SN461 – Hudud: Penerapan Hukum Islam Bukan Agenda Utama?

PDF

SN Keluaran 1 April 2016

[SN461] Ketika ini, perbincangan isu hudud dalam kalangan umat Islam di Malaysia bukan lagi tertumpu kepada persoalan sama ada umat Islam wajib menerapkan hudud atau tidak, tetapi perbincangannya kini lebih tertumpu kepada persoalan sama ada hudud dapat diterapkan atau tidak dalam konteks pemerintahan Malaysia yang berasaskan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara. Senario ini merupakan antara petunjuk bahawa umat Islam di Malaysia semakin sedar bahawa hudud merupakan hukum Islam yang wajib diterapkan dan perkara ini sudah tentu merupakan satu perkembangan yang positif bagi umat Islam di Malaysia. Kesedaran tentang wajibnya umat Islam menerapkan hudud sudah tentu banyak disumbangkan melalui usaha dakwah yang dilakukan oleh gerakan atau parti politik Islam mahupun mana-mana pendakwah yang menerangkan tentang kewajipan hudud agar diterapkan sebagai undang-undang negara. Bagi umat Islam, untuk memahami hudud sebagai undang-undang Allah yang wajib diterapkan bukanlah satu perkara yang sukar memandangkan hal ini banyak disebut di dalam al-Quran mahupun al-Hadis, malah perbincangan mengenainya melimpah ruah dalam khazanah keilmuan Islam.

Namun, apa yang sangat mendukacitakan ialah umat Islam di Malaysia masih lagi keliru bagaimana untuk memastikan agar hudud dapat diterapkan. Kekeliruan tersebut antaranya berpunca daripada sikap gerakan atau parti politik Islam serta para ilmuan Islam itu sendiri. Sikap mereka yang pragmatis dalam memperjuangkan pelaksanaan hudud menyebabkan hudud kelihatan hanya seperti modal politik yang akan diangkat apabila terdapat manfaat politik yang ingin diraih. Namun, apabila hudud menjadi ‘liabiliti’ terhadap percaturan politik yang dilakukan, maka isu hudud akan diketepikan dengan bermacam-macam justifikasi yang ‘indah’. Keadaan ini semakin parah apabila terdapat ilmuan Islam yang berjawatan dalam kerajaan mengajarkan kepada umat Islam bahawa mempromosikan konsep keadilan, ketelusan dan urus tadbir yang baik adalah lebih penting berbanding hudud. Lebih parah lagi, apabila ada mufti yang meletakkan syarat baru untuk pelaksanaan hudud seperti mesti wujudnya keadaan yang kondusif terlebih dahulu sebelum hukum Allah itu dapat dilaksanakan. Para mufti ini yang sepatutnya memuhasabah pemerintah untuk menerapkan hukum Allah secara kaffah (menyeluruh) dan turut berjuang untuk menegakkan hududullah, sebaliknya sibuk mengkritik, memberi pelbagai justifikasi dan melemahkan usaha untuk menjadikan hudud sebagai undang-undang negara.

Syarat Baru Untuk Menerapkan Hudud

Syarat bahawa hudud hanya boleh dilaksanakan apabila keadaan sudah kondusif adalah syarat baru yang tidak pernah ada dalam Islam. Lebih aneh, apabila orang yang memperkenalkan syarat ini seolah-olah ‘lebih rela’ berhukum dengan hukum kufur sementara menunggu wujudnya keadaan yang kondusif untuk hudud diterapkan. Kalau mengikut logik ini, selagi tidak wujud keadaan yang kondusif, maka sehingga ‘kiamat’lah hukum Allah ini tidak dapat dilaksanakan! Antara hujah yang diberikan mengenai syarat kondusif ini ialah: 

Hujah Pertama; Saidina Umar al-Khattab RA tidak memotong tangan pencuri ketika zaman kebuluran. Pada mereka, ini menjadi bukti bahawa hukuman hudud itu tidaklah tegas. Mereka lalu memetik komentar Ibnu Qayyim dalam I’lam al-Muwaqi’in an Rabb al-alamin,Ketika berlaku musim kebuluran, kehidupan menjadi terdesak dan ramai yang memerlukan makanan. Pada ketika itu tidak dapat dibezakan antara pencuri dan orang yang dapat memenuhi keperluan hidupnya. Pada ketika itu, keadaan darurat berlaku di mana hukuman hudud ke atas mereka yang berhak dan tidak berhak dijatuhkan hukuman ini menjadi perkara syubhat.  Begitupun, apabila telah jelas seseorang itu mencuri sedangkan hakikatnya dia boleh memenuhi keperluan hidupnya tanpa mencuri, maka dia wajib dipotong tangannya” [Ibnu Qayyim, I’lam al-Muwaqi’in an Rabb al-alamin, III/13].

Bantahan/Penjelasan; Apabila diteliti tindakan Saidina Umar ketika itu, sesungguhnya beliau ‘melaksanakan’ hukum hudud secara benar dan tepat apabila beliau tidak menjatuhkan hudud kepada orang yang mencuri kerana kelaparan. Ini kerana, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

Tidak (dijatuhkan) hukuman potong tangan ketika musim kebuluran yang teruk” [HR al-Syarkhasi dalam al-Mabsut].

Apa yang dilakukan oleh Umar justeru mengikuti nas dalam hal pelaksanaan hudud, bukannya menggugurkan tasyri’ (persyariatan) hudud, kerana syariat memperuntukkan yang hudud itu tidak terkena kepada orang yang terpaksa mencuri kerana kelaparan. Dengan kata lain, tatbiq (perlaksanaan) hukuman potong tangan tidak dapat dilakukan kerana tidak memenuhi syarat, bukannya kerana “tidak wujudnya keadaan kondusif untuk menerapkan hudud”.

Hujah Kedua; Hudud tidak dilaksanakan semasa perang. Mereka memetik penerangan daripada Imam al-Auza’ie untuk menunjukkan bahawa semasa perang adalah contoh suasana yang tidak kondusif untuk melaksanakan hudud. Nabi SAW bersabda,

“Jangan dipotong tangan (pencuri) ketika dalam peperangan” [HR Tirmizi].

Imam Tirmizi ketika meriwayat hadis ini menyebut, “Sebahagian ilmuan berpegang dengan nas ini, antara mereka al-Auza’ie, mereka berpendapat tidak dilaksanakan hudud ketika peperangan, berhadapan dengan musuh kerana dibimbangi individu yang dihukum itu akan pergi menyertai musuh…”.

Bantahan/Penjelasan; Kenyataan Imam al-Auza’ie ternyata dipetik secara selektif untuk memberi gambaran seperti yang diinginkan. Walhal pada huraian seterusnya, Imam al-Auza’ie menyebut, “…Apabila Imam telah keluar dari daerah musuh dan kembali ke Darul Islam, maka hukuman dijalankan kepada orang yang berkenaan.’ Begitulah yang diperkatakan oleh Imam al-Auza’ie”. [Rujuk Tirmizi, III/105]. Sekali lagi kita lihat dalam keadaan ini bahawa nas itu sendiri yang mengecualikan pelaksanaan hudud (tatkala peperangan), tetapi sama sekali tidak bermaksud yang tasyri’ (pensyariatan) hudud itu gugur kerana keadaan yang tidak kondusif!

Hadis-hadis di atas berserta penjelasannya sama sekali tidak memberi petunjuk bahawa hudud memerlukan keadaan yang kondusif sebelum dapat diterapkan oleh negara. Ini kerana dalam keadaan tersebut, Negara Islam pada waktu itu telah pun menerapkan hudud, dan isu yang timbul bukanlah persoalan sama ada negara perlu terap hudud atau tidak, tetapi persoalannya ialah, adanya ‘nas’ (bukan adanya ‘suasana kondusif’) yang tidak membolehkan hukuman potong tangan dijalankan!

Apa yang pasti, zaman pemerintahan Saidina Umar dan zaman pemerintahan para Khalifah sesudahnya, mereka hanya menerapkan undang-undang Islam yang diwarisi daripada Rasulullah SAW dan tiada undang-undang lain sedikit pun selain daripada undang-undang Islam. Berbeza halnya dengan keadaan Malaysia ketika ini di mana hukum Allah (termasuk hudud) tidak diterapkan sebagai undang-undang negara, sebaliknya hukum kufur warisan ‘British’lah yang menjadi teras undang-undang negara! Justeru, membandingkan dua kedudukan ini dan membuat rumusan yang hudud tidak boleh diterapkan di Malaysia kerana tidak kondusif, sungguh jauh panggang dari api. Ini kerana, kewajipan pemerintah sekarang ialah menerapkan hukum Allah secara kaffah bagi menggantikan hukum kufur British dan hukum buatan manusia lainnya. Setelah diterapkannya hukum Allah secara kaffah, lalu wujud keadaan kebuluran atau perang dan berlakunya kes pencurian dalam suasana tersebut, maka barulah kita masuk kepada perbincangan boleh atau tidak memotong tangan si pencuri pada waktu itu!

Tidak Ada Keadilan Kecuali Dengan Islam

Pemikiran yang menganggap maqasid syariah (tujuan-tujuan syariah) boleh dicapai dengan adil  dalam sistem sekarang, walaupun ia bukan sistem Islam, adalah pemikiran yang salah lagi mengelirukan. Golongan ini yang tampil dengan jubah dan pendidikan agama, mendakwa yang penerapan ‘nilai-nilai Islam’ adalah lebih utama berbanding penerapan ‘hukum-hukum Islam’. Walaupun mereka tidak menafikan tentang kewajipan hudud, namun sikap dolak-dalik mereka tentang pelaksanaan hudud menunjukkan yang mereka sebenarnya tidak pernah serius dengan usaha untuk menerapkan hukum Allah dan lebih selesa dengan undang-undang sekular yang ada.

Sikap sedemikian bukan sahaja menunjukkan kerosakan berfikir mereka yang telah selesa dengan pangkat dan jawatan yang diberikan oleh pemerintah sekular, tetapi yang lebih penting, ia telah mempengaruhi sebahagian besar ahli politik dan sebilangan umat Islam di Malaysia, sehingga akhirnya, walaupun rata-rata Muslim mengakui yang hudud itu wajib, tetapi dalam masa yang sama berpendapat bahawa pelaksanaannya boleh ditangguh-tangguhkan mengikut realiti semasa. Fahaman rosak dan keliru ini telah merebak hatta kepada parti Islam yang selama ini memperjuangkan hudud, sehingga munculnya pandangan bahawa penerapan hukum Islam bukanlah agenda utama, tetapi yang lebih utama ialah tercapainya maqasid syariah dan nilai-nilai Islam (yang dinilai menurut akal mereka).

Sikap sedemikian sebenarnya jelas menyalahi ajaran Islam kerana penerapan hukum Allah itu amat penting, yang mana hanya dengan penerapan hukum Allah sahajalah, segala ‘nilai-nilai’ Islam dan keadilan itu dapat dicapai. Firman Allah SWT,

“Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ al-Ma’idah (5):50].

Ibnu Katsir, tatkala menjelaskan ayat

“Sesungguhnya Allah menyuruh kami menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila menetapkan hukuman di antara manusia supaya menetapkan dengan adil” [TMQ al-Nisa’ (4):65]

menegaskan bahawa ‘keadilan’ tidak akan wujud kecuali dengan penerapan  hukum syarak ke atas manusia dan terikat secara mutlak dengan apa yang diturunkan oleh Allah SWT.

Apa Yang Perlu Untuk Terap Hudud?

Hudud hanyalah salah satu daripada sistem hukuman (nidzam al-uqubat) dalam Islam selain daripada jinayat, ta’zir dan mukhalafat. ‘Hukuman’ dalam Islam disyariatkan untuk memberi jaminan kehidupan yang sejahtera kepada semua manusia sama ada Muslim mahupun non-Muslim, sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud,

“Dan dalam (hukum) qisas itu ada (jaminan kelangsungan) hidup bagimu, wahai orang-orang yang berakal, supaya kamu bertakwa” [TMQ al-Baqarah (2):179].

Selain tiadanya kemahuan di pihak pemerintah untuk menerapkan Islam, masalah utama penerapan hukum Islam (termasuk hudud) di Malaysia ketika ini adalah kerana perlu melalui proses demokrasi. Setiap undang–undang yang ingin diterapkan, termasuklah hukum Allah SWT, perlu melalui proses yang panjang dan perlu mendapat restu daripada ahli-ahli parlimen yang terdiri daripada Muslim dan non-Muslim! Oleh sebab itu, walaupun terdapat cubaan sejak sekian lama untuk melepasi semua tuntutan undang-undang yang ditetapkan oleh Perlembagaan Malaysia ciptaan Suruhanjaya Reid itu, namun sehingga kini usaha untuk menerapkan hudud bukan sahaja tidak berjaya, malahan menjadi semakin kabur arah tujunya.

Justeru, untuk menerapkan hukum-hakam Islam secara kaffah, tidak ada cara lain, kecuali mesti ada sebuah Negara Islam (Daulah Khilafah Islamiyyah). Hanya dengan jalan ini sahaja (adanya sebuah Negara Islam), barulah hukum Allah dapat diterapkan tanpa perlu mendapat restu atau undi daripada manusia seperti yang berlaku dalam negara demokrasi. 

Khatimah 

Wahai kaum Muslimin! Wahai gerakan Islam! Bagaimana mungkin ada di antara kalian yang berpandangan bahawa penerapan hudud (hukum Allah) bukan merupakan agenda utama, kerana jika tidak diterapkan hukum Allah, dengan hukum apakah kita berhukum dan apakah Allah SWT meredhai hukumNya tidak diterapkan!? Kami menyeru kalian agar terus istiqamah memperjuangkan penerapan hukum Islam. Jangan sekali-kali mencampur-adukkan atau melakukan kompromi antara hukum Islam dengan idea-idea kufur/sekular, apatah lagi menggantikan usaha penegakan Negara Islam dengan usaha penyatuan bersama pemerintahan sekular. Sedarlah bahawa musuh-musuh Islam tidak mahu Islam diterapkan dan mereka sentiasa menyerang dan cuba mempertikaikan kemampuan Islam sebagai sebuah cara hidup yang sempurna. Mereka sentiasa menyerang pemikiran Islam agar umat Islam terpengaruh dan bertolak ansur terhadap ideologi atau idea kufur yang mereka bawa.

Jika kalian menginginkan keadilan, sedarlah bahawa keadilan sebenar hanya akan tercapai dengan pelaksanaan sistem Islam ciptaan Allah dan mustahil tercapai di bawah sistem demokrasi ciptaan manusia. Jika kalian menginginkan hudud, sedarlah bahawa demokrasi bukan merupakan jalan yang syarie untuk itu. Sedarlah bahawa segala ruang dan peluang yang kononnya ada dalam demokrasi, itu hanyalah sebuah fatamorgana, kerana demokrasi tidak pernah ‘didesign’ untuk menerapkan hukum Allah. Sedarlah bahawa hukum Allah secara kaffah hanya akan dapat dilaksanakan dalam Negara Khilafah al-Rasyidah ala minhaj nubuwwah yang wajib diusahakan penegakannya oleh kita bersama.

Wallahu a’lam.