SN523 – Perlantikan Pemimpin Dalam Islam

Bil: SN523 – 16 JAMADIL AWAL 1439 / 2 FEBRUARI 2018

SN523 - Perlantikan Pemimpin Dalam Islam

Perselisihan  pendapat pelantikan anggota kabinet sering menimbulkan polemik dan persoalan kerana ada pendapat mengatakan semua anggota kabinet mesti dibarisi mereka yang beragama Islam. Sesungguhnya, Islam meletakkan kepimpinan sebagai perkara yang sangat kritikal menuju rahmatan lil a’alamin serta merupakan jalan terbesar untuk memimpin umat. Menerusi pendekatan berdasarkan wahyu ini keadilan, kesejahteraan, keamanan, dan kesucian hanya terwujud dengan seruan amar ma’ruf nahi mungkar berasaskan syariat Islam. Bagaimana mungkin seorang pemimpin kafir dapat melaksanakan segala perintah dan meninggalkan larangan Allah SWT. Maka sudah pasti jawatan pemerintah dalam negara umat Islam wajib kalangan Muslim yang diketuai seorang Khalifah dalam melaksanakan penerapan hukum-hakam syarak. Hal ini sesuai dengan dua prinsip asas dalam sistem pemerintahan Islam (Khilafah) yang telah dijelaskan dalam siri SN yang lalu iaitu kedaulatan ialah milik syarak (As-siyadah li asy-syar’i) dan kekuasaan adalah di tangan rakyat (As-sulthan li al-ummah).

Pemimpin Wajib Seorang Muslim

Sebahagian umat Islam masih keliru dalam membezakan dua aspek utama pemerintahan Islam iaitu bidang pemerintahan (al-hukm) dan bidang pentadbiran/administrasi (al-idarah). Badan pemerintah merupakan pihak yang berkuasa membuat dan menetapkan polisi serta undang-undang negara. Islam secara jelas telah menetapkan jawatan pemerintah harus memenuhi tujuh syarat in’iqad (keabsahan) iaitu Muslim, lelaki, baligh, berakal, adil, merdeka dan mampu. Selain Khalifah, syarat ini terpakai terhadap pegawai yang memegang tugas pemerintahan seperti Muawin Tafwidh (Pembantu Pemerintahan), Wali (Gabenor), Amil (Ketua Daerah) serta mereka yang terkait rapat dengan Khalifah seperti Muawin Tanfiz (Pembantu Pentadbiran), Qadhi Qudhat (Ketua Hakim) dan juga Qadhi Mazhalim (Hakim Kezaliman). Al-Quran menggunakan perkataan “Wazir” dengan makna bahasa iaitu pembantu (Mu’awin) [TMQ Taha (20): 29]. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis, sirah, dan fiqh siyasah dengan konotasi pembantu Khalifah. Mu’awin adalah pembantu khalifah yang meliputi seluruh tugas pemerintahan tanpa kecuali. Syarat Muslim bagi semua jawatan yang melibatkan pemerintahan tersebut ialah berdasarkan firman Allah SWT,

“Dan Allah sekali-kali tidak akan menjadikan jalan bagi orang-orang kafir untuk menguasai orang-orang mukmin” [TMQ an-Nisa’ (4):141].

Ibnu Mundzir juga menegaskan dengan berkata; “Seluruh ahli ilmu bersepakat bahawa orang kafir sama sekali tidak boleh menjadi pemimpin bagi kaum Muslim dalam keadaan apa pun” [Ibn Qayyim Al-Jauziyyah, Ahkam Ahl Al-Dzimmah, jilid II hlm. 414].

Meskipun, Imam al-Mawardi di dalam kitabnya Adab Al-Wazir mengharuskan perlantikan bukan Muslim dalam jawatan Mua’win Tanfiz, namun, Hizbut Tahrir mengambil posisi berbeza dengan hujah bahawa kedudukan Mua’win Tanfiz sebagai bithanah (orang kepercayaan)  kepada Khalifah dan mengetahui pelbagai rahsia urusan pemerintahan, maka sewajibnya beliau seorang Muslim. Allah SWT melarang umat Islam mengambil bithanah kalangan non-muslim seperti dalam firman-Nya: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kalian mengambil orang-orang di luar daripada kalangan kalian sebagai teman kepercayaan (bithanah) kalian; (kerana) mereka tidak henti-henti menimbulkan kemudaratan bagi kalian…” [TMQ Ali- Imran(3):118].

Menjawab Syubhah

Sebahagian cendekiawan Islam mengambil sikap pragmatik mengharuskan non-Muslim dilantik menjadi pemerintah dengan dalil daripada surah al-Mumtahanah ayat 8. Hakikatnya, perintah untuk berbuat baik dan berlaku adil kepada bukan Islam  dalam ayat itu lebih bersifat umum dan tidak termasuk hak menjadi pemerintah.

Malah ada pihak yang menuduh Imam Ibnu Taimiyyah dengan mengatakan tulisannya dalam Majmu’ Al-Fatawa –  Boleh melantik pemimpin kafir yang adil berbanding muslim yang bersifat zalim. Hakikatnya, dalam nukilan tersebut, Ibnu Taimiyyah secara jelas mengutip ungkapan pihak lain, bukan pendapatnya sendiri. Bahkan keadilan dalam Islam adalah dengan menuruti syariat Allah SWT.

Namun, bukan Islam (kafir zimmi) mempunyai hak yang cukup luas sama seperti umat Islam di  negara Khilafah malah,  boleh menjadi ahli majlis umat serta memegang jawatan kepimpinan pelbagai sektor pentadbiran kecuali yang terkait dengan aspek pemerintahan.

Umat Islam sering dilabel ekstremis dan perkauman apabila menegakkan hujah kenegaraan berdasarkan akidah, sedangkan hal tersebut adalah manifestasi ketaatan kepada wahyu dan keinginan untuk menerapkan syariat. Patuh kepada syariat pasti menuai maslahat tidak mengira urusan peribadi, masyarakat dan negara baik di dunia atau akhirat.

Rujukan: Ajhizah ad-Daulah al-Khilafah, Hizbut Tahrir.


KOLUM TSAQAFAH

BAIAH

Kata baiah merupakan isim musytarak (kata yang memiliki banyak erti). Dari segi lughah (bahasa) Arab, baiah  antaranya digunakan membawa ertias-sofqatu ‘ala ijabi al-bai’(huluran tangan sebagai tanda persetujuan jual-beli),al-mubaya’ah wa at-ta’ah(pemberian kekuasaan dan ketaatan),‘ahada (membuat perjanjian) [Lisanul Arab, Ibnu Manzur]. Inilah makna baiah mengikut sudutlughah. Namun, as-Sunnah  memperjelas dan memperincikan lagi makna dan hakikat baiah ini.Af’al(perbuatan) Rasulullah SAW dan para sahabat menunjukkan bahawa baiah merupakan perjanjian atau ketaatan yang diberikan umat kepada penguasa bagi mematuhi perintah dan larangan penguasa selagi penguasa (pemerintah)  melaksanakan pemerintahan  berdasarkan wahyu. Sesuai dengan firman Allah SWT,

“Sesungguhnya orang-orang yang berbaiat (memberi pengakuan taat setia) kepadamu, sesungguhnya mereka berbaiat kepada Allah; Tangan Allah di atas tangan mereka” [TMQ al-Fath (48:10].

Sabda Nabi SAW, Imam Bukhari meriwayatkan dari Ubadah bin Samit, ia berkata;

“Kami telah berbaiah kepada Nabi SAW untuk sentiasa mendengar dan mentaati perintahnya, baik dalam keadaan yang kami senangi mahupun yang tidak kami senangi dan kami tidak akan merebut kekuasaan dari yang berhak dan agar kami senantiasa mengerjakan atau mengatakan yang haq di mana pun kami berada, tidak takut kerana Allah akan celaan dari orang-orang yang mencela”

Baiah hendaklah dibezakan denganal-yamin/qasam(sumpah) kerana keduanya tidak sama dan mempunyai hukumnya tersendiri di dalam Islam. Menamakan semua jenisqasam, perjanjian dan pelantikan (taqlid) dengan istilah baiah adalah tidak tepat, sedangkan rujukan menerusi kitab-kitab fiqh membawa kepada perbincangan baiah selepas zaman kenabian  khusus mengenai isu pelantikan Khalifah atau Imamah. Berdasarkan praktik Sunnah Rasul SAW dan para Khulafa’ ar-Rasyidun, sebenarnya baiah terbahagi kepada dua jenis iaitu baiah pengangkatan (in’iqad) dan baiah ketaatan (ta’ah). Baiah pengangkatan menjadi kewajiban sebagai pengesahan jawatan Khalifah (Imam) sedangkan baiah ketaatan dituntut oleh Khalifah (selepas sah menjawat jawatannya) sepertimana peristiwa baiah Ali RA kepada Abu Bakar RA.


KOLUM SEJARAH ISLAM

PERISTIWA PEMBAIATAN KHALIFAH PERTAMA

Sebaik sahaja Rasulullah SAW wafat, para sahabat Ansar segera berkumpul bersama Sa’ad bin Ubadah di Saqifah Bani Sa’idah. Abu Bakar RA, Umar Al Khattab RA dan Abu Ubaidah Al Jarrah RA segera datang menemui mereka. Hal itu sangat membimbangkan Umar kerana sekiranya para sahabat Ansar itu membaiah salah seorang di kalangan mereka pasti menimbulkan fitnah (ujian) besar kelak. Melantik Khalifah selain daripada golongan Quraisy boleh membantutkan perkembangan Islam di Jazirah Arab kerana pada dasarnya seluruh qabilah Arab sangat menghormati suku Quraisy selaku pemegang kekuasaan di Mekah yang mengumpulkan seluruh Kabilah Arab semasa musim haji.

Abu Bakar berhujah; “Kami (Muhajirin) merupakan para pemimpin, sedangkan kamu (Ansar) adalah para menteri”. Habab bin Al Munzir menjawab;  “Tidak. Demi Allah, kami tidak menyetujui hal itu. Daripada kalangan kami (Ansar) ada pemimpin dan daripada kalangan kamu (Muhajirin) ada pemimpin”. Abu Bakar menegaskan sekali lagi; “Tidak, tetapi daripada kalangan kamilah pemimpin, dan kamu adalah para menteri. Daerah mereka (Muhajirin) terletak jantung jazirah Arab dan mereka adalah orang Arab yang paling bagus keturunannya. Kerana itu, hendaklah kamu membaiah Umar atau Abu Ubaidah!”. Umar menjawab, “Tidak, tetapi kami justeru membaiah anda (Abu Bakar). Engkaulah pemimpin dan orang terbaik di antara kami. Dan, engkaulah orang yang paling dicintai oleh Rasulullah SAW”. Setelah itu Umar bersalam dan membaiah Abu Bakar. Kemudian orang-orang yang berada di situ pun bergilir-gilir membaiahnya [HR Ahmad].

Inilah peristiwa baiah in’iqad (perlantikan) Khalifah pertama bagi kaum Muslimin selepas wafatnya Rasulullah SAW. Keesokan harinya, Abu Bakar duduk di mimbar. Umar memulakan pidatonya kepada kaum Muslimin dengan ucapan puji-pujian syukur kepada Allah SWT. Hujung pidatonya berbunyi; “Sesungguhnya Allah telah menghimpunkan kamu di bawah kepimpinan seorang yang paling baik di antara kamu. Beliau adalah sahabat Rasulullah dan salah seorang daripada dua orang ketika berada di Gua Hira’. Kerana itu, hendaklah kamu berdiri untuk membaiah beliau!”. Maka kaum Muslimin pun bangun membaiah Abu Bakar seorang demi seorang. Peristiwa pembai’atan inilah dipanggil baiah ta’ah (ketaatan) setelah baiah in’iqad berlaku hari sebelumnya.

Rujukan: Dr Ali Muhammad As-Shallabi, Amirul Mukminin Umar bin Khattab: Kepimpinan dan Kewibawaannya.

Download PDF