SN517 – Refleksi 2017 : Peristiwa Antarabangsa

PDF

SN Keluaran 3 Rabi’ul Akhir 1439H/22 Disember 2017

SN517 - Refleksi 2017 : Peristiwa Antarabangsa

[SN517] Tahun 2017 sudah hampir sampai ke penghujungnya. Pelbagai peristiwa telah berlaku di sepanjang tahun ini yang mana Barat, terutamanya Amerika Syarikat, mengakari segenap permasalahan dunia, terutamanya yang melibatkan kaum Muslimin dan dunia Islam. SN kali ini mengimbas beberapa peristiwa penting yang telah terjadi di arena antarabangsa sepanjang tahun 2017.

Pemilihan Presiden Donald Trump

Salah satu peristiwa yang memeranjatkan dunia antarabangsa adalah perlantikan Donald Trump sebagai Presiden Amerika yang ke-45 pada 20 Januari 2017 menggantikan Barack Obama. AS sebagai sebuah negara imperialis, akan terus berusaha  untuk menjajah negara lain melalui jalan ketenteraan serta pelbagai polisi luar negaranya seperti kerjasama ekonomi mahupun pakatan ketenteraan [Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Konsep Politik Hizbut Tahrir].

AS tetap konsisten dalam usaha ini meskipun pendekatan yang digunakan oleh Parti Democrat dan Parti Republican dalam memerangi umat Islam adalah berbeza. Obama membunuh kaum Muslimin menggunakan alat drone manakala George Bush (Sr. dan Jr.) melancarkan perang secara langsung ke atas umat Islam di Iraq dan Afghanistan.

Dalam memusuhi umat Islam, Trump tidak ada bezanya. Sejurus selepas Trump menerima kekuasaan, beliau mengharamkan kemasukan pelarian daripada lima negara umat Islam dengan alasan bahawa kemasukan pelarian akan meningkatkan keganasan di AS. Trump juga meneruskan legasi Bush Jr. dengan memberikan komitmen untuk menambahkan jumlah anggota tentera AS di Afghanistan bagi menghadapi keadaan yang semakin meruncing. Selain itu, Trump secara konsisten menunjukkan kebenciannya terhadap umat Islam dengan pelbagai respon Islamofobianya terhadap peristiwa-peristiwa yang berlaku di seluruh dunia. Apapun, Trump dijangka akan terus komited untuk meneruskan perang ke atas keganasan (war on terror) [baca: perang ke atas Islam dan umat Islam] yang dahulunya dimulakan oleh Bush Jr. yang telah mengorbankan 1.3 juta sehingga 2 juta nyawa umat Islam sejak 2001, menurut sebuah kajian yang dijalankan oleh Physicians for Social Responsibly di Washington pada tahun 2015.

Pengiktirafan Al-Quds sebagai ibu negara Israel

Sekali lagi Donald Trump membuktikan sikap anti-Islamnya apabila beliau mencabar aqidah umat Islam dengan mengisytiharkan Al-Quds sebagai ibukota negara zionis Yahudi. Peristiwa tersebut menerima tentangan dan bantahan yang luar biasa daripada umat Islam seluruh dunia. Memang tidak dapat dinafikan bahawa negara zionis Yahudi menyimpan hasrat untuk menjadikan Al-Quds sebagai ibukota mereka sejak negara haram Israel didirikan pada tahun 1948. Pengisytiharan Trump ini hakikatnya telah membongkar sikap para penguasa umat Islam yang telah dengan mudah menyerahkan Al-Quds kepada negara zionis Yahudi. Ini bukanlah suatu yang menghairankan disebabkan hampir kesemua mereka merupakan boneka AS.

Sikap para penguasa umat Islam yang ada pada hari ini adalah jauh berbeza daripada sikap Khalifah Uthmaniyyah Abdul Hamid II yang gagal dirasuah oleh Yahudi Zionis pada tahun 1901 dengan berkata “Jika Daulah Khilafah Uthmaniyyah dimusnahkan satu hari nanti, maka mereka (Yahudi) boleh mengambil Palestin tanpa membayar harganya. Akan tetapi sementara aku masih hidup aku lebih rela menusukkan pedang ke tubuhku daripada melihat tanah Palestin dikhianati dan dipisahkan dari Daulah Islamiyyah”.

Krisis Syria

Dunia tidak pernah sunyi daripada bermacam berita yang cukup menyayat hati dari Syria. Krisis Syria yang telah berterusan selama tujuh tahun menyaksikan kejatuhan kubu terkuat para pejuang yang menentang rejim Assad – kota Aleppo (Halab) yang terletak berhampiran sempadan Syria-Turki. Kejatuhan Aleppo sebenarnya telah diatur sejak tahun 2016 lagi dengan beberapa pertemuan penting melibatkan menteri luar AS dan Rusia iaitu John Kerry (AS), Sergei Lavrov (Rusia) dan Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu.

Krisis Syria telah membuktikan kegagalan AS dalam mengatur penggantian rejim Assad sebagai pemerintah Syria. Umat Islam di Syria telah menolak segala penyelesaian AS untuk mencari pengganti bagi Bashar Assad, dan akhirnya AS terpaksa menerima kegagalannya di Syria.

 Campur tangan Rusia di Syria adalah untuk menyelamatkan rejim Assad daripada tumbang dan Syria daripada jatuh ke tangan para pejuang. Perkara ini dipersetujui oleh AS kerana setelah menempuh kegagalan demi kegagalan, AS berpandangan adalah lebih baik Syria berada di bawah kuasa Assad daripada jatuh ke tangan para pejuang yang ingin mendirikan semula kekuasaan Islam. Oleh itu, adalah tidak menghairankan apabila AS tidak menggunakan kuasa vetonya untuk membantah campur tangan Rusia di Syria sejak September 2015.

Rusia juga sebuah negara kafir yang sejak dahulu menentang Daulah Khilafah dan hingga kini akan tetap menentang kembalinya Daulah Khilafah Islamiyyah. Sejarah membuktikan bahawa Rusia bukanlah merupakan negara penjajah yang boleh bertahan lama di tempat jajahannya [ Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Konsep Politik Hizbut Tahrir].  Dengan itu, umat Islam tidak boleh berputus harapan dengan apa yang berlaku di Syria. Kaum Muslimin harus terus berusaha mengembalikan semula Daulah Khilafah Islamiyyah dan terus menentang segala usaha jahat musuh-musuh Islam yang menghalang kembalinya perisai kaum Muslimin ini.

2017 juga menyaksikan tamatnya peranan kumpulan Daulah Islam as-Syam wal Iraq (DAESH) di Syria dan Iraq. Barat nampaknya sudah tidak lagi memerlukan DAESH di dalam konflik ini dan menamatkan peranan mereka melalui tentera Kurdi dan Iraq.

Krisis Korea Utara (KU)

2017 menyaksikan negara kecil Korea Utara (KU) memenuhi ruang berita utama dunia dengan pelbagai ujian nuklear dan peluru berpandunya yang membimbangkan kuasa besar seperti AS. Terkini, KU telah mengadakan ujian peluru berpandu Hwasong-15 yang mampu membawa peledak nuklear sampai ke seluruh AS. Meskipun AS dan sekutunya secara berterusan meminta KU untuk duduk di meja perundingan, negara kecil ini secara konsisten menolak perbincangan dengan AS.

KU nampaknya tidak percaya dengan AS dan hakikatnya mereka mempunyai sebab yang kuat untuk memiliki persepsi ini. KU telah menyaksikan bagaimana AS telah menghancurkan negara umat Islam semata-mata untuk mengubah rejim yang memerintah. KU berpandangan bahawa hanya dengan memiliki senjata nuklear AS tidak akan berani untuk mengubah rejim Kim Jong-un.  Rasional ini ada benarnya. Namun begitu, dalam konteks yang lebih luas, jika dilihat dari aspek pengaruh ke atas dunia, dengan hanya berbekalkan senjata nuklear sesebuah negara tidak akan mampu mendominasi dunia.

Asas yang menjadikan sesebuah negara itu mampu memperluaskan pengaruhnya adalah komitmennya dalam menerapkan, mempertahankan dan mengembangkan ideologinya. AS memiliki senjata nuklear serta kekuatan ketenteraan dan pada masa yang sama mengembangkan dan memaksakan segenap aspek ideologi kapitalismenya ke atas dunia.  Hak kebebasan, demokrasi, kesamarataan gender, lesbian gay bisexual transgender (LGBT), penggunaan dolar AS dalam pelbagai urusniaga kritikal, pakatan perdagangan bebas (free trade pact) dan pelbagai pemikiran dan polisi lainnya merupakan senjata yang jauh lebih ampuh dalam menguasai dunia. Apapun, meskipun konflik KU-AS tidak melibatkan umat Islam, namun keberanian negara kecil seperti KU harus membuka mata umat Islam!

Masalah pelarian Rohingya

Konflik di wilayah Arakan telah menyaksikan beribu-ribu pelarian membanjiri negara jiran Bangladesh kerana melarikan diri daripada kekejaman tentera Myanmar dan ekstremis Budha. Tahun 2017 merupakan tahun yang mana peristiwa ini telah mendapat liputan meluas, sehinggakan umat Islam di seluruh dunia mengadakan protes besar-besaran mengutuk kekejaman Myanmar ke atas etnik umat Islam Rohingya. Hakikatnya, solusi terhadap masalah ini telah dijelaskan sejelas-jelasnya oleh Allah SWT di dalam al-Quran:

“Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya. Dan sesungguhnya Allah, benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu” [TMQ al-Hajj: 39]

Oleh itu, umat Islam yang mempunyai kekuasaan ketenteraan wajib melancarkan jihad terhadap kezaliman kafir harbi Myanmar, bukan dengan menyerahkan umat Islam untuk dibunuh sewenang-wenangnya.

Iktibar

Pelbagai peristiwa yang berlaku di sepanjang 2017 sewajarnya memberi pengajaran bahawa umat ini mesti kembali bersatu. Ini kerana sudah jelas bahawa PBB akan terus membiarkan umat Islam diperangi dan OIC hanya akan terus bersidang tanpa sebarang langkah penyelesaian. Kita juga harus sedar bahawa sempadan Negara Bangsa telah membuatkan tiada pemimpin dan negara yang mampu mengambil langkah yang konkrit untuk menghentikan kezaliman demi kezaliman yang menimpa umat Islam. Perkara ini cukup membuatkan kita berasa amat terdesak untuk mengembalikan semula sebuah Negara Khilafah. Negara inilah yang akan mampu mengambil pelbagai langkah diplomatik dan ketenteraan untuk menghentikan segala penghinaan dan kezaliman terhadap umat Islam.