SN532 – Ramadhan: Momentum Penyatuan Umat Islam

Bil: SN532 – 9 Ramadhan 1439 / 25 Mei 2018

SN532 - Ramadhan: Momentum Penyatuan Umat Islam

Dalam bulan Ramadhan, seluruh umat Islam berlumba-lumba dan berusaha untuk mencapai keredhaan Allah SWT dengan mengerahkan segala kudrat yang ada walaupun tubuh badan keletihan, perut kelaparan, tekak kekeringan untuk melakukan pelbagai jenis amal ibadah. Semua itu dilakukan dalam usaha untuk memanifestasikan hubungan langsung antara seorang hamba dengan Penciptanya. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas umat-umat sebelum kamu, agar kamu bertakwa.”[TMQ Al-Baqarah (2) : 183]

                Bulan yang mulia ini seharusnya direbut sepenuhnya oleh setiap umat Islam agar beroleh kebaikan yang ada padanya. Bulan suci ini harus diisi dengan segala amalan soleh dengan niat lillahi ta’ala semata-mata. Dengan jaminan ganjaran pahala berlipat kali ganda, ia sepatutnya memberi motivasi yang lebih kuat kepada umat Islam untuk terus konsisten memperbanyakkan ibadah-ibadah sunat dan memperbaiki ibadah wajib yang dikerjakan selama ini. Dalam catatan sirah terdapat begitu banyak peristiwa yang terjadi di bulan yang mulia ini yang menunjukkan kepada kita bahawa aktiviti yang dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat di bulan Ramadhan bukanlah sekadar aktiviti kerohanian (ruhiyyah) semata-mata, malah banyak aktiviti kepolitikan (siyasiyyah) yang mereka jalani. Persiapan Perang Khandaq (5H) dilakukan di bulan Ramadhan, begitu juga kepulangan para pejuang Islam dari Perang Tabuk, utusan Thaif datang ke Madinah untuk menyatakan keIslaman, utusan raja-raja Himyar datang untuk menyatakan keIslaman mereka (9H), pengutusan Saidina Ali bin Abi Talib RA ke Yaman khususnya kepada kabilah Hamadan yang keseluruhannya masuk Islam dalam satu hari (10H) dan banyak lagi. Kesemua peristiwa ini berlaku di bulan Ramadhan yang menunjukkan kejayaan perjuangan Rasulullah dan para sahabat dari sudut politik.

                Rentetan kejayaan tidak berakhir di situ; sepanjang kewujudan negara Khilafah selama lebih 1300 tahun, para Khalifah tidak pernah berhenti daripada meneruskan misi dan visi politik Islam dalam usaha menyebarkan Islam dan mempersatukan umat Islam di bawah satu kepimpinan dan negara. Malangnya, peristiwa-peristiwa besar tersebut disajikan hanya dalam bentuk sejarah dan kerohanian semata-mata, seolah-olah ianya tiada kaitan dengan politik yang merupakan bahagian dari ajaran Islam.

Perpecahan dan Penderitaan Umat Islam

                Selepas Perang Dunia I, muncullah negara seperti Mesir, Arab Saudi, Jordan, Iraq dan lain-lain. Sempadan yang wujud hanyalah ciptaan penjajah semata-mata di bawah dasar pecah dan perintah mereka. Ini diungkapkan oleh John Kifner dalam artikelnya Building Modernity on Desert Mirages (Membina Kemodenan di atas Fatamorgana Padang Pasir). Maka lahirlah negeri-negeri kecil dan lemah yang ’merdeka’ dengan hadiah perlembagaan ciptaan Barat. Akibatnya, negara-negara kecil umat Islam ini terpaksa bergabung dalam pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas Perang Dunia II dan umat Islam sentiasa tunduk dan merujuk kepada Barat melalui PBB untuk menyelesaikan segenap permasalahan mereka – Chechnya, Bosnia, Palestin, Mindanao, Selatan Thai, Kashmir, Ethiophia, Indonesia dan banyak lagi. Malangnya masalah tidak dapat diselesaikan malah menjadi semakin rumit.

                Apa yang lebih mendukacitakan, setelah wujud negara-negara bangsa ciptaan penjajah ini, umat Islam bukan sahaja tidak berusaha untuk bersatu mengembalikan kegemilangan tamadun Islam, sebaliknya bergaduh dan berperang sesama sendiri hanya kerana ingin mempertahankan batas-batas palsu di antara mereka dengan racun patriotisme dan nationalisme. Musuh-musuh Islam telah mengambil peluang atas perpecahan yang berlaku. Kita menyaksikan bagaimana umat Islam di Afghanistan, Iraq, Yaman, Palestin, Syria, Myanmar dan Xinjiang menjalani ibadah puasa dalam keadaan berlinangan darah dan air mata akibat kebiadaban musuh-musuh yang menjajah dan percaturan rejim pemerintah yang zalim.

                Di bahagian lain dunia Islam, sebahagian umat Islam berbangga dengan keamanan yang dikecapi oleh negara mereka namun hanya berpeluk tubuh menyaksikan dan membiarkan penderitaan yang dialami saudara seagama mereka. Hilang sudah keimanan, lenyap sudah persaudaraan, terhapus sudah segala kasih sayang sesama saudara Islam. Inilah secebis coretan kesedihan yang terus menimpa umat Islam sehingga saat ini, termasuklah ketika mereka berada di dalam bulan yang penuh dengan kemuliaan ini. Adakah kita akan terus menyaksikan nasib yang sama menimpa umat Islam pada Ramadhan tahun hadapan? Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Muslim dengan Muslim lainnya laksana bangunan yang saling mengukuhkan satu sama lain” [HR al-Bukhari].

Faktor Penyatuan Umat Islam

                Bersatunya umat Islam daripada pelbagai suku, warna kulit, bangsa, bahasa dan benua merupakan suatu manifestasi yang luar biasa; belum pernah ada dalam sejarah manusia sebuah tamadun yang berhasil mempersaudarakan bangsa-bangsa seperti ini. Ini adalah kerana Islam memiliki karakteristik yang mendorong dan memelihara penyatuan manusia:

Pertama: Akidah Islam adalah pengikat kepada kesatuan umat. Ikatan yang hakiki ini memandang manusia sama di hadapan Allah SWT. Rasulullah SAW pada saat Haji Wada’ telah bersabda dengan maksudnya:

“Wahai manusia, sesungguhnya Tuhan kalian adalah satu, dan bapa kalian adalah satu. Ingatlah, tidak ada kelebihan bagi orang Arab atas orang bukan Arab; juga tidak ada kelebihan bagi orang yang berkulit hitam atas orang yang berkulit merah, kecuali dengan takwa” [HR Ahmab, Ibn Hibban, dan al-Harits].

                Akidah Islam mengajar bahawa wujudnya pelbagai suku bangsa adalah untuk saling kenal mengenali di dalam Islam. Ikatan akidah ini  menyatukan umat dari setiap bangsa dalam satu saf yang sama. Tidak ada istilah pribumi atau pendatang. Kaum Muslimin bersedia dipimpin oleh sesiapapun daripada bangsa manapun seperti yang tercatat di sepanjang sejarah peradaban Islam yang unggul.

Kedua: Persamaan visi dan misi antara rakyat dan pemerintah yang bersandar kepada syariat Islam. Misi dan visi hidup mereka telah ditetapkan oleh Allah, iaitu untuk ibadah, dakwah dan jihad. Kesatuan yang lahir bukan berasal dari persamaan bangsa, bahasa ataupun warna kulit, melainkan kerana wujud kesedaran bahawa syariat Islam mewajibkan umat Islam menjadi ummatan wahidah (umat yang satu) sekaligus mengharamkan perpecahan.

Ketiga: Adanya institusi yang menyatukan, iaitu Khilafah Islam. Selain akidah dan persamaan visi dan misi kehidupan, penyatuan umat akan benar-benar terealisasi tatkala wujudnya institusi politik Islam – Khilafah – yang berperanan menyatukan umat Islam di benua Asia, Afrika, dan Eropah. Ketika ada ancaman yang ingin memecah-belahkan umat, Khilafah menjadi benteng dan perisai mempertahankannya. Bahkan perbezaan pandangan dapat ditangani dan disatukan dengan adanya pendapat Khalifah seperti mana yang dijelaskan dalam kaedah usul “Ra‘yu al-Imâm yarfa‘u al-khilâf” (pendapat Imam/Khalifah menghilangkan perbezaan).

Ramadhan Momentum Penyatuan

                Perlu kita sedari bahawa sesungguhnya puasa pada bulan Ramadhan merupakan salah satu ibadah dan syiar yang boleh menyatukan kaum Muslimin tanpa mengira warna kulit, bangsa, bahasa dan perbezaan lainnya. Ia juga akan mengingatkan kita bahawa agama kita adalah satu, Tuhan kita adalah satu, Nabi kita adalah satu, kitab kita adalah satu, kiblat kita adalah satu – kita adalah umat Muhammad SAW yang satu yang seharusnya berada di bawah satu kepimpinan iaitu Negara Khilafah yang dipimpin seorang Khalifah yang bertakwa.

                Sekiranya falsafah persamaan dan kesatuan seluruh kaum Muslimin ini benar-benar dihayati maka ia pasti melahirkan sebuah gelombang penyatuan yang amat dahsyat yang akan melanda umat Islam di seluruh dunia. Ia akan mampu meruntuhkan tembok-tembok nasionalisme yang telah dibina oleh Barat ke atas umat Islam. Rasulullah telah meninggalkan kita dengan sebuah penyatuan, bukan perpecahan. Rasulullah SAW tidak ingin dan tidak redha melihat umatnya berpecah belah. Justeru, marilah kita kembali menggembeling segala usaha dan kekuatan untuk meyatupadukan semula umat Islam di bawah satu kesatuan, Khilafah. Inilah penyatuan hakiki umat Islam.


KOLUM TSAQAFAH

Kunci Kejayaan Di Bulan Ramadhan

Ramadhan harus ditempuh melalui dua pendekatan. Pertama, meninggalkan segala perkara yang haram atau sia-sia. Sudah pasti perkara yang paling awal harus ditinggalkan adalah apa sahaja yang membatalkan puasa dan apa sahaja yang dapat menghilangkan pahala puasa. Rasulullah SAW bersabda:

“Puasa itu perisai. Kerana itu janganlah seseorang berkata keji dan jahil. Jika ada seseorang yang menyerang atau mencaci, katakanlah, “Sungguh aku sedang berpuasa,” sebanyak dua kali. Demi jiwaku yang berada dalam genggaman-Nya, bau mulut orang berpuasa lebih baik di sisi Allah berbanding wangi kasturi; ia meninggalkan makanannya, minumannya dan syahwatnya demi Diri-Ku. Puasa itu milik-Ku. Akulah yang langsung akan membalasnya. Kebaikan (selama bulan puasa) dilipatgandakan sepuluh kali dari yang semisalnya” [HR al-Bukhari].

Kedua, menunaikan perkara-perkara wajib mahupun sunnah. Disamping menjalani ibadah puasa, kita juga  disunatkan untuk memperbanyakkan berdoa, membaca al-Quran dan bersedekah. Antara amalan yang sangat dicintai oleh Allah SWT ialah qiyamul lail dengan dilandasi keimanan dan semata-mata mengharap redha Allah SWT. Rasul SAW bersabda:

“Siapa sahaja yang berpuasa Ramadhan dan menghidupkan Ramadhan dengan dilandasi keimanan dan semata-mata mengharap redha Allah SWT nescaya diampuni dosanya yang telah lalu. Siapa saja yang menghidupkan Lailatul Qadar dengan dilandasi keimanan dan semata-mata mengharap redha Allah SWT nescaya diampuni dosanya yang telah lalu” [HR at-Tirmidzi].

Hadis-hadis di atas sekaligus menunjukkan cara meraih kebaikan Lailatul Qadar, iaitu menghidupkan malam tersebut dengan memperbanyakkan ibadah dan taqarrub kepada Allah SWT.

Download PDF