SN456 – Pengkhianatan Rejim Saudi Ke Atas Umat Islam

PDF

SN Keluaran 19 Februari 2016

Pengkhianatan Rejim Saudi Ke Atas Umat Islam

[SN456] Pada 4 Februari 2016, jurucakap Tentera Arab Saudi membuat pengumuman bahawa mereka bersedia untuk mengerahkan tentera darat ke Syria untuk memerangi Islamic State of Iraq and Syria (ISIS). Brig. Gen. Ahmed Asiri berkata kepada Associated Press yang Arab Saudi telah bertindak dengan melakukan serangan udara ke atas ISIS, apabila bermulanya kempen ketenteraan Amerika Syarikat (AS) ke atas ISIS pada September 2014, tetapi sekarang telah tiba masanya untuk Saudi menghantar tentera daratnya ke Syria. Dia berkata, “Kami bertekad untuk memerangi dan mengalahkan ISIS”. Pada Disember lepas, Arab Saudi bersama 35 buah negara telah membentuk sebuah pakatan untuk memerangi ISIS di Syria. Pakatan ini diketuai oleh Saudi dan berpusat di Riyadh.

Tindakan Arab Saudi untuk menghantar tentera ke Syria ini adalah susulan daripada kegagalan Konferensi Riyadh yang ditaja oleh negara yang menjadi hamba kepada AS itu. Konferensi Riyadh menyaksikan kesemua perwakilan bersetuju untuk meletakkan Syria di bawah mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum sebuah kerajaan sekular demokratik dibentuk untuk menggantikan rejim Bashar al-Assad. Perkara yang sama turut berlaku di Iraq selepas pencerobohan tentera AS pada tahun 2003, iaitu sebuah kerajaan sekular demokrasi dibentuk untuk menggantikan rejim sosialis Ba’ath pimpinan Saddam Hussein. Konferensi tersebut ternyata gagal kerana ia bertentangan dengan aspirasi kumpulan pejuang bersenjata yang sedang memerangi rejim Assad yang mahukan syariah dilaksanakan dan bukannya sebuah negara sekular demokrasi. Atas kegagalan rundingan Riyadh dan juga lain-lain rundingan di Geneva, langkah seterusnya untuk Saudi ialah melakukan campur tangan ketenteraan ke atas Syria secara langsung dengan dalih untuk memerangi ISIS. Itu pun setelah mendapat perkenan tuan mereka iaitu Amerika Syarikat! 

Sejarah Saudi Yang Penuh Kekotoran Dan Pengkhianatan

Negara Saudi terbentuk hasil daripada pemberontakan ke atas Khilafah Uthmaniyyah. British telah memainkan peranan penting dalam pembentukan negara ini dengan memberikan bantuan senjata dan sokongan politik kepada gerakan pemberontak yang diketuai oleh Ibn Saud sejak kurun ke-18 lagi dan kemudian disambung oleh anaknya, Abdul Aziz Ibn Saud. Gerakan pemberontak ini telah menawan Kuwait pada tahun 1788M dan kemudiannya menguasai Makkah dan Madinah pada tahun 1803 dan 1804 daripada Khilafah Uthmaniyyah. Mereka kemudiannya menyerang kota Damsyik di Syria pada 1810 dan Najaf di Iraq. Usaha pemberontakan ke atas Khilafah Uthmaniyyah oleh Abdul Aziz Ibn Saud telah berhasil mendirikan negara Arab Saudi pada 23 September 1933 yang kemudian diperintah dengan sistem monarki. Di sinilah bermulanya persekongkolan keluarga Saud dengan kuffar British.

Apabila negara Saudi didirikan, ia masih sebuah negara yang miskin yang tidak mempunyai apa-apa infrastruktur dan pembangunan. Abdul Aziz Ibn Saud kemudiannya memberikan laluan kepada syarikat minyak AS untuk mencari-gali minyak di negara yang baru ditaklukinya itu. Hubungan yang terjalin dengan AS menjadikan Saudi bergantung sepenuhnya kepada negara Uncle Sam itu dari segi ekonomi. Pada 1938, syarikat AS telah menjumpai telaga minyak yang sangat banyak di Saudi. Syarikat minyak AS itu kemudiannya dinamakan Arabian American Oil Company (Aramco) yang hanya menjadi milik penuh Arab Saudi pada tahun 1980. Dengan kekayaan minyak Saudi, AS telah menggantikan peranan British sebagai sekutu penting kepada Saudi dan hubungan tersebut diperluas hingga ke bidang ketenteraan. Dalam usaha menyingkirkan pengaruh British dari rantau Teluk, AS telah menandatangani pakatan ketenteraan dengan Arab Saudi pada 1951, lalu menyewa lapangan terbang tentera di Dhahran daripada Arab Saudi.

Hubungan AS-Saudi pernah tegang untuk seketika disebabkan beberapa insiden yang melibatkan peperangan antara entiti Yahudi dengan negara-negara Arab. Pada 1967, apabila tercetusnya perang Arab-Israel, beberapa siri demonstrasi anti-AS dan anti-Yahudi berlaku di Arab Saudi yang telah memaksa Raja Faisal Abdul Aziz untuk menggantung operasi Aramco bagi menghalang penjualan minyak ke AS dan Britain. Penggantungan hanya berlaku untuk beberapa bulan sahaja di mana selepas itu ditarik balik. Setelah berakhirnya perang Arab-Israel, Saudi menerima tekanan dari umat Islam seluruh dunia disebabkan hubungan ekonomi mereka dengan AS, kerana AS pada masa yang sama menjadi sekutu kuat Yahudi di Timur Tengah.

Raja Saudi, Faisal Ibn Abdul Aziz, cuba memberikan tekanan kepada AS untuk memaksa Yahudi mengundurkan tenteranya ke sempadan asal sebelum perang tahun 1967. Namun, dengan adanya lobi Zionis yang begitu kuat di AS, hubungan AS-Yahudi semakin akrab, malah AS turut membekalkan senjata kepada entiti Yahudi itu semasa perang. Ketika inilah Arab Saudi menerima tekanan untuk menghentikan penjualan minyak kepada AS dan Raja Faisal berbuat demikian selama dua bulan. Tindakannya itu telah memberi kesan buruk kepada AS, sehingga ada ahli politik AS seperti Henry Kissinger mengancam untuk melakukan pencerobohan ke atas Saudi bagi merampas kekayaan minyak mereka. Raja Faisal menjawab, “Kamu adalah kaum yang tidak boleh hidup tanpa minyak kami. Tetapi kami boleh hidup tanpanya. Kami berasal dari padang pasir dan keturunan kami hidup dengan kurma dan susu dan kami dengan senang boleh kembali kepada kehidupan kami yang terdahulu”. Raja Faisal kemudiannya mati dibunuh dengan ditembak oleh anak saudaranya sendiri yang baru pulang dari Amerika pada tahun 1975. Sejak itu, raja-raja Saudi tidak pernah menggunakan minyak sebagai senjata apabila berdepan dengan keangkuhan AS.

Hubungan ketenteraan AS-Saudi mencapai kemuncak apabila rejim Sosialis Ba’ath Saddam Hussein menceroboh Kuwait pada Ogos 1990. Kejadian tersebut dimanfaatkan oleh AS dengan memujuk Raja Fahd untuk menerima askar-askar AS dan ditempatkan di Saudi untuk menghadapi kemungkinan pencerobohan oleh Saddam. Dengan persetujuan Raja Fahd, AS telah membawa masuk lebih 100,000 askarnya ke Saudi yang 30% daripadanya adalah wanita. Keberadaan tentera kuffar itu turut diiringi dengan budaya liar AS seperti minum arak, hiburan dan pelacuran yang telah mencemari bumi peninggalan para anbiya’ ini. Apa yang jelas, kemasukan tentera AS ke Saudi hanyalah untuk menjaga kepentingan minyak mereka di negara tersebut dan bukannya untuk menjaga kesucian dua tanah suci umat Islam!

Setelah tentera Saddam keluar dari Kuwait pada 1991, tentera AS tidak ditarik balik dari Saudi, sebaliknya dikekalkan selama beberapa tahun di beberapa kawasan tertentu. AS mereka-reka ketakutan terhadap rejim Saddam dalam usaha mengekalkan tenteranya di rantau Teluk khususnya di Arab Saudi dan Kuwait. Akhirnya AS berjaya membina pangkalan tentera mereka yang besar di rantau Teluk yang telah membantu mereka melancarkan serangan ke atas Afghanistan dan Iraq pada 2001 dan 2003. Begitu juga dengan serangan drone ke atas Yemen adalah dilancarkan dari pangkalan tentera AS di Arab Saudi.

Sejak dulu hingga kini, sama ada diakui atau tidak, persekongkolan Saudi dengan puak kuffar tidak pernah berhenti. Di sebalik gelaran mulia khadam al-haramain (penjaga dua tanah suci), rejim Saudi hakikatnya menjadi penjaga kepentingan AS, menjadi sekutu kuat AS, tunduk dan patuh kepada AS. Tindakannya yang memperhambakan diri kepada negara kafir harbi itu amat terang lagi bersuluh walaupun hal ini diharamkan dalam banyak ayat di dalam al-Quran, antaranya,

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi wali (teman rapat / pelindung / penolong) dengan meninggalkan orang­orang Mukmin. Inginkah kamu mengadakan alasan yang nyata bagi Allah (untuk mengazabmu)?” [TMQ al-Nisa’(4):144].

Walau sebesar mana pun kebaikan yang dilakukan oleh Saudi ke atas umat Islam, tetapi pengkhianatan rejim tersebut yang jauh lebih besar dengan menjadikan AS (yang merupakan musuh Allah, musuh RasulNya dan musuh kaum Mukminin) sebagai tuan, hal ini merupakan suatu yang tidak boleh diterima oleh siapa pun yang memiliki keimanan. Tidak hanya Saudi, tindakan seluruh pemerintah kaum Muslimin, termasuk Malaysia yang berbaik dan tunduk kepada AS selaku pembunuh umat Islam, merupakan suatu pengkhianatan yang jelas lagi nyata yang tidak boleh diterima oleh setiap insan yang beriman! 

Krisis Syria Dan Kepatuhan Hamba Kepada Tuan Mereka

Dengan adanya krisis di Syria, pengkhianatan Arab Saudi dan lain-lain negara terhadap umat Islam telah menambah lembaran hitam dalam sejarah Islam. Atas alasan memerangi ISIS, yang sebenarnya atas arahan Amerika, Arab Saudi mengetuai pakatan 35 negara untuk menyerang Syria. Setiausaha Pertahanan AS, Ash Carter, dengan nada lunak mengalu-alukan usaha Arab Saudi untuk menghantar tenteranya ke Syria. Dalam masa yang sama dia menerangkan yang dengan adanya penambahan usaha dari negara lain, akan memudahkan lagi usaha AS untuk memerangi ISIS.

Terdapat beberapa buah negara yang campur-tangan di Syria, yang sebenarnya secara langsung telah menolong AS dalam memerangi kumpulan pejuang yang sedang memerangi Assad. Rusia, Iran dan Hizb-e-Iran (Hizbollah) dari Lebanon adalah puak-puak yang seakan anti-AS, tetapi merupakan pendukung tegar rejim Assad yang tidak mahu sebarang peralihan kuasa berlaku di Syria. Puak-puak ini sedang memerangi pejuang Islam yang mahu mendirikan semula pemerintahan Khilafah Islamiyyah di Syria. Justeru, tindakan Arab Saudi yang mendapat restu dan sokongan dari AS ini, menjadi usaha untuk “memaksa” para pejuang Islam yang memerangi rejim Assad yang tidak mahu bekerjasama dengan AS, supaya menerima solusi AS ke atas Syria.

Alasan memerangi ISIS sebenarnya adalah dalih untuk memerangi pejuang Islam yang sedang berperang dengan Assad, yang mana AS sudah gagal menghadapinya secara berseorangan. Dengan pengkhianatan Saudi dan negara-negara yang bersamanya dalam pakatan tajaan Amerika ini, Amerika akhirnya berjaya menjadikan umat Islam berperang dan berbunuhan sesama sendiri dan dalam masa yang sama, memudahkan kerja-kerja AS mencatur Syria demi kepentingannya. Sungguh, kewujudan dan tindakan ISIS serta pengkhianatan Saudi dan lain-lain negeri umat Islam telah menyebabkan fitnah besar ke atas Islam di abad ini dan dalam masa yang sama telah menguntungkan musuh Islam, AS berserta sekutu-sekutunya.

Berdasarkan fakta, Amerika Syarikat kini sebenarnya telah menjadi “the sick man of the West” (orang sakit Barat). AS telah terbeban dengan krisis ekonomi yang bertimpa-timpa seiring dengan krisis sosial, kekeluargaan, jenayah dan segala macam krisis dalam negeri lainnya yang mereka sudah tidak dapat keluar daripadanya. Itu belum masuk lagi belanja ketenteraan berjumlah jutaan dolar setiap hari bagi mengekalkan keberadaan tentera mereka di serata dunia. Lebih buruk, moral, semangat, jati diri dan kekuatan tentera mereka semakin merudum saban hari, ditambah dengan kecaman demi kecaman dari penduduk AS sendiri terhadap polisi Washington yang tidak memihak kepada rakyat.

Dengan segala masalah kronik dan kelemahannya, AS kini sebenarnya sudah tidak berdaya untuk melakukan intervensi ketenteraan ke Syria mahupun ke lain-lain negara umat Islam, tidak sebagaimana semasa pentadbiran Bush dahulu yang masih berupaya menyerang Afghanistan dan Iraq walaupun hakikatnya mereka tidak menang. Jadi, dengan bantuan Saudi dan lain-lain negara pakatan, agenda AS ke atas Syria berjaya diteruskan. AS ingin mencari pengganti Assad yang boleh menerima AS sebagai rakan sekali gus menjadi ejennya yang baru dan Arab Saudi dilihat oleh AS sebagai mampu mempersatukan kekuatan negeri-negeri umat Islam untuk berkhidmat kepadanya. Dalam masa yang sama, musuh Assad, yang juga merupakan musuh AS dari kalangan pejuang-pejuang Islam di Syria, akan diperangi oleh Saudi dengan negara pakatan dan AS boleh tersenyum sambil duduk mengarah dan memerhati sahaja. Inilah agenda AS.

Lebih penting dari semua itu, AS tahu yang perjuangan umat Islam di Syria dan lain-lain negara untuk menegakkan semula Khilafah sudah semakin menghampiri kejayaan. Tertegaknya Khilafah yang benar di bumi Syria sudah pasti akan menggugat kedudukan AS, bahkan bakal menghancurkan dominasinya di Timur Tengah, yang mana hal ini amat ditakuti oleh AS. Begitu juga dengan Saudi. Mereka cukup takut dengan tegaknya kembali Khilafah di rantau tersebut yang bakal menggugat dinasti monarki yang mereka bina selama ini hasil usaha khianat mereka bersama British melenyapkan Khilafah lebih dua abad yang lalu. Semua faktor ini menjadikan hubungan AS-Saudi sebagai tuan-hamba yang berusaha mempertahankan kedudukan masing-masing bagi menghadapi musuh yang sama. Sungguh malang jika umat Islam masih tidak nampak pengkhianatan keluarga Saud yang berselindung di sebalik kiswah Kaabah dan kubah Masjid Nabawi ini. Sungguh mereka sudah tidak malu dengan gelaran khadam al-haramain walhal hakikatnya mereka adalah khadam kepada Amerika! Saudi sepatutnya memimpin pakatan 35 buah negara untuk menyerang AS dan entiti Yahudi yang pasti akan menghancur luluhkan kedua-dua buah negara kuffar musuh Allah itu, tetapi malangnya ia memilih untuk taat kepada musuh Allah dan memerangi umat Islam!!! 

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Sesungguhnya kita mahukan kebaikan untuk bumi Hijaz (Arab Saudi) yang merupakan bumi yang dimuliakan oleh Allah SWT dengan para anbiya’. Di sinilah terletaknya dua tanah suci umat Islam, Makkah dan Madinah yang menjadi kunjungan dan perhatian seluruh umat Islam. Di sinilah Islam diturunkan dengan diutusNya sebaik-baik makhluk, Muhammad al-Mustafa Rasulullah SAW yang wajib dijadikan teladan oleh umat manusia. Di sinilah lahirnya generasi terbaik Islam yang tidak akan ada tolok bandingnya. Di sinilah Rasulullah SAW dan para sahabat memerangi musuh-musuh Islam dan di sinilah mengalirnya darah-darah suci para syuhada’ dan menjadi tempat mereka menemui Tuhan mereka. Namun pada hari ini, bumi ini telah dicemari dengan pengkhianatan demi pengkhianatan oleh pemerintahnya, malah di bumi inilah mereka mengadakan kesepakatan dengan musuh-musuh Allah untuk memerangi saudara-saudara mereka. Sesungguhnya kita wajib mengakhiri segala pengkhianatan ini dan mengembalikan kebaikan ke bumi ini dan sesungguhnya tidak akan berakhir pengkhianatan dan tidak kembali baik bumi ini, kecuali dengan kita berusaha menegakkan kembali Khilafah Rasyidah ala minhaj nubuwwah yang telah menjadikan bumi ini baik suatu ketika dulu.