SN484 – Ahok : Antara Bukti Demokrasi Bertentangan Dengan Islam

PDF

SN Keluaran 11 November 2016

[SN484] Sejak perhimpunan reformasi pada tahun 1998 yang menyaksikan jatuhnya Presiden Suharto di Indonesia, rakyat Indonesia melakukan perhimpunan terbesar pada 4 November 2016 bagi mendesak pihak polis menangkap dan menghukum Gabenor DKI Jakarta, Basuki Tjahya Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok, kerana menghina kitab suci al-Quran. Ratusan ribu, malah ada yang menganggarkan lebih sejuta umat Islam berhimpun dan melakukan perarakan sebaik selesai solat Jumaat, dari Masjid Istiqlal menuju ke istana Presiden yang berada di Jalan Medan Merdeka Utara, Jakarta Pusat. Demonstrasi atas nama “Bela al-Quran” itu menyaksikan umat Islam dari seluruh pelosok Indonesia berhimpun di tengah-tengah kota Jakarta bagi menunjukkan solidariti dan kecintaan mereka terhadap al-Quran yang dihina oleh Gabenor Jakarta yang beragama Kristian itu. Seramai 16,000 anggota polis dan 2,000 tentera dikerahkan mengawal perhimpunan dengan persiapan lengkap untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Demonstrasi aman terbesar itu membuktikan kepada kita bahawa ruh penyatuan masih tersemat kukuh di dada umat Islam di saat perpecahan yang telah lama melanda. Tanpa mengira latar belakang, tempat tinggal, gerakan yang diwakili dan pelbagai cabaran yang wujud, kaum Muslimin tetap dapat berhimpun atas tujuan yang satu. Akhlak dan ukhuwwah Islamiyyah yang ditunjukkan oleh para peserta di sepanjang perhimpunan itu memang wajar dipuji. Sesungguhnya inilah yang kita semua mahukan, yakni umat Islam bangkit dan bersatu apabila al-Quran dan Islam dihina. Malah lebih dari itu, kita mahukan umat Islam turut bangkit dan bersatu apabila maruah mereka dihina, apabila hatta salah seorang Muslimah dihina, apabila umat Islam dizalimi, apabila negeri umat Islam dijajah dan diperlakukan sewenang-wenangnya oleh orang kafir dan sebagainya yang menyentuh isu umat Islam. Perhimpunan yang mendapat liputan meluas ke peringkat antarabangsa itu mula dilihat oleh dunia sebagai penolakan kaum Muslimin, bukan sahaja terhadap si penghina al-Quran, tetapi terhadap pemerintah kafir. Hal inilah sebenarnya yang mula menggentarkan puak-puak kuffar yang memusuhi Islam.

Islam Mengharamkan Pemimpin Kafir

Walaupun ada suara-suara daripada orang Islam sendiri yang menyokong Ahok atas nama demokrasi, namun Hizbut Tahrir Indonesia (HTI) bergerak aktif untuk menyedarkan dan mengembalikan umat ke landasan yang benar bahawa umat Islam haram dipimpin oleh orang kafir. Isunya di sini bukanlah isu “etnik” (Cina), tetapi isu “agama” yang menjadi dasar kepada penolakan seseorang pemimpin oleh Islam. Islam mengharamkan orang kafir menjadi pemimpin, tidak kira etnik apa sekali pun dia.

Atas dasar itu, HTI terus menerus menjelaskan dan menggerakkan umat Islam di Indonesia dengan melakukan pelbagai ceramah, diskusi dan siri-siri demonstrasi di pelbagai daerah, untuk menolak Ahok. Bertitik tolak dari situ, Ahok mula kepanasan sehingga dalam ucapannya di Kepulauan Seribu, dia menganggap bodoh siapa yang mempercayai Surah al-Maidah ayat 51 yang mencegah orang kafir daripada menjadi pemimpin, satu ucapan yang sangat jelas menghina ayat-ayat Allah SWT. Walaupun Ahok dilaporkan meminta maaf selepas itu, namun keceluparan  Ahok dalam kes penghinaan ini tidak dapat diterima oleh umat Islam. Desakan demi desakan dilakukan oleh HTI bersama umat Islam Indonesia agar pihak polis menangkap dan mengambil tindakan ke atas Ahok, namun tidak diendahkan oleh pihak berkuasa negeri Muslim terbesar itu. Akhirnya ia membawa kepada demonstrasi terbesar 4 November lepas, yang masih memanas hingga ke saat ini.

Walaupun ada segelintir umat Islam cuba mempertahankan Ahok atas nama demokrasi, namun majoriti umat yang mulia ini faham bahawa Islam mengharamkan pengangkatan pemimpin dan penguasa kafir ke atas kaum Muslimin. Dalam Islam, pemerintahan dan kepimpinan merupakan satu amanah dan ia merupakan amanah yang besar lagi berat yang akan dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT di akhirat kelak. Seseorang pemimpin itu dilantik untuk menegakkan agamaNya, menegakkan syariahNya, meninggikan kalimatNya, menjaga pelaksanaan hududNya, melancarkan jihad ke atas musuh-musuhNya, melakukan futuhat (pembukaan) negeri-negeri baru dan melindungi agama serta umat Islam daripada sebarang penjajahan, ancaman dan penghinaan.

Ringkasnya, dalam Islam, seseorang pemimpin atau pemerintah (dan apa sahaja jawatan yang terkait dengan pemerintahan) dilantik untuk menerapkan syariah Allah secara kaffah dan membawa agama Allah ke seluruh alam demi mewujudkan rahmatan lil ‘alamin. Maka, mana mungkin orang kafir yang mengkufuri al-Quran, yang mensyirikkan Allah SWT, yang tidak mengimani Islam, apatah lagi yang menghina al-Quran, dilantik untuk menegakkan agama Allah?! Bagaimana mungkin mengangkat penghina al-Quran untuk menjadi penegak hukum al-Quran?!

Di dalam al-Quran al-Kareem, Allah SWT telah menyatakan dengan cukup tegas akan keharaman orang kafir menjadi pemimpin bagi kaum Muslimin. FirmanNya,

“Allah sekali-kali tidak akan memberikan jalan kepada orang kafir untuk menguasai orang Mukmin” [TMQ al-Nisa’ (4):141].

Allah SWT menggunakan lafaz “lan” berupa huruf nafy al-istimrar yang bermakna “penafian untuk selamanya” yang menunjukkan betapa tegasnya keharaman bagi Muslim untuk dikuasai oleh orang kafir. Menjadikan orang kafir sebagai penguasa bererti menjadikan mereka menguasai orang-orang beriman, inilah antara situasi yang diharamkan oleh Allah SWT. Dalam ayat lain, Allah SWT melarang kita menjadikan orang kafir sebagai wali melalui firmanNya,

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kalian menjadikan orang kafir sebagai wali, selain orang Mukmin” [TQM al-Nisa’ (4):144].

Perlu difahami bahawa penolakan Islam terhadap orang kafir sebagai pemimpin, bukan bermakna kita mesti memusuhi orang kafir, boleh menindas atau menghina mereka sesuka hati. Jika ia adalah kafir harbi yang memusuhi Islam, maka ya ia mesti dimusuhi dan diperangi. Namun, jika ia adalah kafir mu’ahid (yang ada perjanjian), maka ia diperlakukan sesuai dengan perjanjian. Manakala jika ia adalah kafir dzimmi (warganegara), ia diperlakukan sebagaimana warganegara Muslim yang lain, malah haram untuk menyakitinya. Namun, jika siapa pun yang menghina al-Quran, menghina Islam atau menghina Rasulullah SAW, maka ia mesti dihukum oleh negara. Justeru, penolakan umat Islam terhadap Ahok atas kapasitinya sebagai Gabenor (salah satu jawatan dalam pemerintahan) selaku pemimpin kafir, merupakan suatu kewajipan yang jelas lagi nyata. Apatah lagi penghinaannya ke atas kitab suci al-Quran yang merupakan Kalamullah, adalah merupakan penghinaan kepada Pemilik Kalam itu sendiri (Allah SWT) yang tidak boleh didiamkan begitu sahaja oleh pemerintah!

Wujudnya Ahok Kerana Sistem

Usaha menolak Ahok daripada terus menjadi pemimpin kaum Muslimin memang wajib dilakukan. Cuma, persoalan penting yang perlu difahami kaum Muslimin ialah bagaimanakah orang seperti Ahok boleh muncul di arena politik dan berada hingga di tahapnya sekarang di negeri dan kawasan yang majoritinya adalah Muslim? Ahok mula naik ke pentas politik sejak menjadi Bupati (Ketua Daerah) Belitung pada 2005, lalu kemudian menjadi anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) (2009-2014), Wakil Gabenor (2012-2014) dan Gabenor DKI Jakarta (2014 hingga kini). Umum mengetahui bahawa Ahok merancang untuk sekali lagi mencalonkan diri sebagai Gabenor DKI Jakarta pada pilihan raya 2017 nanti.

Sekiranya anak kelahiran Belitung Timur penganut Kristian Protestan itu berjaya kembali menjadi Gabenor DKI Jakarta pada tahun depan, maka hal itu akan memperbesar peluangnya untuk masuk bertanding sebagai calon Wakil Presiden pada pilihan raya Presiden 2019 yang akan datang. Dalam pilihan raya tersebut, Ahok diramal akan terus mendampingi Presiden Jokowi yang sudah pasti akan mencalonkan diri sekali lagi sebagai Presiden untuk penggal 2019-2024. Dalam tempoh waktu itulah Ahok dijangka akan meneruskan agendanya untuk meniti jalan menuju takhta Presiden, yang membolehkannya menguasai keseluruhan kaum Muslimin di Indonesia. Ringkasnya, semua kejayaan Ahok tersebut telah dicapai dan boleh dicapai melalui pilihan raya dalam sistem demokrasi yang diamalkan di Indonesia.

Di sinilah umat Islam perlu sedar bahawa orang seperti Ahok boleh muncul di pentas politik, boleh berada di bidang pemerintahan, malah boleh naik hingga ke tahap tertinggi dalam pemerintahan sesebuah negara, kerana sistem demokrasi yang membenarkannya! Sistem demokrasilah yang memberi ruang dan peluang, sebebas-bebasnya kepada orang kafir, siapa pun dia, untuk berada di pemerintahan. Sistem demokrasilah yang telah memberi kebebasan kepada Ahok untuk menghina al-Quran, sama sebagaimana orang-orang kafir Barat yang menghina al-Quran, menghina Rasulullah SAW dan menghina kaum Muslimin, tanpa apa-apa tindakan diambil ke atas mereka, kerana sistem demokrasi, atas nama kebebasan bersuara, membenarkan semua itu.

Sistem demokrasi bukan sahaja membenarkan orang kafir menjadi pemerintah, ia juga membenarkan perempuan menjadi pemerintah, sebagaimana Megawati berjaya menjadi Presiden kelima Indonesia pada tahun 2001-2004. Sistem ini juga membenarkan ekonomi ribawi, saham, insurans, perjudian dan segala keharaman lainnya berjalan dalam negara. Sistem demokrasi juga memberikan kebebasan kepada para penganut LGBT untuk melakukan amalan keji mereka tanpa diambil apa-apa tindakan. Sistem ini juga membenarkan perempuan tidak bertudung dan lelaki berseluar pendek berjalan di tempat awam tanpa diambil apa-apa tindakan. Sistem ini juga “membenarkan” mana-mana Muslim keluar (murtad) dari agamanya, tanpa diambil apa-apa tindakan. Sistem demokrasilah yang memberikan kuasa kepada manusia untuk membuat hukum, dengan mengambil hak Allah SWT sebagai Pembuat hukum. Pendek kata, banyak perkara yang diharamkan oleh Islam, dibenarkan oleh sistem demokrasi!

Di sinilah letaknya pertentangan yang amat jelas antara sistem demokrasi dan sistem Islam. Tatkala Islam mengharamkan sesuatu, maka demokrasi membenarkannya! Sungguh malang apabila masih ada umat Islam yang tidak nampak pertentangan ini dan masih berpegang teguh kepada sistem demokrasi sehingga sanggup berhujah bahawa kita tidak ada pilihan dan mesti tunduk kepada sistem kufur ini. Golongan ini adalah golongan yang tunduk kepada realiti dan menundukkan Islam dengan realiti, sehingga mereka terjerumus ke dalam kejumudan berfikir dan keharaman yang nyata. Padahal, realiti itulah yang mesti ditundukkan kepada Islam, bukannya Islam yang perlu tunduk kepada realiti. Sistem yang haram itulah yang perlu diubah dan dihapuskan, bukan Islam yang perlu berubah atau diubah suai mengikut sistem tersebut, sebagaimana Rasulullah diutus dalam sistem Jahiliyyah, lalu baginda berusaha mengubah dan menghapuskan sistem Jahiliyyah, bukannya tunduk atau mengubah suai Islam kepada sistem Jahiliyyah!

Perhimpunan terbesar umat Islam di kota Jakarta itu juga menyaksikan bagaimana demokrasi merupakan satu pembohongan besar kepada kita dan kepada dunia. Demokrasi yang kononnya mengambil kira suara majoriti rakyat dengan falsafahnya ‘suara rakyat suara keramat’, ternyata tidak pernah mempedulikan suara rakyat! Dengan lebih sejuta rakyat berhimpun untuk mendesak pemerintah menangkap pesalah, pemerintah bukan sahaja tidak melakukan apa-apa, malah terus melindungi si pesalah. Jadi, suara siapa yang didengar dan menjadi keramat sebenarnya?

Justeru, umat Islam wajib bergerak untuk menolak dan membuang sistem demokrasi ini sejauh-jauhnya, bukan hanya menolak Ahok. Ini kerana selagi sistem ini ada, bukan seorang, bukan sepuluh, malah seratus Ahok pun boleh muncul dan boleh dimunculkan oleh sistem kufur ini. Umat Islam juga perlu sedar bahawa Ahok hanyalah satu dari ribuan masalah yang muncul dari sistem demokrasi yang penuh kerosakan ini. Umat Islam perlu sedar bahawa di belakang Ahok adanya sistem yang melindunginya, malah ada orang nombor satu di Indonesia yang melindunginya, manakala di belakang orang nombor satu tersebut, ada pula pengganas nombor satu dunia yang melindunginya.

Umat Islam juga perlu sedar bahawa Jokowi merupakan penyumbang terbesar kepada segala kejahatan, kerosakan dan penderitaan yang berlaku di Indonesia, hasil daripada sistem demokrasi yang diterapkan. Walaupun Indonesia kaya dengan sumber alam, namun ternyata hasilnya mengalir keluar kepada asing dan Indonesia tetap menjadi negeri termiskin dengan puluhan juta penduduknya berada di bawah paras kemiskinan dan menganggur. Indonesia juga, sebagaimana Malaysia dan negeri-negeri Muslim lainnya mencatatkan statistik rasuah, penyelewengan dan jenayah yang tinggi, selain kadar anak luar nikah, LGBT dan masalah sosial lainnya yang sentiasa meningkat. Semua ini adalah hasil penerapan sistem demokrasi oleh pemerintah. Di sinilah umat Islam perlu sedar bahawa masalah dalam negeri umat Islam bukan hanya pada Ahok, bukan hanya pada Jokowi, malah pada kesemua pemerintah kaum Muslimin yang tidak berhukum dengan hukum al-Quran. Atas dasar itu, mereka ini mesti “dihukumi” oleh umat Islam, sebelum mereka dihukumi dengan lebih berat oleh Allah SWT.

Khatimah

Kita mendoakan agar Allah SWT memberkati demonstrasi aman yang dilakukan oleh kaum Muslimin di Jakarta dan menggagalkan sebarang usaha orang kafir untuk menguasai kaum Muslimin. Dalam masa yang sama kita mengharapkan umat Islam terus bangkit dan membela al-Quran, bukan hanya apabila ia dihina, tetapi apabila hukum al-Quran tidak diterapkan, apabila hukum al-Quran dicampak dan dibakulsampahkan oleh pemerintah yang sekular. Kita mengharapkan umat Islam terus bangkit dan berusaha untuk menggantikan sistem demokrasi berdasarkan perlembagaan penjajah ini kepada sistem Islam berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah, kerana hakikatnya sistem kufur inilah yang menjadi punca kepada masalah dalam dunia Islam. Kita berdoa dan mengharapkan semoga momentum penyatuan umat Islam dan sayangkan al-Quran ini akan terus dipertahankan sehingga keseluruhan hukum-hukum al-Quran dapat ditegakkan dalam bingkai Negara Khilafah Islamiyyah, yang juga wajib menjadi objektif bersama umat Islam, untuk didirikan. Amin ya Rabbal alamin.