SN454 – Tolak Demokrasi, Bukan Hanya TPPA
SN Keluaran 5 Februari 2016
Tolak Demokrasi, Bukan Hanya TPPA
[SN454] Setelah melalui proses rundingan yang menelan masa bertahun-tahun, akhirnya isu Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) selesai apabila Dewan Rakyat meluluskan perjanjian tersebut pada 27 Januari lalu. TPPA yang dibahaskan selama 2 hari itu diluluskan melalui undi belah bahagi di Dewan Rakyat dengan 127 bersetuju dan 84 tidak bersetuju. Perbincangan mengenai TPPA bermula dengan penubuhan Perjanjian Perkongsian Strategik Trans-Pasifik sekitar tahun 2005, yang pada asalnya melibatkan tiga negara iaitu Chile, New Zealand dan Singapura. Amerika Syarikat (AS) kemudiannya menyertai rundingan tersebut pada Januari 2008, lalu membentuk P4. Di bawah Barack Obama, Presiden AS itu menjadikan rundingan tersebut sebagai salah satu matlamat utama dalam pentadbirannya.
Malaysia mula menyertai rundingan TPPA sejak Oktober 2010, namun segala isu rundingan dan kandungan TPPA dirahsiakan daripada pengetahuan umum. Rundingan tersebut mengambil masa yang agak lama untuk disepakati oleh negara-negara terbabit kerana terdapat banyak isu kontroversi seperti pertanian, harta intelek, perkhidmatan dan pelaburan yang bertentangan dengan kepentingan negara masing-masing. TPPA mula mendapat perhatian apabila sebahagian daripada isi rundingan dibongkar oleh sebuah organisasi whistleblower yang memaparkan sebahagian daripada transkrip rundingan tersebut. Setelah melalui proses rundingan yang panjang, akhirnya sejumlah 12 buah negara yang terlibat telah bersepakat untuk memuktamadkan persetujuan pada 5 Oktober tahun lalu di Atlanta, Amerika Syarikat. Selain Malaysia, negara yang terlibat dalam TPPA ialah Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Chile, Jepun, Kanada, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam. Semalam (4 Februari 2016) kedua-dua belas negara telah menandatangani perjanjian tersebut di Auckland, New Zealand.
Kos-Faedah, Bukan Halal-Haram Yang Menjadi Ukuran
Rundingan TPPA yang pada awalnya dilakukan secara rahsia dan tertutup, kemudiannya dikritik hebat oleh banyak pihak. Setelah itu, beberapa perkara penting dalam perjanjian terdedah sehingga memaksa kerajaan memberikan penjelasan dalam usaha meyakinkan rakyat bahawa tidak ada apa yang perlu dirisaukan, malah sebaliknya negara bakal memperoleh banyak kebaikan daripada perjanjian tersebut. Kerajaan menegaskan yang analisis kos-faedah (cost-benefit analysis) telah dijalankan oleh dua badan iaitu Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia dan juga firma akauntan terkemuka Pricewaterhouse Coopers (PwC) dan hasil pelaksanaan TPPA nanti bakal menguntungkan negara. Kerajaan turut memberi jaminan bahawa nasib para pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) tetap terpelihara meskipun dengan penerapan dasar pasaran terbuka di bawah TPPA kelak. Di samping itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Sri Mustapa Mohamed turut menegaskan bahawa negara boleh menarik diri daripada TPPA jika dirasa merugikan negara.
Pendek kata, secara teorinya dan di atas kertas, kerajaan cuba meyakinkan bahawa semuanya baik, indah dan mendatangkan manfaat belaka. Analisis kos-faedah ini adalah perkara biasa bagi sebuah negara yang menganut sistem kapitalisme, kerana satu-satunya faktor yang menjadi pertimbangan dalam melakukan apa jua tindakan ialah “manfaat”. Tanpa menafikan manfaat yang mungkin wujud daripada setiap perjanjian perdagangan, perkara pertama dan utama yang sepatutnya dan wajib diambil kira ialah kebolehannya dari segi hukum syarak, yakni halal atau haram, bukannya manfaat. Hukum perjanjian wajib diteliti terlebih dahulu sebelum memasukinya. Di sinilah letaknya kesalahan fatal apabila kerajaan mempertimbangkan analisis kos-faedah mahupun perkara-perkara lain, tetapi tidak meneliti nas-nas mengenai perjanjian antarabangsa sama ada TPPA menepatinya atau tidak.
Sebagai Muslim, kita wajib meletakkan hukum syarak sebagai kayu ukur dalam melakukan sebarang perbuatan atau tindakan. Setelah ternyata perbuatan itu dibenarkan syarak, maka barulah pertimbangan lainnya seperti kos-faedah atau untung-rugi dilakukan. Ini kerana, jika suatu perbuatan itu haram, maka penilaian untung-rugi langsung tidak boleh dipakai. Menjual babi atau arak atau menyewakan rumah untuk pelacuran memang boleh menguntungkan dari segi ekonomi, sebagaimana mengenakan cukai kepada rakyat memang boleh mendatangkan keuntungan. Tetapi semua ini adalah haram dan apabila hukumnya haram, maka soal keuntungan atau kerugian langsung tidak boleh diambil kira. Begitu juga dengan melakukan perjanjian, mesti dilihat terlebih dahulu nas-nasnya sama ada ia termasuk perjanjian yang dibolehkan atau diharamkan. Jika ia termasuk perjanjian yang haram, maka tidak ada lagi persoalan kos-faedah atau untung-rugi yang perlu dibuat. Sabda Rasulullah SAW, “Umat Islam itu terikat dengan syarat-syarat mereka, kecuali syarat yang menghalalkan apa yang diharamkan Allah dan mengharamkan apa yang dihalalkan-Nya” [HR Tirmidzi].
Adapun mengenai perjanjian antarabangsa dengan negara-negara kafir, perlu dilihat terlebih dahulu ‘status’ negara tersebut. Jika negara tersebut termasuk dalam kafir harbi hukman (negara kafir yang tidak dalam keadaan perang dengan umat Islam), maka dibolehkan melakukan perjanjian dengannya dengan syarat perjanjian yang dimasuki itu tidak menjadikan Negara Islam lemah atau tunduk kepada negara kafir tersebut. Jika negara tersebut termasuk dalam negara kafir harbi fi’lan seperti Amerika, Rusia, entiti Yahudi dan sekutu-sekutu mereka yang sedang memerangi umat Islam secara nyata, maka segala perjanjian dengan negara ini adalah diharamkan. Satu-satunya perjanjian yang dibenarkan dengan negara kafir harbi fi’lan ialah perjanjian damai (gencatan senjata) kerana realitinya negara tersebut sedang dalam keadaan perang dengan umat Islam. Inilah hukum syarak mengenai perjanjian antarabangsa yang ingin dimasuki dengan negara kafir.
Oleh kerana TPPA melibatkan AS sebagai sebuah negara kafir harbi fi’lan, maka haram bagi Malaysia untuk memasuki perjanjian ini. Apatah lagi kita semua maklum yang AS merupakan sebuah negara yang penuh dengan kelicikan dan kejahatan ke atas umat Islam sama ada ia secara sendiri atau melalui dukungannya ke atas entiti Yahudi atau melalui PBB yang menjadi tunggangannya. Atas dasar ini, maka Malaysia tidak sepatutnya memasuki apa-apa perjanjian dengan AS, walau sebesar mana faedahnya sekali pun! Begitu juga dengan umat Islam yang wajib menolak perjanjian ini atas dasar ia bercanggah dengan syarak dan bukan atas dasar emosi, kepentingan ekonomi atau lainnya.
TPPA Diheret Ke Proses Demokrasi
Malaysia merupakan satu-satunya negara yang membawa isu TPPA ke Parlimen untuk dibahaskan dan diluluskan. Apa yang cuba ditunjukkan di sini? Kerajaan cuba membuktikan bahawa mereka adil dan telus dalam perkara ini atau setidaknya cuba menunjukkan kepada rakyat bahawa TPPA merupakan keputusan bersama, bukannya keputusan kerajaan sahaja. Walhal, bukankah Malaysia telah bersetuju dengan memuktamadkan perjanjian tersebut pada 5 Oktober 2015 di Atlanta? Apakah rakyat tidak tahu yang, kalau tidak dibawa masuk ke Parlimen sekalipun, kerajaan sudah sekian lama bertegas untuk melaksanakannya? Apakah rakyat tidak tahu yang majoriti ahli Parlimen adalah dari parti kerajaan yang sudah barang pasti akan meluluskan TPPA? Justeru, apa tujuan membawa TPPA ke Parlimen jika bukan sekadar “wayang” untuk menunjukkan kepada rakyat betapa demokratiknya kerajaan? Berdasarkan fakta dan hakikat ini, bagaimana mungkin umat Islam masih tidak nampak yang mereka hanya dipermainkan oleh kerajaan melalui proses demokrasi bagi menunjukkan yang TPPA adalah “sah” dan merupakan keputusan rakyat (melalui suara majoriti wakil mereka di Parlimen)?
Ilusi Demokrasi Di Sebalik TPPA
Demokrasi sering didakwa sebagai sistem terbaik yang menawarkan pelbagai harapan seperti kedaulatan rakyat, kekuasaan majoriti dan kesejahteraan. Suara rakyat dikatakan sebagai suara keramat. Namun faktanya, semua itu hanyalah dusta dan ilusi semata-mata, selain demokrasi jelas merupakan sistem kufur yang berasal dari Barat. Inti demokrasi adalah kedaulatan di tangan rakyat yang membawa maksud hak untuk membuat hukum dan peraturan ada di tangan rakyat. Oleh kerana mustahil untuk semua rakyat membuat undang-undang, maka untuk melaksanakan hak tersebut, maka dibuatlah konsep perwakilan di mana rakyat memilih wakil mereka untuk duduk di Parlimen. Parlimen kemudian diberi kuasa legislatif untuk membuat segala peraturan dan undang-undang. Anggapannya ialah, wakil-wakil rakyat yang terpilih akan mewakili suara dan kehendak rakyat dan akan bertindak demi kepentingan rakyat.
Di sinilah ilusi demokrasi bermula. Rakyat beranggapan dan memang di manipulasi supaya tetap beranggapan, bahawa kedaulatan ada di tangan mereka. Padahal faktanya yang memegang kedaulatan itu adalah para ahli Parlimen. Kedaulatan rakyat sebenarnya dialihkan menjadi kedaulatan ahli Parlimen. Ini kerana, realitinya ahli Parlimenlah yang membuat undang-undang dan segala hukum-hakam, bukannya rakyat. Malah rakyat yang memilih ahli Parlimen tadi tidak pernah pun ditanya atau diambil pendapat oleh “wakil” mereka setiap kali wakil mereka ini membincangkan apa jua perkara di Parlimen. Dalam masa yang sama rakyat tetap ‘dipaksa’ menganggap bahawa apa sahaja undang-undang mahupun keputusan yang dibuat oleh ahli Parlimen, hakikatnya dibuat oleh rakyat atau setidaknya mewakili kehendak rakyat.
Itu dari satu sisi. Dari sisi yang lain, kedaulatan ahli Parlimen itu sendiri masih boleh dipersoalkan. Ini kerana faktanya, para anggota Parlimen ternyata tidak bebas. Mereka “wajib” mengikuti polisi dan arahan parti, atau tepatnya ketua parti. Justeru, ketua partilah merupakan orang yang paling “berdaulat” berbanding anggota Parlimen, apatah lagi berbanding rakyat. Akhirnya konsep kedaulatan rakyat itu sebenarnya adalah kedaulatan ketua parti dan jika ketua parti itu adalah dari parti pemerintah, maka ia menjadi kedaulatan pemerintah! Sudahlah jatuh ke dalam keharaman kerana mengambil sistem selain Islam, malahan rakyat terus tertipu!
Lebih dari itu, dalam sistem demokrasi yang sungguh mahal ini, setiap orang yang ingin bertanding menjadi wakil rakyat memerlukan dana yang cukup besar. Begitu juga dengan parti politik yang ingin terlibat dalam pilihan raya, memerlukan dana sehingga jutaan malah bilionan ringgit bagi menjalankan aktiviti politik dan menggerakkan jentera parti. Persoalannya, dari mana semua dana itu diperoleh? Jawapannya, sebahagian kecil dari kantung sendiri dan sebahagian besarnya dari para pemilik modal (kapitalis). Jadi, walaupun realitinya ahli Parlimen yang membuat undang-undang, tetapi di sebalik semua itu, para pemilik modal-lah menjadi pihak yang paling berpengaruh, sehingga setiap undang-undang yang hendak digubal oleh ahli Parlimen, mesti mengambil kira dan menjaga kepentingan para pemilik modal yang telah mendukung mereka.
Inilah realiti sistem demokrasi baik di dunia Barat mahupun dunia Islam. Di Amerika sebagai contoh, hal itu terjadi sejak awal sejarah mereka lagi. Presiden Abraham Lincoln (1860-1865) menyatakan yang demokrasi adalah “from the people, by the people and for the people” (dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat) yang kata-kata ini telah dijulang secara global hingga kini. Hanya sebelas tahun kemudian (1876), Presiden Rutherford B. Hayes, menyatakan bahawa apa yang terjadi di AS sebenarnya ialah “from the company, by the company and for company” (dari syarikat, oleh syarikat dan untuk syarikat), yang merujuk kepada syarikat-syarikat kapitalis besar yang menjadi “tuan” di belakang proses demokrasi.
Malah lebih jauh dari itu, jika dilihat dari segi pemilihan dan pelantikan pemimpin, bukanlah rakyat yang sebenarnya memilih dan melantik. Rakyat cuma “dipaksa” memilih (memangkah) calon yang telah disodorkan oleh parti politik. Apabila calon-calon tersebut menang dalam pilihan raya, maka merekalah yang akan memilih pemimpin negara dari kalangan parti mereka sendiri. Jadi, fakta yang kononnya rakyatlah yang memilih pemimpin di bawah sistem demokrasi tidak lebih dari sebuah silap mata sahaja.
Berdasarkan fakta yang dapat disaksikan, Profesor Sosiologi Universiti Colombia, C. Wright Mills mengatakan yang demokrasi sesungguhnya tidak pernah memihak kepada rakyat. Struktur masyarakat demokrasi terbahagi menjadi tiga kelas. Kelas terbawah adalah rakyat atau orang awam yang tidak berdaya, tidak teratur, terpecah-belah dan di manipulasi oleh media massa untuk mempercayai demokrasi sebagai sistem terbaik. Kelas di atasnya adalah anggota Kongres/Parlimen, parti politik dan kelompok politik atau yang disebut sebagai pemimpin politik. Kelas tertinggi disebut ‘the power elite’ yang terdiri daripada tentera, pemerintah dan syarikat-syarikat besar. Kelompok inilah yang memegang kendali sesebuah negara. Inilah ilusi demokrasi yang secara doktrinnya kedaulatan di tangan rakyat, tetapi secara fakta dan hakikatnya, kedaulatan ada di tangan para elit pemerintah dan pemilik modal.
Justeru, perbahasan dan lulusnya TPPA di Parlimen langsung tidak boleh lepas dari semua ilusi dan hakikat ini.
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Cukuplah demokrasi membohongi kalian dengan menghalalkan apa yang Allah haramkan dan mengharamkan apa yang Allah halalkan, atas nama suara majoriti dan kedaulatan rakyat. Suara majoriti dalam demokrasi tidak akan dapat “menghalalkan” TPPA dan tidak akan menjadikan negara ini baik. Sesungguhnya kita tidak perlu bergantung kepada perjanjian perdagangan bebas seperti TPPA atau apa sahaja perjanjian lain yang penuh keharaman dan muslihat. Sebagai umat Islam, kita mempunyai potensi yang sangat besar dan mampu untuk mengekalkan kemandirian tanpa perlu menjerat diri dengan apa-apa perjanjian antarabangsa bersama musuh-musuh Islam yang sentiasa mencari peluang untuk membinasakan kita. Kita mempunyai sumber alam yang kaya dengan modal insan yang melimpah ruah yang tidak memerlukan kita bergantung, apatah lagi tunduk kepada Amerika. Umat Islam mampu untuk berdikari, bahkan mampu untuk menerajui dunia seandainya disatukan di bawah satu pemerintahan – Khilafah Rasyidah ala minhaj nubuwwah yang bakal tegak tidak lama lagi Insya Allah.