SN583 – Balak Oh Balak!

SN583

07 Januari 2022 M / 04 Jamadil Akhir 1443 H

 

Allah (swt) menimpakan banjir besar kali ini yang telah membongkar banyak perkara. Tinggal kita sahaja sama ada ingin sedar, bertaubat dan merubah keadaan, atau ingin terus menafikan atau melupakan segala fakta dan kembali hidup seperti biasa seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Banjir ini telah membongkar segala kelalaian dan kegagalan pemerintah dalam menunaikan tanggungjawab baik sebelum, semasa dan sesudah banjir. Banjir ini juga membongkar segala wayang pemerintah terhadap rakyat. Terbaru, apa yang paling menarik perhatian ialah banjir ini telah turut membongkar kegondolan hutan, khususnya di Pahang dan siapakah pihak yang terlibat di belakang penggondolan ini. Ia susulan air bah yang membawa lumpur dan membawa ribuan balak yang kini tersadai di beberapa kampung dan jalan. Susulan itu, istilah ‘payung kuning’ kini menjadi trending di internet.

Isu penggondolan hutan di Malaysia bukanlah suatu yang baru dan bukannya tidak pernah menyebabkan musibah sebelum-sebelum ini. Malangnya ia terus berlaku tanpa dapat dihalang. Kenapa? Kerana ia bukan sahaja melibatkan payung kuning, tetapi turut melibatkan payung biru, payung hijau dan lain-lain payung yang ghaib. Penempatan dan tanah-tanah orang asli “dirogol” begitu sahaja demi mendapatkan balak. Begitu juga dengan keindahan flora dan fauna yang tidak pernah dipedulikan oleh para pencinta balak ini. Mereka juga tidak pernah mempedulikan alam sekitar dan ekosistem yang semakin terjejas dan boleh membawa kesan buruk kepada manusia. Poket-poket mereka lebih penting daripada semua itu, dan mereka tidak pernah puas meratah khazanah alam. Selagi mereka tidak “ditelan” tanah, selagi itulah agaknya mereka akan terus menggondolkan tanah.

Rosaknya Alam Oleh Golongan Kapitalis

Sistem ekonomi kapitalis yang diamalkan pada hari ini terbina di atas teori “kehendak manusia tidak terbatas sedangkan sumber ekonomi adalah terhad”. Sistem kufur ini berjalan di atas teori ini dan menjadi pegangan para penganutnya. Ya memang benar ada manusia yang tidak pernah puas dengan kehendaknya, dan tidak pernah puas dengan kekuasaan dan kekayaan yang mereka miliki. Dengan adanya kuasa di tangan mereka, sumber ekonomi dapat mereka bolot dengan lebih mudah dan mereka sanggup korbankan apa sahaja, dan siapa sahaja dalam usaha memenuhi tembolok mereka.

Melalui penjajahan, ideologi kufur ini telah dibawa masuk dan dipaksakan ke atas negeri-negeri kaum Muslimin oleh puak kuffar. Kemudian, muncullah para penguasa dan golongan elit yang berpegang kepada ideologi ini, yang memerintah dan menjalani kehidupan semata-mata untuk memuaskan kehendak (hawa) mereka yang tidak terbatas itu, tanpa mempedulikan kelestarian alam dan kehidupan. Akibat ketamakan dan kerakusan mereka mengaut sumber alam, serta hukum Islam yang mereka abaikan, maka pelbagai masalah yang merosakkan ekosistem telah terjadi seperti banjir, tanah runtuh, pencemaran udara, air dan bunyi, pemanasan global dan lain-lain.

Pendek kata berlakunya anomali iklim yang telah menjejaskan dan membahayakan kehidupan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan, akibat tangan-tangan mereka. Bencana lingkungan telah terjadi dari semasa ke semasa dan telah menatijahkan kerosakan yang tidak terkira serta korban jiwa di mana-mana, hasil tangan-tangan mereka.

Mereka melakukan kerosakan demi kerosakan di muka bumi, walaupun ada manusia yang telah menegur mereka, dan walaupun Allah (swt) sendiri telah memperingatkan mereka mengenainya, namun mereka tetap tidak mempedulikannya. Firman-Nya:

“Dan di antara manusia ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu, dan dipersaksikannya kepada Allah (atas kebenaran) isi hatinya, padahal ia adalah penentang yang paling keras. Dan apabila ia berpaling (dari kamu), ia berjalan di muka bumi untuk membuat kerosakan padanya, dan merosak tanam-tanaman serta binatang ternak, dan Allah tidak menyukai kebinasaan. Dan apabila dikatakan kepadanya: “Bertakwalah kepada Allah”, bangkitlah kesombongannya yang menyebabkannya berbuat dosa. Maka cukuplah (balasannya) neraka Jahanam. Dan sungguh neraka Jahanam itu tempat tinggal yang seburuk-buruknya” [TMQ al-Baqarah (2): 204-206].

Pengelolaan Hutan Dan Balak Menurut Islam

Sesungguhnya hutan (ghabat) termasuk dalam kategori al-milkiyyah al-ammah (kepemilikan umum) berdasarkan hadis “Kaum Muslimin bersyarikat (berkongsi) dalam tiga perkara (iaitu) air, padang ragut dan api” [HR Abu Daud, Ahmad, Ibnu Majah]. Hutan merupakan salah satu perkara yang diqiyaskan kepada tiga perkara tersebut berdasarkan persamaan sifat yang wujud padanya. Sebagai al-milkiyyah al-ammah, ia tidak boleh dimiliki oleh negara atau mana-mana individu. Oleh itu, haram hukumnya bagi negara atau individu untuk menjadikan hutan, sekali gus pokok-pokok balak yang ada di dalamnya, sebagai miliknya atau mengaut keuntungan daripadanya. Ini hukum mengenai hutan secara umumnya.

Ada pun dari segi pengelolaannya, ia dilakukan oleh negara dan tidak boleh diberi konsesi kepada syarikat mana pun. Hutan dan balak mesti dikelola oleh negara kerana ia termasuk al-milkiyyah al-ammah yang tidak mudah untuk dimanfaatkan oleh individu umat secara langsung. Ia sama seperti minyak, gas asli, arang batu, bijih besi dan lain-lain yang memerlukan infrastruktur, kepakaran dan dana yang besar untuk memanfaatkannya. Dalam hal ini negara bertindak sebagai pengurus dan wakil umat dalam mengelolanya, dan wajib mengembalikan segala keuntungannya kepada umat.

Ada pun hasil hutan selain balak, seperti ranting-ranting kayu, paku-pakis, herba, buah-buahan hutan, sumber air yang terdapat dalam hutan, haiwan-haiwan buruan dan sebagainya, semua ini boleh dinikmati oleh individu umat secara langsung bagi sesiapa yang memerlukannya, dengan syarat ia tidak menimbulkan dharar (kemudaratan) atau menghalang orang lain daripada memanfaatkan secara saksama. Bagaimana pun, negara tetap juga wajib memantau perkara ini dan wajib mencegah segala dharar atau kerosakan pada hutan dengan tetap menjaga keanekaragaman hidupan (biodiversity) flora dan fauna, ekosistem, melakukan kajian dan pembangunan, penanaman semula dan sebagainya.

Jika pembalakan perlu dilakukan untuk kemaslahatan kaum Muslimin, maka negara boleh melakukannya, dengan syarat tetap menjaga kelestarian alam tanpa merosakkannya. Manakala segala pendapatan hasil balak tersebut hendaklah dimasukkan ke dalam Baitul Mal dan diagihkan keuntungannya secara saksama kepada setiap warganegara. Negara juga boleh melakukan hima (reserve) kawasan hutan tertentu untuk suatu kepentingan tertentu seperti kepentingan jihad atau pembangunan, tanpa merosakkan kelestarian alam. Rasulullah (saw) pernah melakukan hima ke atas Naqi’ (padang gembalaan dekat Madinah) untuk kuda-kuda perang milik kaum Muslimin. Apabila suatu kawasan itu telah dihima untuk suatu tujuan, maka hasilnya hendaklah digunakan untuk tujuan tersebut.

Dalam menjalankan kewajipannya mengelola hutan dan balak, negara wajib melakukan pengawasan (monitoring) dan rondaan (patrolling) bagi memastikan tidak ada penyalahgunaan hutan oleh mana-mana orang. Fungsi ini dijalankan oleh Qadhi Hisbah yang bertanggungjawab menjaga hak-hak umum, termasuklah hutan dan balak. Qadhi Hisbah-lah yang akan menangani kes-kes pembalakan liar, pencurian kayu balak, penebangan melebihi batas, pembakaran dan perosakan hutan, pemburuan yang dilarang oleh negara dan sebagainya. Qadhi Hisbah akan bertugas dengan disertai oleh sepasukan polis dan beliau berhak menjatuhkan ta’zir di lapangan pada waktu itu juga, terhadap sebarang kesalahan.

Penjagaan Alam Sekitar Menurut Islam

Memang tidak dapat dihindari bahawa manusia mesti berinteraksi dengan alam dalam menjalani kehidupan. Manusia memerlukan sumber daya alam untuk memenuhi keperluan hidupnya. Manusia membuka dan membersihkan hutan untuk tujuan bertani dan pembangunan, mengambil kayu-kayan untuk membuat rumah, mencari kayu api untuk memasak dan tujuan lainnya, menggali perigi untuk mendapatkan air, melombong untuk mendapatkan minyak, gas serta lain-lain galian, menangkap ikan di sungai atau laut sebagai sumber makanan, dan sebagainya.

Akibatnya, “kerosakan” alam sekecil mana pun pasti terjadi. Semua hal ini bukanlah dihalang oleh Islam, tetapi diatur oleh Islam. Isunya ialah,  sejauh manakah manusia mengikuti aturan Islam dalam berinteraksi dengan alam? Lari dan ingkarnya manusia terhadap hukum Allah, itulah yang menjadikan alam ini rosak dan inilah yang diharamkan oleh Islam. Sistem demokrasi-kapitalis meletakkan segala peraturan serta ukuran baik dan buruk di tangan manusia, yang telah menyebabkan kerosakan alam dan manusia itu sendiri. Dalam Islam, Allah dan Rasul-Nya telah pun mengajar dan memberi peringatan kepada manusia bagaimana seharusnya alam sekitar dijaga.

Sesungguhnya Allah (swt) telah menciptakan bumi ini dengan ekosistem yang sempurna. Firman-Nya;

“Dan Kami telah menghamparkan bumi dan menjadikan padanya gunung-gunung dan Kami tumbuhkan padanya segala sesuatu menurut ukuran. Dan Kami telah menjadikan untukmu di bumi keperluan-keperluan hidup, dan (Kami menciptakan pula) makhluk-makhluk yang kamu sekali-kali bukan pemberi rezeki kepadanya. Dan tidak ada sesuatu pun melainkan pada sisi Kami-lah khazanahnya; dan Kami tidak menurunkannya melainkan dengan ukuran yang tertentu” [TMQ al-Hijr (15): 19-21].

Seterusnya Allah mengharamkan manusia untuk membuat kerosakan pada apa yang telah dicipta-Nya. Firman-Nya;

“Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi, sesudah (Allah) memperbaikinya dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik” [TMQ al-A’raf (7): 56].

Rasulullah (saw) menjelaskan bahawa Allah (swt) telah menciptakan bumi ini dengan segala keindahannya, dan Dia meletakkan amanah kepada manusia untuk mengelolanya. Sabda baginda;

“Sesungguhnya dunia ini manis lagi hijau, dan sesungguhnya Allah menguasakan kepada kalian (untuk mengelola) apa yang ada di dalamnya, kemudian Dia akan melihat bagaimana kalian melakukannya” [HR Muslim].

Dari aspek umum mahu pun khusus, Rasulullah (saw) mengajarkan kita bagaimana untuk menjaga alam sekitar. Baginda melarang menebang pokok jika tidak ada apa-apa tujuan, apatah lagi jika pokok tersebut berguna untuk manusia. Sabda baginda;

“Siapa sahaja yang memotong pohon bidara yang ada di atas tanah lapang, yang sering digunakan sebagai tempat bernaung bagi orang-orang yang sedang dalam perjalanan ataupun binatang-binatang, secara sia-sia dan penuh kezaliman tanpa alasan yang benar, maka Allah akan meletakkan api neraka di atas kepalanya” [HR al-Bukhari].

Malah di waktu perang pun, Rasulullah (saw) melarang kita merosakkan tanam-tanaman kecuali jika perlu sahaja.

Sesungguhnya banyak lagi ayat dan hadis-hadis yang melarang manusia membuat kerosakan terhadap persekitaran dan memerintahkan manusia untuk menjaga kelestariannya. Semua hal tersebut benar-benar dilaksanakan di zaman Rasulullah (saw) dan di sepanjang sejarah keKhilafahan Islam, dan bukti terhadap hal itu sungguh banyak. Malangnya sejak runtuhnya Khilafah yang sekali gus bermaksud runtuhnya sistem dan aturan Islam, lalu dunia ini didominasi oleh kaum kapitalis, kerosakan demi kerosakan telah melanda dunia akibat kerakusan dan ketamakan mereka.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Allah (swt) telah menimpakan pelbagai ujian mahu pun azab ke atas kita, yang sesungguhnya mengandungi hikmah yang begitu banyak untuk menyedarkan kita. Dahulu umat Islam hidup dipayungi oleh para Khalifah yang bertakwa, yang senantiasa menjaga dan memelihara rakyatnya, baik ketika senang, apatah lagi ketika ditimpa bencana. Sumber alam yang merupakan al-milikiyyah al-ammah diagihkan secara saksama oleh para Khalifah sehingga negara dan rakyat hidup sejahtera. Umat Islam dahulu dipayungi oleh Khilafah selama lebih 13 abad, yang bukan sahaja menjaga manusia, tetapi juga haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Justeru, tidak ada cara lain untuk mengembalikan manusia dan alam ini kepada fitrahnya, kecuali dengan kembali bernaung di bawah payung Khilafah, bukannya payung kuning, biru, hijau dan sebagainya.

Wallahu a’lam.

 

Download PDF