SN557 – Politik Dan Akidah

Bil: SN557 – 15 Zulhijjah 1440 / 16 Ogos 2019

SN557 - Politik Dan Akidah

Baru-baru ini timbul polemik berkaitan persoalan mengenai politik, apakah ia termasuk dalam perkara akidah atau tidak. Polemik ini tercetus berpunca daripada pandangan pihak tertentu bahawa meletakkan politik sebagai perkara akidah merupa­kan salah satu contoh sikap melampau (ghuluw) dalam politik. Antara implikasi yang dikhuatiri daripadanya termasuklah  boleh menyemarakkan ketaksuban terhadap parti politik yang dianggotainya serta menyuburkan amalan takfir (mengkafirkan) pihak yang berbeza pendapat dengan parti tersebut. Pandangan tersebut kemudiannya menerima reaksi daripada sebilangan ilmuan dan ulama yang mempunyai pandangan yang berbeza dalam soal ini.

Penulisan ini bukanlah bertujuan untuk memanjangkan lagi polemik yang tercetus, sebaliknya ingin membawa pembaca meluruskan kefahaman konsep politik menurut Islam serta merungkai implikasi yang terbit daripada kekeliruan dalam memahami persoalan ini. Terlebih dahulu, sewajarnya kita menelusuri apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan politik menurut Islam, serta membezakannya daripada politik kepartian dalam sistem demokrasi yang memupuk perseteruan serta menyemarak­kan lagi sentimen taksub kepada kelompok masing-masing.

Meluruskan Takrif Politik

Dari aspek bahasa, siyasah (politik) berasal dari kata sasa, yasusu, siyasatan yang bererti ‘mengurus kepentingan seseorang’. Dalam kamus Al-Muhits dikatakan – sustu ar-ra’iyata siyasatan, ai amartuha wa nahaituha, ai ra’itu syu’naha bi al-awamir wa an-nawahi (aku memimpin rakyat dengan sungguh-sungguh, atau aku memerintah dan melarangnya, atau aku mengurusi urusan-urusan mereka dengan perintah-perintah dan larangan-larangan). Manakala maksud siyasah menurut istilah/syarak adalah ri’ayah asy-syu’un al-ummah dakhiliyyan wa kharijiyan (mengatur/memelihara urusan umat sama ada dalam atau luar negeri) [An-Nabhani, Muqaddimah ad-Dustur].

Berdasarkan takrif ini, bebanan untuk memelihara urusan umat Islam merupakan tanggungjawab politik yang ter­pikul di bahu pemerintah, sejajar dengan sabda Nabi SAW, “Imam (pemimpin) itu pemelihara dan ia ber­tanggungjawab ke atas orang yang dipeliharanya (rakyat),[HR Muslim]. Dalam pada itu, pengaturan urusan umat dan pemenuhan hak dan tanggungjawab rakyat wajib dilaksanakan oleh pemerintah mengikut ketentuan syarak sebagaimana yang diperintahkan Allah SWT ke atas mereka.

Manakala bagi individu Muslim dan gerakan Islam pula, aktiviti politik yang dilaksanakan pula wajib berteraskan prinsip amar makruf nahi mungkar, termasuklah dalam memastikan hukum-hakam Islam dijadikan panduan oleh pemerintah dalam mengatur urusan rakyat. Umat dan gerakan Islam juga wajib memuhasabah pemerintah seandainya hukum Islam tidak diterapkan atau kemaslahatan kaum Muslimin dipinggirkan.

Pengaturan dan penerapan syariat Islam pula tidak akan sempurna seandainya tidak dilaksanakan secara kaffah dalam bingkai Khilafah Rasyidah sepertimana yang telah diwariskan oleh Rasulullah SAW dan diteruskan oleh para Khulafa’ ar-Rasyidin. Adapun penerapan yang dibuat secara sebahagian (juz’i) dengan meninggalkan sebahagian yang lain bukan sahaja menyebabkan pelaksanaan syariah Islam menjadi pincang, bahkan boleh mendatangkan mudarat kepada umat Islam serta mengundang fitnah terhadap kemuliaan Islam itu sendiri.

Menyentuh soal penerapan Islam, terdapat kelompok sekular yang menolak langsung peranan Islam dalam pengaturan urusan kehidupan. Mereka mengehadkan agama kepada urusan antara seorang individu dengan Penciptanya semata-mata. Kelompok ini rata-rata ter­pengaruh dengan pemikiran Barat berpaksikan akidah sekularisme yang memisahkan agama daripada kehidupan serta menjunjung tinggi idea-idea kebebasan manusia.

Selain itu, wujud pula pihak yang menjunjung peranan Islam dalam kehidupan, tetapi berpandangan bahawa Islam tidak menggariskan tatacara khusus dalam aspek politik dan pemerintahan. Mereka berhujah bahawa politik itu merupakan persoalan fikih dan bersifat ijtihadi. Mereka juga menerima sistem yang diterapkan hari ini di samping berjuang memartabatkan kedudukan Islam mengikut lunas-lunas perlembagaan. Tanpa disedari, golongan ini telah mengambil pendirian yang selari dengan kehendak Barat serta secara tidak langsung melanjutkan lagi keberlangsungan sistem demokrasi yang diwariskan oleh penjajah ini.

Terdapat juga pihak yang berhujah bahawa Islam menekankan aspek keadilan, bukannya pada bentuk pemerintahannya. Persoalannya, wujudkah keadilan dalam sistem demokrasi hari ini? Apakah pula sandaran yang digunapakai dalam menentukan ‘keadilan’ itu? Lihat sahaja pada isu pindaan enakmen negeri berkaitan penukaran agama anak di bawah umur secara sepihak di Selangor baru-baru ini. Jelas bahawa dalam hal ini, perlembagaan persekutuan diletakkan sebagai rujukan tertinggi, dan dalam masa yang sama boleh dibahaskan dalam Dewan Undangan Negeri yang turut terdiri daripada wakil rakyat kafir (untuk rekod, speaker DUN Selangor telah menolak pembahasan usul pindaan tersebut).

Islam Sebuah Mabda’ Ruhiyyah dan Siyasiyyah

Berbalik kepada persoalan yang diketengahkan dalam polemik ini, sewajarnya kita menelusuri cakupan ajaran Islam itu sendiri. Dengan memahami cakupannya, kita akan memahami bahawa politik, sepertimana urusan kehidupan lainnya merupakan sebahagian daripada skop Islam yang terpancar daripada akidah Islam. Islam merupakan sebuah ideologi (mabda’) yang diturunkan Allah SWT kepada junjungan mulia Rasulullah SAW bagi mengatur urusan kehidupan manusia. Mabda’ Islam ini lahir daripada akidah yang menjadi teras berdirinya Islam – baik secara fikrah (pemikiran) mahupun thariqah (metodologi pelaksanaan fikrah). Akidah Islam ini membentuk keyakinan dalam diri seseorang bahawa Allah SWT merupakan Pencipta Yang Maha Esa, sekali gus menjadikan kewajipan buat manusia untuk melaksanakan seluruh perintah Allah SWT dalam hidupnya. Setelah mati, manusia akan dipertanggungjawabkan atas segala amal perbuatannya di dunia ketika di akhirat kelak, dan diberikan ganjaran ataupun diseksa berdasarkan amalnya setelah dihakimi di hadapan Allah SWT.

Bertitik-tolak daripada keyakinan ini, akidah Islam menatijahkan manusia untuk terikat dengan syariat Allah SWT. Dari akidah Islam ini, lahir sebuah sistem kehidupan yang mengatur hubungan manusia dengan Al-Khaliq (Pencipta), hubungan manusia dengan dirinya sendiri, serta hubungan manusia dengan manusia yang lain (mu’amalah). Sebagai agama dan mabda’, Islam merupakan ajaran yang meliputi akidah dan sistem (nizham). Akidah dalam konteks ini ialah keimanan kepada Allah, Malaikat, Rasul, Kitab, Hari Kiamat serta Qadha’ dan Qadar – baik dan buruknya hanya daripada Allah SWT. Sedangkan nizham atau syariah merupakan himpunan hukum syarak yang mengatur seluruh masalah manusia. Inilah yang membezakan Islam dengan agama-agama lain, juga membezakannya daripada ideologi-ideologi ciptaan manusia seperti kapitalisme dan sosialis-komunisme.

Islam mengatur kehidupan manusia secara universal, meliputi ajaran ruhiyyah (spiritual) dan siyasiyyah (politik). Dengan kata lain, Islam merangkumi ajaran dalam aspek spiritual dan politik (al-aqîdah ar-rûhiyyah wa as-siyâsiyah). Aspek ruhiyyah merupakan ajaran yang mengatur urusan ukhrawi seperti syurga, neraka, pahala, seksa dan dosa; serta persoalan ibadah seperti solat, zakat, haji, dan puasa. Manakala aspek siyasiyyah pula merupakan ajaran yang terpancar daripadanya peraturan-peraturan tentang kehidupan manusia di dunia ini meliputi persoalan politik, ekonomi, sosial, pemerintahan, pendidikan, perundangan, dan sebagainya. Kedua-duanya merupakan manifestasi keimanan terhadap Allah SWT, serta kesedaran manusia akan hubungannya dengan Allah Azza Wa Jalla.

Sungguhpun demikian, bukan bererti Islam merupakan ajaran yang jumud dan mengongkong. Bahkan sebaliknya Islam hadir sebagai panduan dalam membimbing manusia menjalani kehidupan di dunia ini sejajar dengan fitrahnya. Islam juga sesuai untuk diterapkan di sepanjang zaman, dan tempat. Namun, dengan keluasan fikih ini tidak bererti manusia bebas menjalani kehidupannya dengan hanya disandarkan secara longgar kepada prinsip dan nilai Islam semata-mata. Sebaliknya wajib bagi kita semua untuk menjadikan Islam sebagai tolok ukur dalam menjalani kehidupan. Dengan kata lain, kita perlu merujuk kepada sumber hukum syarak bagi meletakkan Islam sebagai penyelesaian kepada permasalahan manusia (muallajah lil masyakil insan), termasuklah dalam politik dan pemerintahan. Demikianlah bagaimana politik berkait rapat dengan akidah Islam yang mendorong kita untuk melaksanakannya selari dengan tuntutan syarak.

Setelah kita memahami bahawa politik tidak dapat dipisahkan daripada akidah, dan bahawa sesungguhnya wajib bagi kita untuk berpolitik mengikut ketetapan Islam, bagaimana pula kedudukan mereka yang tidak beramal dengan politik Islam dan tidak pula berhukum dengan hukum Allah? Persoalan ini bukanlah suatu yang baru, bahkan telah dibincangkan oleh para ilmuan Islam sejak sekian lama.  Bagi menjawab persoalan ini, maka kita perlu kembali merujuk kepada nas ketetapan syarak. Dalam surah al-Maidah ayat 44, 45, dan 47 telah menjelaskan tiga kedudukan bagi golongan tersebut, iaitu sama ada kafir, zalim, atau fasik. Sesungguhnya Allah telah memerintahkan pemerintah untuk berhukum dengan apa yang Allah SWT turunkan kepada Rasul-Nya; dan menjadikan orang yang tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan sebagai orang kafir seandainya dia meyakininya (iaitu meyakini hukum selain hukum Allah), atau meyakini bahawa apa yang Allah turunkan itu tidak layak untuk diterapkan; dan Allah menjadikannya sebagai orang yang berbuat kemaksiatan, fasik, dan zalim jika berhukum dengan (selain daripada apa yang Allah turunkan) dan tidak meyakininya (hukum selain hukum Allah itu) [An-Nabhani dan Zallum; Nizamul Hukm fi al-Islam]. Sungguhpun demikian, kita juga tidak boleh menghukum secara keras bahawa seseorang yang tidak melaksanakan politik Islam jatuh kafir, kerana selagimana ia meyakini akidah Islam dan tidak menzahirkan secara terbuka bahawa ia tidak yakin kepada hukum Allah, maka ia tetap dikira sebagai seorang Muslim. Namun ia tetap termasuk dalam kategori orang yang melakukan maksiat kepada Allah SWT kerana tidak mematuhi perintah dan larangannya dalam berpolitik.

Dalam menanggapi persoalan ini, umat Islam tidak sewajarnya terjerat dalam kerangka ketaksuban kepartian dan amalan takfiri. Sebaliknya, kita dituntut untuk bersatu ke arah melaksanakan tanggungjawab politik dalam ertikata yang sebenar. Di saat umat ini diatur dengan sistem demokrasi sekular kapitalis, maka sewajarnya kita menggembleng usaha untuk mengembalikan semula kehidupan Islam secara kaffah melalui penegakan semula Khilafah Rasyidah. Semestinya usaha sebegini tidak akan dapat tercapai selagimana kita terus menerus beralasan dan berpolemik demi menjustifikasikan keberadaan sistem hari ini.

Download PDF