SN564 – Wabak Coronavirus: Ibrah Dan Sikap Ketika menghadapi Ujian Tuhan

Bil: SN564 – 06 Jamadilakhir 1441 / 31 Januari 2020

SN564 - Wabak Coronavirus: Ibrah Dan Sikap Ketika menghadapi Ujian Tuhan

Penularan wabak Wuhan yang berpunca daripada virus yang dikenali sebagai 2019-nCov (Novel Coronavirus 2019) menimbulkan keresahan dalam masyarakat semenjak beberapa minggu lalu. Wabak tersebut dilaporkan bermula dari bandar Wuhan, China dan telah merebak ke beberapa buah negara termasuk Malaysia. Setakat ini, dilaporkan lebih empat ribu orang telah dijangkiti dengan lebih seratus kematian di seluruh dunia.  Ini bukanlah kali pertama negara berhadapan dengan penularan wabak, bahkan kita pernah suatu ketika dahulu berhadapan dengan wabak SARS dan juga virus Nipah sebelumnya. Namun, wabak kali ini hadir dengan cabaran yang berbeza kerana ia bukan sahaja boleh berjangkit sewaktu tempoh inkubasi bahkan sebahagian penghidapnya juga tidak mempunyai sebarang simptom. Hal ini menyukarkan langkah membendung penularan wabak tersebut. Tambahan pula, penularannya tercetus ketika sambutan Tahun Baharu Cina yang menyaksikan pergerakan besar-besaran rakyat China ke luar negara.

Respons Terhadap Wabak

Setelah berhadapan dengan pelbagai tekanan dan desakan daripada pelbagai pihak, akhirnya Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed mengumumkan menyekat sementara kemasukan rakyat China dari Wuhan dan wilayah Hubei pada 27 Januari. Banyak pihak yang mengkritik kelewatan kerajaan dalam melakukan sekatan. Sebahagian mereka menangguk di air keruh dengan mempolitikkan isu penularan wabak ini, sehingga dibimbangi boleh mencetuskan ketidakpercayaan terhadap sebarang keputusan yang dibuat kerajaan berhubungnya.

Namun perlu difahami bahawa, sebarang langkah membendung merebaknya wabak ini dibuat atas pertimbangan dan pandangan pakar-pakar perubatan dan saintis terutamanya dalam bidang kawalan penyakit, bukannya atas dasar sentimen atau mainan persepsi yang dikhuatiri kelak boleh mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat. Keputusan melulu yang dibuat berdasarkan sentimen akan hanya menyebabkan ‘knee-jerk reaction’ yang bukan sahaja boleh mengalihkan fokus negara dan sumber yang ada daripada perkara yang sepatutnya dilakukan, bahkan boleh menggagalkan usaha membendung wabak. Usaha sebegini bukanlah suatu yang dibuat secara bermusim, sebaliknya menuntut kepada pelaksanaan dasar yang konsisten serta keazaman politik yang kuat dari pemerintah bagi memastikan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan dalam menghadapi krisis sebegini.

Di sinilah letaknya peranan negara dalam memastikan segala keperluan dalam menghadapi wabak dan juga krisis kesihatan lain dipenuhi, baik dari sudut sumber manusia, pelan kontingensi, teknologi perubatan, mahupun penghasilan ubat-ubatan. Audit berterusan juga dilakukan dalam memastikan segala prosedur operasi dan garis panduan dipatuhi. Kolaborasi antara pelbagai pihak, termasuklah dalam perkongsian maklumat turut memainkan peranan penting.

Selain itu, kerjasama yang lebih luas di peringkat global juga perlu diperkukuhkan bagi menghadapi krisis kesihatan sebegini. Dalam era globalisasi dan perkembangan sistem pengangkutan yang menjadikan wabak begitu mudah tersebar dalam masa yang singkat, maka seharusnya sistem penjagaan kesihatan tidak sepatutnya terbatas dalam sempadan negara masing-masing. Sebaliknya koordinasi dan penglibatan aktif dalam agensi antarabangsa berhubung isu-isu kesihatan perlu dilaksanakan bagi memastikan kawalan wabak dicapai secara efektif. Sikap skeptikal yang keterlaluan terhadap agensi antarabangsa dalam perkara-perkara yang bertujuan demi mencapai kemaslahatan umat adalah suatu yang tidak wajar.

Sementara itu, rakyat juga berhak mendapatkan maklumat yang benar berhubung wabak yang melanda. Dengan berleluasanya maklumat-maklumat palsu yang berlegar melalui media sosial, maka penyampaian maklumat daripada sumber rasmi memainkan peranan yang sangat penting. Justeru, ketelusan negara dalam menyebarkan informasi sangat diperlukan dan negara berperanan dalam mendidik masyarakat sebagai langkah pencegahan. Ketelusan sebegini dapat mengukuhkan kepercayaan masyarakat, menangani penularan berita palsu, serta menggalakkan kerjasama daripada orang awam dalam usaha untuk mengawal wabak dan mencegah penularannya. Maka amatlah wajar bagi negara mengenakan tindakan tegas terhadap segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita-berita palsu, kerana boleh mencetuskan panik dalam masyarakat dan menggagalkan usaha negara dalam membendung wabak. Rakyat seharusnya mengambil langkah berjaga-jaga dalam menanggapi ledakan informasi sebegini agar tidak terburu-buru menyebarkan berita yang tidak dipastikan kesahihannya, apatah lagi Islam memerintahkan umat untuk tabayyun ketika menerima sebarang berita. Sabda Rasulullah (saw), ”Cukuplah seseorang dikatakan berdusta, jika ia menceritakan setiap yang dia dengar[HR Muslim].

Menghadapi Penularan Wabak Menurut Perspektif Islam

Ideologi Islam yang bersumberkan wahyu daripada Sang Pencipta (Allah) pastinya mempunyai penyelesaian terhadap segala permasalahan yang melanda umat manusia. Dalam mendepani wabak penyakit, Islam turut menggariskan beberapa panduan agar merujuk kepada para ahlinya seperti para pakar perubatan, teknologi dan saintis serta termasuklah dalam aspek pencegahan dan pengawalannya.

Penyelesaian Islam dalam isu ini bermula dari sebelum sesebuah wabak itu bermula. Islam sangat menekankan aspek kebersihan di samping menitikberatkan pengambilan makanan yang halal dan toyyib (baik). Wabak dari Wuhan ini dilaporkan berpunca daripada virus yang disebarkan daripada hidupan liar kepada manusia. Amalan memakan hidupan liar seperti kelawar yang dikategorikan sebagai makanan ‘eksotik’ menjadikan virus tersebut mudah tersebar kepada manusia. Dalam pada itu, penekanan Islam terhadap kesucian daripada najis juga mendorong umat Islam untuk sentiasa membersihkan diri daripada sebarang kotoran, sekali gus mengurangkan risiko terkena penyakit.

Manakala ketika wabak sedang melanda pula, Islam telah menggariskan langkah-langkah yang perlu diambil bagi membendungnya. Sabda Rasulullah (saw), “Apabila kamu mendengar satu wabak penyakit berjangkit di sesuatu daerah maka janganlah memasuki ia (daerah tersebut). Dan apabila kamu berada dalam daerah yang sedang dilanda wabak penyakit berjangkit maka janganlah kamu keluar darinya[HR Bukhari]. Di samping itu, Rasulullah (saw) juga menegah orang yang sakit daripada mengunjungi orang yang sihat, seperti sabda baginda, “Janganlah orang yang sakit mengunjungi orang yang sihat[HR Bukhari].

Islam telah menekankan bahawa menjadi tanggungjawab bagi seseorang pemimpin (Khalifah) untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan sebaik mungkin serta memastikan keselamatan rakyatnya. Hal ini menuntut negara untuk mencari penawar dan rawatan bagi menghentikan penularan wabak. Bahkan sebuah negara Islam juga sewajarnya memberikan tumpuan dalam membangunkan industri penyelidikan dan pembangunan  bagi memastikan teknologi perubatan sentiasa berkembang sejajar dengan peralihan masa demi kemaslahatan rakyat dan dunia daripada terus bergantung kepada dunia Barat yang berorientasikan keuntungan dalam sistem kapitalis apatah lagi untuk bersiap siaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan serangan senjata biologi daripada pihak yang memusuhi negara.

Di samping usaha dan ikhtiar dalam ruang lingkup yang dikuasai manusia, jangan sesekali kita meminggirkan pengharapan sepenuhnya kepada Allah (swt) kerana sesungguhnya kesembuhan itu datangnya daripada Allah (swt). Firman Allah (swt), “Dan apabila aku sakit, Dia-lah yang menyembuhkanku[TMQ al-Syu’araa (26): 80]. Di sebalik musibah dan ujian yang hadir bersama-sama penularan wabak Wuhan ini, terdapat rahmah bagi orang yang beriman. Sabda Rasulullah (saw), “Sesungguhnya wabak taun itu adalah azab yang diturunkan Allah ke atas sesiapa sahaja, tetapi Allah menjadikannya sebagai rahmat bagi orang beriman. Tidaklah seseorang yang dilanda wabak taun lalu terus menetap di kawasan yang dilanda taun itu (disebabkan arahan untuk dikuarantinkan dalam suatu jangka masa), dalam keadaan sabar, berserah diri kepada Allah dan mengetahui bahawa tidaklah sesuatu musibah yang melanda beliau melainkan suatu yang telah ditentukan Allah, maka tidaklah baginya melainkan mendapat pahala seperti seorang yang mati syahid[HR Bukhari].

Dalam kita menghadapi ujian sebegini, marilah kita bersama-sama menjiwai sikap seorang mukmin tatkala diuji sebagaimana hadis berikut; daripada Shuhaib (ra) berkata, Rasulullah (saw) bersabda: “Amat menakjubkan urusan seorang Mukmin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada seorang Mukmin (yang sempurna keimanannya). Jika dia mendapat sesuatu yang mengembirakan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya[HR Muslim]. Semoga Allah memelihara kita daripada musibah serta menamatkan segera wabak yang sedang melanda. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.


KOLUM TSAQAFAH

BATAS-BATAS TOLERANSI

Toleransi atau tasamuh adalah merujuk kepada sikap membiarkan, menghargai atau berlapang dada. Ketika timbul isu-isu sensitif yang melibatkan umat Islam dan penganutnya, istilah “toleransi agama” akan didendangkan oleh kelompok liberal dengan menuding kepada umat Islam sebagai kelompok yang tidak bertoleransi terhadap penganut agama lain. Adapun Islam telah menetapkan batas-batas tertentu dalam bertoleransi antaranya ialah:

Pertama, Islam tidak pernah mengakui kebenaran agama dan keyakinan selain Islam. Seluruh agama dan keyakinan selain Islam adalah kekufuran. Agama Yahudi, Kristian, Hindu, Buddha, dan sebagainya, semuanya adalah kufur. Maka apa sahaja yang lahir daripadanya termasuk perayaan agama mereka adalah sesuatu yang dilarang untuk diraikan oleh umat Islam. Pluralisme, sekularisme, liberalisme dan semua fahaman yang lahir dari idea-idea tersebut adalah fahaman kufur. Sesiapa sahaja yang meyakini agama atau fahaman tersebut, baik sebahagian mahupun keseluruhan, adalah terkeluar dari Islam.

Kedua, tidak ada toleransi dalam perkara-perkara yang telah ditetapkan oleh dalil-dalil qath’i, dalam aspek akidah atau hukum syariah. Dalam aspek akidah, Islam tidak pernah bertoleransi dengan keyakinan yang bertentangan dasar-dasar akidah Islam seperti ateisme, politeisme, berkeyakinan bahawa al-Quran tidak lengkap, menafikan hadis sebagai sumber hukum, berkeyakinan adanya Nabi dan Rasul baharu setelah wafatnya Nabi (saw), ingkar terhadap Hari Akhirat dan sebagainya. Dalam aspek hukum syariah, Islam tidak bertoleransi dengan orang yang mengingkari hukum kewajiban shalat, zakat, puasa dan kewajipan-kewajipan lain yang telah ditetapkan berdasarkan dalil-dalil qath’i.

Ketiga, Islam tidak melarang penganutnya untuk berinteraksi dengan orang-orang kafir dalam perkara-perkara yang harus seperti jual-beli, bersyarikat, menuntut ilmu dan lain-lain. Larangan berinteraksi dengan orang kafir terbatas pada perkara yang telah ditetapkan oleh syariah, seperti menikahi wanita musyrik, menikahkan wanita Muslimah dengan orang kafir, dan sebagainya. Ketetapan ini tidak boleh diubah dengan alasan toleransi.

Keempat, adanya batas-batas toleransi di atas tidak menafikan kewajipan umat Islam untuk berdakwah kepada orang-orang kafir di mana pun mereka berada. Hanya sahaja, pelaksanaan kewajipan dakwah dan jihad wajib selari dengan apa yang telah ditentukan menurut syariah. Kafir zimmi yang hidup di dalam negara Islam  (Khilafah) dan tunduk pada kekuasaan Islam, dalam batas-batas tertentu, wajib dilayan sebagaimana umat Islam. Hak dan kewajiban mereka sebagai warganegara Khilafah juga adalah sama. Harta dan jiwa mereka dilindungi. Manakala seorang Muslim dilarang berinteraksi dalam bentuk apapun dengan kaum  kafir harbi fi’lan.

Pihak yang mempersoalkan toleransi dalam Islam, atau bahkan menuduh Islam tidak bertoleransi, sesungguhnya merekalah yang tidak bertoleransi. Merekalah yang telah menghalang Islam sebagai rahmat bagi seluruh alam.

Download PDF