SN582 – Kerajaan Yang Korup, Apa Solusinya?

SN582

31 Disember 2021 M / 27 Jamadil Awal 1443 H

 

Kemarahan dan ‘kebengangan’ rakyat terhadap kerajaan ternyata belum reda walaupun dua minggu telah berlalu sejak tragedi banjir besar melanda beberapa negeri di Semenanjung Malaysia. Setelah terbukti gagal “menyelamatkan” rakyat semasa banjir, nampaknya kerajaan terus gagal menguruskan suasana pasca banjir. Mangsa banjir sudahlah menderita dengan kerosakan dan kehilangan harta benda yang begitu banyak, kini mereka terpaksa berhadapan pula dengan kerja-kerja pembersihan yang memerlukan tenaga dan masa yang bukan sedikit. Mujurlah banyak badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan yang turun padang membantu. Itu pun tetap tidak mencukupi khususnya di kawasan yang teruk terjejas.

Longgokan sampah sarap dan barangan yang musnah yang terpaksa dibuang, memenuhi bahu-bahu jalan yang sehingga kini masih gagal diangkut sepenuhnya oleh pihak berwajib. Dalam masa yang sama, apa yang lebih menyakitkan hati rakyat secara umum, dan mangsa secara khusus, ialah wayang yang ditunjukkan oleh pak-pak menteri dan ahli-ahli politik yang turun meninjau kawasan dan berlagak membantu kerja-kerja pembersihan. Mereka turun dengan sekumpulan wartawan dan jurugambar yang siap siaga untuk mengambil video serta gambar untuk dipropagandakan kononnya mereka prihatin terhadap nasib mangsa dan turun membantu. Realitinya, semua orang sudah tahu betapa hebatnya wayang yang mereka mainkan. Mereka turun dengan pasukan pengiring yang begitu ramai tanpa mematuhi SOP yang mereka sendiri cipta, dan tanpa segan silu mereka berlakon melakukan kerja-kerja pembersihan di depan mangsa-mangsa banjir yang hakikatnya sedang meluat menyaksikan lakonan mereka. Benarlah kata orang bahawa pelakon yang paling hebat ialah ahli politik!

Kita simpati dan tidak nafikan keperitan mangsa menghadapi banjir, namun sama ada sedar atau tidak, di sebalik tragedi yang menimpa, sudah pasti ada hikmah dan kebaikan yang banyak yang Allah (swt) ingin berikan dan tunjukkan kepada kita. Di saat air sedang naik dan tiada pertolongan daripada pihak berwajib, rakyat tanpa mengira kaum telah membantu sesama sendiri, dan lebih mengharukan apabila terdapat warga Indonesia yang turut membantu di saat-saat genting tersebut, walaupun selama ini mereka “disisihkan” dan dipandang rendah oleh kebanyakan rakyat Malaysia. Selama ini juga, mungkin ramai yang masih belum sedar betapa korupnya kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat, namun dengan musibah yang melanda, ramai yang sudah terketuk minda dan terbuka mata dengan kelalaian, kegagalan dan ketidakprihatinan kerajaan terhadap rakyat.

Walaupun kerajaan cuba menutup kelemahan dengan menghulurkan peruntukan RM1000 untuk sebuah keluarga yang terlibat, namun jumlah ini terlalu jauh daripada mencukupi untuk mangsa kembali hidup seperti sedia kala, apatah lagi bagi mereka yang mengalami kemusnahan harta benda yang banyak. Rakyat kini sudah nampak yang kerajaan ternyata tidak menjaga mereka, sehingga kata-kata “kita jaga kita” atau “rakyat jaga rakyat” telah menjadi trending sejak banjir hingga sekarang. Mata dan minda rakyat kini telah terbuka seluas-luasnya dengan tragedi ini, bahawa kerajaan yang memerintah pada hari ini ternyata sangat korup dan tidak boleh diharap!

Kewajipan Pemerintah

Walaupun pelbagai inisiatif sedang ditawarkan oleh kerajaan kepada mangsa banjir, namun hati rakyat yang telah terluka dengan kegagalan kerajaan, dan perasaan rakyat yang telah cukup meluat dengan wayang yang ditunjukkan, sudah tidak dapat diubati lagi. Hakikatnya, kerajaan telah tidak menjalankan kewajipan mereka terhadap rakyat, dan lebih menyedihkan apabila terdapat parti Islam yang terus mendukung kerajaan yang gagal lagi korup ini.

Walaupun ada parti Islam dalam pemerintahan, tetapi malangnya kita tetap tidak memiliki sosok pemimpin yang prihatin dan takutkan Allah seperti Umar al-Khattab, yang takut akan dipertanggungjawabkan oleh Allah jika ada seekor kambing yang mati tersesat di tebing Sungai Furat di bawah pemerintahannya. Dalam banjir yang melanda ini, bukan sahaja banyak ternakan yang mati, malah setakat ini dilaporkan 46 jiwa telah terkorban. Ironinya, tidak ada pemimpin yang merasa bersalah pun, seolah-olah Allah tidak akan mempertanggungjawabkan mereka di akhirat kelak. Sedangkan terdapat berapa ramai “alim ulama” dalam pemerintahan sekarang!

Umar al-Khattab juga diriwayatkan menahan lapar selama berbulan-bulan sewaktu Madinah dilanda kebuluran dan beliau bersumpah untuk terus menahan lapar selagi umat Muhammad yang berada di bawah pemerintahannya berada dalam kelaparan. Sang Khalifah yang hebat ini juga melakukan rondaan sendirian di malam hari bagi mencari rakyatnya yang tidak cukup makan sehingga bertemu seorang ibu yang sedang memasak batu bagi menidurkan anak-anaknya yang kelaparan. Umar lalu mengambil sendiri gandum dari Baitul Mal dan memasaknya untuk keluarga tersebut. Sekarang kisah-kisah seperti ini tidak akan didendangkan lagi para pemimpin parti Islam yang sudah tenggelam dalam kemewahan!

Menyelamatkan dan mengeluarkan rakyat daripada bencana hanyalah secebis daripada tanggungjawab pemerintah. Kewajipan utama mereka adalah untuk menerapkan hukum Allah secara kaffah. Sesungguhnya ini bukan merupakan hal remeh dan tidak ada “kompromi” langsung di dalamnya. Allah telah memberi ancaman yang sangat keras kepada mereka yang tidak menerapkan hukum-Nya dengan menyifatkan mereka sebagai fasiq, zalim dan boleh jatuh kafir dalam keadaan tertentu. Malangnya ayat-ayat Allah yang menjelaskan tentang hal ini langsung tidak diendahkan oleh para pemimpin yang ada. Alangkah beraninya mereka mengingkari perintah-Nya!

Kewajipan Kaum Muslimin

Apabila umat Islam sudah semakin sedar akan kebobrokan pemerintah, ini merupakan suatu hal yang sangat baik. Namun, ia tidak seharusnya terhenti di situ. Persoalannya ialah, apakah yang mesti dilakukan oleh umat Islam seterusnya? Dengan kata lain, kesedaran semata-mata adalah tidak mencukupi tanpa memahami akan kewajipan yang mesti dilakukan oleh umat Islam apabila melihat kekorupan pemerintah mereka.

Antara kewajipan umat Islam ialah melakukan muhasabah terhadap pemerintah. Muhasabah wajib dilakukan setiap kali melihat kemungkaran atau kelalaian yang dilakukan oleh pemerintah. Isu banjir ini pun tidak terkecuali, malah ia merupakan kelalaian yang sangat serius sehingga menyebabkan kehilangan nyawa rakyat. Semua ini berpunca daripada pengkhianatan para pemimpin, yang khianat terhadap amanah yang Allah letakkan di bahu mereka, dan mereka telah melakukan pengkhianatan ini sejak sekian lama secara berulang-ulang sejak lebih 60 tahun yang lalu.

Tidak menerapkan hukum Allah merupakan kemungkaran terbesar yang dilakukan oleh pemerintah. Gagal dan korupnya pemerintah pada hari ini adalah kerana mereka tidak berhukum dengan hukum Allah. Mereka meneruskan dan menerapkan sistem dan undang-undang kufur yang datangnya daripada penjajah. Malah, mereka menggunakan kuku besi pula terhadap orang-orang yang berjuang untuk mengembalikan hukum-Nya. Begitulah dahsyatnya kekorupan mereka!

Justeru, menjadi kewajipan bagi rakyat untuk memuhasabah mereka, dan tidak cukup dengan itu, rakyat (umat Islam) wajib berusaha menggantikan mereka, menggantikan sistem dan undang-undang kufur yang mereka terapkan, kepada sistem dan undang-undang Islam. Jika umat Islam tidak melakukan amar makruf nahi mungkar, apatah lagi ke atas pemerintah, maka kita sungguh khuatir Allah (swt) menurunkan azab-Nya ke atas kita semua sebagaimana sabda Rasul-Nya,

“Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla tidak akan mengazab masyarakat secara umum kerana perbuatan orang-orang tertentu, kecuali jika mereka (masyarakat) melihat kemungkaran di tengah-tengah mereka, sementara mereka mampu mencegahnya, tetapi mereka tidak mencegahnya. Jika mereka melakukan demikian (tidak mencegah kemungkaran), Allah mengazab orang-orang tertentu itu dan masyarakat secara umumnya” [HR. Ahmad].

Sabda baginda yang lain,

“Demi Dzat Yang jiwaku ada dalam genggaman-Nya, sungguh kalian hendaklah melakukan amar makruf nahi mungkar, atau Allah pasti akan menimpakan seksa, kemudian kalian berdoa kepada-Nya, dan doa itu tidak dikabulkan buat kalian” [HR. Tirmizi].

Apabila umat Islam telah melakukan amar makruf nahi mungkar terhadap pemerintah, tetapi tidak berkesan, maka mahu tidak mahu, umat Islam wajib, dalam masa yang sama berusaha mendirikan Negara Islam (Khilafah) dan membaiah seorang Khalifah yang akan menerapkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya. Manakala untuk berjuang menegakkan Khilafah, umat Islam wajib memiliki atau bersama parti yang berusaha bersungguh-sungguh untuk menegakkannya, dengan thariqah (jalan) yang benar.

Rasulullah Menegakkan Daulah

Rasulullah dan para Sahabat berjuang bermati-matian untuk menegakkan agama Allah. Mereka menyeru para pembesar Quraisy agar memeluk Islam dan seterusnya menerapkan hukum-Nya. Namun, seruan baginda bukan sahaja tidak didengar, malah ditentang pula oleh pembesar Quraisy. Para Sahabat diseksa dan ada yang dibunuh hanya semata-mata kerana seruan ini. Rasulullah sendiri terpaksa menanggung pelbagai penderitaan di jalan dakwah. Namun demikian, baginda dan para Sahabat tidak pernah berhenti, malah tidak pernah mundur sedikit pun daripada medan dakwah.

Akhirnya Rasulullah telah diperintahkan oleh Allah untuk mencari nushrah (pertolongan) sehinggalah baginda mendatangi lebih daripada 15 bani yang mempunyai kekuatan (ahlul quwwah) dalam rangka mendirikan sebuah negara untuk menerapkan hukum-Nya. Setelah ditolak oleh kesemua bani yang didatanginya, akhir sekali baginda mendatangi Bani Aus dan Khazraj yang berasal dari Madinah, yang kemudian memberi nushrah kepada baginda tanpa syarat. Rasulullah seterusnya berhijrah ke Madinah yang menandakan tegaknya Daulah Islam, dan di sana hukum Allah dapat diterapkan sepenuhnya sesuai dengan wahyu yang turun.

Sesungguhnya keadaan ini hampir sama dengan keadaan kita sekarang, yang mana Rasulullah berjuang daripada tidak ada Daulah sehinggalah wujudnya Daulah. Kita sekarang pun tidak mempunyai Daulah kerana Daulah Islam yang didirikan oleh Rasulullah sejak Hijrah, kemudian diwarisi oleh para Khalifah selepasnya, telah pun runtuh pada 28 Rajab 1342 H (3 Mac 1924). Sejak keruntuhannya hingga sekarang, hukum Allah tidak lagi diterapkan dalam bentuk bernegara, diganti dengan hukum kufur penjajah.

Inilah yang wajib kita contohi, dan sememangnya Rasulullah adalah suri teladan kita dalam semua aspek, termasuklah dalam aspek dakwah dan mendirikan Daulah. Rasulullah telah melakukan pelbagai usaha dalam rangka mengajak pembesar Quraisy menerima dan menerapkan agama Allah, namun semuanya ditolak. Kejahatan penguasa Quraisy sudah tidak dapat diperbetulkan, begitu juga dengan kerosakan sistem dan undang-undang Jahiliah juga sudah tidak dapat diperbaiki. Tinggal satu-satunya jalan untuk mengubah semua itu ialah dengan mendirikan negara baru dengan pimpinan yang baru.

Kedudukan pemerintahan yang korup pada hari ini tidak ada bezanya dengan pemerintahan Jahiliah pada masa lalu, malah lebih buruk lagi. Kedudukan ini wajib diubah oleh kaum Muslimin, dan cara merubahnya tidak lain kecuali mengikuti thariqah (jalan) yang ditunjukkan oleh Rasulullah (saw).

Sesungguhnya agama Allah ini hanya akan dapat diterapkan sepenuhnya dengan adanya sebuah negara yang menerapkannya. Tidak mungkin hududullah dapat ditegakkan tanpa adanya Daulah. Tidak mungkin Islam boleh zahir di atas agama-agama lain tanpa adanya Daulah. Tidak mungkin Islam akan menjadi rahmatan lil alamin tanpa adanya Daulah. Tidak mungkin kota Konstantinople dahulu dapat dibuka tanpa adanya Daulah, dan tidak mungkin kota Rom nanti akan berjaya dibuka tanpa adanya Daulah.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Sudah lebih 100 tahun kita hidup tanpa Khilafah dan tanpa penerapan hukum Allah secara kaffah. Sesungguhnya tidak ada solusi lain kepada pemerintahan yang korup pada hari ini kecuali dengan mengembalikan semula Daulah Khilafah ar-Rasyidah ala minhaj nubuwwah untuk kali yang kedua. Rasulullah telah pun menunjukkan jalannya kepada kita, dan selagi kita tidak mengikuti jalan ini, maka selagi itulah kita tidak akan dapat keluar daripada masalah.

Wallahu a’lam.

 

Download PDF