SN527 – Bagaimana Khilafah Diruntuhkan (Siri 4) 3 Mac 1924: Detik Kejatuhan Negara Islam
Bil: SN527 – 14 JAMADIL AKHIR 1439 / 2 MAC 2018
Lipatan sejarah telah merakamkan bagaimana kerajaan di Ankara telah memisahkan kekuasaan (as-Sultan) daripada pemerintahan Khilafah di Istanbul pada akhir tahun 1922 akibat desakan keras si pengkhianat Islam, Mustafa Kamal. Sultan Mehmed VI (Sultan Muhammad Wahiduddin) terpaksa menjadi seorang pelarian kerana khuatir dirinya bakal terancam dengan keputusan pemerintah Ankara. Sultan Abdul Majid II yang dilantik menggantikannya hanya sekadar simbolik kepada sistem kekhilafahan tanpa mempunyai sebarang kuasa dan pengaruh. Si pengkhianat, Mustafa Kamal amat memahami bahawa sistem Khilafah tidak dapat dihancurkan secara total kerana umat Islam masih menyedari akan kepentingan dan kewajipan mempunyai seorang Khalifah sebagai pemimpin, ketua dan penjaga umat Islam di seantero dunia. Sekiranya tersilap langkah, maka cita-citanya untuk membentuk sebuah Republik Turki bakal terancam.
Sebagai langkah merealisasikan strategi pertamanya untuk mengambil alih dan memindahkan kekuasaan dan pentadbiran dari Istanbul ke Ankara yang diketuainya, Mustafa Kamal terus merencanakan konspirasinya melalui propaganda dan hasutan yang menjadi senjata utama untuk menyerang Khilafah bagi mewujudkan persepsi dan pendapat umum masyarakat bahawa Khilafah menyokong pemerintahan yang zalim, kejam dan merupakan tali barut Barat. Sebaliknya, Mustafa Kamal menonjolkan dirinya sebagai pembela dan penjaga bangsa Turki daripada ancaman musuh penjajah. Mustafa Kamal kemudiannya melakukan lobi dan tekanan politik setelah Perjanjian Lausanne ditangguhkan pada Februari 1923. Situasi itu menyebabkan berlakunya perdebatan sengit melibatkan anggota Parlimen (Büyük Millet Meclisi) di Ankara. Majoriti Ahli Parlimen termasuk Perdana Menteri, Rauf Beik tidak bersetuju dengan tindakan Mustafa Kamal dan wakil delegasi Ismat Pasha sehingga menyebabkan sesi Parlimen dibubarkan dan pemilihan ahli baharu dilakukan. Mustafa Kamal meneruskan makarnya dengan melantik Ahli Parlimen yang lebih berpihak kepadanya tetapi malangnya, strategi itu menemui kegagalan kerana mereka juga menentang gagasannya yang secara jelas menentang ideologi Islam. Namun, kerana tekanan politik yang hebat, menteri-menteri yang dilantik terpaksa mengundurkan diri dan Parlimen terpaksa bersidang bagi membentuk barisan menteri yang baharu.
Konflik dan pergolakan dalam Parlimen berlaku untuk beberapa tempoh sehingga keputusan akhir dilakukan dengan menjemput Mustafa Kamal bagi membentuk pemerintahan. Kesempatan ini diambil olehnya untuk membuat keputusan tanpa syarat. Pada 29 Oktober 1923, persidangan Parlimen berlangsung dan pada saat itu Mustafa Kamal mengumumkan pembentukan Republik Turki sebagai jalan penyelesaian terhadap konflik yang berlaku.
Sementara itu, Mustafa Kamal mengambil kesempatan ketika Parlimen sedang bergolak dengan menandatangani Perjanjian Lausanne pada Julai 1923 setelah tertangguh sekian lama. Namun, hajat si pengkhianat itu tidak semudah yang dikehendakinya. Walaupun Sultan Abdul Majid II berada dalam situasi yang lemah, namun baginda masih mendapat sokongan masyarakat. Mustafa Kamal disifatkan oleh rakyat sebagai individu yang keras menentang Islam, zindiq, kafir, dan seorang ateis. Tanpa menghiraukannya, dia terus meningkatkan propaganda menentang institusi Khilafah dan mula menggunakan peruntukan perundangan dengan alasan mengekang gerakan subversif. Penyokong Khalifah dan penentang republik akan dilabel sebagai pengkhianat yang layak menerima hukuman mati malah Khalifah ditonjolkan dengan imej yang buruk dan hina di dalam Dewan Parlimen.
Mustafa Kamal kemudian bertindak lebih kejam dengan mewujudkan gelombang ketakutan melalui ugutan dan mencipta konflik berdarah dalam kalangan penyokong sistem Khilafah terutamanya melibatkan anggota Parlimen.
Akhbar The Times, 4 Mac 1924
Kekejaman dan sifat kuku besinya terserlah apabila seorang anggota Parlimen yang tegas menyokong sistem Khilafah telah dibunuh dalam perjalanan pulang ke rumah. Malah, tanpa berselindung, anggota Parlimen yang tegas mempertahankan Khilafah agar terus kekal berdiri demi kesejahteraan dan keamanan Dunia Islam secara keseluruhannya telah diancam dengan hukuman gantung sampai mati. Menerusi kuasa dan pengaruhnya, Mustafa Kamal turut menarik kembali panji-panji kebesaran Khalifah dan segala bentuk protokol seperti bacaan doa semasa solat Jumaat yang menyebabkan imej dan martabat Khalifah jatuh serendah-rendahnya.
Akhirnya peristiwa hitam melanda umat Islam pada 3 Mac 1924, Mustafa Kamal telah mengadakan sidang Parlimen dan mengisytiharkan bahawa sistem Khilafah dihapuskan. Khalifah diusir dan jantung Negara Khilafah diubah daripada sebuah negara yang menerapkan dasar-dasar Islam kepada sebuah negara sekular. Pada sesi Parlimen tersebut, Mustafa Kamal berpidato dengan mengatakan: “Apakah harga yang mesti dibayar untuk menjaga Republik yang terancam dan menjadikannya kukuh berdiri di atas prinsip ilmiah? (Jawapannya adalah) Khalifah dan keluarga Bani Uthman mesti diusir, mahkamah keagamaan yang kuno dan undang-undangnya mesti diganti dengan mahkamah dan undang-undang yang moden, sekolah-sekolah agamawan mesti digantikan dengan sekolah-sekolah kerajaan yang sekular”.
Khalifah terakhir Khilafah Uthmaniyyah iaitu Sultan Abdul Majid II telah diperintahkan oleh hakim di Istanbul dengan arahan Mustafa Kamal agar diusir pada malam hari yang sama dengan hanya dibekalkan sedikit wang dan pakaian. Dua hari selepas itu, kerabat Sultan Abdul Majid pula dihalau ke luar negara tanpa sekelumit sifat belas kasihan. Impian dan tuntutan Lord Curzon yang ditetapkan dalam perjanjian Lausanne telah berjaya dilaksanakan oleh ejennya, Mustafa Kamal laknatullah ‘alaih. Begitulah berakhirnya Institusi Khilafah yang telah menaungi dan melindungi umat Islam selama lebih dari 13 abad dan Turki diisytiharkan sebagai sebuah negara republik. Natijahnya, umat Islam sehingga kini terpecah kepada lebih 50 buah negara yang memegang teguh doktrin nasionalisme, menjunjung amalan demokrasi dan menerapkan ideologi sekularisme dalam kehidupan.
Rujukan: Ad-Daulah Al-Islamiyyah, Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, dan Kaifa Hudimat Al-Khilafah, Syeikh Abdul Qadim Zallum.
KOLUM TSAQAFAH
Khabar Gembira Kebangkitan Islam
Dari Nu’man bin Basyir RA ia berkata bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, maksudnya:
“Akan ada Era Kenabian di tengah-tengah kalian. Dengan kehendak Allah, ia akan tetap ada. Kemudian ia diangkat oleh Allah, jika Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada Khilafah yang menempuh jalan kenabian (Khilafah ‘ala minhajin nubuwwah), dengan kehendak Allah, ia akan tetap ada. Kemudian ia diangkat oleh Allah, jika Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada Kekuasaan yang menggigit (Mulkan ‘Aadhon), Dengan kehendak Allah, ia akan tetap ada. Kemudian ia diangkat oleh Allah, jika Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada Kekuasaan yang memaksa (Mulkan Jabariyyan), Dengan kehendak Allah, ia akan tetap ada. Kemudian ia diangkat oleh Allah, jika Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada Khilafah yang menempuh jalan Kenabian (Khilafah ‘ala minhajin nubuwwah). Kemudian beliau (Nabi) diam.” [HR. Ahmad, no. 17680]
Penjelasan hadis adalah seperti berikut:
- Era Kenabian adalah merujuk kepada zaman Rasulullah SAW. (Rujuk HR. Muslim, no. 1842).
- Era Khilafah yang menempuh jalan kenabian ialah zaman Khulafa Ar-Rasyidin. Hal ini disepakati para ulama sebagaimana yang masyhur dituturkan oleh Safinah, bekas hamba Rasulullah SAW (Rujuk Athar sahabat dalam Imam Ahmad no. 21919, Abu Daud no 4647).
- Maksud kekuasaan yang menggigit (Mulkan ‘Aadhon) pula ialah penguasa yang menimpakan kesulitan dan kezaliman kepada rakyatnya. Inilah pendapat masyhur sebagaimana yang disebut oleh Ibn ‘Atsir dalam kitabnya, an-Nihayah. Menurut sejumlah ulama, era ini bermula sejak Kekhilafahan Umayyah, ‘Abbasiyyah, hingga Uthmaniyyah.
- Kekuasaan yang memaksa (Mulkan Jabariyyan) pula menurut Ibn ‘Atsir lagi, adalah kekuasaan yang dijalankan dengan paksaan. Realiti ini jelas kelihatan setelah runtuhnya Khilafah Uthmaniyyah sehingga hari ini.
- Dan yang terakhir disebutkan dalam hadis akan kembali Khilafah yang menempuh jalan kenabian (Khilafah ‘ala minhajin nubuwwah) masih belum lagi terjadi sebagaimana disokong oleh banyak hadis-hadis lain tentang kepemimpinan akhir zaman.