SN452 – Pengeboman Jakarta: Apa Yang Mesti Difahami

PDF

SN Keluaran 22 Januari 2016

Pengeboman Jakarta: Apa Yang Mesti Difahami

[SN452] Setelah pengeboman Paris pada November tahun lepas yang mengorbankan lebih 100 orang, dunia sekali lagi dikejutkan dengan serangan pengebom berani mati di Thamrin, Jakarta, pada hari Khamis, 14 Januari 2016 yang mengorbankan 7 nyawa termasuklah 5 penyerang tersebut. Apa yang pasti, sebaik sahaja bom meledak, walaupun belum ada apa-apa pengakuan mahupun bukti tentang siapakah pelakunya, media-media antarabangsa terutamanya Barat terus menuduh pelaku pengeboman itu sebagai “pengganas Muslim”. Malah, tidak ada bezanya dengan pemerintah dunia Islam yang menjadi pengekor Barat yang terus meletakkan kesalahan kepada “pengganas Muslim”. Maka, tugas utama mereka selepas letupan ialah mencari (atau mencipta) bukti bagi mengaitkan pelaku serangan dengan mana-mana gerakan Islam, sama ada pelaku pernah pergi ke Syria atau Afghanistan, atau pernah mengeluarkan ucapan atau penulisan anti-Barat, atau pernah menulis dalam facebook atau lain-lain menyatakan sokongan kepada gerakan bersenjata, malah pernah mengambil gambar sambil memegang mana-mana senjata mainan, semua itu boleh menjadi bukti sahih untuk melabelkannya sebagai pengganas. Pendek kata, sekiranya pelaku pengeboman tersebut pernah kebetulan hadir sekali sahaja ke mana-mana seminar anjuran sebuah gerakan Islam yang tidak disukai oleh kerajaan atau tidak disukai oleh Barat, maka tindakannya melakukan pengeboman tersebut akan terus dikaitkan sebagai mewakili gerakan tersebut. Manakala gerakan tersebut pula, walaupun terbukti tidak pernah melakukan keganasan dan langsung tidak ada kaitan dengan pelaku tersebut, akan terus dilabel sebagai sebuah gerakan berbahaya yang boleh melahirkan pengganas! Inilah realiti berita tentang pengganas dan keganasan pada hari ini dan bagaimana cara kerajaan dan Barat menanggapinya!

Ancaman ISIS – Modal Dan Formula Baru Bagi Barat

Dalam kes pengeboman Jakarta ini, kumpulan militan Islamic State of Iraq and Syria (ISIS) dikatakan bertanggungjawab meskipun masih ada kesamaran siapakah pelakunya. Isu serangan seperti ini memang tidak terlepas daripada kepentingan politik pelbagai pihak, khususnya musuh-musuh Islam. Sebelum kemunculan ISIS di arena antarabangsa, kita telah melihat bagaimana Barat yang merupakan musuh Islam menjadikan Taliban dan al-Qaeda sebagai modal sasaran. Setelah Taliban berjaya ‘dilumpuhkan’ dan Osama sebagai pimpinan tertinggi al-Qaeda telah berjaya ‘dibunuh’ oleh Amerika, maka ISIS dimunculkan sebagai sasaran baru. Bukan sekadar menjadi sasaran baru, tetapi sasaran yang lebih sistematik, lebih global, lebih enak dan lebih berjaya bagi Amerika.

Kini, ISIS menjadi lesen besar bagi Barat untuk mereka meneruskan perang melawan umat Islam atas nama perang melawan pengganas. Perang melawan ISIS telah menjadi alat legitimasi bukan sahaja oleh Amerika, malah oleh seluruh dunia yang menjadikan Amerika sebagai tuannya, untuk melawan apa sahaja elemen yang boleh menggugat status quo pemerintahan mereka. Amerika dan Barat mempromosikan imej ISIS sebagai teroris yang sangat merbahaya, seolah-olah ISIS adalah pelaku keganasan yang terbesar dan paling menakutkan di alam maya ini yang memiliki jaringan serata dunia dan boleh bertindak pada bila-bila masa sahaja. ISIS seolah-olah memiliki kekuatan senjata pemusnah besar-besaran seperti senjata nuklear, senjata kimia dan senjata biologi, peluru berpandu antara-benua dan lain-lain senjata pemusnah yang boleh melenyapkan dunia ini dengan sekelip mata. Justeru, jika wujud sahaja ISIS di mana-mana negara, kehebatan ISIS seolah-olah dapat mengambil alih pemerintahan negara secepat kilat, walaupun hanya seorang sahaja penyokong ISIS yang ada dalam negara tersebut. Inilah mitos yang diciptakan Barat yang diyakini oleh para pemerintah umat Islam.

Justeru, tidak hairanlah jika apa sahaja tindakan keganasan yang berlaku, maka minda manusia telah “diprogramkan” oleh Amerika agar terus mengaitkannya dengan ISIS, tanpa memerlukan apa-apa bukti, saksi atau daya intelektual. Bukan setakat itu, Amerika juga telah mereka formula sampingan iaitu, mungkin sahaja si pelaku yang dikaitkan dengan ISIS tadi pernah menziarahi satu pertemuan dengan sebuah gerakan Islam yang tidak disukai oleh Amerika, maka gerakan Islam tadi juga akan turut terpalit sebagai gerakan yang “membekalkan” pengganas, atau gerakan yang, walaupun tidak ganas, tetapi boleh menghasilkan pengganas. Gerakan yang “selamat” dan diredhai oleh Amerika dari dicop sebagai pengganas hanyalah gerakan yang tidak terlibat di bidang politik, atau jika terlibat dalam politik, ia berjuang dalam sistem demokrasi dan diiktiraf oleh undang-undang atau perlembagaan sesebuah negara.

Inilah formula yang dicipta oleh Barat dan diambil sepenuhnya oleh pemerintah Muslim. Dunia sekarang sudah tidak memerlukan undang-undang pembuktian terhadap keganasan atau ekstremisme, cukuplah apa sahaja yang “diucapkan” oleh Amerika dan juga kerajaan, ia akan menjadi bukti secara automatik. Dalam kes pengeboman Jakarta sebagai contoh, cukuplah untuk mereka membuktikan kes ini sebagai kes keganasan dengan mengatakan bahawa ISIS adalah bertanggungjawab. Cukuplah seseorang itu dikatakan “bersalah” dan merupakan pengganas sekiranya dia pernah pergi ke Syria atau Iraq atau Afghanistan. Cukuplah pelaku itu terbukti bersalah sebagai pengganas jika dia pernah berucap atau menulis sesuatu yang anti-Barat atau anti-Yahudi. Cukuplah seseorang atau sesebuah gerakan Islam dicop sebagai ekstrem dan bersalah kerana tidak berjuang melalui jalan demokrasi. Inilah formula dan undang-undang sekarang yang tidak memerlukan apa-apa bukti untuk mengaitkan seseorang dan sesebuah gerakan sebagai pengganas atau ekstrem.

Pengganas Yang Sebenar

Bagi mereka yang mengamati, peristiwa-peristiwa yang dikelaskan sebagai keganasan selalunya menimbulkan pelbagai persoalan yang sehingga kini tidak pernah terjawab. Contohnya, sehingga sekarang banyak pihak masih tidak berpuas hati mengenai laporan rasmi kerajaan Amerika Syarikat terhadap peristiwa serangan di World Trade Centre dan Pentagon pada 11 September 2001 yang didakwa dilakukan oleh al-Qaeda. Gerakan-gerakan seperti Reopen 911 dan Scholars for 9/11 Truth yang dianggotai oleh pakar-pakar seperti ahli fizik, ahli kimia, jurutera struktur, arkitek dan lain-lain pakar secara perlahan-lahan dan terus terang membongkar fakta tentang peristiwa 9/11 yang tidak selari dengan pendirian rasmi kerajaan AS. Berdasarkan fakta yang cukup banyak, akal yang waras tidak boleh menerima bahawa serangan itu dilakukan oleh al-Qaeda sebagaimana yang Amerika mahu dunia terima.

Kini, keganasan yang dilakukan oleh AS beransur-ansur ditutupi oleh kehadiran ISIS, yakni dengan AS mempromosikan ISIS sebagai ancaman paling besar di dunia. Ringkasnya, ISIS menjadi kejayaan bagi Amerika dalam menutupi keganasannya, walhal pengeboman yang dilakukan oleh sekumpulan individu seperti di Jakarta, walaupun salah dan berdosa, tetapi jauh lebih kecil berbanding pengeboman yang telah dilakukan oleh Amerika yang telah membunuh ratusan ribu umat Islam. Sebagai contoh, Mikha Zenko dari Dewan Hubungan Luar Negeri baru-baru ini telah melaporkan bahawa di sepanjang 2015, AS telah menggugurkan sebanyak 23,144 butir bom ke atas negara yang majoritinya umat Islam. Itu cuma sebahagian kecil daripada keganasan AS. Malah sebelum kewujudan ISIS, AS yang telah menceroboh Iraq, iaitu tempat bermulanya ISIS, pada tahun 2003 dengan membuat pembohongan bahawa terdapatnya senjata pemusnah besar-besaran di Iraq, telah menyebabkan kematian ratusan ribu penduduk Iraq semasa penjajahan mereka.

Tidak berhenti di situ, negara seperti AS terbukti sudah mempunyai rekod buruk yang belum diatasi oleh mana-mana negara jahat lain di dunia ini di dalam menjalankan agenda keganasan dengan membentuk kumpulan-kumpulan pengganas. Di dalam buku bertajuk Killing Hope – US Military and CIA Interventions since World War II oleh William Blum, beliau mendedahkan penglibatan Central Intelligence Agency (CIA) Amerika Syarikat di dalam membentuk, melatih dan membiayai kumpulan-kumpulan pengganas untuk melakukan keganasan, pengeboman, penderaan, penculikan dan pembunuhan, sejak 1940-an, di beberapa negara khususnya negara dunia ketiga di Asia, Timur Tengah, Afrika dan Amerika Selatan.

Kewujudan ISIS dengan pengisytiharan Khilafahnya yang menyalahi Islam serta imej Khilafah yang telah dicemarinya, semua ini memberi kredit kepada Amerika. Atas nama perang melawan ISIS, negara-negara imperialis Barat berjaya mengukuhkan penjajahan dan pembunuhan mereka ke atas umat Islam. Seperti mana yang berlaku di Syria, pesawat-pesawat Rusia, AS dan sekutunya melakukan pembunuhan demi pembunuhan terhadap penduduk awam Syria, termasuk kanak-kanak antara yang ramai terkorban, dengan puak kuffar tersebut menjadikan ISIS sebagai justifikasi serangan. Mangsa yang terkorban satu hal (semoga mereka syahid di sisi Tuhan mereka), apa yang lebih buruk ialah puluhan ribu yang menderita cacat, kelaparan, sakit, hilang tempat kediaman dan pelbagai penderitaan lain lagi sehingga sebahagian besar menjadi pelarian dan cuba mendapatkan perlindungan di negara Eropah.

Perang melawan ISIS juga digunakan oleh penguasa-penguasa zalim di negara umat Islam untuk mengekalkan takhta dan cengkaman mereka ke atas rakyat. Sebagai contoh, Arab Saudi mengumumkan pakatan negara-negara umat Islam untuk melawan ISIS, pada hal apa yang ditakuti oleh Saudi adalah bangkitnya kekuatan yang akan meruntuhkan kekuasaan monarki mereka. Mesir, yang merupakan salah satu negara pakatan ini, menangkap sesiapa sahaja yang melawan kezaliman rejim tentera, bukan sahaja dari kalangan Ikhwan al-Muslimin. Hal yang sama terjadi di Indonesia dan Malaysia, atas nama memerangi pengganas, kerajaan telah menjalin kerjasama serantau dan menjalin kerjasama dengan AS, walhal AS adalah pengganas sebenar yang wajib dijauhi dan dilawan oleh pemerintah Muslim.

Pengeboman Tiada Kaitan Dengan Usaha Dirikan Khilafah

Setakat ini, kewujudan ISIS memang memberi manfaat kepada Barat dalam perangnya melawan umat Islam. Perang melawan  ISIS menjadi alat Barat untuk melangsungkan dan memperkuatkan lagi penjajahan mereka, baik dalam bentuk intervensi ketenteraan secara langsung, kerjasama perisikan dengan negara umat Islam, atau menjadi alat baginya untuk melakukan stigma negatif terhadap pemikiran Islam yang murni seperti hukum-hukum syariah dan Khilafah. Dengan adanya ISIS dan apa yang dilakukan ISIS, Barat berjaya melakukan penyesatan politik ke atas umat Islam, iaitu dengan mengalihkan isu utama umat Islam kepada isu yang dikehendaki Barat. Isu utama umat Islam ialah bagaimana untuk menerapkan semula Islam secara kaffah dan mencampakkan segala sistem dan undang-undang buatan manusia yang mendominasi negeri umat Islam sekarang serta bagaimana untuk menghancurkan hegemoni kuffar Barat ke atas umat Islam. Inilah isu utama umat Islam. Namun, dengan adanya ISIS, Barat berjaya mengalihkan isu ini dan menyibukkan umat Islam kepada isu memerangi pengganas, memerangi sesama umat Islam dan memburukkan imej Negara Khilafah serta menganggap ekstremis dan bahaya akan usaha-usaha untuk menegakkan Islam dan Khilafah.

Apa yang menyedihkan, Indonesia yang merupakan negeri majoriti umat Islam terbesar di dunia, sering menjadi sasaran untuk dikatakan sebagai “sarang pengganas”. Perang melawan ISIS ini dimanfaatkan oleh kelompok-kelompok ekstremis liberal yang memberikan stigma negatif terhadap Khilafah yang dianggap sama seperti ISIS. Realitinya, sebelum peledakan bom di Jakarta, terdapat banyak isu serius dalam negara dek kezaliman pemerintah seperti perlanjutan kontrak syarikat emas AS iaitu Freeport di Irian Jaya, masalah pengangguran, rasuah, kemiskinan, gejala sosial dan lain-lain di bawah pemerintahan presiden Jokowi. Apa yang jelas, isu keganasan ISIS dan Khilafah ini digencarkan oleh Barat, pemerintah setempat dan media massa tatkala umat Islam di seluruh dunia umumnya dan di Indonesia khususnya, semakin menyahut seruan Khilafah yang dilaungkan oleh Hizbut Tahrir.

Hal ini terlihat jelas dari tindakan dan ucapan mereka. Sejurus setelah terjadinya ledakan bom di Jakarta, perhatian umat Islam di Indonesia (dan Malaysia juga) berjaya dialihkan daripada pelbagai skandal dan masalah yang diakibatkan oleh pemerintah, kepada isu keganasan dan isu ISIS yang diperbesar-besarkan ancamannya seolah-olah selepas ini akan berlaku lagi banyak pengeboman dan negara akan berada di ambang perang. Inilah yang dimainkan oleh pemerintah dan media massa di bawah telunjuk mereka. Di Indonesia, idea Khilafah terus diserang seolah-olah ISIS yang dikatakan dalang di sebalik pengeboman itu melakukan serangan atas nama Khilafah.

Walhal tragedi pengeboman itu langsung tiada kaitan dengan Khilafah dan ISIS tidak mewakili Khilafah, kerana secara syar’ienya, Khilafah masih lagi belum berdiri. Tiada gunanya mengaitkan tragedi pengeboman tersebut dengan usaha mendirikan Khilafah kerana ia langsung tidak ada kaitan. Individu, kelompok atau negara mana pun yang melakukan serangan itu, meskipun mendakwa melakukannya atas nama Islam, sesungguhnya amat jelas bahawa ia tidak mewakili Islam, sebaliknya telah melakukan perbuatan yang bercanggah dengan Islam. Tindakan pengeboman di Jakarta itu merupakan satu perbuatan terkutuk yang jelas-jelas bertentangan dengan syariat Islam, apa pun niat dan objektif pelakunya. Sesungguhnya ia telah melakukan pembunuhan yang diharamkan oleh Islam. Siapa pun pelakunya dan dalang di sebaliknya, jika terbukti, maka wajib dikenakan hukuman yang berat dalam Islam.

Khatimah

Sesungguhnya menegakkan Khilafah merupakan suatu kewajipan dalam Islam, malah merupakan satu kewajipan yang agung. Para ulama dalam kitab fikih mereka menyatakan dengan jelas bahawa seluruh imam muktabar sepakat tentang wajibnya Khilafah, sehingga tidak ada perbezaan di antara mereka dalam hal (kewajipan) ini. Manakala jalan yang syarie untuk menegakkan Khilafah adalah melalui jalan politik dan intelektual melalui sebuah parti politik, bukannya dengan jalan kekerasan, pembunuhan atau pengeboman di sana sini. Justeru, siapa sahaja yang mendakwa ingin menegakkan Khilafah, tetapi mengambil jalan selain dari yang ditunjukkan oleh Rasulullah (yakni jalan dakwah, politik dan intelektual serta diikuti dengan thalab al-nusrah), maka sesungguhnya jalan tersebut ialah jalan yang menyalahi Islam, baik jalan kekerasan mahupun jalan demokrasi. Dengan tertegaknya Khilafah dalam masa terdekat Insya Allah, barulah pengganas sebenar dunia pada hari ini (Amerika, Yahudi dan sekutu-sekutu mereka) dapat dibasmi sepenuhnya dan Islam akan menaungi dunia dengan rahmat Allah SWT. Wallahu a’lam.