SN460 – Perubahan Hakiki Hanya Dengan Jalan Islam
SN Keluaran 25 Mac 2016
[SN460] Rentetan daripada “Deklarasi Rakyat” yang telah diadakan oleh gabungan lebih 50 individu di ibu negara pada 4 Mac 2016 baru-baru ini, satu lagi perhimpunan akan diadakan pada hari Ahad, 27 Mac 2016 dengan tujuan yang sama yakni untuk mendesak Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak agar berundur. Deklarasi tersebut mencipta sejarah tersendiri apabila sejumlah individu yang sebelumnya merupakan seteru politik sejak berzaman, duduk semeja demi menjatuhkan seteru baru yang sama. Hal ini mengingatkan kita kepada kata-kata Lord Palmerston, Perdana Menteri Britain pada pertengahan abad ke 19 dalam hal politik, ‘..kita tidak ada rakan dan musuh yang kekal selamanya. Namun begitu, kepentingan kita tetap kekal dan berterusan dan inilah yang harus kita ikuti’. Inilah pegangan politik kafir Barat yang telah lama menapak dalam benak para politikus di negara kita yakni ‘politik kepentingan’ dan sekarang ia termanifestasi melalui deklarasi ini.
Rentetan dari deklarasi ini juga, pembangkang kini sedang sibuk menggerakkan rakyat untuk menghadiri himpunan Muafakat Selamatkan Malaysia dalam usaha jelajah yang mereka rancang untuk lakukan di seluruh Malaysia bagi menuntut peletakan jawatan Najib. Himpunan pertama telah dirancang untuk diadakan 28 Mac ini bertempat di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Indah, Selangor. Himpunan itu dilakukan sehari selepas himpunan tertutup anjuran bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim dijadual diadakan, yang juga bertujuan mendesak Najib untuk melepaskan jawatan. Dilaporkan yang Sekretariat Himpunan Muafakat telah pun memanjangkan jemputan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Afdal untuk turut serta. Baik deklarasi mahupun himpunan jelajah yang akan diadakan, apa yang jelas ialah, ia hanya bertumpu kepada menyingkirkan seorang pemimpin (Perdana Menteri). Memang tidak dapat dinafikan bahawa pemerintahan Najib merupakan pemerintahan yang penuh dengan masalah dan skandal dan wajar sahaja jika ada usaha dilakukan untuk menjatuhkannya. Namun, persoalannya adalah, adakah cukup dengan hanya menurunkan seorang manusia bernama Najib, segala permasalahan akan dapat diselesaikan?
Dalam konteks ini, rakyat Malaysia seharusnya belajar dari apa yang berlaku di negara Arab (Arab Spring) di mana pertukaran wajah pemimpin semata-mata ternyata tidak dapat menyelesaikan masalah rakyat dan negara. Malah, lebih buruk, perubahan tersebut telah menyebabkan timbulnya masalah yang jauh lebih besar ke atas rakyat dan negara! Sekiranya apa yang diharapkan dari ‘people power’ (himpunan rakyat untuk menjatuhkan pemerintah) ini adalah semata-mata perubahan ‘wajah pemerintah’ dan bukannya ‘sistem pemerintahan’, nescaya ia tidak akan ke mana. Untuk menyelamatkan Malaysia, sesungguhnya kita memerlukan perubahan yang hakiki, bukan sekadar perubahan wajah Perdana Menteri. Perubahan hakiki tidak akan berlaku kecuali perubahan dari satu keadaan yang tidak Islami kepada keadaan yang Islami dan proses ke arah perubahan itu sendiri juga hendaklah satu proses (jalan) yang Islami. Ingatlah bahawa tidak ada jalan yang Islami dalam melakukan perubahan kecuali jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.
Jalan Perubahan Hakiki
Sebagaimana yang telah disebutkan, satu-satunya jalan yang syarie untuk melakukan perubahan ialah dengan mengikuti jalan yang telah dilalui oleh sebaik-baik makhluk, yang telah diwajibkan ke atas kita untuk mengikutinya. Jalan ini bukan sahaja benar, malah telah terbukti berjaya membawa perubahan yang penuh kebaikan bukan sahaja kepada bangsa atau tempat tertentu, tetapi kepada seluruh bangsa di seluruh dunia. Ia berbeza dengan perubahan yang dilakukan oleh manusia tanpa pimpinan wahyu yang menyaksikan banyak pertumpahan darah seperti yang berlaku ketika Revolusi Perancis dan Revolusi Rusia. Tanpa panduan wahyu, proses perubahan yang dilakukan bukan sahaja boleh menjerumuskan seseorang ke dalam dosa, malah usaha perubahan juga boleh beralih arah, berbelit-belit dan tidak akan mencapai matlamat, lebih-lebih lagi apabila ia dilakukan tanpa adanya visi yang jelas dan diterajui oleh kepala-kepala yang mempunyai kepentingan tersendiri yang berbeza-beza.
Ya benar dalam usaha untuk menjatuhkan pemerintah, seseorang pemerintah itu boleh dijatuhkan dengan pelbagai cara dan ada cara yang mudah. Namun, untuk melakukan perubahan hakiki, sama sekali tidak ada jalan pintas atau jalan yang mudah, kerana ia bukannya satu proses semudah petikan jari. Dalam konteks ini, sesusah dan sepanjang mana sekali pun proses perubahan itu akan berjalan, jalan yang benar itu wajib diikuti dan jalan yang batil itu wajib dijauhi. Secara ringkasnya, apa yang telah dilalui oleh Rasulullah SAW dalam merubah bangsa Arab Jahiliyyah menjadi satu umat manusia yang tinggi dan mulia dapat dijelaskan seperti berikut:
Pertama: Rasulullah SAW membentuk satu kutlah (kelompok) yang terdiri daripada para sahabat yang telah memeluk Islam pada waktu itu dan melakukan tasqif (pembinaan) tanpa henti terhadap kelompok ini dengan akidah dan syakhsiyyah Islamiyyah serta mempersiapkan kelompok ini untuk terjun ke medan dakwah dan perjuangan. Kelompok ini juga dipersiapkan menghadapi apa sahaja cabaran, halangan dan ujian di jalan Allah, walaupun nyawa menjadi galang gantinya dan dalam masa yang sama, mereka dipersiapkan untuk menjadi golongan umara’ (pemerintah) dalam sebuah negara yang bakal terwujud kelak, dalam rangka menerapkan segala hukum Allah SWT di muka bumi.
Jadi, wujudnya kelompok seperti ini adalah suatu yang mesti dan setiap orang yang mahu mewujudkan perubahan hakiki mesti bergabung bersama kelompok ini. Kelompok/parti ini haruslah bersifat politik, terorganisasi dan berideologikan Islam kerana proses perubahan yang dituntut ialah proses politik, begitu juga negara yang hendak didirikan dalam rangka menerapkan hukum Allah secara kaffah, merupakan sebuah institusi politik Islam. Aktiviti politik yang dilakukan oleh kelompok/parti ini merupakan aktiviti politik yang komprehensif kerana ia bukan sahaja melakukan tasqif terhadap ahli-ahlinya, tetapi juga terhadap masyarakat serta membina pandangan umum (ra’yul am / public opinion) dengan pemikiran Islam yang terhasil daripada kesedaran umum (wa’yul am / public awareness).
Kelompok/parti politik ini juga membangun ra’yul am dalam masyarakat akan kewajipan mendirikan sebuah negara (Khilafah), membongkar strategi jahat kaum kuffar ke atas umat Islam serta melakukan penggulatan pemikiran (antara yang hak dan batil). Parti politik ini terjun ke dalam masyarakat dalam rangka melakukan amar makruf nahi mungkar dan memuhasabah pemerintah agar menyelesaikan segala masalah yang mereka hadapi dengan penyelesaian yang diberikan oleh Islam dan bukan dengan penyelesaian selainnya. Persiapan dan pemikiran yang benar yang dibawa oleh kelompok ini amat penting kerana pemikiran inilah yang akan dilaksanakan sejurus mereka meraih kekuasaan tanpa terkial-kial mencari formula bagaimana untuk mengendalikan negara.
Kedua: Dukungan daripada umat/masyarakat. Sokongan daripada umat merupakan perkara yang mesti ada, kerana umat adalah pemilik kekuasaan yang sebenar dalam sesebuah negara. Sebagai pemilik kekuasaan, umat akan menyerahkannya kepada siapa yang mereka kehendaki. Jadi, parti politik yang bergerak ke arah perubahan akan menjelaskan kepada umat akan hal ini dan memandu umat dalam membuat pilihan yang benar dan tanpa melakukan ‘rampasan’ kekuasaan daripada umat. Setelah umat yakin dan percaya dengan parti yang membawa perubahan yang benar ini, maka umatlah yang akan mengangkat mereka sebagai pemimpin dan akan menolak pemimpin yang sedia ada.
Atas tasqif dan kesedaran yang dibawa oleh parti politik tadi, umat bergerak bersama-samanya dalam melakukan perubahan, bukan atas desakan keperluan hidup semata-mata, tetapi atas kesedaran ideologi Islam yang mereka anuti. Dorongan terbesar dalam menggerakkan umat untuk melakukan perubahan adalah disebabkan ra’yul am yang telah terbentuk hasil dari wa’yul am oleh kelompok politik tadi. Proses dakwah yang berterusan akan menjadikan pemikiran dan perasaan umat menyatu dengan pemikiran dan perasaan kelompok politik yang mentasqif mereka. Pendek kata, ‘projek perubahan’ yang dibawa oleh parti politik tadi telah menjadi projek umat tanpa ada perbezaan antara keduanya. Apabila hal ini terjadi, maka akan terbentuk sokongan padu daripada umat terhadap parti politik Islam yang mengetuai gerakan perubahan ini sehingga umat mahukan mereka memerintah dan umat akan mengangkat mereka ke tampuk pemerintahan dan umat akan mempertahankan pemerintahan yang didirikan oleh kelompok ini atas dasar kewajipan bersama.
Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah di Mekah walaupun ternyata sebahagian besar masyarakat Mekah menolak dakwah baginda. Rasulullah SAW kemudian mengutus Mus’ab bin Umair ke Yatsrib (Madinah) dan ternyata Mus’ab berjaya mendapat dukungan daripada penduduk Yatsrib terhadap dakwah yang dibawa oleh Mus’ab (yang mewakili Rasulullah SAW), sehingga penduduk Yatsrib akhirnya sangat mengharapkan Rasulullah SAW menjadi ketua mereka dan memerintah mereka dengan Islam.
Ketiga: Mencari nusrah (pertolongan) daripada ahlul quwwah. Ahlul quwwah adalah mereka yang al-qadirun ala i’tha’ al-hukm (berkemampuan untuk memberikan kekuasaan). Mereka boleh sahaja terdiri daripada kelompok yang sedang memiliki kekuasaan seperti mana-mana ketua negara (yang ditaati oleh tenteranya) atau pun mana-mana Ketua Tentera atau ketua mana-mana kelompok, walaupun tidak memegang kekuasaan dalam negara, tetapi memiliki kekuatan militer yang kuat. Dukungan daripada ahlul quwwah ini amat penting bukan sahaja dalam rangka untuk parti politik tadi naik ke tampuk pemerintahan, tetapi kerana ia bakal menjadikan negara yang ditegakkan itu berdiri dengan bebas tanpa perlu bergantung kepada kuasa asing.
Ahlul quwwah atau dikenali juga sebagai ahlul nusrah ini haruslah kelompok yang kuat iaitu mereka yang, dengan kekuatan yang mereka miliki, mampu menyerahkan kekuasaan sesebuah negara, kepada kelompok politik yang memintanya daripada mereka. Ahlul quwwah wajib Muslim. Boleh sahaja mereka sebelumnya kelompok kafir, tetapi nusrah tidak akan diterima daripada mereka sehingga mereka memeluk Islam. Ahlul quwwah yang memberi nusrah kepada kelompok politik tadi mestilah memberi nusrah tanpa sebarang syarat dan mereka bukan sahaja mendukung perjuangan yang dibawa oleh parti politik tadi, malah akan mendukung negara yang bakal didirikan dengan sepenuh hati dan kekuatan mereka. Ahlul quwwah ini juga mestilah bebas daripada sebarang perjanjian antarabangsa yang mengikat mereka yang bertentangan dengan Islam.
Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW tatkala baginda mencari nusrah daripada kelompok-kelompok kuat di sekitar Mekah. Namun ternyata kesemua kelompok tersebut menolak nusrah yang diminta oleh baginda atau meletakkan syarat sehingga Rasulullah SAW menolak nusrah mereka. Akhirnya Rasulullah SAW berjaya mendapatkan nusrah daripada kelompok Aus dan Khazraj yang sanggup memberikan nusrah kepada Rasulullah SAW tanpa syarat, sehingga Allah SWT memuliakan kelompok ini dengan pelbagai kemuliaan dan digelar sebagai kaum Ansar (yang memberikan pertolongan). Hasil dari nusrah dari kaum Ansar inilah, Rasulullah SAW akhirnya berjaya mendirikan Daulah Islam dan menerapkan keseluruhan hukum Allah SWT dalam bentuk bernegara. Dengan adanya negaralah, maka umat Islam terus bangkit menjadi umat yang mulia dan menguasai dunia serta membawa perubahan, kebaikan dan rahmat kepada dunia.
Inilah secara ringkasnya jalan perubahan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, yang mana jalan perubahan ini bukan untuk disemadikan di dalam kitab atau dijadikan sirah (sejarah) semata-mata, tetapi merupakan jalan yang “wajib” diikuti oleh mana-mana Muslim dan gerakan Islam yang berjuang ke arah perubahan.
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Inilah jalan perubahan sebenar untuk menggantikan pemimpin dan sistem demokrasi yang diamalkan pada hari ini. Tidak dinamakan perubahan dan tidak akan berlaku perubahan ke arah yang dikehendaki oleh Islam sekiranya sistem demokrasi ini tidak dicabut dari akar-akarnya dan diganti dengan sistem Islam secara kaffah. ‘People power’, pilihan raya lima tahun sekali, rampasan kuasa dan sebagainya, bukanlah jalan yang syarie untuk melakukan perubahan atau mendirikan pemerintahan sesebuah negara, kerana semua itu tidak pernah diajar oleh Islam.
Sesungguhnya, perubahan kosmetik seperti menjatuhkan atau menukar seseorang pemimpin semata-mata, tanpa menggantikan keseluruhan sistem yang telah rosak dari akarnya ini, pasti hanya akan menyebabkan kitaran masalah yang sama berulang kembali, malah mungkin sahaja lebih buruk. Hizbut Tahrir sedang bergerak untuk melakukan perubahan melalui thariqah (jalan) yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan kami menyeru setiap Muslim agar bersama-sama kami dalam perjuangan yang wajib lagi mulia ini, sehingga Insya Allah Negara Khilafah al-Rasyidah ala minhaj nubuwwah akan segera berdiri sedikit masa lagi yang akan menyempurnakan segala perubahan yang dicari-cari dan diperlukan oleh umat Islam selama ini.
Wallahu a’lam.