SN562 – Mengungkap Akar Permasalahan Umat Islam

Bil: SN562 – 05 Rabi’ulakhir 1441 / 06 Disember 2019

SN562 - Mengungkap Akar Permasalahan Umat Islam

Di sebalik tekanan yang sedang dilalui oleh umat Islam pada ketika ini, perbincangan demi perbincangan terus dijalankan untuk mencari jalan penyelesaian kepada konflik yang seolah-olahnya tidak berkesudahan. Terbaru, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru supaya perbincangan mendalam diadakan bagi mengenal pasti punca umat Islam pada hari ini berhadapan dengan tekanan dari pelbagai pihak, tanpa dapat mempertahankan diri dan berjaya menangkis nasib buruk yang menimpa mereka. Mahathir berkata demikian dalam sesi ucapan khas bersempena Multaqa Ulama Asia Tenggara (MUAT) 2019 baru-baru ini di Sepang. Di samping itu, Mahathir turut menyeru supaya umat Islam menerima kenyataan dan melihat serta mengakui kesalahan mereka. “Selagi kita tidak sanggup menyalahkan diri kita, selagi itulah kesalahan itu akan berterusan dan akan berterusanlah juga keadaan buruk yang menimpa kita” katanya. [Astro Awani, 19/11/19].

Realiti hari ini jelas menunjukkan betapa umat ini berada dalam keadaan yang serba tertekan dan mundur dalam pelbagai aspek. Pelbagai persidangan dan dialog dilakukan demi mencari jalan penyelesaian bagi mengeluarkan umat Islam daripada kemelut yang melanda. Ada pihak yang melihat kemunduran ini berpunca daripada kelemahan tadbir urus institusi agama khasnya, dalam memacu dakwah bagi membanteras gejala rasuah, salah guna kuasa, dan masalah sosial. Terdapat juga pihak yang menekankan aspek pemerkasaan ekonomi bagi membangkitkan umat Islam agar menjadi umat yang berdikari. Daripada pandangan yang pelbagai ini kemudiannya lahirlah bermacam-macam inisiatif untuk membebaskan umat Islam daripada terus terbelenggu. Namun keadaan umat Islam masih buruk dan menjadi semakin parah. Di mana silapnya?

Menelusuri Punca Kemunduran Umat Islam

Sejarah kemerosotan umat Islam menempuh suatu proses yang mengambil masa yang panjang. Puncanya telah sekian lama menjadi topik pembahasan para pemimpin, cendekiawan, dan gerakan-gerakan Islam termasuklah Hizbut Tahrir. Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani rahimahullah telah menggariskan beberapa puncanya seperti yang dinukilkan dalam karya beliau, Mafahim Hizbut Tahrir.

Antara punca kemunduran dunia Islam ini bertitik-tolak daripada kemerosotan kemampuan berfikir umat dalam memahami Islam sepertimana yang dibawa oleh Rasulullah SAW serta generasi terawal Islam. Kemerosotan tahap berfikir ini bermula sekitar abad ke-7 Hijriah, tatkala peranan bahasa Arab dalam memahami Islam telah diremehkan, sehingga kekuatan yang ada pada bahasa Arab menjadi terpisah daripada kekuatan Islam. Sedangkan sesungguhnya Islam tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurna melainkan dengan adanya peranan bahasa Arab. Bahasa tersebut merupakan salah satu syarat asas dalam proses ijtihad. Manakala ijtihad pula mempunyai kedudukan yang sangat penting, sehingga umat Islam tidak akan memperoleh kemajuan tanpa adanya ijtihad.

Selain itu, kemerosotan ini turut berpunca daripada kekeliruan umat Islam dalam memahami persoalan berhubung fikrah (pemikiran) dan thariqah (metodologi penerapan) Islam. Pertama, tiada kefahaman yang mendalam mengenai fikrah Islam. Kedua, tiada gambaran jelas mengenai thariqah Islam dalam menerapkan fikrah. Ketiga, tiada usaha untuk menghubungkan fikrah dengan thariqah Islam sebagai satu hubungan yang lengkap, yang tidak boleh dipisahkan [an-Nabhani, Mafahim Hizbut Tahrir]. Umat Islam semakin jauh daripada tsaqafah Islam dan gagal memahami peranan Islam sebagai penyelesaian bagi segala permasalahan umat. Keadaan diburukkan lagi dengan kemasukan pelbagai falsafah pemikiran yang berasal dari tamadun luar seperti India, Parsi, dan Yunani sejajar dengan berkembangnya wilayah Islam di kawasan-kawasan tersebut.

Terdapat cendekiawan Muslim yang mendalami falsafah pemikiran tersebut serta mengkompromikannya dengan Islam. Natijahnya, muncul interpretasi yang salah serta mengelirukan sehingga akhirnya melemahkan pemahaman Islam dalam kalangan kaum Muslimin. Seterusnya, pada penghujung abad ke-17 Masihi, muncul pula serangan budaya (ghazwu ats-tsaqafi), kristianisasi, dan serangan politik yang didalangi Barat ke atas dunia Islam. Akhirnya muncul generasi kaum Muslimin yang menyanjung Barat dan melihat Islam sebagai punca kemunduran. Mereka telah mengambil hadharah Barat dalam kehidupan kerana kejernihan fikrah Islam yang hakiki sudah lenyap daripada minda kaum Muslimin.

Berhubung thariqah Islam pula, generasi Islam terdahulu menyedari kewujudan dirinya dalam hidup ini hanya untuk Islam, dan bahawa tugas Khilafah Islam adalah untuk menerapkan Islam, melaksanakan hukum-hukumnya dalam negara serta menyebarluaskan dakwah Islam ke seluruh dunia. Namun, sedikit demi sedikit kefahaman mengenai thariqah ini semakin menghilang. Akhirnya umat Islam secara umumnya mulai lalai serta mengutamakan usaha mencari kesenangan dunia berbanding melaksanakan tugas mulia menyampaikan nasihat dan petunjuk, itupun hanya apabila keadaan mengizinkan. Manakala pemerintah kaum Muslimin pula mengabaikan tanggungjawab mereka dalam melaksanakan hukum-hakam Islam.

Manakala berkenaan aspek hubungan antara fikrah dan thariqah, umat Islam kini rata-rata hanya memperhatikan hukum syarak yang berkaitan dengan penyelesaian masalah kehidupan dalam aspek fikrah semata-mata dan meninggalkan thariqah pelaksanaannya yang benar. Cara mempelajari Islam sebegini dengan sendirinya telah memisahkan antara fikrah dan thariqah, antara teori dan amalan, sehingga menyebabkan fikrah tidak dapat diterapkan kerana tidak disertai dengan thariqah-nya.

Dengan kata lain, perbincangan syariat kini lebih kepada perbahasan akademik, sedangkan penerapannya pula dibatasi oleh sistem demokrasi yang membelenggu umat Islam hari ini. Terdapat pula ilmuan yang mengeluarkan kaedah-kaedah kulliyat (umum) dan menggunakan konsep seperti maqasid syar’iyyah bagi menjustifikasikan keberadaan sistem kufur dan meninggalkan penerapan Islam secara kaffah (sempurna). Tindakan sebegini menjauhkan umat Islam daripada pemahaman Islam yang benar. Bahkan ia juga membuka ruang kepada musuh-musuh Islam untuk menyuntik fahaman-fahaman menyimpang agar diterima oleh umat ini. Justeru, tidak menghairankan jika sedikit demi sedikit fahaman seperti liberal dan idea kebebasan dalam demokrasi semakin menular dalam kalangan umat Islam. Hal ini diburukkan lagi dengan tindakan segelintir “pemikir” Islam yang mencipta istilah-istilah berbau Islam dan memanipulasi nas bagi menjustifikasikan fahaman-fahaman asing yang merosakkan ini.

Hala tuju umat Islam

Setelah menyedari punca-punca kemerosotan umat ini, langkah bagi menanganinya perlu diperhalusi secara mendalam. Para cendekiawan dan aktivis kebangkitan Islam perlu duduk bersama dan mempergiat aktiviti bagi meningkatkan taraf berfikir umat Islam dengan mendidik umat ini agar menjadikan akidah Islam sebagai sandaran dalam menjalani kehidupan. Segenap potensi dan keupayaan perlu diarahkan demi mewujudkan masyarakat Islam yang mempunyai pemikiran dan perasaan Islam, serta diatur dengan syariat Islam. Usaha sebegini tidak sewajarnya dilakukan secara sambalewa tanpa perancangan yang tersusun. Di samping itu, amalan amar makruf dan nahi mungkar juga perlu dihidupkan dalam pelbagai lapisan masyarakat di samping penerapan syariat Islam oleh negara.

Umat Islam juga perlu difahamkan dengan tsaqafah Islam yang benar dan bersih daripada sebarang pencemaran hadharah kufur. Konsep hadharah dan madaniyah perlu diperjelas kepada umat untuk dijadikan panduan dalam pertimbangan untuk mengambil sebarang pengetahuan daripada tamadun luar. Melalui kefahaman sebegini, pemikiran dan sistem rosak yang lahir daripada aqidah sekularisme Barat seperti kapitalisme, demokrasi, hak asasi manusia dan sebagainya dapat dihindari, manakala perkara bersifat madaniyah seperti teknologi dan ilmu sains secara umumnya tidak dipinggirkan oleh masyarakat.

Di samping itu, penguasaan bahasa Arab perlu disebarluaskan dalam masyarakat agar umat Islam mampu memahami wahyu dalam bentuk Al-Quran dan As-Sunnah serta konteks pembahasannya yang benar dalam khazanah keilmuan Islam yang luas. Peranan Islam juga perlu dikembalikan sebagai sebuah mabda’ (ideologi) yang menjadi penyelesaian dalam seluruh masalah kehidupan, termasuklah dalam aspek ibadah, ekonomi, kemasyarakatan, politik, dan hubungan luar negara. Pastinya usaha sebegini perlu diiringi dengan thariqah yang benar bagi menerapkan fikrah Islam. Penerapan syariat Islam secara kaffah akan hanya tercapai melalui perubahan secara sistemik ke arah sistem Islam yang merangkumi segenap aspek kehidupan dalam bingkai Khilafah Rasyidah. Justeru, segala bentuk halangan dalam merealisasikan matlamat ini perlu ditangani secara tuntas, dengan melakukan perubahan secara inqilabiyah berdasarkan mabda’ Islam.


KOLUM TSAQAFAH

HADHARAH & MADANIYYAH

Dalam menentukan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh diambil dari Barat (atau orang-orang kafir), umat Islam perlu memahami dan membezakan dua perkara yang penting iaitu hadharah dan madaniyyah.

Hadharah bermaksud sekumpulan konsep/pemahaman tentang kehidupan. Contohnya seperti idea, gagasan, nilai, norma adat-istiadat, hukum-hakam serta konsep pemerintahan. Madaniyyah pula bermaksud peralatan fizikal berupa benda hasil ciptaan manusia yang digunakan dalam aspek kehidupan. Ia merangkumi peralatan sains dan teknologi yang dapat dilihat, dirasai, disentuh dan digunakan seperti kereta, komputer, rumah ibadah, simbol agama, buku, dan sebagainya.

Hadharah adalah berbeza-beza sesuai dengan akidah dan hukum yang melahirkannya. Apabila hadharah tersebut selari atau lahir daripada akidah dan hukum Islam, maka ia disebut hadharah Islam. Contohnya seperti sistem pemerintahan Islam, sistem ekonomi Islam, dan sebagainya. Sebaliknya, apabila hadharah tersebut lahir daripada selain Islam maka ia merupakan hadharah kufur. Contohnya seperti idea liberalisme, feminisme, nasionalisme, patriotisme, sekularisme, komunisme dan seumpamanya. Begitu juga sekumpulan konsep tentang kehidupan sosial masyarakat, antaranya manusia perlu menutup aurat merupakan hadharah Islam. Sementara, pemikiran bahawa manusia itu bebas bertingkah laku, berkhalwat, berzina dan melakukan apa sahaja sekehendak hatinya, semuanya adalah hadharah kufur/Barat yang lahir dari pemahaman mereka tentang kehidupan, yakni ‘kebebasan’.

Berbeza dengan hadharah, madaniyyah pula boleh bersifat khas dan boleh pula bersifat umum untuk seluruh umat manusia. Bentuk-bentuk madaniyyah yang dihasilkan atau didasarkan pada hadharah kufur, seperti patung berhala, lambang salib dan pakaian paderi/sami adalah termasuk madaniyah yang bersifat khas dan diharamkan ke atas umat Islam. Sedangkan madaniyyah yang dihasilkan oleh kemajuan sains dan perkembangan teknologi/industri adalah tergolong dalam madaniyyah yang bersifat umum. Madaniyyah yang bersifat umum ini tidak dimiliki secara khusus oleh suatu umat/bangsa atau hadharah tertentu, akan tetapi ia bersifat universal dan ianya boleh dimanfaatkan oleh seluruh umat manusia walaupun ia dicipta oleh orang kafir sekalipun. Maka tidak timbul persoalan “komputer kafir”, “kereta Islam”, “facebook kafir” dan sebagainya.

Disebabkan pemahaman yang tidak jelas tentang konsep ini, menyebabkan ada beberapa insiden dalam sejarah yang merugikan umat Islam. Justeru, umat Islam perlu fahami bahawa mereka wajib menolak hadharah kufur dan segala bentuk madaniyyah khas yang bertentangan dengan Islam. Umat Islam tidak seharusnya keliru dengan menolak madaniyyah yang bersifat umum, yang berupa sains dan teknologi. Hal ini berdasarkan kaedah usul fiqh, “al-aslu fi al-ashya’ al-ibahah ma lam yarid dalil al-tahrim” (hukum asal benda —alat/barang/teknologi—  adalah harus, selama mana tidak ada dalil yang mengharamkannya).

 

Download PDF