SN451 – Konflik Saudi-Iran: Pertembungan Mazhab Atau Politik?

PDF

SN Keluaran 15 Januari 2016

Konflik Saudi-Iran: Pertembungan Mazhab Atau Politik?

[SN451] Tindakan pemerintah Arab Saudi menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Sheikh Nimr Baqir al-Nimr, seorang ulama terkemuka Syiah pada 2 Januari lalu ternyata mengundang reaksi yang keras daripada Iran dan komuniti Syiah di rantau Timur Tengah. Ratusan penyokong Nimr mengadakan demonstrasi membantah hukuman itu di beberapa kawasan, antaranya di wilayah timur Arab Saudi, di Bahrain, sehinggalah ke utara India [The Associated Press, 2/1/2016]. Kedutaan Arab Saudi di Tehran turut diceroboh oleh para demonstran sebelum dibakar pada hari yang sama. Nimr merupakan seorang ulama Syiah yang lantang mengkritik kerajaan Saudi terutamanya semasa kebangkitan Arab Spring sekitar 2011-2012, membangkitkan sentimen pemisahan wilayah timur Saudi setelah seruannya agar hak penduduk Syiah di Arab Saudi dihormati tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada pemerintah Saudi. Nimr telah dipenjarakan beberapa kali kerana kelantangannya mengkritik pemerintahan Saudi, sehinggalah akhirnya dia telah dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Khas Jenayah pada 15 Oktober 2014. Hukuman tersebut kemudiannya dilaksanakan setelah rayuan yang dibuat Nimr ditolak. Nimr dihukum mati bersama-sama 46 orang lagi yang lain, sebahagian besarnya terdiri daripada kelompok bersenjata Sunni yang anti-monarki.

Sehubungan itu, jurucakap Pengawal Revolusi Iran menegaskan dalam sebuah kenyataan yang dipetik daripada agensi berita “Mehr” bahawa kerajaan Saudi akan menerima “balasan yang berat” atas hukuman mati yang telah dijatuhkan itu. Langkah tersebut kemudiannya menjadikan hubungan antara kedua-dua buah negara semakin tegang sehingga menyebabkan Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran pada 3 Januari 2016 sekali gus mengusir duta Iran dari negara tersebut. Keputusan itu diumumkan dalam satu kenyataan Menteri Luar Negeri Arab Saudi, Adel al-Jubeir yang dipetik oleh agensi berita Reuters. Tindakan Saudi turut disusuli oleh Bahrain, Sudan dan Emiriyah Arab Bersatu yang bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran. Tindakan tersebut sekali gus mengukuhkan lagi persepsi segelintir pihak bahawa konflik antara kedua-dua buah negara merupakan sebuah pertembungan antara dua mazhab iaitu Sunni dan Syiah. Persepsi sebegini turut membentuk pandangan umum dalam kalangan umat Islam secara amnya akibat daripada peranan media yang menggembar-gemburkan sentimen kemazhaban dalam melaporkan perkembangan konflik tersebut. 

Di Sebalik Retorik Kemazhaban

Dalam masa yang sama, Iran turut menggambarkan bahawa hukuman mati yang dijatuhkan ke atas Nimr sebagai satu bentuk ‘serangan ke atas penganut Syiah’ di seluruh dunia melalui jaringan media massa negara tersebut. Sentimen ini turut dapat dilihat dalam ucapan pemimpin ulama Iran, Ayatollah Ali Khamenei yang menyatakan bahawa bala Allah akan menimpa Saudi berhubung tindakan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas Nimr. Meskipun Iran mendakwa bahawa negara tersebut berdiri atas dasar ajaran Syiah semenjak republik Islam tertubuh pada 1979, namun hakikatnya dakwaan tersebut tidak lebih daripada sekadar retorik semata-mata. Iran, seperti juga Arab Saudi yang mendakwa Sunni, hanyalah menggunakan sentimen kemazhaban demi meraih kredibiliti dan sokongan di mata umat Islam. Namun secara praktisnya, Islam hanyalah memainkan peranan sampingan di Iran, sebaliknya republik tersebut meletakkan kepentingan nasionalisme sebagai pendorong utama hala tuju polisi kepimpinan Iran.

Semenjak tercetusnya Revolusi Iran pada 1979, ramai yang melihatnya sebagai sinar harapan kebangkitan semula Islam di mata dunia. Namun hakikatnya revolusi tersebut tidak lain merupakan reaksi kemarahan warga Iran terhadap pemerintahan Shah Reza Pahlavi yang zalim. Pengaruh yang ada pada Ayatollah Khomeini menjadikan dirinya sebagai simbol “perubahan” yang menjadi titik penyatuan kelompok-kelompok anti-monarki yang terdiri daripada ahli akademik, puak komunis dan juga para pelajar.

Hakikatnya, selepas revolusi tersebut berjaya menumbangkan monarki di Iran, ternyata Islam tidak diterapkan secara menyeluruh. Sebaliknya apa yang berlaku adalah perebutan kuasa yang menyaksikan para penyokong Khomeini memperkukuhkan kedudukan mereka dalam pemerintahan manakala kelompok-kelompok lain yang bersama-sama menjatuhkan Shah pula dipinggirkan dan ditindas. Khomeini kemudiannya memperkukuhkan kedudukannya dengan memperkenalkan sistem pemerintahan berpusat demi menjamin kemandirian politiknya. Amat jelas bahawa sentimen Islam hanyalah digunakan demi meraih kekuasaan. Iran kemudiannya menggunakan nama Islam demi menjustifikasikan langkah-langkah represif dalam mengekalkan dominasi rejim.

Hal yang sama dapat dilihat pada polisi-polisi luar Iran. Iran, seperti mana kerajaan Parsi terdahulu, sentiasa mempunyai cita-cita yang tinggi dalam melebarkan pengaruhnya di rantau tersebut. Hakikat tersebut dapat dilihat daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Luar Iran, Manouchehr Mottaki pada 2009, “Sesungguhnya Iran merupakan sebuah kuasa besar serantau yang sedang bangkit, sejajar dengan peranan Iran yang semakin meluas dalam percaturan hubungan antarabangsa”. Iran pada hari ini turut berusaha untuk mengembalikan kegemilangan bangsa Parsi atas dasar nasionalisme dan menjadikan sentimen kemazhaban untuk meraih dukungan daripada penganut Syiah di seluruh dunia.

Melalui strategi ini, Iran menjalin hubungan erat dengan komuniti-komuniti Syiah di Arab Saudi, Bahrain, Iraq, Syria dan Afghanistan. Semasa tercetusnya “Arab Spring”, Iran merangkul peluang yang terhidang dengan menyuntik sentimen kebangkitan dalam kalangan minoriti Syiah di wilayah timur Arab Saudi yang kaya dengan minyak demi melemahkan pemerintah Saudi. Iran turut mendukung kebangkitan majoriti Syiah di Bahrain yang diperintah oleh kelompok minoriti Sunni. Lantaran kebimbangan terhadap pengaruh Iran yang semakin menular di Bahrain, Saudi kemudiannya bertindak menghantar tenteranya bagi memadamkan api kebangkitan warga Bahrain.

Sungguhpun Iran cuba menempatkan dirinya sebagai hero dalam menjuarai hak Syiah, namun hakikatnya republik tersebut bersikap selektif dalam membantu. Campur tangan Iran hanya berlaku apabila terdapat kepentingan yang ingin diraih. Sebagai contoh, Iran tidak sedikit pun mempedulikan nasib penganut Syiah di Azerbaijan dan Tajikistan yang tertindas kerana tidak mempunyai kepentingan yang selari dengan rencana Iran dalam melebarkan pengaruhnya. Dalam pada itu, di sebalik retorik anti-Amerika yang dilaungkan selama ini, hakikatnya Iran turut menjalin hubungan unik dengan negara Uncle Sam itu. Iran pernah menerima dana dari AS semasa Perang Iran-Iraq, sebagaimana yang terbongkar dalam skandal Iran-Contra sewaktu AS di bawah pentadbiran Reagan. Selanjutnya, semasa AS melancarkan perang ke atas Taliban di Afghanistan pada tahun 2001, Iran merupakan antara negara yang aktif memberikan maklumat risikan kepada AS.

Meskipun hubungan tersebut ada naik turunnya, namun hakikatnya Iran ternyata bersikap bermuka-muka dalam hubungannya dengan AS dan sehingga kini, baik Iran mahupun Arab Saudi (dan lain-lain negara kaum Muslimin), tidak pernah mengisytiharkan perang terhadap AS mahupun seterunya Yahudi, sedangkan musuh sebenar umat Islam adalah AS dan juga entiti Yahudi, yang sejak dulu hingga kini memerangi umat Islam secara nyata. Malah sebaliknya dengan kelicikan AS, Sunni dan Syiah melihat diri masing-masing sebagai lawan dan musuh utama yang wajib dibunuh dan diperangi habis-habisan. Akhirnya, umat Islam, atas nama Sunni dan Syiah berbunuhan sesama sendiri. Manakala kedua-dua rejim yang memerintah kaum Muslimin baik atas nama Sunni mahu pun Syiah, berbaik dengan Amerika dan tunduk kepada Amerika. Amerika tersenyum riang kerana usahanya untuk membunuh umat Islam (tanpa mengira Sunni mahupun Syiah) telah dipermudahkan dan diambil alih oleh kedua-dua kelompok ini! 

Iran Dan Saudi – Satu Syiling Dua Sisi

Dalam usaha menyeimbangi dan menyekat perluasan pengaruh Iran, Arab Saudi telah dilihat oleh segelintir pihak sebagai wakil kuasa Sunni yang diberikan mandat untuk menggagalkan cita-cita Iran di rantau Asia Barat. Penguasa Arab Saudi yang mengambil gelaran Khadam al-Haramain ini turut memainkan sentimen anti-Syiah dalam ucapan-ucapan yang dilaungkan. Di samping retorik anti-Syiah, Saudi turut berusaha meraih kredibiliti dalam dunia Islam, khasnya dalam kalangan Sunni melalui usaha-usaha penyebaran Islam dan doktrin Salafi yang menjadi tulang belakang kepada dinasti Saud sejak negara tersebut mula ditubuhkan lagi.

Hakikatnya, seperti juga Iran, pengasas kerajaan Saudi iaitu keluarga al-Saud hanya menjadikan gerakan pembaharuan Islam yang diterajui oleh Muhammad bin Abdul Wahhab sebagai batu loncatan dalam menjustifikasikan kemaraan politik dan ketenteraannya di wilayah Hijaz. Sedangkan apa yang menjadi keutamaan dalam mencorak hala tuju kerajaan monarki mutlak tersebut ialah kelestarian dinasti Saud itu sendiri semata-mata. Dengan menjalin hubungan pragmatik bersama gerakan Wahabi, al-Saud berjaya meraih momentum dengan menyembunyikan agenda politiknya di sebalik seruan penyucian Islam dan penentangan terhadap amalan bidaah yang berleluasa pada waktu itu.

Namun, setelah sekian lama, hubungan unik antara pemerintah Saudi dan gerakan Wahabi (kini lebih dikenali sebagai Salafi) ini ternyata tidak begitu lancar, apabila terdapat sebahagian pendukung Salafi sendiri yang menentang penguasaan monarki Saudi. Penting untuk diambil perhatian bahawa sebahagian daripada 47 orang ‘pesalah’ yang dihukum mati bersama-sama Nimr merupakan individu-individu yang datang daripada kelompok militan Salafi dan Al-Qaeda. Sungguh jelas bahawa tindakan hukuman mati ke atas Nimr itu lebih kepada langkah yang diambil oleh Saudi untuk menghapuskan ancaman terhadap kelestarian dinasti tersebut dan bukannya bermotifkan sentimen kemazhaban seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Perlaksanaan polisi luar Saudi turut mempunyai objektif yang sama, iaitu demi menjamin keberlangsungan dinasti Saud sehinggakan ada polisi-polisi yang membelakangkan Islam dan tunduk kepada telunjuk Barat. Hal ini amat jelas. Di bawah telunjuk Barat, Saudi mengambil sikap selektif dalam membela umat Islam, bahkan sehingga sanggup melancarkan serangan terhadap sesama Muslim. Tidak dinafikan bahawa Arab Saudi ada memberikan bantuan kepada umat Islam, namun hakikatnya ia tidak lari daripada kerangka nasionalisme dan politik kepentingan yang diamalkan.

Secara umumnya, campur tangan Saudi berlaku apabila terdapat kepentingan terhadap Saudi. Ada kalanya polisi yang dilaksanakan itu merugikan negara tersebut, namun ia tetap dilaksanakan atas kepatuhan kepada kuasa kuffar Barat yang berkepentingan. Penentangan terhadap penjajahan Kesatuan Soviet di Afghanistan, penjajahan Iraq dan penggulingan Saddam Hussein, tindakan membenarkan kem tentera AS beroperasi di wilayahnya, perang anti-keganasan, konflik di Yemen dan juga persidangan Riyadh berkenaan konflik di Syria merupakan antara legasi polisi luar Saudi yang dibuat selari dengan kepentingan kuffar Barat. Dalam pada itu, Saudi tidak sedikit pun peduli terhadap nasib yang menimpa umat Islam Rohingya, umat Islam yang dibunuh di Uzbekistan, di tindas di Rusia, China dan lain-lain kerana tiada kepentingan bagi mereka untuk campur tangan dan tiada pula kepentingan Barat yang menuntut campur tangan daripada Saudi. Apa yang pasti, gelaran Khadam Haramain tersebut bukan lagi suatu yang benar-benar bermakna ke atas dunia Islam, melainkan sekadar menggambarkan kepimpinan yang bersifat simbolik semata-mata.

Bagi pengamat politik yang mustanir (jernih) sikapnya, sungguh ternampak jelas bahawa krisis antara kedua-dua buah negara ini bukanlah berpusat kepada pertembungan antara dua mazhab (Sunni dan Syiah) yang berlanjutan sejak sekian lama. Sebaliknya kedua-dua pihak menjadikan mazhab tersebut sebagai identiti politik masing-masing dalam rangka untuk meraih kredibiliti dan sokongan umat Islam. Justeru, umat Islam tidak sewajarnya beremosi, melatah dan menerima bulat-bulat sebarang tindakan yang diambil atas nama Islam, apatah lagi yang boleh membawa kepada pembunuhan dan peperangan sesama Muslim.

Umat Islam sebaliknya perlu mengkaji dan memahami realiti tersembunyi di sebalik retorik dan konflik yang berlaku. Jangan sampai sekali lagi terperangkap dalam kemelut percaturan politik sehingga memburukkan lagi perpecahan dan permusuhan sesama umat Islam, sekali gus terus membiarkan rejim-rejim diktator berkuasa, dengan kuffar Barat berada di belakang mereka bagi terus mengobarkan api permusuhan sesama Muslim. Ambil tahu tentang politik, ketahui konflik dan kenalilah musuh sebenar kita, kerana jika kita tidak berbuat demikian, kita hanya akan terus menjadi mangsa kepada ahli-ahli politik dan rejim pemerintah serta puak kuffar Barat yang sentiasa mahu kita menjadi pak turut yang bodoh dan tunduk kepada mereka.

Setidaknya, umat Islam wajar mengambil pengajaran daripada sejarah Perang Dingin dahulu, yang menyaksikan blok komunis menjadi lemah ekoran perpecahan antara Kesatuan Soviet dan China pada waktu itu, sekali gus menguntungkan blok kapitalis yang dikuasai oleh Barat. Setelah berjaya menjatuhkan blok komunis, kini Barat melakukan hal yang sama bagi memastikan kuasa Islam tidak akan bangkit, dengan melaga-lagakan sesama Muslim atas nama mazhab, atas nama Islam, walhal bagi Barat, baik seseorang itu mendakwa dirinya Sunni mahupun Syiah, Barat tidak pernah dan tidak akan ambil peduli kerana apa yang penting bagi mereka ialah untuk menghapuskan Islam dan umatnya.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Sesungguhnya sengketa antara mazhab ini sentiasa digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk memecah-belahkan umat serta menyibukkan umat ini dengan perselisihan agar terus berada dalam keadaan yang lemah dan bermusuhan. Islam tidak pernah mengkategorikan Muslim kepada Sunni atau Syiah atau selainnya dan Islam tidak pernah mengajar untuk menghukum secara pukal bahawa kesemua penganut Syiah atau Sunni itu kafir hanya semata-mata kerana berbeza pandangan antara satu sama lain. Persoalan akidah yang menjadikan seseorang itu Muslim atau kafir harus dilihat kepada i‘tiqad (keyakinan), perbuatan dan lisan setiap individu. Dalam masa yang sama, umat Islam hendaklah mengenali siapakah musuh Islam yang sebenar agar tidak terjerumus kepada memerangi sesama Muslim dan hendaklah peka dengan segala perkembangan dan percaturan politik agar tidak terus menjadi mangsa kepada permainan rejim yang didalangi oleh puak kuffar Barat.

Wallahu a’lam.