SN475 – Merdekakan Minda Dari Penjajahan, Jalan Meraih Kemerdekaan Hakiki

PDF

SN Keluaran 18 Ogos 2016

[SN475] Malaysia bakal menyambut kemerdekaan kali ke-59 hujung bulan Ogos ini dan entah berapa juta ringgit yang bakal hangus untuk sambutan pada tahun ini. Setiap kali sambutan kemerdekaan, maka kita pasti akan mendengar ucapan-ucapan pemimpin politik yang mengkritik dan menasihati generasi muda yang pada mereka tidak memahami erti kemerdekaan. Begitu juga dengan para perajurit pencen yang sering ditemuramah oleh media di musim kemerdekaan ini, pun tidak sunyi daripada menasihati golongan muda yang dikatakan gagal menghayati erti dan semangat kemerdekaan yang sebenar. Apa dan berapa banyak kritikan yang diberikan sekalipun, apa yang nyata ialah sambutan kemerdekaan semakin hambar dari tahun ke tahun dan rakyat sudah bosan dengan retorik yang dimainkan oleh pemerintah dalam isu ini. Pada rakyat, apa guna sambutan kemerdekaan jika hidup terus dijerut dengan kos barangan dan perkhidmatan yang semakin meningkat dan terus-menerus ditindas dan terbelenggu dengan pelbagai cukai, kenaikan tol, ketidakadilan undang-undang, ketidakseimbangan ekonomi, kes-kes jenayah di depan mata, kerosakan akhlak yang melampau, rasuah dan penyelewengan dalam pemerintahan yang sudah tidak terbendung, kronisme, nepotisme dan pelbagai kerosakan lainnya.

Sejarah mencatat bahawa penjajahan ke atas Tanah Melayu bermula pada tahun 1511 apabila Portugis menyerang Melaka dan sejak itu negara ini terus bersilih ganti berada di bawah penjajahan sehingga mencapai kemerdekaan pada 1957. Selepas Portugis, Tanah Melayu jatuh ke tangan Belanda pada tahun 1641 dan akhirnya jatuh pula ke tangan British pada tahun 1824 melalui Perjanjian Inggeris-Belanda. Pada tahun 1941, negara ini jatuh ke tangan Jepun sehinggalah negara matahari terbit itu menyerah kalah pada 1945, lalu penjajahan kembali ke tangan British hingga negara kafir itu memberikan kemerdekaan pada tahun 1957. Penjajahan British merupakan penjajahan yang paling lama dan meninggalkan luka yang mendalam ke atas negara ini amnya, dan ke atas umat Islam khususnya, yang masih belum sembuh hingga ke hari ini. Sebagai sebuah negara yang berideologi (Kapitalisme) dan musuh kepada Islam, British bukan sekadar menjajah untuk tujuan menguasai kekayaan negara yang dijajahnya, tetapi lebih jauh dari itu untuk menguasai umat Islam dari segi cara hidup, sistem dan undang-undang serta menguasai umat Islam dari segi pemikiran. Mereka mahukan agar umat yang mulia ini tunduk kepada mereka, mengikuti milah, ideologi dan cara hidup mereka sehingga ke hari Kiamat. Inilah tujuan penjajahan mereka!

Atas dasar itulah, mereka tidak akan meninggalkan tanah jajahan mereka, khususnya tanah umat Islam, sehinggalah mereka betul-betul pasti bahawa pemerintah yang mereka lantik adalah pemerintah didikan mereka yang akan sentiasa tunduk kepada mereka. Atas dasar menjauhkan umat daripada Islam, kafir penjajah ini tidak akan meninggalkan tanah jajahan mereka sehinggalah mereka “wariskan” satu Perlembagaan, sistem dan undang-undang yang akan dipatuhi oleh umat Islam. Umat Islam tidak dibenar menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai Perlembagaan dan undang-undang, tetapi mesti tunduk kepada Perlembagaan dan undang-undang yang mereka berikan, melebihi ketundukan umat Islam kepada al-Quran dan al-Sunnah itu sendiri. Setelah hal itu dipastikan, maka barulah sesebuah negeri itu dianugerahkan kemerdekaan oleh kafir penjajah tersebut. Bukan sekadar itu, mereka tetap akan memantau dan akan masuk campur dalam urusan negara jika negara cuba melepaskan diri daripada Perlembagaan, sistem dan undang-undang yang mereka tinggalkan! Namun, liciknya British, mereka berjaya membuatkan agar pemerintah dan rakyat negara ini merasakan yang kita mempunyai “pemerintahan sendiri” dan kononnya bebas daripada pengaruh mereka.

Sistem Dan Undang-Undang Yang Masih Terjajah

Umum mengetahui bahawa Eropah dahulunya berada dalam zaman kegelapan (dark ages) pada waktu kekuasaan negara mereka berada di bawah gereja dan golongan bangsawan. Pada waktu itu, seluruh peraturan hidup mereka diatur oleh gereja dan gerejalah yang menentukan halal dan haram serta menjatuhkan hukuman kepada pesalah secara sewenang-wenangnya. Setelah berlakunya kebangkitan (yang mereka gelar sebagai renaissance), Eropah akhirnya berjaya keluar dari zaman kegelapan tersebut, kekuasaan gereja berakhir dan golongan cendekiawan berjaya menguasai pemerintahan, setelah sebelumnya mereka berjaya memisahkan agama daripada kehidupan, atas dasar kompromi antara mereka dan puak gereja. Agama diakui, tetapi tidak lagi berperanan sebagai pengatur urusan mereka dan siapa pun bebas sama ada hendak beragama atau tidak. Mereka kemudian sepakat bahawa aturan kehidupan (sistem dan undang-undang) hendaklah diatur oleh mereka sendiri dan untuk tujuan ini, mereka menetapkan untuk mengikuti suara majoriti dalam membuat keputusan. Dari akidah sekularisme (pemisahan agama daripada kehidupan) inilah lahirnya sistem yang mereka gelar sebagai demokrasi.

Apabila mereka mula kuat dan mula menjajah dunia, seiring dengan kelemahan Daulah Khilafah pada waktu itu, mereka akhirnya berjaya menjajah negeri umat Islam satu per satu. Setelah menguasai wilayah umat Islam, mereka lalu menerapkan ideologi sekular mereka secara paksa ke atas umat Islam. Kelemahan berfikir yang wujud pada umat Islam pada waktu itu telah memudahkan lagi kerja-kerja kotor mereka dalam menancapkan ideologi kufur mereka ke atas umat Islam dan tanah jajahan. Akhirnya wujud dalam kalangan umat Islam, khususnya para cendekiawan, yang mula terpegun dan kagum dengan idea Barat. Dengan agenda dan kelicikan mereka untuk menguasai pemikiran umat Islam, Barat menguasai bidang pendidikan dalam negeri dan membuka ruang untuk anak-anak kaum Muslimin melanjutkan pelajaran di Barat. Akhirnya Barat berjaya menanam tsaqafah mereka ke dalam tubuh umat Islam sehingga lama-kelamaan ia mendarah daging dalam tubuh umat yang mulia ini, menyebabkan umat Islam meninggalkan ajaran Islam sedikit demi sedikit, lalu menggantikannya dengan idea-idea Barat.

Dari aspek pemerintahan, British telah membawa sistem demokrasi mereka dan mewariskan untuk rakyat Malaysia sistem ini. Lebih licik, kafir penjajah ini berjaya membentuk pandangan umum (public opinion) bahawa demokrasi ini merupakan satu sistem yang baik, malah yang terbaik, untuk umat Islam. Ramai yang telah termakan dengan apa yang dibawa dan diperkatakan oleh Barat ini sehingga bukan sahaja orang biasa, malah kalangan agamawan dan intelektual turut mengakui kebaikan demokrasi. Mereka bukan sekadar bersetuju dan mempertahankan sistem kufur ini, malah mencari-cari dan mengeluarkan nas serta pendapat mereka bahawa sistem ini sebenarnya berasal daripada Islam. Barat pula sengaja diam dan tidak perlu mengakui atau mempertahankan bahawa sistem demokrasi itu adalah ciptaan dan milik mereka, kerana mereka memang mahukan umat Islam “beriman” dengan demokrasi.

Inilah yang dilakukan oleh kuffar penjajah sejak dulu hingga kini yakni menanam akidah sekularisme dan sistem demokrasi yang mereka bawa, sedalam-dalamnya di tanah jajahan dan juga dalam benak umat Islam, agar ia terus sebati dalam darah daging umat Islam, dengan tujuan agar umat Islam tidak akan kembali kepada sistem Islam. Setelah mereka yakin yang hal ini telah tertanam dengan kukuh, maka mereka memberikan kemerdekaan kepada tanah jajahan dan menjadikan rakyat di tanah jajahan merasakan terbebas daripada mereka, walhal hakikatnya tidak. Realitinya, British memang tidak lagi menjajah tanah umat Islam secara fizikal, termasuk Malaysia, namun Perlembagaan, sistem dan undang-undang ciptaannya masih kekal diwarisi dan diamalkan di Malaysia, malah dipertahankan habis-habisan. Jadi, walaupun penjajah British sudah keluar dari Malaysia secara fizikalnya pada tahun 1957, namun ternyata rakyat Malaysia masih tetap terjajah dengan sistem dan undang-undang ciptaan mereka!

Pemikiran Yang Masih Terjajah

Jika penjajahan bentuk lama sinonim dengan penjajahan fizikal yang melibatkan kekuatan tentera dan penguasaan wilayah, kini penjajahan gaya baru dilakukan melalui penguasaan atau kawalan ke atas politik, ekonomi, budaya, pendidikan, teknologi dan pemikiran penduduk wilayah yang ingin “dijajah”. Sama ada bentuk baru mahupun lama, tujuannya tetap sama iaitu untuk mengeksploitasi kekayaan wilayah itu dan mengalirkannya ke negara mereka (penjajah) dan apa yang lebih penting ialah mengawal pemikiran penduduk wilayah tersebut, khususnya umat Islam dalam usaha mereka menjauhkan umat daripada Islam dan dalam rangka mencorakkannya mengikut apa yang mereka mahukan. Mereka faham bahawa jika mereka berjaya mengawal pemikiran umat Islam, bermakna mereka berjaya mengawal segala-galanya!

Dengan melihat kepada realiti sistem dan undang-undang yang ada serta menilik kepada bentuk penjajahan gaya baru ini dan mengaitkan dengan fakta yang wujud di negara ini, jelas sekali bahawa Malaysia masih berada dalam keadaan terjajah dan tidak pernah keluar daripada penjajahan sejak dulu. Jelas sekali bahawa Malaysia masih belum merdeka dari aspek tersebut dan yang lebih memilukan apabila pemikiran ramai penduduk negara ini yang masih terjajah, apatah lagi golongan pemegang kekuasaan, ahli-ahli politik, agamawan dan cendekiawan yang melalui merekalah, pemikiran umat Islam banyak dipengaruhi.

Ditinjau dari aspek pemerintahan, kita melihat bagaimana pemimpin dan sebahagian besar umat Islam masih tidak dapat keluar daripada kepompong berfikir demokrasi. Demokrasi seolah-olah menjadi “agama” baru yang universal yang diterima oleh umat manusia, malah ia dipertahankan mati-matian oleh negara mahupun manusia yang menganutnya. Demokrasi mengajar bahawa kedaulatan itu ada di tangan manusia, bukannya di tangan syarak, yang bermaksud hak untuk membuat hukum dan menentukan halal dan haram itu ada di tangan manusia, setepatnya di tangan Legislatif, setelah hak itu diserahkan oleh rakyat kepada mereka.

Legislatif membuat undang-undang dan menentukan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan oleh rakyat. Merekalah yang menetapkan segala bentuk hukuman, sistem ekonomi, polisi pendidikan, dasar dalam dan luar negeri. Merekalah yang mengenakan cukai sesuka hati, membenarkan riba, saham, insurans, perjudian, pesta-pesta maksiat dan banyak lagi keharaman lainnya. Merekalah yang menetapkan peraturan siapa yang boleh dan tidak boleh menyampaikan Islam, menangkap dan mendakwa para pendakwah, menangkap orang yang mengkritik atau mendedahkan salah laku mereka dan sebagainya. Pendek kata, merekalah yang menentukan halal dan haram dalam negara dan menetapkan hukuman ke atas pelanggarnya.

Sedangkan teramat jelas dalam Islam bahawa hak untuk membuat hukum itu hanya ada pada Allah, bukan pada manusia. FirmanNya,

“Sesungguhnya menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah. Dia menerangkan yang hak dan Dia Pemberi keputusan yang paling baik” [TMQ al-An’am (6):57].

Memberikan hak menentukan halal dan haram kepada manusia, sebagaimana praktis dalam sistem demokrasi, merupakan suatu keharaman yang nyata, malah menjerumuskan manusia kepada kesyirikan apabila mentaati manusia dalam hal yang bertentangan dengan perintah Allah. Firman Allah SWT,

“Mereka (Yahudi dan Nasara) menjadikan orang-orang alim dan rahib-rahib mereka sebagai Tuhan selain Allah” [TMQ at-Taubah (9):31].

Rasulullah SAW bersabda mengenai ayat ini,

“Adapun mereka (Yahudi dan Nasara) tidak menyembah (sujud) kepada orang-orang alim dan rahib-rahib mereka, akan tetapi jika orang-orang alim dan rahib-rahib itu menghalalkan sesuatu untuk mereka, maka mereka pun menghalalkannya dan jika orang-orang alim dan para rahib itu mengharamkan sesuatu atas mereka maka mereka pun mengharamkannya, inilah yang dikatakan menjadikannya Tuhan” [HR Tirmizi].

Penegasan Rasulullah SAW ini menunjukkan betapa besarnya dosa orang yang membuat hukum halal dan haram, dan dosa orang yang mentaatinya, kerana hak menentukan halal dan haram itu hanya ada di tangan Allah SWT semata-mata. Inilah yang dimaksudkan dengan “penyembahan” sesama manusia, yakni apabila manusia mentaati penetapan hukum yang dibuat oleh manusia lain, yang bertentangan dengan penetapan Allah SWT. “Penyembahan” sesama manusia dalam sistem demokrasi terwujud dalam bentuk ketaatan kepada aturan hukum dan undang-undang buatan manusia yang menggantikan aturan Allah SWT. Inilah inti pati kepada doktrin demokrasi yang meletakkan kedaulatan di tangan rakyat (manusia). Lebih buruk lagi apabila sistem dan undang-undang yang ditaati tersebut datangnya daripada penjajah. Inilah penjajahan moden sebagaimana yang berlangsung sekarang di mana pemikiran umat Islam sudah terbius menerima doktrin demokrasi tanpa disedari. Justeru, dalam rangka untuk memahami, mempelajari dan mengamalkan Islam, umat Islam tidak boleh berfikir di dalam kotak demokrasi yang bertentangan dengan Islam ini, tetapi hendaklah berfikir di luar kotak demokrasi dengan memurnikan pemikiran hanya kepada Islam semata-mata.

Umat Islam wajib membebaskan minda (pemikiran) mereka dari sebarang bentuk pemikiran kufur dan tsaqafah asing. Islam adalah ideologi yang tersendiri yang berasal daripada wahyu dan tidak tercampur serta tidak boleh dicampur adukkan dengan ideologi buatan manusia, baik Kapitalisme mahupun Sosialisme. Selagi minda umat Islam masih terkongkong dengan cara berfikir yang dibawa oleh Barat, maka selagi itulah sebenarnya umat Islam masih belum mencapai kemerdekaan dalam erti kata yang sebenar. Islam adalah agama yang sempurna yang tidak memerlukan apa-apa “bantuan” dari luar, seperti sistem demokrasi, untuk melengkapkannya. Islam juga tidak perlu dan tidak boleh diharmonikan dengan pemikiran kufur apa pun, baik yang berasal dari Barat mahupun Timur. Sesungguhnya Islam itu berdiri sendiri dan mempunyai sistem pemerintahan, sistem ekonomi, sistem pergaulan, sistem uqubat, polisi pendidikan dan polisi luar negerinya yang tersendiri yang serba lengkap dan adil.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Kemerdekaan yang hakiki untuk umat Islam hanya akan terwujud apabila umat Islam bebas daripada segala bentuk penjajahan, eksploitasi dan penghambaan kepada sesama manusia, termasuklah yang penting, bebas daripada penjajahan dari segi pemikiran. Mewujudkan kemerdekaan hakiki itu merupakan sebahagian daripada misi Islam, kerana Islam diturunkan oleh Allah SWT untuk menghilangkan segala bentuk penjajahan, eksploitasi, penindasan, kezaliman dan penghambaan terhadap sesama manusia. Kemerdekaan hakiki itu sesungguhnya akan terwujud apabila umat Islam menolak segala cara hidup dan cara berfikir asing (selain Islam) dan menggantikannya dengan cara hidup dan cara berfikir Islam berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah. Melalui minda yang merdeka, maka Insya Allah ia akan menjadi jalan kepada umat Islam untuk meraih kemerdekaan lainnya yang hakiki. Ia akan membawa kepada kemerdekaan hakiki untuk negeri-negeri umat Islam yang ada sekarang, iaitu dengan keluarnya negeri tersebut daripada cengkaman Barat, terhapusnya segala sistem dan undang-undang ciptaan manusia, lalu digantikan dengan penerapan syariah secara kaffah di bawah naungan Daulah al-Khilafah al-Rasyidah ala minhaj nubuwwah.

Wallahu a’lam.