SN569 – Taliban Dan Khilafah

SN569

10 September 2021 M / 3 Safar 1443 H

 

Berundurnya Amerika Syarikat dari Afghanistan tidak membawa makna lain, kecuali sebuah kekalahan yang sangat memalukan bagi sebuah kuasa besar yang telah mendominasi dunia sejak sekian lama. Walaupun Amerika keluar dari pintu hadapan dan masuk kembali melalui pintu belakang, hal ini tidak menafikan hakikat bahawa ia telah kalah dalam perang selama 20 tahun di bumi Afghanistan dengan sebuah kekalahan yang cukup mengaibkan. Allah (swt) telah menunjukkan kepada kita bahawa betapa besar dan betapa kuat sekalipun sesebuah negara, Dia boleh menjatuhkan negara tersebut hanya dengan sebuah pasukan yang jauh lebih kecil dan dengan persenjataan yang jauh lebih sedikit.

Allah (swt) telah pun memberikan kemenangan kepada Taliban dengan kemenangan yang mereka sendiri tidak menduganya setelah mereka berjaya menguasai Kabul dalam masa hanya beberapa hari sebaik sahaja AS mengangkat kaki dari Afghanistan, yang sekali gus membawa kepada kejayaan mereka menguasai seluruh bumi yang kaya dengan sumber alam itu. Taliban tidak mungkin menang jika bukan dengan izin Allah (swt) yang telah memuliakan mereka dengan mengalahkan musuh mereka, yang juga merupakan musuh Allah (swt), musuh Nabi-Nya (saw) dan musuh seluruh kaum Mukminin. Kini, Amerika sudah keluar dan tidak lagi mempunyai kekuatan militer di Afghanistan, dan tidak mungkin baginya untuk berpatah balik untuk menyambung peperangan dengan Taliban, apatah lagi dalam masa terdekat.

Pengisytiharan Khilafah

Ramai yang mengharapkan agar dengan kemenangan ini, Taliban akan mendirikan sebuah Negara Islam iaitu Khilafah Islamiyyah, sebuah negara yang telah dijanjikan oleh Rasulullah (saw) akan berdiri kembali untuk kali yang kedua. Sayangnya mereka telah mengisytiharkan sebuah negara Emiriah Islamiyyah. Namun demikian, selagi kekuasaan masih berada di tangan mereka sepenuhnya, masih belum terlambat untuk mereka mendirikan sebuah negara Khilafah yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam sejak sekian lama. Umat Islam, bahkan seluruh dunia termasuk Barat, masih tertanya-tanya sekiranya pengisytiharan Khilafah akan berlaku, sebuah pengisytiharan yang pastinya akan menggembirakan umat Islam dan akan menakutkan Amerika serta musuh-musuh Islam lainnya.

Walau pun kita faham bahawa tegaknya Khilafah bukanlah melalui sebuah “pengisytiharan” semata-mata, tetapi melalui sebuah perjuangan yang panjang dan penuh liku, sebuah perjuangan yang penuh dengan kesedaran dan keseriusan untuk menegakkannya, sebagaimana yang dilalui oleh Rasulullah (saw). Perjuangan untuk menegakkan Khilafah bukanlah perjuangan berdasarkan semangat semata-mata, tetapi perjuangan yang wajib diiringi dengan persediaan penuh daripada segi misi dan visi, ilmu dan tsaqafah, kesedaran dan kefahaman politik sama ada di peringkat nasional mahupun internasional, kejelasan fikrah dan thariqah untuk menegakkannya, dan termasuklah persediaan setelah ia berdiri nanti. Inilah perjuangan untuk menegakkan Khilafah.

Dengan kata lain, Khilafah adalah sebuah “projek” umat Islam yang usaha untuk mendirikannya harus disertai dengan kefahaman dan kejelasan dari A-Z, sebagaimana yang dituntut oleh hukum syarak mengenainya. Usaha untuk mendirikan Khilafah memerlukan kesedaran sepenuhnya daripada para pejuangnya bahawa ia merupakan sebuah kewajipan yang tidak boleh ditawar-menawar atau ditukar ganti dengan yang lain. Perjuangan untuk mendirikannya juga hendaklah bersih dari sebarang campur tangan orang-orang kafir, apatah lagi kuasa Barat, baik sebelum, semasa mahupun sesudah ia berdiri.

Gerakan Islam mana pun yang berjaya naik ke pemerintahan, tetap wajib atas mereka untuk menerapkan Islam sepenuhnya melalui sebuah negara Khilafah, kerana satu-satunya negara yang wajib untuk umat Islam ialah Khilafah. Samalah dengan Taliban sekarang yang telah berjaya naik ke kekuasaan, maka kewajipan mereka sekarang ialah untuk menerapkan agama Allah (swt) secara kaffah, dengan menjadikan Afghanistan sebagai Khilafah. Mereka seharusnya mengisytiharkan Afghanistan sebagai Khilafah, dan pengisytiharan itu akan sah sekiranya seorang Khalifah dilantik dan dibaiah oleh penduduk Afghanistan sesuai dengan tuntutan syarak mengenai hukum-hukum baiah.

Apa Yang Seharusnya Dilakukan Taliban

Sesungguhnya bentuk negara dan pemerintahan dalam Islam ialah Khilafah, bukan Emiriah, demokrasi, monarki dan lain-lain. Khilafah mempunyai strukturnya tersendiri yang berbeza dengan lain-lain struktur pemerintahan yang dikenali di dunia pada hari ini, sebuah struktur yang datangnya daripada Rasulullah (saw) dan diikuti oleh Khulafa’ ar-Rasyidin.  Ketua negara ialah Khalifah, yang dibaiah oleh umat Islam dengan ridha wa ikhtiyar (redha dan bebas-pilih). Terdapat banyak nas yang qathie yang menunjukkan bahawa Khalifah ialah ketua Negara Islam, yang keabsahannya pelantikannya adalah melalui jalan baiah oleh umat Islam. Inilah apa yang seharusnya dilakukan oleh Taliban, yakni mengisytiharkan Afghanistan sebagai Negara Khilafah dan melantik seorang Khalifah dengan jalan baiah (baiah in’iqad), yang selanjutnya akan dibaiah (baiah at-tha’ah) oleh seluruh umat Islam.

Setelah dibaiah seorang Khalifah, maka struktur atau tiang-tiang Negara Khilafah harus segera berdiri secara seiring yakni dengan Khalifah sebagai ketua negara, dan dibantu oleh Mu’awwin at-Tafwidh (Pembantu Pemerintahan) dan Mu’awwin at-Tanfiz (Pembantu Pentadbiran). Struktur lain di bawahnya ialah al-Wulat (Wali), al-Qadha’ (kehakiman), Amirul Jihad (Ketenteraan), Da’irah al-Amni (Keamanan/Kepolisian), Da’irah al-Kharajiah (Luar Negeri), Da’irah as-Sina’ah (Perindustrian), al-I’lamiy (Media/Penerangan), Jihaz al-Idari (Jentera Pentadbiran), Baitul Mal dan Majlis al-Ummah. Inilah 13 struktur negara Khilafah berdasarkan nas, dan inilah struktur yang seharusnya didirikan oleh Taliban.

Setelah lengkap segala struktur pemerintahan ini dibangunkan, maka tugas dan tanggungjawab Taliban (atau tepatnya negara Khilafah yang baru berdiri) ialah untuk menerapkan hukum Allah (swt) secara kaffah dan segera, tanpa bertangguh. Umat ini, termasuk di Afghanistan, sudah lama berada di bawah hukum kufur yang berasal dari penjajah Barat. Umat ini sudah lama merindukan syariah Islam dan ingin berhukum dengannya dengan penuh keadilan dan keredhaan dari Allah (swt). Taliban juga harus memperbaiki segala kesilapannya dalam penerapan Islam yang dahulu dan hendaklah menerapkan Islam dengan cara yang benar yang diistinbath (digali) melalui ijtihad yang syarie.

Dalam masa yang sama, Taliban hendaklah memutuskan segala hubungan dengan Amerika yang selama ini diperanginya dengan jihad yang benar. Satu-satunya hubungan yang boleh ada dengan Amerika sebagai kafir harbi ialah hubungan perang (jihad). Sebarang kerjasama dengan Amerika wajib diputuskan, apatah lagi kerjasama diplomatik dan perdagangan. Dalam pada itu, Taliban hendaklah sedar dan menolak kemasukan Amerika ke Afghanistan melalui pintu belakang, termasuk melalui Pakistan, Iran atau Turki yang menjadi proksi kepada negara kafir itu. Pemutusan hubungan ini bukan sekadar kewajipan dari segi syarak yang akan mendatangkan kebaikan kepada Afghanistan dan umat Islam, tetapi akan memberi kesan yang besar kepada Amerika yang sudah pasti akan menjadi semakin lemah dan tertekan kerana putusnya segala keuntungan dari kekayaan alam yang dikautnya di Afghanistan.

Terakhir, Taliban (atau Khilafah) hendaklah menyeru seluruh negara kaum Muslimin, khususnya negara-negara yang berjiran dengannya, untuk segera bergabung dan memberikan dukungan kepada Khilafah yang baru berdiri tersebut. Ini kerana, negara-negara di sekeliling sangat penting sekiranya ada musuh yang ingin menyerang pusat Khilafah. Khilafah yang baru berdiri insya Allah akan semakin kuat apabila semakin banyak negara yang bergabung, yang semua ini sudah pasti akan menggentarkan semua musuh Islam, baik Barat mahu pun Timur. Jika selama ini sebuah pasukan Taliban sahaja sudah tidak dapat ditewaskan oleh Amerika, Britain dan Russia yang kesemuanya merupakan kuasa besar dunia, apatah lagi apabila negara-negara kaum Muslimin bergabung di bawah satu Khilafah. Dengan ini, dan dengan izin Allah (swt), Khilafah akan kembali menjadi super power dunia buat kali yang kedua.

Harapan Dan Peringatan Untuk Taliban

Hizbut Tahrir telah pun menawarkan Khilafah kepada Taliban semasa kemenangan mereka yang terdahulu, namun sayangnya telah ditolak. Justeru, pada kemenangan kali ini, Hizbut Tahrir sekali lagi menyeru dan menawarkan Khilafah kepada Taliban, dengan harapan mereka menyedari kesilapannya yang lama dan tidak akan menolaknya pada kali ini. Bagaimana pun, harapan yang tertinggi kami letakkan hanya pada Allah (swt), Dzat Yang Maha Mengetahui siapakah dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang terpilih untuk menegakkan agama-Nya.

Sebagai saudara sesama Muslim, dan sebagai sebuah parti politik Islam yang sentiasa peka dengan apa yang berlaku ke atas umat Islam dan apa yang menimpa negara umat Islam, kami menyedari bahawa ada saudara-saudara kami yang jujur dan ikhlas dalam Taliban yang menginginkan tegaknya Khilafah setelah perjuangan mereka selama 20 tahun diberikan kemenangan oleh Allah (swt). Jadi, walaupun Taliban telah mengisytiharkan negara Emiriah, kami ingin katakan bahawa masih belum terlambat untuk mereka yang ikhlas di dalam Taliban  berusaha membetulkan perkara ini, untuk mengisytiharkan Khilafah, memberhentikan segala rundingan dengan penjajah dan puak kuffar yang sedang ketakutan melihat perkembangan di Afghanistan.

Anggota Taliban yang ikhlas seharusnya yakin bahawa masalah yang paling utama bagi umat Islam sekarang ialah mengembalikan Khilafah setelah ketiadaannya buat sekian lama, kerana ia adalah kefardhuan yang diperintahkan oleh Allah (swt) dan satu bentuk ketaatan kepada Rasulullah (saw), dan merupakan jalan para Sahabat yang mulia. Mereka yang ikhlas dalam perjuangan seharusnya sedar dan sedia maklum bahawa Allah (swt) dan Rasul-Nya (saw) tidak akan menerima apa-apa sistem, undang-undang dan peraturan selain Islam, dan tidak akan menerima campuran antara Islam dan sekularisme.

Taliban juga perlu sedar bahawa Allah (swt) telah memuliakan mereka dengan kemenangan yang luar biasa mengalahkan Amerika, sebuah kemenangan yang tidak akan dilupakan dalam sejarah. Melalui kemenangan ini, Allah (swt) telah membuka peluang kepada Taliban untuk menegakkan Daulah Islam, Daulah yang didirikan buat kali pertama oleh kekasih-Nya, Daulah yang akan menerapkan hukum-Nya secara kaffah, Daulah yang akan mempersatukan seluruh kaum Muslimin, Daulah yang akan mengembalikan semula kekuatan dan kemuliaan umat Islam, Daulah yang akan menzahirkan agama-Nya di atas agama-agama yang lain, Daulah yang akan menyebarkan Islam sebagai rahmatan lil alamin, dan Daulah yang akan membawa redha-Nya di dunia dan akhirat.

Sesungguhnya Khilafah bila berdiri akan menjadi sebuah negara yang tidak bisa dikalahkan oleh siapa pun jua. Bayangkan jika British telah kalah, Rusia juga telah kalah, dan terbaru Amerika juga kalah dengan Taliban, maka dengan izin Allah (swt), tiada lagi kuasa yang dapat mengalahkan Khilafah, jika Taliban memilih untuk menegakkannya. Taliban seharusnya ingat bahawa mereka tidak mungkin mencapai kemenangan kecuali dengan izin Allah (swt). Maka sewajarnya sujud dan syukur mereka kepada Alah (swt) itu dibuktikan melalui penegakan Khilafah-Nya, dan hukum-hakam-Nya.

Khatimah

Sesungguhnya sekarang ini Allah (swt) sedang menguji Taliban dengan sebuah kekuasaan, sebuah ujian yang cukup besar, jauh lebih besar daripada ujian peperangan yang mereka lalui sebelum ini. Taliban kini diberi peluang oleh Allah (swt) untuk merealisasikan janji dan bisyarah (khabar gembira) dari Rasulullah (saw) dengan tegaknya Khilafah. Sungguh malang dan rugilah mereka jika tidak berbuat demikian, kerana kita yakin bahawa Allah (swt) akan pasti menggantikan mereka dengan kaum yang lain yang akan dimuliakan oleh-Nya dengan tegaknya Khilafah melalui tangan-tangan mereka.

Wallahu a’lam.

 

Download PDF