi utama kerajaan dalam menggubal POTA ialah untuk mencegah aktiviti keganasan. Apa jua langkah pencegahan untuk menghalang dari berlakunya kesalahan memanglah bagus. Namun, maksud “kesalahan” tersebut hendaklah dinilai dari perspektif syarak, bukannya perspektif akal dan pandangan manusia dan langkah pencegahan yang diambil itu juga wajib bertepatan dengan syarak. Apa jua aktiviti, termasuk keganasan, yang bertentangan dengan syarak adalah satu kesalahan di sisi Islam. Ini termasuklah berperang sesama Muslim, membunuh tanpa hak (baik yang dibunuh itu Muslim mahupun kafir), merompak, mencuri, memberontak terhadap pemerintah yang sah dan lain-lain. Namun, aktiviti jihad untuk melawan orang-orang kafir harbi yang memusuhi Islam adalah suatu yang baik dan wajib dilakukan apatah lagi oleh negara. Dalam konteks ini, perlu dibezakan di antara orang-orang yang berjihad (mujahidin) dengan kelompok militan (bersenjata) kerana tidak semua kelompok militan itu adalah mujahidin.
Jika dinilai secara adil, ada sesetengah kelompok yang dilabel ‘pengganas’ ini sebenarnya muncul akibat cengkaman dan penjajahan puak kuffar di pelbagai wilayah umat Islam. Di kala saudara-saudara seakidah mereka menjerit meminta bantuan berupa ketenteraan, kesemua pemimpin umat Islam hanya menutup mata dan memekakkan telinga terhadap jeritan ini tanpa sebarang usaha dilakukan untuk menamatkan penderitaan umat Islam dan penjajahan ke atas negeri umat Islam. Masing-masing hanya sibuk menjaga batas sempadan negara yang tuan mereka lakarkan tanpa menghiraukan pembunuhan dan penjajahan yang puak kuffar lakukan. Kerana itu wujud kelompok bersenjata yang berusaha untuk melindungi umat Islam dari ancaman fizikal puak kuffar ini.
Barat lalu melabelkan kesemua kelompok Muslim yang melawan hegemoni mereka sebagai pengganas. Kemudian, Barat memberi arahan kepada semua pemimpin Muslim untuk melakukan hal yang sama, asalkan mengangkat senjata, semuanya mesti dicop sebagai pengganas dan mesti ditangkap. Akhirnya jihad disinonimkan dengan keganasan. Inilah yang ada dalam kepala pemimpin yang tidak ada beza sedikit pun dengan apa yang ada dalam kepala Barat. Otak pemimpin kaum Muslimin berjaya dipesongkan. Mereka bersahabat dengan Barat yang merupakan pengganas yang sebenar dan dalam masa yang sama mereka memerangi kelompok Islam yang melawan Barat yang dalam kepala mereka, semuanya pengganas!
Ini dari satu sisi. Dari sisi yang lain, definisi keganasan tidak terhenti di situ. Kelompok politik yang tidak pernah mengangkat senjata sekalipun cuba dibendung oleh Barat dan pemimpin kaum Muslimin yang sepemikiran dengan Barat dan tidak terlepas dari dicop sebagai teroris atau setidak-tidaknya, berpotensi untuk menjadi teroris. Cop sebagai ekstremis itu sudah biasa dilakukan, khususnya ke atas gerakan-gerakan politik ingin menegakkan Islam secara kaffah, yang menolak demokrasi dan ingin menegakkan Negara Islam bukan dengan cara demokrasi. Kerana itu kita melihat di dalam POTA, walaupun Seksyen 4 (3) memperuntukkan bahawa tiada siapa yang boleh ditangkap dan ditahan di bawah POTA semata-mata atas kepercayaan politik atau aktiviti politiknya, namun sub-Seksyen (6) menyatakan dengan jelas bahawa kepercayaan dan aktiviti politik yang dimaksudkan itu hanyalah yang sah di sisi undang-undang sahaja. Dengan kata lain, apa sahaja kepercayaan dan aktiviti politik yang tidak sah atau tidak diluluskan oleh undang-undang, maka ia tidak akan terkecuali dari POTA! Jelas di sini bahawa kepercayaan dan aktiviti politik juga tidak akan terlepas dari dikategorikan sebagai keganasan! Maka tidak keterlaluan untuk kita katakan bahawa penggubalan POTA akan turut menyekat sebarang aktiviti politik dan keIslaman, kecuali yang dibenarkan oleh kerajaan sahaja!!!
Selain itu, secara tersiratnya, melalui POTA, kerajaan cuba memaksa rakyat agar selalu berpaksi kepada Islam moderat yang selalu dicanangkan oleh kuffar Barat. ‘Islam moderat’ (sederhana / wasathiyyah) adalah lawan kepada ‘Islam ekstrem’ kerana bagi kerajaan, ekstremisme adalah suatu yang merbahaya dan boleh membawa kepada terrorisme dan inilah apa yang kerajaan cuba halang. Hakikatnya, ‘Islam moderat’ adalah usaha Barat secara global dan sistematik untuk menghalang kebangkitan Islam, untuk menghalang ‘Islam kaffah’ dari diterapkan. Islam kaffah bermaksud penerapan Islam secara menyeluruh dan sempurna, yang bermaksud hukum Allah SWT akan diterapkan di dalam dan luar negara, wujudnya sebuah Negara Khilafah yang akan menyebarkan Islam melalui jalan dakwah dan jihad dan yang akan menghancurkan hegemoni Barat di seluruh dunia dan akan menjadi super power baru menggantikan Barat. Inilah yang Barat sangat-sangat takuti sehingga gendang Islam moderat dipalu sekuat-kuatnya ke seluruh dunia agar pemimpin kaum Muslimin menari mengikut rentak paluan mereka!
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Kita memang tidak bersetuju dengan segala bentuk keganasan atau aktiviti yang menyalahi syarak. Dalam masa yang sama, kita juga tidak bersetuju dengan apa jua langkah pemerintah yang bertentangan dengan syarak. Kita mahukan setiap pesalah dibawa ke muka pengadilan dan dibicarakan dengan hukum Islam. Kita mahukan pemerintah menerapkan Islam secara kaffah. Inilah yang kita mahukan. Kita tidak mahu pemimpin yang terus-menerus menggubal undang-undang yang bertujuan menyekat perjuangan Islam. Kita tidak mahu pemimpin yang sibuk mendekatkan diri dan saling berebut untuk menjadi pelayan kepentingan Barat dengan mempromosikan idea demokrasi dan idea Islam moderat yang ternyata tidak pernah ada dalam Islam! Sesungguhnya POTA hanyalah salah satu usaha yang benar-benar menyenangkan kuffar Barat! Wallahua’lam.