SN478 – Ummatan Wahidah Hanya Terwujud Di Bawah Khilafah

PDF

SN Keluaran 15 September 2016

[SN478] Salah satu pengajaran besar daripada ibadah haji ialah penyatuan umat Islam sebagai ummatan wahidah (umat yang satu). Setiap kali musim haji, kita melihat jutaan umat Islam dari seluruh pelosok dunia bersama-sama menuju ke Makkah al-Mukarramah dengan niat dan tujuan yang sama. Makkah bukan sahaja merupakan tanah suci lagi mulia buat umat Islam, malah merupakan tempat yang penuh dengan sejarah suka dan duka, penuh dengan kisah dan teladan bagi umat Islam. Makkah merupakan tempat di mana Allah SWT mengutus kekasihNya, Muhammad SAW dengan membawa petunjuk dan agama yang benar, sekali gus sebagai rahmat bagi sekalian alam. Selama 13 tahun menjadi Utusan Allah SWT di Makkah, Muhammad SAW telah berjuang mengajak manusia kepada Islam dan menerapkan hukum Islam dalam setiap aspek kehidupan baik individu, masyarakat dan juga negara. Rasulullah SAW mempersatukan manusia dengan Islam, mengajak manusia untuk menyembah Tuhan yang Satu, beragama dengan agama yang satu, beriman kepada al-Quran yang satu, menghadap kiblat yang satu, bernaung di bawah satu bendera, satu pemerintahan, satu pemimpin dan satu negara.

Rasulullah SAW telah berhasil menerapkan sistem dan hukum Islam dalam seluruh aspek kehidupan sejak berdirinya Negara Islam yang pertama di Madinah. Kemudian penerapan sistem dan hukum Islam di bawah kekuasaan Islam itu berlanjut di masa Khulafa’ al-Rasyidin, Khilafah Umayyah, Khilafah Abbasiyyah, hinggalah yang terakhir semasa Khilafah Uthmaniyyah. Selama lebih daripada 13 abad Islam memerintah dunia, wilayah kekuasaan Islam telah mencecah hampir dua per tiga dunia dan umat yang mulia ini terus berada di bawah satu bendera, satu pemerintahan, satu negara dan hanya satu pemimpin (Khalifah).

Sesungguhnya kaum Muslimin adalah umat yang satu, yang berbeza dengan umat-umat lainnya. Allah SWT telah mempersatukan kaum Muslimin atas dasar kesamaan akidahnya yakni keimanannya kepada Allah dan RasulNya. Sejak diutusnya Rasulullah SAW dan sejak lebih 1300 tahun, umat Islam tidak mengenal ikatan apa pun yang lebih tinggi, selain ikatan iman dan ukhuwah Islamiyah, yang menjadikan umat Islam itu bersaudara dan bersatu-padu, tanpa mengira keturunan, bangsa, warna kulit mahupun tempat tinggal. Inilah ikatan akidah yang bukan sahaja menjadikan umat Islam itu bersaudara, malah menjadikannya umat yang memimpin dunia, membawa kebaikan dan kemuliaan, umat yang kuat, zahir dan unik berbanding dengan umat lainnya. Ikatan akidah yang dianut oleh umat Islam mampu mempersatukan setiap Muslim bukan sahaja di seluruh Jazirah Arab, malah dari Andalusia di benua Eropah hinggalah ke kepulauan Nusantara dan dari pergunungan Kaukasus hinggalah pedalaman hutan Afrika.

Punca Perpecahan Umat

Kesatuan umat Islam di bawah Daulah Khilafah telah meletakkan umat Islam di kemuncak peradaban  dunia. Umat Islam mendahului bangsa-bangsa lain selama beratus tahun ke depan dalam segala bidang dengan membawa segala kemajuan dan rahmat. Tatkala Rom dan Parsi takbur dan sombong dengan kuasa dan kekuatan mereka, umat Islam hadir menjinakkan mereka. Tatkala Eropah tenggelam dalam kegelapan, umat Islam hadir membawa cahaya. Tatkala Afrika dibelenggu kemiskinan dan kesempitan, umat Islam hadir membawa kesejahteraan. Tatkala Nusantara diselimuti tahayul dan khurafat, umat Islam hadir membawa petunjuk. Itulah umat Islam di bawah Daulah Khilafah, yang hadir menghapuskan segala kegelapan kekufuran dan menyinari dunia dengan cahaya Islam.

Namun sayangnya kesatuan dan kemuliaan umat Islam telah hilang setelah runtuhnya Daulah Khilafah pada 28 Rajab 1342 H (3 Mac 1924). Umat Islam terpecah belah dan negara mereka yang satu terkoyak kepada lebih 50 cebisan. Kelemahan dalaman yang cukup parah yang dialami oleh umat Islam di akhir abad ke-18, telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh kuffar Barat yang diketuai oleh British, untuk menghancurkan kesatuan umat Islam dan juga Daulah Khilafah. British, melalui agennya yang menjadi pengkhianat umat, Mustafa Kamal Attarturk, telah berjaya menghapuskan Daulah Khilafah dan menggantikannya dengan negara Republik Turki sekular, sekaligus menandakan berakhirnya sebuah Negara Islam yang ditubuhkan oleh pendirinya yang pertama, Rasulullah SAW. Runtuhnya Khilafah juga bermakna berakhirnya sebuah pemerintahan Islam, sebuah institusi politik Islam, sebuah kesatuan Islam dan terpisahnya umat Islam daripada tubuh yang satu. Umat Islam telah kehilangan sebuah entiti yang menyatupadukan mereka selama ini, selain menjadi perisai kepada mereka dalam menghadapi musuh-musuh mereka. Sejak itu, bermulalah segala perpecahan, penderitaan dan kegelapan dalam dunia Islam yang tidak terhingga keperitan dan kesengsaraannya.

Sesungguhnya punca utama pecahnya persatuan umat Islam ialah apabila umat Islam tidak lagi berpegang teguh kepada ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Kuffar Barat tahu dan sedar bahawa kekuatan perang mereka tidak akan dapat mengalahkan umat Islam. Kerana itulah, mereka menukar corak peperangan kepada perang pemikiran. Barat mula menusuk masuk idea-idea rosak mereka ke dalam tubuh umat Islam melalui serangan Missionaries. Walaupun pada awalnya tidak berjaya, namun setelah ratusan tahun berusaha, akhirnya Barat berjaya menyuntik racun mereka ke dalam tubuh umat, yang menjadikan umat yang dulunya kuat, terus lemah dan tidak berdaya lagi mempertahankan diri.

Antara racun berbisa yang dimasukkan Barat yang telah merosakkan pemikiran umat Islam ialah assabiyyah (nasionalisme). Daulah Khilafah yang sebelumnya merupakan super power dengan segala kekuatan yang tidak dapat dikalahkan, kemudian hancur hanya kerana menularnya racun nasionalisme ke dalam tubuh umat Islam. Umat Islam mula mengikat diri dengan ikatan nasionalisme dan tidak lagi menjadikan ikatan akidah sebagai ikatan utama. Ikatan akidah hanya wujud dalam bentuk teori manakala secara praktikalnya, ikatan nasionalisme dijadikan pegangan. Dengan nasionalisme, umat Islam menjadikan kepentingan nasional (bangsa) mengatasi segala-galanya, malah lebih diutamakan berbanding ikatan akidah Islam itu sendiri.

Menularnya fahaman nasionalisme ini menjadikan kaum Muslimin yang asalnya merupakan umat yang satu, kepada umat yang dipecah-pecahkan mengikut bangsa dan batas sempadan negara masing-masing, yang ditentukan oleh penjajah hanya dengan menggunakan pembaris dan pensel. Orang Arab mula merasakan lebih mulia berbanding Turki manakala orang Turki pula tidak mahu diperintah oleh orang Arab. Kemudian, muncullah Pan Arabisme, lalu diikuti dengan tuntutan untuk mendirikan negara-negara bangsa yang bebas daripada kekuasaan Khilafah Uthmaniyyah ketika itu. Muncul pula gerakan Turki Muda yang memperjuangkan nasionalisme di bawah pimpinan Mustafa Kamal yang didukung oleh British, yang akhirnya berjaya meruntuhkan seluruh kesatuan umat Islam yang telah dibina oleh Rasulullah SAW atas dasar satu akidah dan satu negara.

Setelah keruntuhan Khilafah, negeri-negeri kaum Muslimin yang dulunya merupakan negeri yang satu di bawah Khilafah, telah terpecah-belah menjadi negara yang kecil dan lemah yang kebanyakannya berada di bawah penjajahan dan pengaruh British serta “dimerdekakan” atas dasar nasionalisme seperti Iran (1921), Arab Saudi Arab (1921), Mesir (1922), Iraq (1932), Jordan (1945), Lebanon (1945), Syria (1945), Indonesia (1945), Pakistan (1947), Moroko (1956), Malaysia (1957), Nigeria (1960), Somalia (1960), Kuwait (1961), Algeria (1962), Brunei (1984) dan banyak lagi. Kesemua negeri ini diberi “kemerdekaan” oleh British, setelah diletak para pemimpin yang setia kepadanya dan tunduk kepada Perlembagaan dan undang-undang ciptaannya. Para pemimpin inilah, walaupun telah berpuluh tahun bersilih ganti, namun tetap menjadikan Barat sebagai kiblat dan mempertahankan batas sempadan negara yang telah dicatur dan dilakar oleh Barat.

Kewajipan Bersatu

Sesungguhnya termasuk dalam perkara ma’lum min al-deen bi al-dharurah (perkara yang wajib diketahui dalam agama) bahawa umat Islam wajib bersatu. Penyatuan ini bukan bersifat teori atau pun sebatas penyatuan perasaan atau pemikiran atau bersatunya umat Islam kerana bersama-sama menunaikan ibadah haji sebagaimana yang kita lihat setiap kali musim haji. Penyatuan umat Islam juga bukan hanya dalam tataran individu, tetapi merupakan penyatuan yang praktikal dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Islam mewajibkan umatnya bersatu di bawah naungan Negara Khilafah yang dipimpin oleh seorang Khalifah. Sebagai ummatan wahidah, umat Islam dilarang berpecah-belah dan diharamkan untuk memiliki lebih daripada satu negara dan satu pemimpin. Sabda Rasulullah SAW,

“Jika dibaiat dua orang Khalifah, maka bunuhlah yang terakhir dari keduanya” [HR Muslim].

Perintah membunuh Khalifah yang dibaiat terakhir menunjukkan larangan keras untuk umat Islam memiliki lebih daripada seorang ketua negara. Jika memiliki dua orang sahaja sudah dilarang, apatah lagi sekarang ini umat Islam memiliki lebih daripada 50 orang! Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW juga melarang dengan keras sebarang usaha memecah-belahkan umat Islam tatkala umat berada di bawah kepimpinan seorang pemimpin. Sabda Nabi SAW,  

“Siapa sahaja yang datang kepada kalian, sedangkan urusan kalian berada di tangan seseorang (Khalifah), kemudian dia hendak memecah-belah kesatuan jamaah kalian, maka bunuhlah dia” [HR Muslim].

Hadis-hadis ini dan bayak lagi yang lainnya, menunjukkan betapa pentingnya kesatuan umat di bawah satu kepimpinan dan di bawah satu negara.

Dalam keadaan umat Islam terpecah-belah kepada lebih 50 orang pemimpin/negara seperti sekarang, maka wajib bagi setiap Muslim untuk bersatu dan berusaha mempersatukan semula umat Islam, dengan cara yang benar (syarie), sebagaimana digariskan oleh Islam. Untuk melakukannya, maka punca kepada perpecahan tersebut mestilah dihapuskan, antaranya yang utama ialah:-

Pertama: Umat Islam wajib membuang sikap dan ikatan nasionalisme dan kembali kepada persaudaraan serta ikatan Islam atas dasar akidah, sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah SAW. Di bumi mana sekali pun Muslim itu berada, dia wajib membuang perasaan dan semangat nasionalisme dan kembali kepada ikatan akidah Islam. Dia wajib memandang Muslim yang lain, tidak kira daripada bangsa apa pun Muslim tersebut atau di mana pun ia tinggal, sebagai saudara seakidah, yang wajib disayangi, dibantu, diselamatkan, dipersatukan, diperingatkan dan dilayan sebagai saudara, bukannya dilayan sebagai orang luar, apatah lagi dilayan sebagai musuh. Dengan cara ini, barulah setiap Muslim akan kembali menjadi seperti tubuh yang satu.

Kedua: Umat Islam wajib menolak negara-bangsa palsu yang dilakar oleh kuffar Barat ke atas dunia Islam. Sesungguhnya tidak ada perbezaan antara Muslim Malaysia dengan Muslim Indonesia, Muslim Filipina dengan Muslim Bangladesh, Muslim Pakistan dengan Muslim Turki, Muslim Arab dengan Muslim Afrika dan seterusnya. Seluruh negeri kaum Muslimin adalah negeri yang satu dan merupakan negeri kita semua. Batas sempadan negara yang wujud sekarang ini tidak lain kecuali rekaan kuffar penjajah dalam usaha mereka memecah-belahkan umat Islam dan memastikan umat Islam tidak kembali bersatu di bawah Daulah Khilafah. Justeru, jangan sekali-kali kita membezakan sesama Muslim hanya kerana perbezaan negara atau tempat tinggal, kerana sesungguhnya di bumi mana pun Muslim itu berada, ia merupakan bumi Allah yang diwariskan kepada orang-orang yang beriman.

Ketiga: Umat Islam wajib menolak para pemimpin yang mengkhianati Allah, RasulNya dan orang-orang Mukmin. Antara punca utama kepada perpecahan umat Islam yang ada sekarang ialah kerana para pemimpin yang ada, menjadi penyambung kepada tangan dan lidah penjajah. Merekalah yang telah mencampakkan penyatuan dan persaudaraan sesama Muslim. Merekalah yang mempertahankan negara bangsa yang dicipta oleh penjajah selama ini dan merekalah yang menerapkan sistem dan undang-undang sekular yang menjauhkan lagi umat daripada Islam. Pemimpin ini wajib dimuhasabah dan apabila ternyata mereka tidak mendengar, wajib diganti dengan seorang Khalifah yang akan mempersatukan semula umat Islam dengan menerapkan apa yang diturunkan oleh Allah SWT.

Keempat: Umat Islam wajib membuang penyakit wahn yang ada dalam diri masing-masing. Penyakit inilah yang telah melemahkan umat Islam, menjadikan umat Islam terpecah-belah, rapuh, senang dihanyutkan, senang dibinasakan dan tidak berguna walaupun jumlahnya ramai, malah menjadikan umat Islam sebagai santapan lazat musuh-musuhnya. Sabda Rasulullah SAW,

“Hampir tiba masa di mana pelbagai bangsa saling menyeru untuk menyerbu kalian sebagaimana orang-orang saling menyeru untuk menyerbu hidangannya. Salah seorang bertanya, ‘Apakah kerana sedikitnya jumlah kita pada waktu itu?’ Rasul menjawab, ‘Bahkan jumlah kalian pada waktu itu ramai, akan tetapi kalian laksana buih di lautan dan sungguh Allah mencabut ketakutan dan kegentaran terhadap kalian daripada dada musuh-musuh kalian dan Allah memasukkan ke dalam hati kalian al-wahn’. Salah seorang bertanya, ‘Apakah al-wahn itu wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab, ‘Cintakan dunia dan takutkan mati’” [HR Abu Daud dan Ahmad].

Khatimah

Wahai kaum Musimin! Sesungguhnya penyatuan hakiki bagi umat Islam ialah penyatuan di bawah Daulah Khilafah. Dengan Khilafah, umat Islam berada di bawah satu payung pemerintahan dan payung syariat. Negeri-negeri umat Islam akan dipersatukan dan diatur dengan aturan Allah SWT. Segala potensi dan kekuatan umat Islam di seluruh dunia akan dihimpunkan untuk mengukir kembali kejayaan Islam serta mengembalikan tanah-tanah dan pelbagai kekayaan alam kaum Muslimin yang telah dirampas oleh penjajah dan pemimpin yang khianat. Di bawah Khilafah, umat Islam akan mengibarkan bendera jihad dan panji dakwah ke seluruh dunia hingga dunia merasakan kesejahteraan dan kerahmatan hidup dalam naungan Islam. Sesungguhnya penyatuan umat Islam sedunia yang kita dambakan sejak berpuluh tahun lamanya, tidak akan dapat direalisasikan kecuali di bawah naungan Daulah al-Khilafah al-Rasyidah ‘ala minhaj nubuwwah yang dipimpin oleh seorang Khalifah.

Wallahu a’lam.