SN480 – Bukan Mengundi, Tetapi Demokrasi Yang Menjadi Punca!
SN Keluaran 29 September 2016
[SN480] Kebelakangan ini seruan dan gerakerja untuk setiap warganegara yang cukup umur mendaftar diri sebagai pengundi sedang giat dijalankan oleh beberapa parti politik pembangkang, baik yang berteraskan perjuangan bangsa mahupun Islam. Mereka bersungguh-sungguh mengajak dan merayu semua pihak yang selama ini tidak mendaftar atau tidak mengundi, agar berbuat demikian. Logiknya hanya satu, yakni untuk menumbangkan kerajaan yang sedia ada melalui jalan pilihan raya dan demokrasi. Soal siapa menang atau apa yang akan dilakukan setelah menang, atau apa akan terjadi setelah menang, ini semua soal kedua, kerana yang paling penting bagi mereka ialah menjatuhkan parti yang sedang memerintah. Berapa besarkah bilangan mereka yang tidak mengundi sehingga parti-parti tersebut berkempen habis-habisan untuk rakyat mendaftar? Menurut statistik yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat Januari 2016, seramai 17.7 juta rakyat Malaysia yang layak mendaftar sebagai pemilih/pengundi. Daripada jumlah ini, lebih kurang 4.2 juta yang belum berdaftar dan lebih kurang 60% daripadanya adalah kaum Melayu dan Bumiputera. Pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu, laporan SPR menunjukkan 84.84% atau 11,257,147 daripada sejumlah 13,268,002 pengundi berdaftar, menunaikan tanggungjawab mereka pada PRU-13. Jumlah tersebut lebih tinggi berbanding 76% atau kira-kira 8 juta orang pada PRU sebelumnya.
Dalam kempen daftar pemilih yang sedang giat diusahakan sekarang, perbezaan antara kesedaran orang Melayu dan orang Cina dalam menunaikan tanggungjawab dan memenuhi hak demokrasi masing-masing dibangkitkan. Ini kerana, secara umumnya peratusan daftar pemilih dan keluar mengundi kaum Cina terus meningkat, manakala peratusan kaum Melayu tidak demikian, malah berkurangan di banyak kawasan. Tidak sedikit pihak yang menyalahkan orang Melayu dalam hal ini dan sentimen perkauman terus dimainkan bagi membangkitkan kesedaran orang Melayu. Sebenarnya kewujudan golongan yang tidak mengundi dalam sesebuah pilihan raya bukanlah satu gejala yang aneh di mana-mana negara pun. Di Amerika Syarikat (AS) sendiri, yang kononnya dianggap paling demokratis sekalipun, golongan yang tidak mengundi sangat ramai. Sebagai contoh, pemilihan Presiden AS pada tahun 2012 lalu hanya diikuti oleh sekitar 57% pengundi. Ini bermakna terdapat 43% golongan yang tidak mengundi, walau apa pun alasannya. Di Thailand, dalam pilihan raya mereka yang lalu, jumlah mereka yang tidak mengundi mencecah lebih daripada 53%. Di Nigeria lebih besar lagi iaitu sekitar 72%. Manakala Indonesia, sebagai negara bilangan kaum Muslimin yang terbesar, pada pilihan raya presiden 2014 mencatat peratusan tidak keluar mengundi yang terbesar dalam sejarah mereka yakni sebanyak 29.8%. Keadaan yang sama terjadi di Eropah Barat, Jepun dan Amerika Latin. Pendek kata, jumlah penglibatan pemilih dalam pilihan raya di pelbagai belahan dunia memang banyak yang menurun di akhir-akhir ini. Realiti dan masalah ini sudah menjadi pembahasan yang tidak berkesudahan dalam kalangan parti dan juga pengamat politik di seluruh dunia.
Alasan Untuk Mengundi
Pelbagai alasan digunakan oleh parti pemerintah mahupun pembangkang, termasuk juga pelbagai badan dan orang-perorangan, untuk menggalakkan dan menggesa setiap orang agar mendaftar sebagai pemilih dan juga untuk keluar mengundi. Kita sering mendengar bahawa mengundi adalah hak dan kewajipan setiap warganegara yang telah cukup umur. Kita tidak habis-habis dimomokkan dengan kewajipan mengundi demi agama, bangsa dan negara. Parti pemerintah bercakap mengenai kewajipan mengundi demi untuk pembangunan, kestabilan, kesejahteraan dan segala macam kebaikan yang kononnya hanya mereka sahajalah yang berkemampuan untuk memberikan semua itu kepada rakyat, walaupun hakikatnya setelah mereka menang, janji entah ke mana dan rakyat terus ditekan dan dihisap darahnya.
Manakala di pihak pembangkang pula, lebih banyak lagi faktor-faktor yang diberi untuk menggesa rakyat agar mendaftar sebagai pemilih dan seterusnya turun padang untuk mengundi pada setiap pilihan raya. “Hak demokrasi” menjadi alasan utama yang dari sinilah idea-idea cabang akan bercambah. Kerana itu, kita sering mendengar usaha-usaha untuk memulihkan atau mengembalikan demokrasi, meletakkan suara rakyat sebagai suara keramat, mengembalikan kebebasan bersuara, kebebasan kehakiman, kebebasan media dan seumpamanya, sebagai alasan untuk mengajak rakyat mendaftar dan keluar mengundi serta memilih parti pembangkang, kerana pemerintahan yang ada sudah menjadi kuku besi.
Dalam masa yang sama, sentimen Islam turut dimainkan. Kata-kata seperti “kalau kita tak mengundi, maka kita akan beri kemenangan percuma kepada orang kafir/sekular”, “kita sudah tiada jalan lain untuk menegakkan Islam kecuali demokrasi dan pilihan raya” dan banyak lagi, malah ada pihak yang sanggup mengeluarkan fatwa bahawa haram jika tidak keluar mengundi calon yang ingin menegakkan Islam. Lebih jauh, ada yang mengeluarkan fatwa bahawa mengundi itu sama seperti jihad dan siapa yang tidak mengundi telah menolak jihad. Selain usaha-usaha seperti ini, perkara yang sudah menjadi rahsia umum dalam mengajak rakyat untuk mengundi ialah taburan dedak yang diberikan yang setakat ini berjaya menjinakkan ramai pengundi.
Kenapa Tidak Mengundi
Selain daripada tidak mendaftar diri sebagai pemilih, sesungguhnya terdapat banyak sebab untuk seseorang itu tidak mengundi atau tidak lagi mahu mengundi. Sebagai Muslim, kita tidak mahu melihat faktor-faktor tersebut dari sudut pandangan atau post-mortem yang dilakukan oleh parti-parti yang bertanding setiap kali selesai pilihan raya, kerana hal ini sudah menjadi lumrah dalam setiap pilihan raya. Faktor seperti perbalahan dalaman, tiada calon yang sesuai untuk dipilih, kelemahan calon, boikot calon, boikot parti, politik wang, fitnah, ugutan dan lain-lain, semua ini adalah hal yang berulang-ulang yang tidak akan ada penghujungnya dalam pilihan raya dalam sistem demokrasi. Sebagai Muslim yang cintakan Islam dan cintakan saudara sesama Islam, marilah kita melihat faktor-faktor lain yang lebih utama dan “berbaloi” untuk diambil kira, kenapa seseorang Muslim itu tidak mengundi.
Kita tidak boleh nafikan bahawa jumlah yang ramai yang tidak turun mengundi adalah disebabkan oleh kesedaran politik dalam diri masing-masing. Kesedaran ini muncul dari pengalaman dan pengamatan yang berulang-ulang berkenaan realiti pilihan raya. Ramai pengundi yang mahukan perubahan, namun ternyata calon mana sekalipun yang menang dalam pilihan raya, hatta calon yang pernah diundinya sendiri, tidak pernah membawa perubahan seperti yang diingini. Ada pengundi yang mengharapkan perubahan pada sesebuah kerajaan negeri yang telah bertukar pemerintahannya, namun ternyata sama sahaja dengan pemerintahan yang terdahulu. Keadaan rakyat tetap begitu, keadaan negeri tetap begitu, malah Islam pun tak dapat dilihat di negeri tersebut, sama seperti sebelumnya. Kesimpulannya, tidak ada guna mengundi calon atau parti mana pun, kerana ia tidak merubah apa-apa.
Dalam keadaan-keadaan tertentu, calon atau kawasan, atau negeri yang berjaya dikuasai, ternyata lebih buruk daripada sebelumnya. Wakil rakyat semakin kaya, semakin sombong dan semakin sukar untuk ditemui dan telah wujud satu jurang (gap) antara wakil rakyat dan rakyat. Habis madu sepah dibuang, begitulah hubungan antara wakil dan rakyat, setelah seseorang wakil itu memenangi pilihan raya. Sepanjang lima tahun sebelum tibanya pilihan raya akan datang, “wakil rakyat” hanya mementingkan aktiviti dan agenda parti, mendengar arahan parti, membawa suara parti, berkhidmat untuk parti dan berjuang untuk parti, bukan untuk rakyat. Hal ini menyedarkan rakyat untuk mengenali siapakah wakil mereka. Rakyat sebenarnya hanya “ditipu” dengan anggapan bahawa calon yang diundi adalah “wakil” mereka, sedangkan hakikatnya mereka adalah wakil parti.
Ramai juga yang sudah semakin sedar bahawa calon yang mereka pilih bukanlah secerdik yang mereka sangka. Hal ini terlihat dengan jelas daripada ucapan dan tindakan calon-calon ini, apatah lagi apabila calon ini mendapat jawatan yang besar dalam parti atau dalam kerajaan. Di zaman perkembangan teknologi yang serba canggih ini, rakyat boleh melihat dan menilai sendiri kecerdikan dan karenah calon-calon mereka. Berapa ramai daripada ahli parlimen, termasuklah menteri-menteri, yang mengeluarkan kenyataan atau ucapan yang tidak cerdik sehingga menjadi bahan lawak jenaka dalam kalangan rakyat. Ini belum masuk lagi ahli-ahli parlimen yang tidak hadir dalam sidang parlimen, tidur dalam mesyuarat, tidak pernah berhujah dan tidak pandai berhujah, melakukan perdebatan yang tidak berfaedah dalam parlimen, bertindak seperti budak-budak dan berperilaku yang memalukan dalam parlimen, yang menunjukkan kerendahan tahap pemikiran mereka, mengalahkan orang kampung yang tidak bersekolah. Semua keaiban yang terjadi berulang-ulang selama puluhan tahun ini, melahirkan kesedaran politik kepada rakyat dalam membuat keputusan untuk mengundi atau tidak.
Alasan bahawa setiap Muslim wajib mengundi calon Islam kerana jika tidak, akan memberi kemenangan percuma kepada calon sekular/kafir dan parlimen akan dipenuhi oleh mereka, pun sudah menjadi alasan yang tidak lagi dapat diterima oleh akal yang waras. Ini kerana, parti mereka sendirilah yang mencalonkan orang kafir, atau menyokong orang kafir, malah mengarahkan semua anggota parti agar mengundi orang kafir tatkala calon kafir tersebut bertembung dengan calon lain daripada parti lawan, walaupun hakikatnya calon parti lawan itu adalah Muslim! Di sini keluar alasan lain pula yakni calon kafir yang menyokong kita lebih baik berbanding calon Muslim yang menentang kita. Dalam satu masa tidak mahu memberi kemenangan kepada orang sekular/kafir, tetapi dalam masa yang sama menjalin kerjasama dengan parti sekular/kafir dan menyokong mereka. Lebih menyedihkan lagi apabila perjuangan untuk menegakkan negara Islam pun ditinggalkan hanya semata-mata kerana berkompromi dengan parti sekular/kafir. Semua ini telah mencelikkan umat dalam membuat keputusan.
Sesungguhnya umat ini mahukan Islam dan mahu melihat kejayaan parti Islam. Namun, tatkala umat melihat di satu sisi bahawa parti Islam berkempen untuk Islam, lalu di sisi yang lain, ternyata Islam yang diperkatakan itu tidak ada pada tubuh parti dan hilang daripada pandangan umat, maka kekecewaan umat tidak lagi dapat dibendung dan parti Islam itu bukan sahaja akan kehilangan dukungan, malah akan hilang kredibilitinya di mata ahlinya sendiri, apatah lagi di mata umat. Jadi, jangan salahkan umat apabila umat tidak lagi mengundi untuk parti Islam.
Kesilapan utama parti-parti Islam yang berjuang dalam demokrasi ialah apabila mereka berpandangan bahawa demokrasi merupakan sistem terbaik dan satu-satunya jalan damai untuk menerapkan Islam. Walaupun mereka akui bahawa mereka tidak mengimani demokrasi, malangnya mereka tidak sanggup untuk mengkufurinya. Mereka tetap mahu berada di bawah tempurung dengan mengatakan bahawa pilihan raya dalam sistem demokrasi adalah satu-satunya jalan menuju pemerintahan, walhal mereka tahu bahawa mereka tidak akan menang melalui jalan demokrasi. Bagaimana ingin mencapai kemenangan jika jumlah calon yang diletakkan tidak pernah mencapai separuh dari kerusi parlimen? Jadi jika calon mereka menang semuanya sekalipun, mereka tidak akan dapat memerintah. Namun, mereka sentiasa meletakkan harapan yang mereka mungkin akan menang suatu hari nanti dan menang sedikit lebih baik daripada tidak menang langsung. Dengan “harapan” inilah, ahli-ahli parti yang ikhlas boleh terus hidup dan berjuang. Namun, bagi mereka yang telah mempunyai kesedaran, mereka mula nampak betapa tidak realistik perjuangan melalui demokrasi untuk menegakkan Islam, dan mereka mula beralih arah mencari perjuangan di luar kotak demokrasi.
Di sebalik semua faktor di atas, faktor utama yang gagal difahami dan dihadam oleh golongan “penyeru undi” ini terhadap mereka yang tidak mengundi, ialah berpegangnya mereka yang tidak mengundi terhadap hukum syarak. “Hukum syarak” wajib menjadi satu-satunya pegangan dan tolok-ukur kepada setiap Muslim dalam melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan. Jika hukum syarak membenarkan sesuatu perbuatan dilakukan, maka silakan. Tetapi jika hukum syarak mengharamkan sesuatu perbuatan dilakukan, maka ia wajib ditinggalkan. Inilah faktor utama yang mesti dilihat, bukan sahaja oleh penyeru undi, malah oleh setiap Muslim yang ingin mengundi yakni, apakah hukum mengundi di dalam Islam?
Islam membenarkan pilihan raya atau pengundian, selama mana ia dilakukan sesuai dengan hukum syarak. Dalam konteks demokrasi, pilihan raya dilakukan untuk memilih wakil ke Parlimen yang akan menjalankan tiga fungsi utama yakni untuk menggubal hukum (undang-undang), melakukan semak-imbang (check and balance) dan membuat lantikan. Fungsi semak-imbang yang dilakukan terhadap perkara yang tidak melibatkan hukum seperti pembahasan mengenai pembangunan atau permasalahan rakyat, maka hal ini dibenarkan. Namun, fungsi untuk menggubal atau meminda undang-undang, baik undang-undang yang ingin digubal itu bertentangan dengan Islam atau bertepatan dengan Islam, maka hal ini adalah suatu keharaman yang nyata, kerana melalui fungsi ini, manusia telah mengambil hak Allah dalam membuat hukum. Inilah fungsi parlimen yang paling besar! Atas dasar itu, calon mana pun dan pengundi mana pun, yang mencalonkan diri atau mengundi calon yang akan melakukan keharaman, maka hukumnya juga haram. Inilah (hukum syarak) satu-satunya faktor yang wajib dipegang oleh setiap Muslim dalam soal ini, mahupun soal lainnya.
Khatimah
Sesungguhnya masalah utama umat Islam bukanlah masalah mengundi. Penderitaan yang dialami oleh umat Islam bukan kerana ramainya yang tidak mendaftar atau tidak keluar mengundi. Kesilapan besar parti politik Islam ialah apabila memfokuskan perjuangan kepada pilihan raya dan untuk mendapatkan undi. Silap besar apabila yang menjadi target perjuangan ialah Putrajaya. Masalah utama umat Islam ialah hukum syariat yang tidak diterapkan dalam kehidupan, baik secara individu, masyarakat dan lebih-lebih lagi negara. Kebanyakan negeri umat Islam menerapkan sistem demokrasi-kapitalis yang merupakan sistem kufur yang berasal dari Barat. Inilah punca kesengsaraan umat Islam. Jadi, sistem yang penuh dengan kebatilan ini wajib diganti dengan sistem Islam dan amat penting untuk difahami bahawa untuk menggantikan sistem kufur ini, bukan dengan jalan mengambil sistem ini, atau melalui sistem ini. Selain haram, umat Islam tidak akan menang melalui jalan demokrasi dan hal ini sudah terang lagi bersuluh. Umat Islam tidak akan menang apabila bermain di padang musuh dengan segala peraturan ditentukan oleh pihak musuh. Kemenangan umat Islam akan tiba hanya apabila umat Islam keluar dari padang musuh dan bermain di padang sendiri, menurut peraturan yang Allah SWT tetapkan. Wallahu a’lam.