SN535 – Ancaman Liberalisme Terhadap Umat Islam

Bil: SN535 – 29 Syawal 1439 / 13 Julai 2018

SN535 - Ancaman Liberalisme Terhadap Umat Islam

Sama ada disedari ataupun tidak, umat Islam hari ini sedang berhadapan dengan ancaman daripada penularan idea liberalisme yang saban waktu semakin merebak ke dalam tubuh umat ini. Kelompok yang mendukung liberalisme semakin mendapat tempat dalam dunia Islam. Dalam pada itu, ter­dapat juga segelintir pihak yang tidak menyedari bahawa mereka turut sama membawa dan menyuburkan lagi idea liberal, meskipun secara zahirnya mereka tidak berniat sedemikian. Lebih mengharukan lagi apabila terdapat se­setengah pihak yang gagal melihat liberalisme sebagai suatu bentuk ancaman yang mengundang malapetaka bukan sahaja ke atas umat Islam, bahkan kepada umat manusia sejagat tatkala idea rosak ini tersebar luas dalam segenap aturan kehidupan.

Demikianlah betapa liberalisme berjaya ditancapkan merentasi segenap lapisan masyarakat sehinggakan sebahagian besar idea-idea liberal telahpun diterima se­bagai norma kemanusiaan, manakala sebahagian yang lain pula cuba disodorkan agar diterima sebagai nilai-nilai sejagat yang mencorakkan aturan kehidupan. Sudah tentu idea-idea asing yang jelas bertentangan dengan pegangan umat Islam tidak disebarkan secara terang-terangan, kerana pastinya akan mendapat tentangan hebat daripada umat Islam. Sebaliknya idea-idea tersebut dipakejkan semula dengan cara yang halus agar lebih mudah untuk diterima antara lain dengan menggunakan pendekatan penyahpekaan (desensitisation). Tambahan pula, idea-idea liberal ini turut disadurkan dengan slogan-slogan yang indah sehingga menyebabkan sebilangan umat Islam terperangkap dalam pesona yang menyelubungi racun di sebalik liberalisme. Para pendokong idea liberalisme juga digambarkan sebagai kelompok yang progresif dan mengikuti arus pemodenan, manakala pihak yang menentang penularannya pula dilabel sebagai jumud, keras, ketinggalan zaman, dan tidak toleran. Lebih membimbangkan, terdapat kelompok liberal yang berselubung di sebalik nama Islam dalam membawa konsep liberalisme. Kelompok-kelompok sebegini pada dasarnya memperjuangkan kebebasan individu daripada kongkongan negara dan institusi-institusi agama yang mengawal penganutnya melalui perlaksanaan hukum dan perundangan. Mereka berpegang bahawa agama itu hanya­lah urusan peribadi seseorang dengan Tuhan, yang tidak sewajarnya dipaksakan ke atas mana-mana individu. Hal ini selari dengan konsep dasar liberalism itu sendiri, iaitu suatu fahaman yang meletakkan kebebasan individu sebagai matlamat politik yang tertinggi. Dalam ertikata lain, kedaulatan terletak pada tangan manusia itu sendiri dalam menentukan hala tuju kehidupan mereka tanpa sebarang campur tangan luar termasuklah institusi politik dan kenegaraan.

Kelompok yang membawa agenda liberalisme dalam Islam atau “Islam Liberal” ini juga seringkali memberi penekanan bahawa al-Quran perlu ditafsirkan semula mengikut konteks kontemporari. Malangnya, tafsiran-tafsiran semula dibuat mengikut kefahaman sendiri tanpa menempuh disiplin keilmuan yang benar. Sebaliknya tafsiran-tafsiran tersebut dibuat mengikut kerangka pemikiran asing yang berpaksikan pandangan hidup yang tidak berasal daripada Islam. Selain daripada menggunakan pendekatan falsafah hermeneutika dalam mentafsirkan Al-Quran, sebahagian daripada mereka turut memanipulasikan konsep maqasid syariah mengikut hawa nafsu dan mengubahsuai konteks dalil agar selari (baca: tunduk) dengan realiti semasa. Bahkan ada juga yang meletakkan undang-undang dan konvensyen-konvensyen antarabangsa jauh mengatasi kedudukan Al-Quran dan as-Sunnah sama sekali. Dalam masa yang sama, sejajar dengan konsep kesaksamaan yang dilandasi kerangka liberalisme, agama-agama lain turut diletakkan setaraf dengan Islam. Oleh demikian, agenda pluralisme agama turut diperjuangkan oleh segelintir pendukung idea liberalisme di samping konsep sekularisme khasnya dalam aspek kenegaraan bagi memastikan kesaksamaan sebegini tercapai dalam masyarakat majmuk seperti di negara ini. Hal ini mendatangkan implikasi buruk terhadap aspek aqidah umat Islam, misalnya apabila melibatkan isu pertukaran agama, penyebaran ajaran-ajaran agama selain Islam, dan isu hak penjagaan anak.

Terdapat juga yang berdalih menggunakan hujah “isi lebih utama daripada kulit” bagi menutupi kecenderungan mereka terhadap liberalisme, baik secara sedar ataupun tidak. Misalnya, mereka melihat keadilan dan tadbir urus yang baik itu adalah “isi” yang selari dengan Islam, meskipun dalam keadaan negara tidak menerapkan hukum Islam (“kulit”). Sedangkan hakikatnya, keadilan hanya akan tercapai dalam ertikata sebenarnya apabila hukum Allah diterapkan secara menyeluruh. Manakala, tadbir urus yang baik pula telah diberikan penekanan menurut Islam melalui konsep ketaqwaan, amanah, dan meletakkan pihak yang kompeten (ahli dalam bidangnya) bagi melaksanakan tanggungjawab mentadbir negara, tanpa perlu kepada pengamalan aturan hidup selain Islam. Jelaslah bahawa mereka sebenarnya adalah golongan pragmatik yang cuba mengharmonikan Islam dengan norma-norma yang lahir daripada konsep-konsep kufur yang sedang mendominasi dunia pada hari ini. Secara tidak langsung, sebenarnya mereka turut menyubur­kan lagi idea liberalisme, kerana cakupan fahaman tersebut bukan hanya sekadar aspek akidah semata-mata. Sebaliknya liberalisme turut merangkumi aspek politik dan pemerintahan, ekonomi, serta sosio-budaya. Tindakan mereka berkompromi dalam hal ini turut sama menyumbang kepada penerimaan pemikiran liberal dalam kalangan umat Islam khasnya liberalisme dalam cabang politik dan pemerintahan.

Liberalisme Dilindungi Demokrasi

Timbul kegusaran dalam kalangan umat ini terhadap perkembangan gerakan liberalisme yang semakin menyubur dan mendapat dokongan daripada mereka yang berada di koridor kekuasaan dalam era “Malaysia Baharu”. Dari suatu sudut, terdapat kebenarannya atas kegusaran yang timbul. Namun penularan liberalisme ini tidak hanya tercetus setelah berlakunya peralihan tampuk pemerintahan, bahkan telahpun berlangsung jauh lebih lama daripada itu. Hal ini kerana kerajaan baharu ini, se­bagaimana kerajaan terdahulu, terbentuk atas kerangka sistem demokrasi. Suburnya pemikiran dan tindakan berasas­kan idea liberalisme pada hari ini merupakan manifestasi daripada penerapan sistem demokrasi yang didasari prinsip sekularisme. Demokrasi merupakan sebuah sistem hidup yang bertunjangkan empat prinsip-prinsip kebebasan iaitu; kebebasan beragama, kebebasan beragama, kebebasan berpendapat, kebebasan kepemilikan, dan kebebasan bertingkah laku. Manakala liberalisme pula merupakan corak pemikiran yang men­junjung tinggi prinsip-prinsip kebebasan tersebut. Maka, selagimana demokrasi terus diamalkan dan dipertahan­kan, selagi itulah fahaman liberalisme ini akan terus menyubur dan meracuni umat Islam di negara ini. Oleh demikian, sebarang usaha dalam mendepani ancaman liberalisme tidak akan berhasil melainkan jika kita menangani akar permasalahan yang membawa kepada penularannya, iaitu penerapan sistem demokrasi itu sendiri.

Justeru, di sinilah letaknya peranan kita selaku sebahagian daripada umat Islam dalam membanteras penularan fahaman liberalisme, iaitu dengan membawa fokus umat ini ke arah perubahan yang bersifat sistemik. Di samping menyedarkan umat Islam mengenai ancaman halus pemikiran liberalisme, kita juga berkewajipan untuk menyeru agar umat kembali kepada penerapan Islam secara kaffah meliputi segenap aspek kehidupan. Kita perlu memahami bahawa liberalisme berkait rapat dengan hadharah atau sudut pandang khusus berkenaan kehidupan yang bukan berasal daripada Islam. Bahkan prinsip-prinsip kebebasan yang diangkat oleh fahaman liberalisme juga bertentangan dengan Islam. Maka, haram bagi seseorang Muslim untuk mengambil fahaman liberal dalam aturan kehidupannya. Sesungguhnya, tiada istilah kebebasan dalam Islam sepertimana yang dijunjung oleh liberalisme, kerana setiap perbuatan manusia itu terikat kepada hukum syarak. Namun, tidak bererti Islam bersifat jumud kerana wujudnya proses ijtihad di sepanjang zaman serta keluasan fiqh dalam mengatur kehidupan. Islam juga sesuai dengan fitrah dan mententeramkan jiwa apabila diamalkan secara kaffah. Hakikat ini jauh berbeza berbanding pelbagai musibah, penderitaan, dan malapetaka yang kita saksikan pada hari ini apabila sistem sekular-demokrasi-kapitalis diterapkan dan mendominasi dunia.


KOLUM SEJARAH ISLAM

Liberalisme & Islam Liberal Di Dunia Islam

Liberalisme merupakan suatu fahaman yang muncul akibat berlakunya penindasan yang berterusan terhadap rakyat. Di Eropah, fahaman ini mula dicanangkan dan disebarkan semasa pergolakan kelas menengah menentang hak-hak istimewa pihak pemerintah, aristokrat dan puak gereja. Fahaman ini digagaskan pada masa renaissance yang kemudiannya menjadi pemicu kepada bangkitnya Revolusi Perancis dan Amerika. Dari sudut sejarah kaum Muslimin, fahaman ini mula masuk ke negara Islam setelah kerendahan berfikir melanda umat, sebelum kejatuhan Daulah Khilafah. Pemikiran-pemikiran Voltaire, Rostow dan Montesquieu telah berlegar di beberapa buah sekolah di dalam Daulah Islam ketika itu. Apa yang menjadi fokus dalam fahaman liberalisme ini adalah kebebasan individu dalam setiap perkara. Kekuasaan negara juga harus dipisahkan dari campur tangan agama. Dari idea liberalisme-lah, tercetusnya gagasan-gagasan liberalisasi politik (John Locke), ekonomi (Adam Smith, David Ricardo) dan pemikiran (Jeremy Bentham, John Stuart Mill dan Thomas Paine). Liberalisme agama pula mengajar setiap pemeluknya (setiap individu) sebagai pemegang autoriti muktamad dalam menilai dan menafsir ajaran agama mengikut kehendaknya (berdasarkan akal sendiri) tanpa terikat dengan apa-apa kaedah. Liberalisme membolehkan mereka menerima unsur-unsur asing (dari luar mereka) di mana mereka memiliki kebebasan untuk meyakini atau menolaknya.

Sebelum kemunculan pemikir-pemikir moderat dan liberal mutakhir ini, sebenarnya telah pun wujud satu “lokomotif” liberalisasi pemikiran di dunia Islam yang berusaha mengkompromikan pemikiran-pemikiran Islam dengan Barat. Para tokohnya antara lain adalah Rifa’ah at-Thathawi (Mesir), Khairuddin at-Tunisi (Tunisia), Muhammad Abduh dan Ali Abdul Raziq(Mesir), NurcholishMadjid dan Abdurrahman Wahid (Indonesia), Amina Wadud (AS) dan ramai lagi yang bertebaran di seluruh dunia Islam seperti di Turki, India, Iran, Sudan, Maghribi, Algeria dan juga Malaysia. Golongan Islamis liberal seringkali menjadikan tokoh-tokoh ini sebagai idola mereka dan segala pemikiran yang dibawa tokoh ini dianggap sebagai paling autentik. Penganut fahaman ini juga cuba menimbulkan persepsi bahawa pemikiran-pemikiran Islam yang berasal daripada para mujtahid dan ulamak sebagai ortodoks, kuno, jumud, ketinggalan zaman dan perlu dikaji dan ditafsir semula. Mereka pada hakikatnya adalah kelompok yang ditaja oleh Barat khususnya Amerika Syarikat  (AS) melalui sebuah badan penyelidiknya RAND Corporation di mana di dalam laporannya ‘Civil Democratic Islam: Partner, Resources and Strategies’ banyak menyediakan cadangan-cadangan polisi untuk kerajaan AS dalam mendepani golongan umat Islam yang mereka istilahkan sebagai fundamentalis.

Download PDF