SN440 – Jerebu: Kerakusan Kapitalis Dan Kelalaian Pemerintah

PDF

SN Keluaran 9 Oktober 2015

banner_sn

JEREBU: KERAKUSAN KAPITALIS DAN KELALAIAN PEMERINTAH

[SN440] Kejadian jerebu akibat pembakaran hutan di Indonesia yang melanda beberapa buah negara di rantau Asia Tenggara semenjak pertengahan Ogos lalu bukanlah suatu yang baharu, malah sudah berulang selama puluhan tahun. Dalam sebuah kajian yang dijalankan oleh pihak NASA, jerebu yang melanda Asia Tenggara kali ini berkemungkinan mendatangkan kesan yang jauh lebih buruk dalam sejarah, mengatasi kejadian yang berlaku pada tahun 1997 [Robert Field, Goddard Institute for Space Studies, NASA]. Ia diburukkan lagi dengan musim kering yang berpanjangan lantaran fenomena alam El-Nino yang menyelubungi rantau ini. Musim kering menjadikan kebakaran hutan sukar dikawal, ditambah dengan amalan pertanian tebang-bakar yang diamalkan oleh firma-firma konsesi perladangan dan juga pekebun-pekebun kecil di Kalimantan dan Sumatera. Dilaporkan sehingga kini, jerebu pada tahun ini telah membebaskan sebanyak 600 juta tan gas rumah hijau (greenhouse gases) yang terhasil dan bertebaran di ruang atmosfera, menyamai jumlah yang dikeluarkan oleh negara Jerman dalam tempoh setahun [Global Fire Emissions Database].

Di samping memberi kesan terhadap ekonomi, apa yang lebih membimbangkan ialah kesan terhadap kualiti dan aktiviti kehidupan penduduk di kawasan-kawasan yang terjejas. Masalah jerebu telah mengakibatkan kesan buruk terhadap kesihatan terutamanya mereka yang telah sedia mempunyai masalah kesihatan seperti asma dan chronic obstructive airway disease (COAD). Pengarah Jabatan Kesihatan Sarawak, Datuk Dr Zulkifli Jantan memaklumkan bahawa pesakit yang mendapatkan rawatan berkaitan saluran pernafasan kesan daripada jerebu di negeri berkenaan meningkat kepada 30 peratus. Dalam pada itu, kualiti udara yang buruk juga menyebabkan banyak aktiviti tergendala khususnya sekolah-sekolah yang terpaksa ditutup yang merumitkan jadual harian ibu bapa dan para guru, apatah lagi di saat murid-murid menghadapi peperiksaan. Secara langsung atau tidak, jerebu turut memberikan kesan terhadap produktiviti, aktiviti perekonomian dan keberlangsungan aktiviti seharian masyarakat.

Parahnya jerebu di Indonesia boleh dilihat dari laporan media yang dikatakan meliputi sebanyak 12 wilayah negeri paling ramai umat Islam itu, terutamanya di sekitar kepulauan Riau, Sumatera dan Kalimantan. Hampir 60,000 kes masalah kesihatan yang melibatkan saluran pernafasan, asma (lelah) dan radang mata telah dilaporkan di kepulauan Riau, kawasan yang paling teruk terjejas oleh jerebu. Mantan Ketua Polis Riau, Sutjiptadi, meletakkan kesalahan kepada syarikat konsesi perladangan sebagai punca kepada jerebu. Dalam kenyataannya yang dipetik oleh akhbar Tempo pada 16 September lalu, Sutjiptadi merumuskan betapa syarikat-syarikat tersebut melakukan pembakaran terbuka di ladang-ladang kelapa sawit bagi menjimatkan kos serta memaksimumkan keuntungan yang diperoleh. Keengganan para pengusaha mematuhi peraturan pembakaran terbuka telah menyebabkan kebakaran merebak sehingga sukar dikawal. Dalam masa yang sama, penguatkuasaan yang lemah oleh pihak berwajib di Indonesia turut menyebabkan berleluasanya pelanggaran peraturan tersebut. Hal ini turut diakui oleh Ketua Pusat Data dan Humas, Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho dalam kenyataannya yang diterbitkan dalam laman Kompas.com pada 14 September 2015.

Ketamakan Kapitalis Dan Ketidakpedulian Pemerintah

Walaupun mungkin tidak seteruk Indonesia, tetapi keadaan jerebu di Malaysia tetap parah sehingga mencecah paras yang membahayakan kesihatan. Lamanya kejadian jerebu kali ini, tanpa apa-apa tindakan yang diambil oleh pemerintah untuk mengatasinya, menunjukkan betapa buruknya ri’ayah (pengaturan) pemerintah terhadap masyarakat dan negara. Apatah lagi masalah jerebu ini bukanlah pertama kali berlaku, sebaliknya sudah berulang-ulang kali semenjak 1967 lagi. Kita tidak menafi atau mempertikaikan faktor fenomena alam yang sedikit-sebanyak menyumbang kepada penghasilan jerebu, namun apa yang mesti diperhatikan di sini ialah jerebu atau keburukan yang terhasil dari tangan-tangan manusia. Inilah yang perlu, malah wajib diatasi dan ditangani.

Hakikatnya, kerakusan manusialah yang menjadi punca utama kepada kejadian jerebu ini. Amalan pertanian tebang-bakar secara berlebihan, khususnya oleh syarikat-syarikat Kapitalis yang besar, mengakibatkan berlakunya kebakaran dalam skala yang besar dan tidak terkawal. Beberapa laporan dari Indonesia menunjukkan yang sebilangan syarikat konsesi perladangan bertindak membakar ladang mereka kerana ingin menjimatkan kos, serta mengelakkan dari terpaksa melakukan penghutanan semula sebagaimana ketetapan pemerintah. Bahkan mereka turut melanggar arahan supaya melakukan pembakaran di atas lantai konkrit bagi mengelakkannya daripada merebak ke kawasan hutan berhampiran.

Dalam rangka memaksimumkan penghasilan tanaman kontan, pengusaha ladang turut melaksanakan alih fungsi terhadap tanah gambut secara berlebihan. Amalan tersebut menyebabkan kawasan tanah gambut menjadi lebih kering dan mudah terbakar, sekali gus menyukarkan usaha memadamkan api. Hal ini disepakati oleh Momon Sodiq Imanuddin, seorang ahli hidrologi dari Universiti Sriwijaya dan juga pengkaji tanah gambut, Haris Gunawan. Kerakusan para kapitalis dalam meraih keuntungan maksimum, tanpa mempedulikan kesannya terhadap alam sekitar dan juga kehidupan, inilah yang telah mengundang musibah ke atas manusia. Allah SWT telah pun mengingatkan kita akan hal ini,

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)” [TMQ al-Rum (30):41].

Sebagai Muslim, kita sedar akan kuasa Allah SWT dalam hal ini, di mana Allah SWT berkuasa untuk mengenakan musibah ke atas manusia. Allah SWT berkuasa menggerakkan asap, jerebu, angin, awan, hujan, ribut, taufan dan segala-galanya untuk ditimpakan ke atas manusia, baik atas perintahNya sendiri atau hasil akibat tangan-tangan manusia. Namun, apabila kerosakan yang terjadi di muka bumi ini diakibatkan oleh tangan-tangan manusia, maka ada hukum Allah yang lain, yang wajib dikenakan ke atas manusia yang membuat kerosakan tersebut. Siapa sahaja yang merosakkan harta benda atau nyawa orang lain, maka ia wajib dihukum; siapa sahaja yang merosakkan tanam-tanaman dan pepohonan, maka ia wajib dihukum; siapa sahaja yang melakukan pencemaran baik di lautan mahupun daratan, maka ia wajib dihukum dan begitulah seterusnya.

Justeru, pemerintah, selaku pihak yang mempunyai kuasa, wajib menghukum siapa sahaja sengaja yang telah melakukan kerosakan atau menyebabkan musibah ke atas manusia lain mahupun alam sekitar. Malangnya kita melihat hampir tiada tindakan yang dikenakan ke atas pemilik-pemilik syarikat konsesi tersebut. Pemerintah wajib menjalankan siasatan sepenuhnya dan membawa pelaku kerosakan tersebut ke muka pengadilan. Lebih dari itu, pemerintah wajib melakukan apa sahaja, mengerahkan segala kepakaran, kekuatan dan kemampuan bagi memastikan suasana jerebu yang membahayakan ini, dapat diatasi segera. Malangnya kita tidak melihat tindakan serius oleh pemerintah untuk menyelesaikan masalah ini, sehingga rakyat terpaksa menggadaikan kesihatan, malah nyawa mereka untuk meneruskan aktiviti seharian dalam keadaan udara yang berbahaya.

Kita melihat bagaimana Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada syarikat-syarikat tersebut tanpa mengakui kelemahan dan kelalaian pemerintah dalam menguatkuasakan peraturan. Lebih mendukacitakan apabila beliau dengan tiada rasa bersalah sedikit pun menolak untuk memohon maaf atas kelalaiannya kepada rakyat. Bahkan Jusuf mempertikaikan pula negara-negara jirannya kerana tidak bersyukur atas nikmat udara bersih yang diperoleh sepanjang sebelas bulan sebelum berlakunya jerebu. Beliau turut mendakwa wujudnya keterlibatan syarikat-syarikat dari negara jiran dalam pertanian tebang-bakar, sekali gus membuka pekung penglibatan syarikat rentas-sempadan dalam hal ini. Inilah realiti yang kita saksikan dalam dunia hari ini di mana syarikat-syarikat kapitalis sentiasa rakus mencari keuntungan dan dalam masa yang sama pemerintah tidak pernah peduli nasib rakyatnya sendiri.

Bagaimana Islam Tangani Masalah Jerebu

Berdasarkan penelitian terhadap realiti di sebalik fenomena jerebu ini, ternyata antara punca kepada mudahnya aktiviti pembakaran hutan adalah kerana wujudnya monopoli terhadap penerokaan kawasan tanah gambut bagi pengeluaran tanaman kontan. Syarikat yang berkenaan seolah-olah mempunyai kuasa penuh dan boleh melakukan apa sahaja ke atas kawasan di bawah kawalannya. Ketidakpedulian dan kelalaian pemerintah dalam hal ini menambah burukkan lagi keadaan. Justeru, selagi sistem kapitalisme diamalkan oleh negara dan tiada pemerintah yang amanah lagi bertakwa, maka hampir mustahil untuk masalah jerebu ini dapat diatasi, baik untuk jangka pendek mahupun jangka panjang.

Dalam Islam, masalah jerebu ini dapat dihindari dan diatasi melalui dua pendekatan, iaitu secara tasyri’iy (hukum syarak) dan ijra’iy (aspek praktikal). Dari sudut tasyri’iy, pemberian hak milik atau konsesi kepada mana-mana syarikat untuk meneroka sesuatu kawasan hutan merupakan suatu bentuk keharaman kerana kawasan hutan merupakan hak milik umum (al-mulkiyyah al-ammah). Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW, “Muslimin berkongsi dalam tiga perkara iaitu padang ragut, air dan api” [HR Abu Daud dan Ahmad]. Seperti mana minyak dan gas, negara akan menjadi pengelola kepada hutan yang merupakan hak milik umum. Dalam mengelola hak milik umum ini, negara wajib melakukannya demi kemaslahatan umat dan dalam masa yang sama memelihara kelestarian ekosistem.

Negara tidak boleh memberi konsesi yang membuka ruang seluas-luasnya kepada syarikat swasta, apatah lagi syarikat asing, untuk mengaut keuntungan tanpa mempedulikan implikasi terhadap alam sekitar. Dengan pengurusan hutan yang dilakukan oleh negara untuk kepentingan umat dan bukan untuk meraih keuntungan, kerana tanggungjawab negara adalah sebagai ri’ayah (pengatur) urusan umat, maka sudah pasti natijahnya berbeza, berbanding dengan sistem kapitalisme yang diamalkan pada hari ini. Dalam Islam, sekiranya pemerintah tidak menunaikan tanggungjawabnya dengan baik atau lalai dalam mengatur umat, maka pemerintah bukan sahaja akan menanggung dosa, tetapi boleh diadili di Mahkamah Madzalim yang boleh membawa kepada pemecatannya sekiranya didapati bersalah.

Dari sudut praktikalnya pula, negara wajib memantau dan menguatkuasakan peraturan serta uqubat (hukuman) yang tegas dalam rangka memelihara dan memulihara alam sekitar kerana ia terkait rapat dengan soal kemudaratan kehidupan dan nyawa manusia. Negara akan melakukan pembangunan yang terkawal dan pemanfaatan sumber hutan yang tidak menggugat kestabilan ekosistem. Dalam mencapai hal ini, negara boleh memanfaatkan segala kepakaran dan perkembangan sains teknologi yang tercanggih dan terkini demi memastikan aktiviti yang bersifat mesra alam, termasuklah dalam sektor perladangan serta pertanian. Tadbir urus yang berasaskan syarak serta ketegasan dalam penguatkuasaan peraturan dan hukuman akan memastikan kehidupan manusia dan ekosistem sentiasa terpelihara.

Khatimah

Kita telah melihat kegagalan ASEAN secara kolektif mahupun setiap negara secara individu, dalam menangani masalah jerebu. Sampai bilakah kita akan terus menaruh harapan atau menunggu dialog-dialog negara ASEAN yang ternyata tidak pernah dapat menyelesaikan masalah? Perlu berapa kali-kah lagi kejadian jerebu hasil ulah manusia ini terus berulang untuk kita sedar betapa rosaknya sistem buatan manusia pada hari ini? Cukuplah, ayuhlah kita sama-sama berusaha menerapkan syariat Allah SWT dalam bingkai Negara Khilafah, yang akan melaksanakan dua mekanisme iaitu tasyri’iy (hukum syarak) dan ijra’iy (aspek praktikal) yang Insya Allah akan mampu menyelesaikan permasalahan jerebu dan lain-lain masalah, yang diakibatkan oleh tangan-tangan manusia. Sesungguhnya hanya dengan pelaksanaan hukum Allah SWT secara kaffah oleh Negara Khilafah akan menjadikan dunia ini dilimpahi dengan rahmat dan berkat dariNya. Wallahu a’lam.